Arkib Tag: pemasangan tempatan

Chery Malaysia rai serahan pertama unit CKD Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro

CHERY Malaysia mengumumkan baru menyempurnakan penyerahan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) bagi model Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro.

Acara yang dijalankan di kilang CKD Chery di Inokom Kulim, Kedah itu juga menzahirkan komitmen mereka untuk operasi pemasangan tempatan serta untuk memberikan pengalaman baik kepada pelanggan.

Acara itu juga menyaksikan penyerahan replika kunci dari Pengara Urusan Inokom Corporation, Mr. Kui Seng Huat kepada Pengarah Operasi Kilang Chery Malaysia, Mr. Xu Jing Zhong, selain tetamu kehormat lain.

Unit CKD pertama Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro diserahkan secara rasmi kepada Chery Malaysia, menandakan permulaan era baharu dalam sektor automotif negara ini.

Chery jual 740,000 kenderaan untuk separuh pertama 2023

Dalam perkembangan antarabangsa, Chery Group dilaporkan telah menjual 741,400 kenderaan untuk enam bulan pertama 2023, bersamaan peningkatan 56 peratus untuk tempoh sama berbanding tahun lepas.

Data ini dikongsi oleh China Association of Automobile Manufacturers (CAAM). Menurut perkongsian itu juga, jumlah eksport China bagi suku pertama 2023 juga melebihi 1.07 juta kenderaan, melebihi angka Jepun, sekaligus menjadikan China pengeksport kenderaan terbesar di dunia.

Perodua rancang pasang EV secara tempatan, sasar harga berpatutan

PERODUA mempunyai rancangan untuk memasang kenderaan elektrik (EV) secara tempatan dengan kerjasama rakan kongsinya, lapor The Edge.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata syarikat itu sedang mengkaji pelbagai cara untuk memperkenalkan model EV ke pasaran tempatan dengan harga berpatutan untuk rakyat Malaysia.

“Untuk mengatasi perkara ini, kami sedang berusaha untuk merapatkan jurang dengan sokongan penuh daripada rakan-rakan kongsi kami. Kami yakin dapat menghasilkan sesuatu dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah Datuk Seri Zainal lagi, Perodua sedang mengkaji pelbagai cara untuk membawa ekosistem automotif Malaysia ke hadapan dalam menghasilkan kereta dan memperkenalkannya ke pasaran dengan meningkatkan keupayaan vendor untuk menghasilkan alat ganti berkaitan EV.

Datuk Seri Zainal berkata buat masa ini Perodua melihat EV sebagai pelengkap kepada kereta enjin pembakaran dalaman.

“Bagaimanapun, kami berpendapat EV akan memainkan peranan yang lebih besar dalam industri automotif tempatan kerana kerajaan telah menetapkan komitmen terhadap agenda neutral karbon menjelang 2030,” katanya kepada The Edge.

Bajet 2022 memperkenalkan beberapa insentif untuk EV, termasuk pengecualian eksais dan duti import. Insentif tersebut telah membuka jalan kepada pengeluar-pengeluar EV dari negara luar seperti Tesla dan BYD untuk memperkenalkan produk mereka di Malaysia pada harga kompetitif.

Bagaimanapun, EV import tidak dibenarkan dijual pada harga bawah RM100,000 untuk melindungi operasi pemasangan kereta tempatan.

Jika Perodua boleh mengeluarkan dan memasang EV secara tempatan, ia boleh dijual pada harga bawah RM100,000. Bagaimanapun, rakan kongsi Perodua iaitu Daihatsu Motor Co Ltd belum mempunyai model EV.

Pesaing terdekat Perodua iaitu Proton mempunyai rakan kongsi Zhejiang Geely Holdings Group Co yang mempunyai beberapa model EV. Geely merancang untuk melabur sebanyak RM5 bilion di Tanjung Malim, dipercayai untuk menghasilkan EV.

GAC Motor akan mula projek CKD di Malaysia, pertama di dunia!

GUANGZHOU Automobile Group (GAC) dan WTC Automotif (WTCA), anak syarikat Warisan TC Holdings hari ini memeterai kerjasama pemasangan tempatan (CKD) untuk model-model jenama GAC di Malaysia.

Projek itu bernilai lebih RM60 juta dan menariknya, ia bukan sahaja CKD pertama GAC di ASEAN, malah di dunia. Kenderaan-kenderaan GAC akan dipasang di fasiliti CKD milik kumpulan Tan Chong Group di Segambut, Kuala Lumpur.

Model pertama yang akan dipasang dari projek ini ialah GAC GS3 generasi baharu, sebuah SUV segmen-B dengan penawaran enjin 1.5-liter 4-silinder turbo.

Menurut Naib Presiden GAC Group dan pengerusi GAC International, Yu Jun, beliau menjangkakan dalam pembangunan tiga hingga lima tahun, pengeluaran dan jualan akan mencapai 50,000 unit.

“Untuk mencapainya, GAC akan mengaturkan sumber dalaman dan luaran, meningkatkan sokongan untuk pasaran Malaysia, mempercepatkan pelancaran model-model penting, menambah baik matriks model, dan memberikan produk lebih pintar dan berkualiti untuk pengguna tempatan,” katanya.

WTCA juga merancang untuk membuka lebih 70 bilik pameran di Malaysia. Bilik pameran pertama yang dibuka ialah ialah di Seksyen 13 Petaling Jaya, bersebelahan bilik pameran Renault dan berdekatan Jaya 33. Ia dijangka beroperasi sepenuhnya suku ketiga tahun ini.

WTCA berkata dalam satu kenyataan media: “Dalam lima tahun akan datang, kami akan memperkenalkan model-model GAC Motor pemanduan stereng kanan yang menarik dan komprehensif, termasuklah SUV, sedan, dan MPV.

“Tambahan lagi, model-model serba baharu GAC juga akan dibangunkan terus untuk model LHD dan RHD, memastikan pengguna Malaysia mendapat produk terkini seperti pengguna global kami.”