Arkib Tag: Rapid KL

RapidKL sedia bas khas untuk ke MotoGP

BERITA baik bagi anda yang akan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini untuk menonton acara Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) tetapi tidak mahu memandu, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan menyediakan perkhidmatan bas khas.

Pengendali pengangkutan itu, Rapid KL berkata dalam satu siaran media, bas khas akan disediakan untuk ke SIC dari 10 hingga 12 November ini.

Menurut kenyataan itu lagi, perkhidmatan bas khas itu disediakan di tiga lokasi iaitu Pasar Seni, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan hab bas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

Tiket bas akan dijual di stesen LRT terpilih iaitu KLCC, Masjid Jamek, Pasar Seni, KL Sentral serta kaunter kad konsesi MyRapid di hab bas Pasar Seni dan kaunter 10 Hab Pengangkutan KLIA Terminal 2.

“Selain itu, pembelian tiket juga boleh dibuat secara dalam talian mulai 28 Okt (Sabtu) di laman shop.myrapid.com.my. Para pengunjung dinasihatkan untuk membeli tiket lebih awal bagi menggelakkan beratur panjang ketika hendak ke SIC,” menurut kenyataan itu.

Rapid Bus turut memaklumkan pihaknya akan menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma di dalam kawasan SIC ketika berlangsungnya MotoGP itu.

Laluan bas di Lembah Klang akan diintegrasikan, bilangan ditambah – Anthony Loke

KEMENTERIAN Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan menyelaraskan laluan perkhidmatan bas di Lembah Klang supaya lebih berintegrasi pada masa depan.

Gambr oleh: Facebook Rapid KL

Menterinya, Anthony Loke berkata ketika ini, terdapat tiga operator berlainan yang mengendalikan perkhidmatan bas di Lembah Klang iaitu Rapid Bus, bas percuma GoKL oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan bas Smart Selangor oleh kerajaan Selangor.

“Kita perlu selaraskan supaya laluan-laluan (bas) itu lebih berintegrasi, tidak overlap (bertindih) antara satu sama lain.

“Kita berharap bahawa integrasi dan kerjasama ini dapat membantu menyediakan mutu perkhidmatan bas yang lebih lancar, efisien dan bilangan penumpang juga dapat ditambah,” katanya.

Loke berkata buat masa ini, sebanyak 724 bas beroperasi di Lembah Klang setiap hari, iaitu satu jumlah yang kecil, berbanding keperluan hampir 4,000 bas bagi perkhidmatan yang efisien.

Bagaimanapun, beliau berkata Rapid Bus akan terus berusaha menambah bilangan itu dan dianggarkan 1,000 bas akan dapat beroperasi setiap hari menjelang akhir tahun ini.

“Sekarang ada 150 buah bas Rapid KL yang masih diselenggarakan dan boleh kembali untuk perkhidmatan.

“Selain itu, kita juga sedang melantik operator bas baharu, umpamanya laluan yang tidak mencukupi bas kita akan outsource kepada operator lain,” tambahnya.

Mengenai operasi lorong bas yang telah dimulakan sejak Julai lepas itu, Loke berkata terdapat peningkatan jumlah penumpang sebanyak 12 peratus, iaitu daripada 12,936 kepada 14,523 penumpang setiap hari dengan penjimatan masa perjalanan kira-kira 20 minit berbanding penggunaan kereta persendirian.

“Dari segi pengamatan saya, walaupun ada lorong bas, masih banyak kereta yang mengikuti lorong bas, mereka pada permulaannya terpaksa keluar dari lorong bas itu kerana ada anggota penguat kuasa di depan untuk masuk lorong kanan.

“Tetapi banyak kereta persendirian selepas melalui kira-kira 500 meter, mereka masuk kembali ke kiri (lorong bas) dan itu kadangkala menyusahkan bas kerana masih ada kereta.

“Perkara ini akan dibincangkan lagi pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet atasi kesesakan jalan raya pada bulan depan,” terangnya.

Pada 3 Julai lepas, DBKL dengan kerjasama Rapid Bus melaksanakan projek percubaan lorong bas iaitu Laluan 300 dari Pandan Indah hingga Lebuh Ampang dan Laluan 303 membabitkan laluan dari Taman Mulia Jaya hingga Lebuh Ampang.

Lorong bas yang beroperasi dari Isnin hingga Jumaat bermula 6 pagi hingga 9 pagi itu memberi manfaat kepada komuniti di sekitar koridor Jalan Ampang yang ingin memasuki pusat bandar raya untuk bekerja.

Laluan MRT Putrajaya dibuka secara rasmi hari ini

LEMBAH Klang kini akan mempunyai laluan kedua MRT yang akan dilancarkan secara rasmi hari ini. MRT Putrajaya akan dirasmikan hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di depot MRT Serdang, dan akan dibuka kepada orang awam bermula jam 3 petang.

Dalam laporan pada Disember lepas, MRT Corp berkata pembinaan laluan dari stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral telah disiapkan.

Jajaran sepanjang 38.7km bagi Laluan Putrajaya Fasa Dua yang terdiri daripada 15 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah.

Fasa Satu Laluan Putrajaya sepanjang 17.5km yang meliputi 11 stesen bertingkat dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah dibuka kepada orang ramai mulai 16 Jun 2022.

Apabila Fasa Dua siap sepenuhnya nanti, penumpang akan boleh bertukar ke laluan lain sedia ada di 10 stesen pertukaran berbeza.

Stesen-stesen pertukaran tersebut adalah Kwasa Damansara (dengan Laluan MRT Kajang), Sungai Buloh (dengan KTM), Sri Damansara Timur (dengan KTM), Kampung Batu (dengan KTM), Titiwangsa (dengan Laluan LRT Ampang & Sri Petaling, KL Monorel), Ampang Park (dengan Laluan LRT Kelana Jaya), Tun Razak Exchange (dengan Laluan MRT Kajang), Chan Sow Lin (dengan Laluan LRT Ampang & Sri Petaling), Sungai Besi (dengan Laluan LRT Sri Petaling) dan Putrajaya Sentral (dengan Laluan ERL dan Transit KLIA).

Laluan Putrajaya akan dikendalikan menggunakan 49 set tren. Setiap set tren terdiri daripada empat buah gerabak dan boleh membawa seramai 1,200 penumpang.

Operasi tren adalah secara automatik sepenuhnya dan tidak memerlukan pemandu. Terdapat juga kemudahan parkir di 15 buah stesen dengan jumlah tempat letak kereta sebanyak 5,870 petak di sepanjang jajaran.

LRT laluan Kelana Jaya beroperasi semula Isnin 14 November 2022, beri pampasan kepada pengguna

RAIL Sdn Bhd (Rapid Rail), operator perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel di Lembah Klang, akan membuka keseluruhan jajaran LRT Laluan Kelana Jaya bermula jam 6 pagi esok, bersamaan Isnin 14 November 2022.

Ini bermakna ia dibuka dua hari lebih awal daripada yang dijadualkan, setelah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Berdasarkan analisa ke atas ujian meluas yang dijalankan pakar teknikal Rapid Rail dan pihak OEM Thales Group, APAD telah mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik (ATC) dan mengisytiharkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya.

En. Mohd Azharuddin Mat Sah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad berkata kelulusan yang diberikan adalah satu berita yang amat dialu-alukan setelah sebahagian daripada LRT Laluan Kelana Jaya digantung perkhidmatannya.

“Kami berterima kasih kepada APAD dengan kelulusan yang telah diberikan untuk menyambung operasi LRT Laluan Kelana Jaya. Kini kami boleh kembali memberi perkhidmatan sebaiknya kepada seluruh warga kota.

“Pemantauan sistem akan diteruskan bagi memastikan ia kekal stabil agar perkhidmatan dapat dijalankan dengan selamat.

“Pembukaan penuh perkhidmatan lebih awal daripada jadual ini diharap dapat mengurangkan kesulitan yang telah dilalui oleh pengguna pengangkutan awam, khususnya mereka yang menggunakan LRT Laluan Kelana Jaya.”

Pampasan kepada pengguna

Sebelum ini, pihak Rapid Rail telah mengumumkan pemberian tambang percuma untuk setiap hari gangguan perkhidmatan kepada pengguna LRT Laluan Kelana Jaya.

Sebahagian perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya telah digantung selama lima (5) hari, namun pengguna akan diberi perjalanan percuma selama tujuh (7) hari. Ini akan dilaksanakan seperti berikut:

Pengguna My50

– Pengguna akan diberi tambahan perjalanan percuma selama tujuh (7) hari apabila memperbaharui pas My50 setelah tamat tempoh. Pembaharuan boleh dilakukan bermula 21 November hingga 20 Disember 2022.

– Pengguna perlu kemana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT dan Pegawai Khidmat Pelanggan akan membuat pengesahan.

– Bagi pelanggan pas My50 yang tamat tempoh di antara Isnin 14 November hingga Ahad 20 November 2022, boleh menggunakan pas seperti biasa tanpa sebarang caj. Sila pastikan sekurang-kurangnya RM5.00 nilai tersimpan dikekalkan di dalam pas.

Pengguna Kad Touch ‘n Go

– Pengguna kad Touch ‘n Go yang menggunakan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya boleh menggunakan kad seperti biasa tanpa sebarang caj di antara Isnin 14 November hingga Ahad 20 November 2022 dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen Laluan Kelana Jaya.

– Sila pastikan sekurang-kurangnya RM5.00 nilai tersimpan dikekalkan di dalam kad.

Pengguna Token

– Semua pengguna yang menggunakan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya dari Isnin 14 November sehingga Ahad 20 November layak untuk menikmati tambang percuma.

– Pengguna perlu kemana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala, dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen Laluan Kelana Jaya.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua diatas kesabaran anda ketika tempoh yang sangat mencabar ini,” tambah En. Azharuddin.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menghulurkan bantuan dan sokongan terutama sekali pihak Smart Selangor, MARA Liner, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan juga rakyat Malaysia yang telah memberi bantuan kepada penumpang-penumpang yang terjejas.”

Prasarana dan Rapid Rail sekali lagi memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang terkesan akibat gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya. Segala usaha akan diambil bagi memastikan gangguan seumpama ini tidak akan berulang.

Bas ekspres Rapid KL dari LRT Pasar Seni dan KLCC dihentikan mulai hari ini

PERKHIDMATAN bas ekspres Rapid KL dari stesen LRT/MRT Pasar Seni dan LRT KLCC ke luar bandar semasa waktu puncak telah ditamatkan, bermula hari ini 4 Julai.

Perkara ini diumumkan oleh Rapid KL di laman sosial mereka semalam.

Bas ekspres percuma itu telah mula beroperasi pada pertengahan Jun untuk mengurangkan kesesakan di stesen-stesen kereta api di tengah pusat bandar Kuala Lumpur pada waktu puncak lewat petang. Seminggu kemudian, ia kemudiannya ditambah untuk waktu puncak pagi juga.

Satu laluan adalah dari LRT/MRT Pasar Seni ke LRT Universiti di kawasan Kerinchi/Bangsar South. Satu lagi laluan adalah dari LRT KLCC ke LRT Wangsa Maju.

Tiada sebarang sebab diberikan di atas penamatan khidmat bas ekspres ini. Ianya untuk mengurangkan beban pada LRT semasa mula diperkenalkan.

Jadi mungkin sekarang tiada lagi keperluan untuk bas-bas ini dan LRT serta perkhidmatan bas biasa kini telah mencukupi.

RapidKL mula ujian bas mini Hino Poncho sekitar KL

RAPID Bus dan Hino Motor Sales bekerjsama memulakan percubaan dengan bas mini Hino Poncho di laluan lebih mencabar sekitar Kuala Lumpur (KL). Ini susulan dari percubaan pertama selama dua bulan pada 2019.

Bas mini Hino Poncho dengan pajang 7 meter dan berlantai rendah itu sesuai untuk akses ke jalan-jalan sempit dan sesak.

Percubaan kedua ini akan berjalan hingga April 2022 dengan laluan T180 (Taman Dato’ Senu – Chow Kit) dan 302 (Titiwangsa – KLCC).

Di Jepun, lebih 2,000 unit Hino Poncho beroperasi di jalan-jalan sibuk serta kawasan perumahan yang lebih senyap.

Selain panjang cuma 7 meter, bas mini ini dengan overhang depan dan belakang yang pendek memudahkannya membuat pusingan tajam di jalan-jalan sempit.

Lantai rendah pula menjadikan Hino Poncho ini mesra kepada warga emas, kanak-kanak dan penumpang berkerusi roda. Ketinggiannya juga boleh dilaras sebanyak 50mm untuk memudahkan penumpang turun dan naik.

Hino Poncho dikuasakan oleh enjin cekap Euro-V dengan sistem suntikan bahan api common-rail dan kotak gear automatik 5-kelajuan.

Enjin ini juga tidak memerlukan cecair tambahan seperti AdBlue, manjadikan kos operasi dan penyelenggaraannya lebih rendah.

Projek LRT3 kini dikenali sebagai LRT Laluan Shah Alam, mula operasi 2024

PROJEK LRT3 kini dikenali sebagai LRT Laluan Shah Alam.

Nama baharu itu diumum Rapid KL menerusi media sosial, semalam.

LRT Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer dijangka memulakan operasi pada Februari 2024.

Terdapat 20 stesen menghubungkan Bandar Utama, Petaling Jaya hingga ke Johan Setia di Klang.

Sebelum ini, projek LRT3 direncanakan mempunyai 26 stesen. Bagaimanapun, perancangan itu dirombak semula pada 2018.

Stesen yang dibatalkan adalah stesen terletak di Persiaran Hishamuddin, Bandar Botanik, Bukit Raja, Raja Muda, Temasya dan Tropicana.

Pembatalan stesen terbabit adalah kerana jaraknya yang terlalu dekat dengan stesen lain.

Setakat ini, LRT Laluan Shah Alam dikatakan bakal memperoleh 22 set tren tiga gerabak yang dibekalkan syarikat berpengkalan di China, CRRC Corporation Limited.

Rapid KL janji siasat insiden pintu LRT terbuka

SUSULAN insiden pintu tren Transit Aliran Ringan (LRT) terbuka ketika beroperasi, Rapid KL tampil memohon maaf.

Menerusi satu kenyataan semalam, Rapid KL memandang serius kejadian itu selain berjanji akan menyiasat punca insiden.

Jelas Rapid KL, tren terbabit telah menjalani pemeriksaan lanjut.

“Ia kemudian dihantar ke depot untuk pemeriksaan segera dan siasatan lanjut,” memetik kenyataan itu.

Kelmarin, pintu tren LRT bagi laluan Kelana Jaya terbuka semasa sedang beroperasi sebaik meninggalkan Stesen LRT Ara Damansara.

Insiden jam 3.01 petang disedari pusat kawalan operasi sebelum menghentikan perkhidmatan tren terbabit.

Rapid KL turut melakukan pelan mitigasi sewajarnya bagi mengelak kejadian serupa berulang.

Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.

Penumpang positif Covid-19, Rapid KL minta individu bergejala jalani swab

SEMUA pengguna perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dan juga MRT Laluan Kajang yang mempunyai gejala Covid-19 diminta menjalani ujian saringan secepat mungkin.

Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, ia susulan dua orang pengguna LRT disahkan positif Covid-19 sebelum ini.

Pada 3 Julai lalu, seorang penumpang menggunakan LRT Laluan Kelana Jaya disahkan positif Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan penumpang terbabit kepada Rapid KL menerusi laman sosial Twitter.

Berdasarkan maklumat diterima, penumpang itu memaklumkan menaiki tren dari Stesen LRT Subang Jaya kira-kira jam 6.50 pagi dan turun di KL Sentral.

Pada sebelah petang, penumpang itu sekali lagi menggunakan perkhidmatan LRT untuk pulang dari KL Sentral ke Subang Jaya pada 4.15.

Sementara itu, Rapid KL turut menerima emel daripada seorang penumpang yang mendakwa dirinya dijangkiti Covid-19.

Penumpang itu mengakui pernah menaiki tren dari Stesen MRT TTDI ke Stesen MRT Bukit Dukung untuk menjalani saringan Covid-19 pada pukul 4.30 petang.

Rapid KL seru patuh prosedur operasi standard (SOP)

Rapid KL menyeru semua penumpang terus mematuhi SOP ketika menggunakan perkhidmatan mereka.

Penumpang menjalani ujian calitan Covid-19 diminta mengasingkan diri sehingga menerima keputusan.

Kerajaan sebelum ini menghadkan hanya 50 peratus daripada jumlah maksimum.