fbpx

LRT laluan Kelana Jaya beroperasi semula Isnin 14 November 2022, beri pampasan kepada pengguna

LRT LALUAN KELANA JAYA BEROPERASI SEPERTI BIASA

RAIL Sdn Bhd (Rapid Rail), operator perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel di Lembah Klang, akan membuka keseluruhan jajaran LRT Laluan Kelana Jaya bermula jam 6 pagi esok, bersamaan Isnin 14 November 2022.

Ini bermakna ia dibuka dua hari lebih awal daripada yang dijadualkan, setelah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Berdasarkan analisa ke atas ujian meluas yang dijalankan pakar teknikal Rapid Rail dan pihak OEM Thales Group, APAD telah mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik (ATC) dan mengisytiharkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya.

En. Mohd Azharuddin Mat Sah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad berkata kelulusan yang diberikan adalah satu berita yang amat dialu-alukan setelah sebahagian daripada LRT Laluan Kelana Jaya digantung perkhidmatannya.

“Kami berterima kasih kepada APAD dengan kelulusan yang telah diberikan untuk menyambung operasi LRT Laluan Kelana Jaya. Kini kami boleh kembali memberi perkhidmatan sebaiknya kepada seluruh warga kota.

“Pemantauan sistem akan diteruskan bagi memastikan ia kekal stabil agar perkhidmatan dapat dijalankan dengan selamat.

“Pembukaan penuh perkhidmatan lebih awal daripada jadual ini diharap dapat mengurangkan kesulitan yang telah dilalui oleh pengguna pengangkutan awam, khususnya mereka yang menggunakan LRT Laluan Kelana Jaya.”

Pampasan kepada pengguna

Sebelum ini, pihak Rapid Rail telah mengumumkan pemberian tambang percuma untuk setiap hari gangguan perkhidmatan kepada pengguna LRT Laluan Kelana Jaya.

Sebahagian perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya telah digantung selama lima (5) hari, namun pengguna akan diberi perjalanan percuma selama tujuh (7) hari. Ini akan dilaksanakan seperti berikut:

Pengguna My50

– Pengguna akan diberi tambahan perjalanan percuma selama tujuh (7) hari apabila memperbaharui pas My50 setelah tamat tempoh. Pembaharuan boleh dilakukan bermula 21 November hingga 20 Disember 2022.

– Pengguna perlu kemana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT dan Pegawai Khidmat Pelanggan akan membuat pengesahan.

– Bagi pelanggan pas My50 yang tamat tempoh di antara Isnin 14 November hingga Ahad 20 November 2022, boleh menggunakan pas seperti biasa tanpa sebarang caj. Sila pastikan sekurang-kurangnya RM5.00 nilai tersimpan dikekalkan di dalam pas.

Pengguna Kad Touch ‘n Go

– Pengguna kad Touch ‘n Go yang menggunakan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya boleh menggunakan kad seperti biasa tanpa sebarang caj di antara Isnin 14 November hingga Ahad 20 November 2022 dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen Laluan Kelana Jaya.

– Sila pastikan sekurang-kurangnya RM5.00 nilai tersimpan dikekalkan di dalam kad.

Pengguna Token

– Semua pengguna yang menggunakan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya dari Isnin 14 November sehingga Ahad 20 November layak untuk menikmati tambang percuma.

– Pengguna perlu kemana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala, dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen Laluan Kelana Jaya.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua diatas kesabaran anda ketika tempoh yang sangat mencabar ini,” tambah En. Azharuddin.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menghulurkan bantuan dan sokongan terutama sekali pihak Smart Selangor, MARA Liner, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan juga rakyat Malaysia yang telah memberi bantuan kepada penumpang-penumpang yang terjejas.”

Prasarana dan Rapid Rail sekali lagi memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang terkesan akibat gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya. Segala usaha akan diambil bagi memastikan gangguan seumpama ini tidak akan berulang.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved