BYD Malaysia secara rasmi melancarkan pembukaan BYD Mansion Macalister di tengah-tengah bandar George Town, Pulau Pinang.
Majlis pelancaran tersebut dihadiri oleh YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang dan YB H’ng Mooi Lye, ahli Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Pulau Pinang.
Turut diraikan pemilik BYD yang ke-5,000 di wilayah utara menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap EV di luar Lembah Klang.
Kemudahan di BYD Mansion Macalister
BYD Mansion mempunyai keluasan binaan sekitar 9,000 kaki persegi yang dibina atas tanah seluas 26,994 kaki persegi.
Ia mempunyai kemudahan ruang pameran yang boleh menempatkan empat model BYD, ruang konsultansi serta bilik serahan peribadi.
Sementara pusat servis pula mempunyai lima ruang kerja, satu ruang penjajaran dan tiga ruang penerimaan servis.
Terdapat juga hab pengecasan pantas DC 60 kW dan tujuh pengecas AC bagi menyokong ekosistem EV yang semakin berkembang.
Perkukuh kedudukan di Malaysia
BYD Malaysia dan Sime Motors terus memperkukuh pengalaman pemilikan EV menerusi rangkaian 40 bilik pameran dan lebih 30 pusat perkhidmatan selepas jualan di seluruh negara.
Selain infrastruktur fizikal, BYD Malaysia dan Sime Motors terus membuat pelaburan besar dalam modal insan.
Program latihan untuk juruteknik, penasihat jualan, dan profesional lepas jualan terus diperkembangkan secara aktif untuk memastikan rakyat Malaysia memanfaatkan kepakaran EV bertauliah global di dalam negara.
Disokong oleh kadar ketersediaan alat ganti selepas jualan sebanyak 95%, pelanggan dapat menikmati sokongan yang lebih pantas serta pengalaman pemilikan yang lebih lancar.
Liu Xueliang, Naib Presiden BYD Co. Ltd dan Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasific berkata, komitmen BYD terhadap Malaysia mencerminkan wawasan global BYD untuk menjadikan pengangkutan lestari mudah dicapai oleh semua.
“Kami terus menyalurkan inovasi teknologi dan keupayaan penyelidikan kami ke dalam pasaran ini kerana kami yakin terhadap masa depan elektrik Malaysia.
“BYD Mansion Macalister mencerminkan komitmen ini yang menggabungkan inovasi bertaraf dunia dengan penghormatan kepada warisan tempatan.”
Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors berkata pihaknya membina rangkaian tempatan bagi memastikan sokongan terhadap pemilik BYD yang memuaskan dan meyakinkan.
“Disokong lebih 30 pusat lepas jualan, pasukan juruteknik bertauliah dan penasihat servis dari Malaysia, di samping bilik pameran bersepadu seperti BYD Mansion Macalister, kami mengutamakan pelanggan dalam teras ekosistem ini.”
