Arkib Tag: saman

Polis beri amaran elak parkir sesuka hati di Pusat Pemberian Vaksin

ORANG ramai mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (PWTC) diminta untuk tidak meletak kenderaan sesuka hati sehingga menghalang trafik.

Amaran diberi pihak polis selepas terdapat individu berbuat demikian sehingga menyusahkan pengguna jalan raya lain.

Memetik kenyataan polis, mereka didapati bersalah akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk saman.

Selain itu, pihak polis juga tidak tergagak-agak mengenakan tindakan tunda kenderaan jika terdapat keperluan berbuat demikian.

“Orang ramai yang hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AztraZeneca di PWTC dinasihati tidak meletakkan kenderaan sewenang-wenangnya sehingga menghalang lalu lintas.

“Sekiranya peraturan dan undang-undang tidak dipatuhi, tindakan saman atau tunda akan dilaksanakan,” memetik kenyataan di laman Facebook, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM.

Terdapat beberapa lokasi dijadikan sebagai PPV di sekitar lembah Kelang termasuk Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ideal Convention Centre Shah Alam.

Justeru, orang ramai dinasihati untuk mematuhi peraturan dengan tidak menghalang laluan trafik yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun, jika anda kurang bernasib baik dan telah disaman, berikut antara kaedah pembayaran yang boleh dibuat:

Semak saman melalui MyEG

Antara perkhidmatan ditawarkan MyEG termasuk semak dan membayar saman. Anda Cuma perlu layari https://www.myeg.com.my/.

Terus ke kaunter bayaran trafik

Anda boleh terus ke kaunter bayaran trafik di lokasi berdekatan. Semakin cepat anda lunaskan bayaran saman, maka semakin ‘tenang’ hidup anda.

Gagal membayar saman bukan sahaja menambah ‘hutang’ anda dengan pihak berkuasa malah, boleh menjejaskan rekod sebagai pemandu.

Bayar saman melalui SSO-PDRM

Portal Sistem Semakan Online (SSO) disediakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Anda cuma perlu melayari portal SSO di http://sso.rmp.gov.my/.

Demikian antara kaedah pembayaran saman yang boleh anda lakukan.

Jadilah rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dengan tidak membebankan pengguna jalan raya lain atas sikap penting diri.

JPJ tutup kaunter sehingga 17 Mei, tawaran diskaun saman tetap berjalan

INDIVIDU masih belum melangsaikan saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh berbuat demikian dengan kadar segera.

Ini kerana tawaran diskaun 70 peratus masih diteruskan JPJ sehingga 11 Jun depan.

Diskaun diberikan terhadap individu yang dikenakan kesalahan kompaun.

Tawaran diskaun juga dilanjutkan kepada saman yang masih aktif termasuk individu yang telah disenarai hitam.

Mereka disenarai hitam perlu hadir ke pejabat JPJ bagi memudahkan urusan dokumentasi.

Bagaimanapun, pesalah yang mempunyai kes di mahkamah tidak layak menerima diskaun yang ditawarkan.

Sebelum ini, JPJ mengumumkan tawaran diskaun saman sebagai langkah mengurangkan beban orang ramai susulan pandemik Covid-19.

Sementara itu, JPJ turut mengumumkan penutupan semua kaunter seluruh negara bermula jam satu petang ini bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kaunter JPJ seluruh negara akan beroperasi semula pada 17 Mei (Isnin).

Ditahan polis kerana ikut ambulans terlalu rapat, warga maya puas hati

TINDAKAN seorang pemandu yang sengaja mengikuti sebuah ambulans bagi memotong barisan mengundang padah selepas ditahan pihak polis.

Menerusi sebuah video tular di media sosial, kelihatan kenderaan itu mengikuti rapat sebuah ambulans di satu lokasi tidak diketahui.

Berang dengan tindakan terbabit, pemandu ambulans kemudian bertindak memaklumkan kepada kenderaan peronda polis yang kebetulan berada di situ menggunakan alat pembesar suara.

Sebaik mendengar aduan pemandu ambulans, kelihatan polis berkenaan mendekati kenderaan terbabit sebelum dipercayai menahannya untuk diambil tindakan undang-undang.

Rata-rata pengguna media sosial berang dengan sikap tidak bertanggungjawab pemandu yang mengambil kesempatan memotong barisan dengan mengikuti rapat ambulans berkenaan.

Jelas mereka tindakan itu bukan sahaja tidak menghormati pengguna jalan raya lain malah, menganggu aliran trafik.

Pada masa sama, pengguna media sosial turut berpuas hati dengan tindakan pantas polis walau hanya menerima aduan melalui pembesar suara.

PDRM kemas kini aplikasi MyBayar Saman, mudahkan orang ramai

ORANG ramai ingin melunaskan saman trafik boleh menarik nafas lega dengan usaha pihak polis untuk menambah baik platform e-bayaran dan aplikasi MyBayar Saman.

Memetik berita Bernama, langkah diambil Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) adalah bagi meningkatkan keberkesanan kutipan saman.

Pada masa sama, ia juga memudahkan orang ramai untuk membuat bayaran saman hanya menggunakan platform secara dalam talian.

Antara kemas kini dibuat termasuk memperkenalkan kutipan seperti pendaftaran daripada syarikat, warga asing dan had bayaran dikenakan terhadap individu.

Setakat ini, polis merekodkan kutipan kompaun lebih RM89 juta daripada 803,739 saman yang dilunaskan orang ramai menerusi aplikasi MyBayar Saman.

Sehingga semalam, 814,622 pengguna berdaftar direkodkan sejak aplikasi itu diperkenalkan pada 25 Mac lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini mengumukan tawaran diskaun bagi saman trafik sempena sambutan Hari Polis ke-214.

Tawaran bermula 25 Mac hingga semalam.