Arkib Tag: red bull

Tonton video dron kamera terpantas di dunia kejar Max Verstappen di litar Silverstone

RED Bull baru-baru ini menyiarkan video di platform-platform media sosial menunjukkan sebuah dron memaparkan rakaman kereta Formula Satu (F1) di litar Silverstone.

Jentera F1 itu dipandu oleh juara dunia, Max Verstappen dan rakaman dari dron itu cukup menarik, seperti mengejar dari atas. Suatu rakaman F1 yang tidak pernah dibuat sebelum ini.

Ia hasil kerjasama antara Red Bull dan Dutch Drone Gods. Mereka telah menghabiskan masa kira-kira setahun membangunkan Red Bull Drone 1.

Dron yang dibangunkan khas ini diterbangkan secara manual melalui first-person view (FPV). Ia mampu memecut ke 300km/j dalam masa 4 saat sahaja.

Untuk menunjukkan kebolehannya, pasukan Red Bull menjalankan ujian pecutan dron itu berlumba dengan RB8 yang dipandu David Coulthard.

Walaupun jentera F1 ini telah berusia 10 tahun, ia masih mempunyai prestasi tinggi. Enjin 2.4-liter V8 dengan 850hp hanya perlu membawa beban seberat 635kg.

Dan walaupun mencuba sebaik mungkin, Coulthard tetap kalah terhadap drop ini. Baik, ia mampu ‘tapau’ F1 di jalan lurus. Tetapi bagaimana dengan litar penuh yang mempunyai selekoh?

Inilah cabaran sebenar Red Bull Drone 1. Ia perlu melalui kesemua 18 selekoh di litar Silverstone, mengejar Verstappen yang memandu jentera terbaharu, RB20 yang akan berlumba untuk musim 2024.

Sayangnya, hari hujan di Silverstone. Hujan juga membantutkan sedikit kelajuan F1 ini kerana ia menggunakan set tayar basah. Tetapi ia masih laju dan memberi cabaran untuk dron itu mengejar.

Terbukti dron itu tiada masalah kekal mengekori RB20 untuk satu pusingan penuh. Dengan percikan air hujan di tayar kereta, memberikan perspektif baharu akan kelajuan sebenar F1.

Tonton video di bawah yang memaparkan bagaimana pembangunan dan di sebalik tabir Red Bull Drone 1 menjayakan misinya.

Honda e yang comel terima livery Red Bull Racing untuk gaya lebih garang

ADIL jika dikatakan bahawa tidak banyak kereta elektrik yang kelihatan comel dan cool pada masa yang sama seperti Honda e. Ramai yang berpendapat ia berpotensi untuk melahirkan versi berprestasi tinggi namun idea ini telah ditolak bulat-bulat oleh ketua projek Honda e sendiri iaitu Kohei Hitomi.

Bagaimanapun, ini tidak menghalang Innovative Composites daripada meningkatkan lagi penampilan Honda e menerusi kit badan lebar dan livery Red Bull Racing bagi meraikan kejayaan Max Verstappen merangkul gelaran juara dunia Formula 1 musim lalu.

Menurut syarikat dari United Kingdom itu, setiap panel badan yang disertakan dalam kit ini diperbuat daripada gentian karbon. Ia merangkumi bampar depan kustom lengkap dengan canard dan splitter, serta tidak dilupakan fender depan dan belakang yang lebih lebar.

Bagi mendapatkan stance yang sporti, fender itu diisi dengan rim Rotiform KB1 berwarna putih yang dibalut dengan tayar semi-slick. Innovative Composites turut menggunakan spacer bagi memastikan kedudukan tayar selari dengan fender.

Sementara itu, ubah suai untuk bahagian belakang pula terdiri daripada bampar yang lebih singkat, diffuser yang agresif dan spoiler bumbung yang jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan yang asal.

Sentuhan penyudah modifikasi ini tidak lain tidak bukan ialah livery Red Bull Racing yang menampilkan gabungan warna biru gelap, merah dan kuning, serta nama-nama syarikat penaja seperti Honda, IBM dan Siemens. Hasilnya, kereta elektrik kecil molek ini kelihatan tidak ubah seperti jentera yang dipandu oleh Max dalam kejohanan musim lalu.

Sayangnya, tiada sebarang penambahbaikan yang dilakukan pada trenkuasa e, bermakna hasil tangan Innovative Composites ini masih lagi dikuasakan oleh sebuah motor elektrik yang menjana kuasa maksimum 152hp dan 315Nm.

Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100km/j dalam lapan saat – tidaklah teruk mana namun masih tidak cukup untuk menjadikannya sebuah hot hatch sejati. Jarak pemanduan pula adalah sekitar 220km dengan satu cas penuh.

Apa yang menarik, Honda e dengan kit badan lebar ini tidak akan menjadi rekaan one-off kerana Innovate Composites dilaporkan merancang untuk menawarkan kit badan tersebut dalam jumlah yang terhad.

Harga masih belum diumumkan namun memandangkan ia diperbuat sepenuhnya daripada gentian karbon, ia pastinya agak mahal.

Max Verstappen juara F1 2021 selepas potong Lewis Hamilton di pusingan akhir!

MAX Verstappen muncul juara dunia Formula 1 (F1) 2021 setelah memotong Lewis Hamilton di Abu Dhabi Grand Prix yang mendebarkan dan penuh kontroversi.

Kejuaraan Verstappen itu sekaligus menamatkan dominasi Hamilton selama empat tahun berturut-turut sejak 2017 hingga 2020.

Verstappen pada mulanya ketinggalan 10 saat di belakang Hamilton dengan perlumbaan berbaki lima pusingan. Hamilton sudah hampir pasti merangkul kejuaraannya yang ke-8 tetapi satu insiden melibatkan Nicolas Latifi mengubah sepenuhnya plot perlumbaan.

Safety Car keluar dan meninggalkan litar di pusingan terakhir, menyaksikan persaingan sengit satu pusingan akhir dimana Verstappen memotong Hamilton dengan kemenangan luar jangkaan.

Perlumbaan penuh kontroversi

Imej: Dutch News

Perlumbaan akhir bagi musim 2021 ini penuh dengan kontroversi dan drama dengan persoalan utama adakah Hamilton akan menjadi juara dunia untuk kali ke-8 atau Verstappen menjadi juara dunia untuk kali pertama.

Verstappen mempunyai kemenangan lebih banyak dalam musim ini berbanding Hamilton, jadi pelumba Belanda itu akan menjadi juara dunia secara automatik sekiranya dia dan Hamilton gagal menamatkan perlumbaan.

Perlumbaan bermula dengan sangat baik Hamilton dimana dia memotong Verstappen di pusingan pertama, tetapi pemandu Red Bull itu semestinya terus memberi saingan.

Verstappen kemudian cuba merampas kedudukan pertama dengan memotong di sebelah dalam dan Hamilton cuba mempertahankannya dan berjaya kekal di depan.

Pasukan Red Bull kurang berpuas hati dengan tindakan Hamilton tetapi pihak FIA menetapkan tiada tindakan diperlukan setelah melihat semula insiden itu.

Hamilton terus jauh ke depan tetapi selepas dia dan Verstappen masuk ke pit, pelumba British itu ‘terperangkap’ di belakang rakan sepasukan Verstappen, Sergio Perez yang bertindak dengan baik cuba melengahkan Hamilton.

Verstappen kemudian ‘datang’ dari belakang dan setelah Perez dipotong oleh kedua-dua pelumba, jarak Hamilton hanya tinggal dua saat sahaja di depan Verstappen.

Dengan perlumbaan berbaki 20 pusingan, Verstappen masuk ke pit untuk kali kedua, dan Mercedes tidak memanggil Hamilton masuk.

Verstappen menyertai semula perlumbaan dengan 17 saat di belakang Hamilton, dan 10 saat jarak dalam lima pusingan terakhir. Pada saat ini, hampir pasti bahawa Hamilton akan menjadi juara.

Kemudian plot berubah apabila Nicholas Latifi (Williams) terbabas dan menghentam penghadang jalan, memaksa Safety Car masuk ke dalam litar sekali lagi.

Verstappen masuk ke pit semula dan harapannya untuk menjadi juara semakin tenggelam apabila pengawal perlumbaan memaklumkan kereta yang tertinggal satu pusingan tidak akan dibenarkan memotong Safety Car.

Ini bermakna pelumba berusia 24 tahun itu perlu melepasi beberapa kereta sebelum ‘sampai’ ke Hamilton dalam pusingan akhir.

Kemudian arahan berubah; dimana pengarah perlumbaan FIA, Michael Masi memaklumkan kereta yang tertinggal pusingan boleh memotong Safety Car.

Sambil bos Mercedes, Toto Wolff berteriak di radio, “Tidak Michael, tidak”.

Ini meletakkan Verstappen di belakang Hamilton semula dalam pusingan terakhir. Tetapi kali ini, Verstappen mempunyai tayar baharu yang mencengkam manakala Hamilton masih dengan tayar lama.

Verstappen memotong Hamilton di selekoh kelima dan terus meninggalkan pelumba Mercedes itu untuk menjuarai perlumbaan, sekaligus menjadi juara dunia F1 musim 2021.

Pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 walaubagaimanapun kekali sebagai juara kategori pengeluar.

Saksikan kereta kawalan radio (RC) drag race dengan Honda NSX dan F1 Red Bull, boleh menang?

DRAG race sudah menjadi kebiasaan di siaran Youtube Carwow, mereka telah menggandingkan bermacam jenis kenderaan. Antaranya trak pikap, lori, malah jentera Formula Satu. Jadi apa pula selepas ini?

Terbaharu, mereka meletakkan sebuah Honda NSX dan jentera Formula 1 di garisan permulaan. Tetapi kali ini ada pencabar ketiga, dan saiznya sangat kecil. Ya, kerana ia sebuah kereta kawalan radio (RC).

Sudah tentu bukan kereta RC sebarangan untuk berlumba dengan F1 dan supercar. Sebaliknya ianya adalah Arrma Limitless, iaitu kereta RC yang dikatakan memegang rekod kelajuan tertinggi di dunia. Dengan modifikasi tertentu, video-video di Youtube menunjukkan Limitless mampu mencapai kelajuan melebih 220km/j.

Sebelum berlumba, mari kita lihatkan sedikit spesifikasi ringkas dan angka-angka penting setiap kereta.

Untuk Honda NSX, di belakang kabinnya terdapat enjin 3.5-liter twin-turbo V6 berserta tiga motor elektrik (dua di tayar depan, dan satu membantu enjin di belakang). Ini menjadikannya sebuah supercar pacuan semua-roda (AWD).

Gabungan enjin dan motor elektrik menjana 581hp, 645Nm tork, dan pecutan dibantu oleh Launch Control.

Jentera F1 pula merupakan Red Bull Racing RB7 dari 2011. Walaupun sudah 10 tahun, F1 ini tetap berprestasi tinggi.

Enjinnya berkapasiti 2.4-liter V8 yang mampu menghasilkan 750hp, lebih berkuasa dari NSX tadi. Malah, F1 ini juga jauh lebih ringan, dengan berat hanya sekitar 750kg. Ia juga dipandu oleh seorang lagenda iaitu David Coulthard.

Berkenaan pencabar unik kali ini, Arrma Limitless bukan sahaja sangat ringan, ia juga mempunyai motor yang sangat berkuasa, pacuan semua-roda dan stereng aktif yang akan membantu ‘pemandunya’ memastikan kereta sentiasa bergerak lurus di kelajuan tinggi.

Dari segi harga, kereta RC Arrma Limitless paling murah antara dua lagi kereta (sudah tentu), tetapi jika Limitless menang drag race ini, kira membazir lah beli supercar atau F1 mahal-mahal kan?

Oh kami tidak mahu ‘spoil’ keputusan perlumbaan ini, maka anda harus tonton sendiri untuk ketahui keputusannya.