Orang ramai diminta tidak bimbang dengan stok lesen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). - Foto ihsan Malay Mail
PENDUDUK Pulau Pinang ingin membayar saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh berbuat demikian menggunakan perkhidmatan kaunter pandu lalu.
Perkhidmatan disediakan bermula hari ini sehingga September depan.
Memetik kenyataan JPJ, kaunter pandu lalu bukan sahaja memudahkan urusan pelanggan malah, mengelak risiko jangkitan Covid-19.
“Urus niaga kaunter pandu lalu yang dilaksanakan itu melibatkan urusan memperbaharui lesen memandu dan lesen kenderaan motor (LKM) persendirian.
“Waktu urus niaga kaunter pandu lalu adalah pada hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
“Manakala bagi hari Jumaat bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari,” kata Pengarah JPJ Pulau Pinang Adenan Md Isa.
Setakat ini, lebih 100,000 saman aktif masih belum dilunaskan melibatkan pelbagai kesalahan.
Bersempena sambutan bulan kemerdekaan, JPJ menawarkan pengurangan kompaun 70 peratus bermula 8 Ogos sehingga 16 September ini.
Namun, pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam dikehendaki hadir ke pejabat JPJ bagi tujuan proses dokumentasi semula sebelum urusan pembayaran dilakukan.