Arkib Tag: pengangkutan awam

LRT3 dijangka siap Mac 2025

Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dijangka siap seawal Mac 2025, lapor akhbar NST.

Terdiri daripada 20 stesen bermula dari Bandar Utama menuju ke Johan Setia, Klang, Selangor, projek yang menelan belanja RM16 juta ini bakal memberikan manfaat kepada 2 juta penduduk di sekitar laluan tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata demikian semasa pelancaran cawangan ruang kerja bersama WORQ di Sunway Putra Mall, 25 Mac lalu.

Projek LRT3 mempunyai jajaran laluan sepanjang 37 km, termasuk 2 km di bawah tanah, terdiri daripada 20 stesen tidak termasuk lima stesen yang akan dibina kemudian.

Dengan kelajuan operasi 80 km/j dan kekerapan waktu puncak 6 minit, anggaran tempoh perjalanan dari hujung ke hujung dijangka memakan masa kurang dari 60 minit.

Selain daripada itu, LRT3 mempunyai keupayaan menampung sebanyak 67,000 orang penumpang dalam masa sehari.

 

KTM Komuter akan terima bayaran guna kad kredit, Apple Pay, Samsung Pay

KTM Komuter beberapa hari lepas mengumumkan mereka akan mula menerima pembayaran menggunakan kad debit di stesen Lembah Klang dan Utara.

Ini berikutan pemasangan sistem Pintu Kawalan Automatik (ACG) baharu di stesen-stesen yang menelan belanja RM29 juta selain menyokong sistem pembayaran terbuka.

Gambar oleh: Facebook KTM Berhad

Buat masa ini, hanya kad debit bank tempatan sahaja yang boleh digunakan di stesen komuter. Tetapi RM30 akan dicaj sebagai nilai pegangan sementara (pre-auth) semasa masuk ke stesen, dengan baki dipulangkan dalam tempoh 1-3 hari selepas harga tambang perjalanan ditolak.

Gambar oleh: Facebook KTM Berhad

Menurut KTMB, amaun RM30 ini dipegang untuk memastikan dana mencukupi bagi tambang komuter. Ia untuk meliputi harga tambang maksimum dan mengelakkan perjalanan pengguna terganggu akibat baki tidak mencukupi.

Selain kad debit berlogo MyDebit, sistem ACG yang baru di stesen turut menerima pembayaran kad Touch n Go dan kad Komlink sekarang. Pengguna yang mahu menikmati tambang konsesi 50 peratus seperti warga emas, OKU dan pelajar sekolah, boleh menggunakan kad Komlink.

Penerimaan kad kredit, Apple Pay dan Samsung Pay di masa depan

KTMB juga memaklumkan dalam kenyataan terbaharu, ACG akan membolehkan sistem pembayaran terbuka digunakan di stesen komuter.

Tetapi ia dilaksanakan secara berperingkat kerana memerlukan sambungan ke setiap perkhidmatan pembayaran secara berasingan. Ini untuk memastikan setiap cara pembayaran benar-benar stabil sebelum dibuka untuk kegunaan orang ramai.

Sehubungan itu, pembayaran menggunakan semua jenis kad kredit akan disediakan di stesen KTM pada akhir November 2023, jelas KTM. Ini akan menyediakan lebih banyak pilihan pembayaran dan fleksibiliti kepada pengguna untuk menggunakan perkhidmatan KTM.

Di samping itu, KTM juga menyatakan bahawa pembayaran melalui Apple Pay dan Samsung Pay akan dilancarkan di semua stesen KTM pada awal tahun 2024. Ini membolehkan pembayaran yang lebih efisyen dan terbuka untuk kemudahan semua penumpang.

Ketepatan masa antara rungutan utama pengguna pengangkutan awam

PERKHIDMATAN yang tidak menepati masa merupakan rungutan utama pengguna pengangkutan awam, menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan UCSI.

“Daripada pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pengguna pengangkutan awam, 54 peratus menyatakan ketepatan masa, 48 peratus menyatakan sambungan perbatuan terakhir yang lemah, manakala 47 peratus menganggap tambah terlalu mahal,” kata kajian itu.

Kaji selidik yang dijalankan dari 10 Julai hingga 4 Ogos itu mengambil kira maklum balas 1,029 responden mengenai persepsi mereka terhadap pengangkutan awam di Malaysia. 67 peratus daripada responden berkata mereka menggunakan pelbagai jenis pengangkutan awam termasuk kereta api dan bas.

Mengenai kekerapan penggunaan, 21 peratus responden berkata mereka menggunakan pengangkutan awam setiap hari, 22 peratus beberapa kali seminggu dan 24 peratus beberapa kali sebulan. Satu pertiga daripada responden tidak menggunakan sebarang bentuk pengangkutan awam.

Mengenai alasan menggunakan pengangkutan awam pula, 39 peratus responden berkata ia disebabkan mereka tiada kenderaan sendiri, 25 peratus akibat kesesakan lalu lintas dan 18 peratus disebabkan kekurangan kemudahan parkir serta kos yang perlu ditanggung jika menggunakan kenderaan sendiri.

Antara mereka yang memilih untuk tidak menggunakan pengangkutan awam, sebab utama adalah kerana mereka lebih suka menggunakan kenderaan sendiri (33 peratus) serta untuk kemudahan dan keselamatan (19 peratus).

Laluan MRT Putrajaya dibuka secara rasmi hari ini

LEMBAH Klang kini akan mempunyai laluan kedua MRT yang akan dilancarkan secara rasmi hari ini. MRT Putrajaya akan dirasmikan hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di depot MRT Serdang, dan akan dibuka kepada orang awam bermula jam 3 petang.

Dalam laporan pada Disember lepas, MRT Corp berkata pembinaan laluan dari stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral telah disiapkan.

Jajaran sepanjang 38.7km bagi Laluan Putrajaya Fasa Dua yang terdiri daripada 15 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah.

Fasa Satu Laluan Putrajaya sepanjang 17.5km yang meliputi 11 stesen bertingkat dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah dibuka kepada orang ramai mulai 16 Jun 2022.

Apabila Fasa Dua siap sepenuhnya nanti, penumpang akan boleh bertukar ke laluan lain sedia ada di 10 stesen pertukaran berbeza.

Stesen-stesen pertukaran tersebut adalah Kwasa Damansara (dengan Laluan MRT Kajang), Sungai Buloh (dengan KTM), Sri Damansara Timur (dengan KTM), Kampung Batu (dengan KTM), Titiwangsa (dengan Laluan LRT Ampang & Sri Petaling, KL Monorel), Ampang Park (dengan Laluan LRT Kelana Jaya), Tun Razak Exchange (dengan Laluan MRT Kajang), Chan Sow Lin (dengan Laluan LRT Ampang & Sri Petaling), Sungai Besi (dengan Laluan LRT Sri Petaling) dan Putrajaya Sentral (dengan Laluan ERL dan Transit KLIA).

Laluan Putrajaya akan dikendalikan menggunakan 49 set tren. Setiap set tren terdiri daripada empat buah gerabak dan boleh membawa seramai 1,200 penumpang.

Operasi tren adalah secara automatik sepenuhnya dan tidak memerlukan pemandu. Terdapat juga kemudahan parkir di 15 buah stesen dengan jumlah tempat letak kereta sebanyak 5,870 petak di sepanjang jajaran.

MRT laluan Putrajaya Fasa 2 beroperasi sepenuhnya pada Mac 2023

MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua akan beroperasi sepenuhnya bermula Mac, menurut Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).

Dalam satu kenyataan, MRT Corp berkata pembinaan laluan dari stesen Kampung Batu ke Putrajaya Sentral telah disiapkan.

“Jajaran sepanjang 38.7km bagi Laluan Putrajaya Fasa Dua yang terdiri daripada 15 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mac 2023.”

Fasa Satu Laluan Putrajaya sepanjang 17.5km yang meliputi 11 stesen bertingkat dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah dibuka kepada orang ramai mulai 16 Jun 2022.

Apabila Fasa Dua siap sepenuhnya nanti, penumpang akan boleh bertukar ke laluan lain sedia ada di 10 stesen pertukaran berbeza.

Stesen-stesen pertukaran tersebut adalah Kwasa Damansara (dengan Laluan MRT Kajang), Sungai Buloh (dengan KTM), Sri Damansara Timur (dengan KTM), Kampung Batu (dengan KTM), Titiwangsa (dengan Laluan LRT Ampang & Sri Petaling, KL Monorel), Ampang Park (dengan Laluan LRT Kelana Jaya), Tun Razak Exchange (dengan Laluan MRT Kajang), Chan Sow Lin (dengan Laluan LRT Ampang & Sri Petaling), Sungai Besi (dengan Laluan LRT Sri Petaling) dan Putrajaya Sentral (dengan Laluan ERL dan Transit KLIA).

Menurut kenyataan itu lagi, laluan Putrajaya akan dikendalikan menggunakan 49 set tren. Setiap set tren terdiri daripada empat buah gerabak dan boleh membawa seramai 1,200 penumpang.

“Operasi tren adalah secara automatik sepenuhnya dan tidak memerlukan pemandu. Terdapat juga kemudahan parkir di 15 buah stesen dengan jumlah tempat letak kereta sebanyak 5,870 petak di sepanjang jajaran.”

Namun demikian, masih ada beberapa siri ujian lagi yang masih perlu dijalankan untuk memenuhi prosedur kawalan kualiti dan keselamatan.

Tarikh permulaan perkhidmatan Fasa Dua akan diumumkan sebaik sahaja proses kelulusan dimuktamadkan dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

Pelitup muka masih diwajibkan di fasiliti kesihatan dan pengangkutan awam

PEMAKAIAN pelitup muka kini tidak lagi diwajibkan di tempat tertutup, menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang membuat pengumuman berkenaan hari ini.

Walaubagaimanapun, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di fasiliti kesihatan dan beberapa tempat lain di negara ini seperti dalam pengangkutan awam, katanya.

Gambar oleh: Malay Mail

Beliau berkata, selain itu pelitup muka wajib dipakai sekiranya positif Covid 19 atau bergejala, menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah.

“Pemakaian pelitup muka juga diwajibkan ketika berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis dan yang setara dengannya,” kata Khairy.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Persatuan Perubatan Biosimilar dan Generik Antarabangsa (IGBA) – Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI).

Proses baik pulih LRT Kelana Jaya dijangka siap November ini, pengguna perlu bersabar – Menteri Pengangkutan

PARA pengguna transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya perlu bersabar kerana proses membaik pulih dan menyelenggara tren yang menjejaskan waktu ketibaan dijangka siap secara berperingkat November ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, “Sepanjang tempoh tersebut, tempoh frekuensi menunggu LRT telah bertambah daripada tiga minit kepada lima minit dan kini lapan minit sekali gus menimbulkan kesesakan seperti mana berlaku kebelakangan ini.

“Jadi, kita memohon maaf kepada pengguna kerana ini merupakan faktor yang tidak boleh dielakkan, soal keselamatan merupakan keutamaan kita. Kalau masih gunakan, kita tidak mahu risiko tidak diingini berlaku.

“Maka, kita meletakkan dua tempoh iaitu bulan Ogos iaitu mengurangkan frekuensi kepada lima minit dan sepenuhnya pada November (tiga minit) untuk menggantikan semua alat. Seperti sedia maklum, bahawa ada sedikit kekangan dan memerlukan masa menghantar alat ganti.

“Sebab itu kita terpaksa berdepan situasi ini, ada kesulitan kepada penumpang khususnya empat stesen iaitu KLCC, Masjid Jamek, Pasar Seni dan KL Sentral,” katanya dalam satu sidang akhbar semalam.

Gambar oleh: Malay Mail

Beliau mengulas mengenai rungutan orang ramai khususnya warga kota yang mengalami kesesakan pengangkutan LRT ketika waktu puncak sejak kebelakangan ini.

Ka Siong menambah, pihak Rapid Rail telah menyediakan perkhidmatan bas secara percuma untuk menuju ke destinasi dituju.

“Oleh itu, saya minta orang awam untuk bersabar sedikit dalam beberapa bulan ini kerana terpaksa buat pembaikan,” katanya.

Pembinaan stesen ECRL Puncak Alam diluluskan – Menteri Kewangan

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengumumkan kelulusan bagi pembinaaan stesen jajaran utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam.

Gambar oleh: Malay Mail

“Tempoh hari saya ada berjumpa dengan gabungan pengerusi-pengerusi penduduk di Puncak Alam. Mereka ada menyuarakan hasrat warga Puncak Alam untuk membina stesen ECRL di Puncak Alam.

“Oleh yang demikian, saya telah mohon pihak berkaitan untuk memberi pertimbangan rapi terhadap permintaan stesen ECRL ini, dan Alhamdulillah ianya telah diluluskan dan insya-Allah akan ada stesen ECRL di Puncak Alam ini,” katanya.

Zafrul berkata, bagi pembinaan stesen ECRL yang lain, pengumuman akan dibuat pada waktu yang sesuai.

Pada masa yang sama, beliau juga mengumumkan hasratnya menjadikan Kuala Selangor sebagai Daerah Angkat Kementerian Kewangan, bagi merealisasikan kemajuan daerah itu semaksimum mungkin ke hadapan.

Gambar oleh: Malay Mail

“Saya secara peribadi sememangnya sedikit sentimental dengan daerah Kuala Selangor ini. Memang banyak potensi tempatan yang boleh dikembangkan dan diketengahkan,” katanya.

Bercakap kepada media, beliau berkata, bagaimanapun semua kementerian serta agensi kerajaan akan terus memberi bantuan kepada semua sektor dan kawasan ekonomi di negara ini termasuklah di Kuala Selangor.

Mengenai program lawatannya yang dikatakan selalu dibuat di Kuala Selangor, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa beliau melakukan lawatan di pelbagai kawasan seluruh negara dan tidak hanya tertumpu di daerah itu sahaja.

Sesak: Ramai `malas’ naik pengangkutan awam – CEO KTMB

RAMAI warga Lembah Klang merungut apabila hampir semua lebuh raya dan laluan utama sesak tanpa mengira masa sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19 pada 1 April lalu.

Kesesakan tersebut dikaitkan dengan sikap orang ramai yang tidak minat menggunakan pengangkutan awam yang didakwa susah dan lambat.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, “Pengangkutan awam seperti tren komuter antara pengangkutan yang jika digunakan secara maksimum mampu membantu mengurangkan kesesakan jalan-jalan di Lembah Klang.”

“Sikap pengguna yang enggan menggunakan pengangkutan awam itu turut memberi kesan kepada rangkaian tren komuter KTMB yang sehingga kini kapasiti setiap tren yang beroperasi tidak penuh.”

Tren KTMB. Gambar oleh KTMB

Menurut beliau, bagi sektor Lembah Klang, setiap hari komuter hanya membawa 21,000 penumpang sedangkan kemampuannya boleh mencapai kira-kira 40,000 penumpang.

“Angka itu menunjukkan ruang penumpang di dalam sesebuah komuter hampir separuh kosong,” ujarnya.

Kata Mohd. Rani, penduduk Lembah Klang dianggarkan berjumlah 2.5 juta orang tetapi mereka yang memilih khidmat komuter sekitar 0.6 juta sahaja dan KTMB kekurangan hampir 50 peratus penumpang setiap hari berbanding 21,000 yang menggunakan komuter.

“Kita sudah mengadakan pelbagai promosi bagi menarik perhatian orang awam untuk naik komuter bagi mengelak kesesakan jalan raya. Namun, orang ramai lebih suka memandu kenderaan sendiri.

“Jika ramai orang awam menggunakan perkhidmatan komuter, saya percaya ia dapat membantu mengurangkan kesesakan jalan raya yang sekarang menghantui mereka,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Rani berkata, rungutan mengenai ketibaan komuter di setiap stesen yang mengambil masa lama, ia hanya boleh diselesaikan dalam masa lima tahun akan datang mengikut fasa yang sudah dirancang.

“Kami masih dalam proses mendapatkan frekuensi seperti sebelum Covid-19, kenaikan penumpang akan membebankan dari segi frekuensi selain kami juga masih beroperasi menggunakan satu landasan.

“Frekuensi akan ditambah baik dan dijangka bakal mencapai tujuh minit setiap satu tren yang datang ke stesen berbanding sekarang sekitar 30 ke 45 minit untuk ketibaan sebuah tren,” katanya.

Mohd. Rani berkongsi, untuk perkhidmatan pengangkutan awam komuter yang menggunakan enam set koc di Lembah Klang, pengangkutan tesebut mampu memuatkan sejumlah 856 penumpang termasuk yang duduk dan berdiri.

Omicron: Penumpang wajib jalani ujian ATK sebelum naiki bas di Thailand

PENULARAN Covid-19 terus menjadi ancaman bagi kebanyakan negara buat masa ini.

Sambutan tahun baharu tidak lama lagi misalnya memaksa pihak berkuasa mempertingkatkan tahap keselamatan bagi menghalang penularan virus itu.

Thailand misalnya mengeluarkan arahan terbaharu melibatkan keselamatan bagi penumpang menaiki kenderaan awam.

Hal ini kerana kerajaan Thailand menjangkakan terdapat pertambahan penumpang pengangkutan awam bersempena cuti tahun baharu nanti.

Jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata, Perdana Menteri Thailand juga meminta pihak berkuasa mengetatkan langkah pencegahan Covid-19 bagi pengangkutan awam selain memantau aliran trafik.

“Beliau mengarahkan Kementerian Kesihatan Awam bersama-sama Kementerian Pengangkutan dan Transport Co. Ltd. menyelaraskan langkah bagi menampung sejumlah besar penumpang bas awam.

“Kementerian Pengangkutan juga diarah memastikan aliran trafik bergerak lancar bermula 29 Disember hingga 4 Januari,” katanya seperti dilapor Bernama.

Sejak Isnin, Thailand mencatatkan lebih 500 kes Covid-19 daripada varian Omicron.

Ia menjadikan jumlah jangkitan di negara itu kepada 2,214,712 kes dengan 21,630 kematian.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Awam mencadangkan semua penumpang bas awam melibatkan tempoh perjalanan selama empat jam dan lebih harus menjalani ujian menggunakan Kit Ujian Antigen (ATK).

Mereka juga diwajibkan dan memakai pelitup muka pada setiap masa.

P. Pinang terus tawar perkhidmatan bas percuma, galak guna pengangkutan awam

PENDUDUK Pulau Pinang akan terus menerima inisiatif bas percuma menerusi langganan Pas Mutiara.

Ia bakal memberi kelebihan kepada lebih 7,500 pelanggan secara bulanan berkuat kuasa bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2022.

Exco Kerajaan Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri menanggung kos langganan Pas Mutiara bernilai RM50 sebulan untuk pemegang pas tersebut.

Jelasnya, pembiayaan inisiatif melibatkan peruntukan RM4.5 juta setahun.

“Kerajaan negeri akan menanggung pembiayaan perjalanan 7,500 pemegang pas yang terdahulu memperbaharui pas mereka pada setiap bulan.

“Kita mahu memastikan pengguna bas Rapid yang aktif mendapat manfaat daripada usaha ini.

“Pengguna yang melanggan Pas Mutiara sebelum ini boleh memperbaharui kad secara percuma, manakala pembelian kali pertama dikenakan bayaran RM10,” katanya.

Foto ihsan Facebook/Rapid Penang

Terdahulu, inisiatif itu dilihat sebagai satu langkah proaktif meringankan perbelanjaan harian pengguna yang terjejas pendapatan akibat Covid-19.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri bersetuju meneruskan perkhidmatan Bas Percuma CAT Bridge selama setahun.

“Susulan daripada tajaan Pas Mutiara ini, kerajaan negeri tidak lagi membiayai perkhidmatan Bas Percuma CAT Seberang Jaya.

“Namun, perkhidmatan itu akan kekal beroperasi sebagai laluan biasa dan percuma untuk pengguna Pas Mutiara,” katanya lagi.

Pas Mutiara dan Bas CAT Bridge berupaya menjadi pemangkin bagi menarik lebih ramai penduduk Pulau Pinang beralih menggunakan pengangkutan awam.

Lima senarai pengangkutan awam pelik di dunia, mana pilihan anda?

PENGANGKUTAN awam memainkan peranan sangat penting kepada manusia sama ada di kawasan bandar atau pendalaman.

Tidak dinafikan, terdapat pelbagai jenis pengangkutan awam sama ada melibatkan jalan darat, air atau udara.

Justeru, artikel kali ini ingin membawa anda mengenali beberapa jenis kenderaan awam yang mungkin agak pelik bagi kita.

Jom check it out!

Cocotaxi

Foto ihsan Wikipedia

Cocotaxi merupakan pengangkutan awam di Cuba yang beroperasi sejak awal tahun 90-an.

Ia merupakan beca yang boleh didapati di kebanyakan kota besar negara itu termasuk Havana.

Apa yang menarik, beca ini mempunyai reka bentuk seakan kelapa dan sangat kecil bagi memudahkan pergerakan terutama ketika keadaan sesak.

Kenderaan ini juga dikatakan mempunyai kelajuan maksimum sehingga 50 km/j.

Party bike

Foto ihsan Wikipedia

Party bike mula popular di Belanda pada tahun 1997.

Kenderaan ini membawa penumpang mengelilingi jalan-jalan sekitar bandar sambil menghidangkan pelbagai jenis minuman terutama alkohol kepada penumpang.

Sesuai dengan namanya, Party bike bukanlah berfungsi membawa penumpang dari destinasi A ke B tetapi lebih menawarkan hiburan sambil bersiar.

Kini, Party bike juga boleh didapati di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah.

Bamboo train

Foto ihsan Wikipedia

Perkhidmatan bamboo train beroperasi di negara Kemboja yang mana menghubungkan penduduk di kawasan pendalaman.

Walaupun namanya “train” (kereta api) namun, rupa bentuknya bukan seperti yang terdapat di negara kita.

Bamboo train tidak mempunyai bumbung dan hanya digerakkan menggunakan enjin kecil.

Kelajuan ‘kereta api’ ini adalah sekitar 40 km/j dan bergantung kepada kuasa enjin yang digunakan.

Maglev

Foto ihsan Wikipedia

Jika di kemboja terdapat bamboo train, lain pula ceritanya di Jepun.

Di Jepun, terdapat sebuah kereta api berkelajuan tinggi dikenali sebagai maglev.

Namun, apakah itu maglev?

Maglev adalah kereta api berkelajuan tinggi menggunakan daya magnetik dan elektrik untuk bergerak.

Kelajuan boleh dicapai maglev ini mencecah lebih 600 km/j dan merupakan kenderaan darat terpantas di dunia.

Ketika ini, kerajaan Jepun sedang membina rel baharu menghubungkan Tokyo dan Nagoya yang dijangka siap menjelang tahun 2045.

Tuk-tuk

Foto ihsan Wikipedia

Nama tuk-tuk bukan asing bagi kebanyakan kita walaupun negara ini tidak mempunyai perkhidmatan tersebut.

Terdapat pelbagai jenis tuk-tuk dan antara paling terkenal adalah di Thailand dan India (dikenali sebagai auto).

Tuk-tuk sebenarnya berasal dari Jepun iaitu hasil pengeluaran syarikat Daihatsu pada tahun 1930-an.

Antara negara mempunyai perkhidmatan tuk-tuk termasuk Mesir, Sudan, France, Tanzania dan Amerika Syarikat.

Demikian tadi beberapa kenderaan pengangkutan awam yang agak pelik di dunia ini.

Jika anda tahu dan ingin kongsikan kenderaan awam unik yang lain jangan lupa untuk maklumkan di ruangan komen sosial media Engear.

Ipoh bakal terima kemudahan LRT, pengangkutan awam makin efisyen

BERITA baik untuk warga Ipoh yang mana bakal menikmati perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) tidak lama lagi.

Exco kerajaan negeri Ashilin Mohammed Radzi berkata, ia antara rangka pembangunan bagi mewujudkan hab pengangkutan lebih moden.

Jelasnya, LRT juga diharap dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Ipoh dan kawasan sekitar pada masa hadapan.

“Kos dan tempoh pembinaan hab pengangkutan itu masih dalam peringkat kajian.

“Kita akan jadikan ia sebagai hab pengangkutan yang lebih efisien dan moden kerana di Ipoh ini masih banyak lagi (tempat) perlu menggunakan kenderaan sendiri berbanding pengangkutan awam,” katanya.

Selain LRT, hab pengangkutan bersepadu itu akan disokong dengan kemudahan bas rapid transit, trem, bas serta teksi bagi meningkatkan mobiliti penduduk.

Pada masa sama, ia juga memberi kemudahan pengangkutan kepada pelancong yang berkunjung ke Ipoh.

Pengusaha pengangkutan awam berhak semak status vaksinasi penumpang

PENGUSAHA pengangkutan awam diminta memastikan setiap penumpang menerima vaksin Covid-19 yang lengkap ketika melakukan perjalanan rentas negeri.

Arahan itu meliputi semua pengusaha pengangkutan awam darat, udara dan sektor maritim.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pengusaha pengangkutan awam berhak memeriksa status vaksinasi penumpang.

“Semua pengusaha perlu memastikan setiap penumpang atau pengguna pengangkutan awam menunjukkan sijil vaksinasi,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta para pengusaha mengelak bersikap puas hati dan sentiasa mematuhi arahan ditetapkan kerajaan.

Antara arahan atau prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka dan kerap menggunakan pensanitasi tangan.

Sementara itu, pengguna pengangkutan awam turut digalak menjalani ujian saringan Covid-19 kendiri sebelum melakukan perjalanan rentas negeri.

Ia bukan sahaja bagi melindungi diri sendiri malah meliputi ahli keluarga dan orang sekeliling.

Mana pilihan anda? Guna pengangkutan awam atau bayar parkir mahal?

USAHA memastikan orang ramai menggunakan pengangkutan awam demi menjaga kelestarian alam sekitar terus diperhebat pihak kerajaan.

Hal ini terbukti apabila perkara itu dimuatkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang menyasarkan usaha menarik minat orang ramai beralih kepada pengangkutan awam.

Bagi mencapai pelan tersebut, dua pecahan strategi dinyatakan termasuk meningkatkan kebolehcapaian kepada pengangkutan awam dan menggalakkan perubahan tingkah laku penduduk.

Ini bermaksud pengangkutan awam perlu mudah dicapai dengan sistem lebih bersepadu dan memastikan infrastruktur sokongan tersedia dengan baik.

Pengangkutan awam adalah lebih baik daripada kenderaan dimilki persendirian? – Foto ihsan Facebook/Rapid KL

Sementara itu, pola pergerakan masyarakat akan sentiasa dipantau untuk mengenal pasti pengangkutan awam yang sesuai kepada umum.

Pada masa sama, kerajaan juga bercadang mengenakan caj parkir lebih tinggi kepada kenderaan persendirian yang masuk ke pusat bandar.

Ruang parkir akan dihadkan dan bayaran letak kereta dikenakan lebih tinggi bagi kawasan mempunyai ketersambungan pengangkutan awam yang baik.

Dalam perkembangan lain, kerajaan turut memberi fokus terhadap cara memandu orang awam dalam memastikan pelepasan karbon lebih rendah.

Sudah tiba masa kenderaan elektrik dihasilkan dengan meluas demi kelestarian alam sekitar. – Foto ihsan Facebook/SCS

Justeru, kerajaan akan memasukkan program pemanduan cekap tenaga sebagai salah satu proses perlu dilalui sebelum mendapatkan lesen memandu.

Bagaimanapun, kaedah pelaksanannya masih belum diumum sama ada ia melibatkan latihan dan ujian teori atau amali sahaja.