Arkib Tag: radio control

Pocket GP mahu anjur acara di KLIRCC, komuniti RC bantah!

INI satu jenis berita yang jarang kami laporkan, iaitu konflik antara dua kelab gaya hidup permotoran. Pocket GP iaitu sebuah kelab penggiat sukan motosikal poket (pocket bike) bercadang menganjurkan klinik sukan di KLIRCC (Kuala Lumpur International Remote Control Circuit) dan ia telah mendapat bantahan komuniti RC (radio control).

Litar KLIRCC, Taman Metropolitan Kepong.

Ini kerana Klinik Sukan Cilik Poket Bike Malaysia 2023 anjuran Persatuan Poket Bike Malaysia (PAM) itu mahu membuat sesi latihan teori dan amali di KLIRCC yang merupakan litar khas kegunaan kereta RC.

Menurut komen-komen yang kami perhatikan dalam forum-forum RC di Facebook, penggunaan pocket bike di litar itu tidak bersesuaian dan bakal merosakkan permukaan jalan.

Pocket bike pastinya lebih berat dari kereta RC, dan biasanya ditunggang di litar khas berbeza. Pocket bike mempunyai berat sekitar 23kg tanpa penunggang (boleh ditunggang oleh kanak-kanak atau dewasa) manakala kereta RC mempunyai berat antara 1kg hingga 2kg sahaja, bergantung kepada spesifikasi.

Menurut pemahaman kami juga, pocket bike biasanya ditunggang di litar go-kart atau kawasan parkir dengan penghadang jalan khas. Dari sudut ini sahaja, litar untuk pocket bike dan kereta RC sudah tentu mempunyai jenis turapan berbeza untuk tujuan masing-masing.

Setakat ini, siaran di Facebook Pocket GP yang mempromosikan acara itu mendapat kecaman dari komuniti RC dan penggiat sukan lain juga.

Dalam hal ini, kami mahu bersangka baik mungkin kerana kekurangan fasiliti khas untuk pocket bike di negara kita. Tetapi sebenarnya banyak juga litar go-kart yang lebih sesuai digunakan, seperti di Shah Alam, USJ, MAEPS, dan 1Utama.

Diharapkan perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan pihak berwajib seperti kementerian boleh menangani isu ini untuk kemaslahatan semua pihak.

Berangan panjat batu dengan Axial SCX24 Ford Bronco RC ini

JIKA anda berangan memiliki dan memandu Ford Bronco, anda kini boleh memandu versi kawalan radio (RC) skala 1/24 ini!

Axial memperkenalkan model terbaharu dalam siri crawler SCX24 mereka, iaitu Ford Bronco. Ianya merupakan kali pertama Axial SCX24 diperkenalkan dengan badan jenis plastic keras kerana model-model sebelum ini adalah jenis polycarbonate (bahan lembut fleksibel).

Axial SCX24 Ford Bronco ini juga merupakan model rasmi yang dilesenkan oleh Ford Motor Company.

Casis SCX24 menampilkan konfigurasi pacuan empat roda (4WD) sepenuh masa dengan suspensi tiga-link di depan dan empat-link di belakang dan solid axle untuk kedua-dua gandar sama seperti kenderaan sebenar.

Sudah tentu tarikan utama SCX24 Ford Bronco kali ini adalah badannya itu sendiri. Dengan bahan plastik keras, Axial telah meningkatkan tahap realistik untuk skala 1/24.

Pada badannya terdapat pembuka pintu, cermin sisi, rel bumbung, pengelap cermin, lampu, ruangan kabin penuh, malah terdapat patung pemandu dengan topi koboi!

Badan berskala penuh ini dipasang pada casis dengan rekaan engsel khas untuk memudahkan akses kepada bateri, elektronik dan komponen-komponen lain.

SCX24 Ford Bronco hadir dengan pakej Ready To Run, istilah dunia RC yang bermaksud semuanya lengkap termasuklah radio 2.4GHz, bateri LiPo 2S 7.4V 350mAh, dan pengecaj USB.

Ciri lain adalah motor jenis brushed 88T untuk aksi memanjat realistik, gear jenis cacing dalam gandar depan dan belakang, link suspensi jenis besi, penyerap hentak coilover, lampu LED, dan bearing bebola sepenuhnya.

Axial SCX24 Ford Bronco ini juga mendapat rim Wildtrak rasmi berserta tayar Nitto Trail Grappler M/T, kedua-duanya berlesen dari produk sebenar!

Tiga warna ditawarkan untuk crawler skala 1/24 ini iaitu merah, kelabu dan biru, kesemuanya warna kilang untuk Ford Bronco sebenar.

Axial SCX24 dijual dengan harga USD159.99 (RM674.76).