Arkib Tag: p-hailing

Video rider Foodpanda jalan kaki bikin netizen sedih, motosikal disita JPJ

SEBUAH video memaparkan seorang penunggang p-hailing Foodpanda berjalan kaki sambil menggalas beg makanan di tepi jalan mengundang sedih para netizen.

Rider itu dipercayai terpaksa berjalan kaki selepas motosikalnya difahamkan disita anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sedang menjalankan sekatan jalan raya di Nilai, Negeri Sembilan.

Video berdurasi kira-kira 16 saat itu dimuat naik oleh pengguna Tiktok bernama @kikkycoco yang juga berada di lokasi operasi JPJ tersebut.

Menurut laporan Mstar yang dipetik oleh Funtasticko, motosikal itu disita atas kesalahan tiada cukai jalan. Siasatan ringkas kami juga mendapati cukai jalan.

Dari tinjauan kami di media sosial, terdapat tangkap layar komen dari Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia mengatakan LKM telah tamat tempoh dan tiada insurans, maka JPJ menahan serta menyita (motosikal) kerana jika berlaku kemalangan melibatkan rider tersebut, akan menyusahkan dirinya dan pengguna jalan raya lain.

Ada juga yang berkongsi menunjukkan cukai jalan rider itu telah tamat tempoh sejak Februari lalu. Pengguna Tiktok dan Facebook pula meluahkan hasrat mereka untuk membantu rider tersebut.

JPJ akan menyita penunggang motosikal yang didapati melanggar kesalahan jalan raya di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

@kikyycoco hina sangat ke kerja grab/foodpanda ? kesian abang tu nak cari rezeki , semoga abang dipermudahkan segala urusan 🤲🏻💪🏻 #fypシ #xyzbca #jpjmalaysia #riderfoodpanda ♬ Royalty – Egzod & Maestro Chives & Neoni

Syarikat p-hailing komited lebih telus tentukan kadar upah ‘rider’

DALAM satu pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, syarikat pengendali p-hailing memberikan komitmen untuk lebih telus, meneliti dan memperhalusi lebih lanjut pandangan penghantar dalam penentuan dan pengiraan kadar upah mereka.

Pertemuan yang diadakan pada 8 Ogos itu dihadiri 24 syarikat pengendali perkhidmatan berkenaan, serta lima wakil penghantar yang hadir bagi menyatakan pandangan dan mendengar maklum balas pihak syarikat.

Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar serta pegawai-pegawai kanan kementerian.

“Penelitian lanjut ini penting, bahawa dalam menambah baik kadar upah penghantar, kepentingan pengguna khususnya di kawasan luar bandar harus kekal diutamakan agar tidak terbeban di samping turut mengambil kira keupayaan syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

Gambar: Anwar Ibrahim/Twitter

Pada 22 Julai, Anwar menyatakan beliau akan memanggil semua syarikat pengendali p-hailing bagi memberikan penjelasan terhadap beberapa isu dihadapi penghantar makanan dan barang.

Ini selepas salah seorang penghantar makanan mendakwa kadar penghantaran ketika ini semakin menurun daripada RM7 ke bawah ketika program Sesi Temu Anwar sempenan Program Himpunan Rider MADANI Selangor baru-baru ini.

Menurut Anwar, setelah mendengar pandangan kedua-dua belah pihak, Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia.

Tambah beliau lagi, selain menyampaikan keluhan penghantar berkait isu kadar upah penghantaran, pertemuan itu turut berkisar tentang pendapatan penghantar, jaringan keselamatan sosial serta keperluan latihan peningkatan kemahiran.

‘Rider’ p-hailing bakal diwajibkan memiliki lesen GDL

PENUNGGANG motosikal khidmat penghantaran makanan (p-hailing) bakal diwajibkan memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL) dalam pindaan tiga akta pengangkutan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pindaan tersebut adalah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] yang akan dibentangkan pada sesi akan datang.

Pembentangan ini akan turut membabitkan had umur penunggang p-hailing diturunkan daripada umur 21 kepada 18 tahun.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong. – Foto ihsan Malay Mail

“Secara dasarnya kabinet telah bersetuju dengan kesemua draf pindaan RUU tersebut,” kata Ka Siong.

Menurutnya, GDL amat penting kerana ia membolehkan kementerian mengawal selia ekonomi gig dengan baik.

“Kita bukan mahu membebankan penunggang p-hailing, kursus pengambilan lesen GDL ini akan mendedahkan mereka mengenai undang-undang dan peraturan ditetapkan sekaligus menjamin keselamatan penunggang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan sesi dialog dengan wakil penunggang p-hailing di kementeriannya semalam.

Beliau berkata, had umur diturunkan adalah bagi membolehkan ekonomi gig bersaing dengan lebih kompetitif.

“Kerajaan melihat penghantar makanan ini merupakan punca rezeki yang penting. Selagi ada Lesen Memandu Kompeten (CDL), mereka boleh mohon GDL. Semua agensi kementerian telah diarahkan untuk mengadakan libat urus dengan pemegang taruh.

“Kita minta wakil daripada p-hailing, pengendali p-hailing (PHO) dan lain turut serta dalam libat urus ini kerana di dalam ekonomi gig ini semua pihak perlu merapatkan saf,” tambahnya.

Menyentuh mengenai sesi dialog bersama p-hailing, Ka Siong berkata, PHO perlu meningkatkan komunikasi dengan penunggang bagi mengelakkan berlakunya pertikaian.

“Saya lihat mereka tidak faham cara pengiraan PHO. Contohnya Jun, ada (pembayaran) yang tidak dikira dan kesilapan teknikal ini menjurus kepada apa yang telah berlaku (mogok),” katanya.

Nasib rider p-hailing terbela, menteri janji bentang kertas cadangan ke Kabinet

KERAJAAN memandang serius isu keselamatan membabitkan pekerja penghantar makanan atau p-hailing.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya akan memuktamadkan mengenai kertas dasar perkhidmatan makanan secepat mungkin sebelum dibentangkan ke Kabinet.

Jelasnya, kertas dasar itu akan melihat secara menyeluruh bukan sahaja dalam soal mengawal selia tetapi juga aspek keselamatan penunggang p-hailing.

“Keputusan di peringkat kabinet secara dasarnya sudah ada, cuma dari segi teknikal, macam mana cara kita nak buat peraturan, bagaimana ia (dasar) dapat dibuat.

“Macam dahulu, e-hailing tiada satu dasar dan beberapa tahun yang lepas, sudah ada dasar untuk e-hailing.

“Kalau kita nak mengawal selia p-hailing pula, setakat apa? Ini sebahagian gig ekonomi, ini bukan (sektor) yang konvensional.

“Macam mana dengan dasar Kementerian Sumber Manusia yang mahukan mereka mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?” katanya.

Wee berkata demikian pada majlis pembukaan Pusat Vaksinasi Industri (PPVIN) Pelabuhan Tanjung Pelepas, hari ini.

Untuk rekod, terdapat lebih 73,394 penunggang p-hailing yang berdaftar setakat ini.

Mujur tak ‘bersepah’, aksi MotoGP rider p-hailing dikecam warga maya

AKSI ala ‘MotoGP’ seorang pekerja p-hailing mengambil selekoh dalam keadaan sangat berbahaya tular di media sosial.

Memetik hantaran akaun Facebook Malaysian Modders, kelihatan sebuah motosikal dipercayai ditunggang pekerja p-hailing berada pada kelajuan tinggi sebelum memotong sebuah kereta.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada pekerja p-hailing terbabit dalam waktu bekerja atau sebaliknya.

Lokasi kejadian tersebut berlaku juga tidak dapat dipastikan.

Bagaimanapun, kebanyakan pengguna internet memberi pelbagai pandangan mengenai insiden terbabit.

Jelas mereka, ‘aksi’ ditunjukkan individu terbabit amat berbahaya bukan sahaja kepada dirinya malah, melibatkan pengguna jalan raya lain.

“Aku paling nyirap (menyirap) rider yang potong dan masuk sipi macam tu. Sagat sikit je ekor (mudguard) mesti bersepah (kemalangan). Lepas tu cakap kereta langgar.

“Aku pernah kena, seboleh-bolehnya nak dakwa kereta aku langgar. Nasib member sebelah ada rakam kejadian.

“Tahu pulak nak settle elok, nasib tak patah riuk,” kata Ariff Hafizy.

Sementara itu, terdapat pengguna media sosial secara sinis memuji rakyat Malaysia yang begitu berbakat dalam sukan ‘perlumbaan’.

“Banyak bakat pemuda negara boleh diketengahkan dalam sukan permotoran. Cuma bermacam alasan dan syarat untuk jadi pelumba,” kata Abner Asyer pula.

Media sebelum ini melaporkan statistik kemalangan melibatkan pekerja p-hailing berada pada tahap membimbangkan.

Statistik menunjukkan terdapat lebih 150 kes kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal perkhidmatan penghantar makanan dari Mac hingga Jun tahun lalu.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, jumlah itu amat membimbangkan memandangkan ia dijangka terus meningkat.

Sementara itu, kajian sosial Perkeso menunjukkan lebih 55 peratus kemalangan pekerja berlaku dalam jarak lima kilometer dari destinasi ke tempat kerja.

Membimbangkan! Perkeso dedah statistik kemalangan pekerja p-hailing

STATISTIK menunjukkan terdapat lebih 150 kes kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal perkhidmatan penghantar makanan dari Mac hingga Jun 2020.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, jumlah itu amat membimbangkan memandangkan ia dijangka terus meningkat menjelang akhir tahun ini.

Peningkatan kes kemalangan membabitkan pekerja p-hailing dipercayai berpunca daripada pertambahan peluang pekerjaan dalam ekonomi gig.

“Menjelang hujung tahun ini, semakin banyak kemalangan berlaku.

“Atas faktor inilah, isu pekerjaan yang berkaitan dengan keselamatan adalah penting untuk ditangani dari aspek perlindungan dan pencegahan,” kata Dr Azlan Darus.

Dr Azlan merupakan Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso menyampaikan ucaptama pada persidangan maya Vision Zero Webinar Series: Work-Related Road Safety, semalam.

Webinar merupakan anjuran bersama Perkeso dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Penunggang p-hailing berdepan risiko tinggi saban hari ketika berada di jalan raya. – Foto ihsan Facebook/Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia

Statistik kemalangan p-hailing

Kes kemalangan semasa ulang alik ke tempat kerja telah meningkat hampir 83 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Pada tahun 2009, terdapat lebih 20,810 kes dicatatkan dan ia terus meningkat pada 2019 dengan 38,142 kes.

Sementara itu, kajian sosial Perkeso menunjukkan lebih 55 peratus kemalangan pekerja berlaku dalam jarak lima kilometer dari destinasi ke tempat kerja.

Lebih membimbangkan, 65 peratus kemalangan itu melibatkan orang muda berusia di bawah 40 tahun dengan 80 peratus daripadanya adalah lelaki.

Gambar hiasan. – Foto ihsan Unsplash/Muhammad Faiz Zulkeflee

Punca dan kesan kemalangan

Perkeso telah menyenaraikan beberapa punca berlaku kemalangan jalan raya membabitkan pekerja.

Antara punca utama termasuk faktor keletihan dan bergegas untuk ke tempat kerja atau destinasi tertentu.

Kemalangan bukan sahaja memberi kesan kepada individu terlibat tetapi ia turut memberi kesan psikologi kepada ahli keluarga mangsa dan masyarakat.

Saban tahun, lebih RM1 bilion pampasan dibayar untuk kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Beri insurans baharu, Foodpanda hargai penghantar

FOODPANDA Malaysia dan PolicyStreet mengumumkan skim insurans baharu yang menawarkan perlindungan berganda kepada semua penghantarnya jika berlaku situasi di luar jangkaan.

Pengarah Urusan Foodpanda Sayantan Das berkata, ia  sebagai tanda komitmen berterusan terhadap kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kesemua penghantarnya.

Jelasnya, kesemua penghantar adalah tulang belakang syarikat dan berhak mendapat perlindungan terbaik.

“Foodpanda sentiasa mencari cara dan peluang baharu bagi memastikan kesihatan, keselamatan, dan kesejahteraan kesemua penghantar dijaga.

“Penghantar-penghantar kami sentiasa berhadapan dengan keadaan cuaca dan jalan raya yang tidak dapat dijangkakan.

“Oleh itu, kami ingin mengingatkan mereka bahawa mereka adalah keutamaan kami dan kami komited untuk menyediakan mereka skim insurans terbaik,” katanya.

Skim insurans ini membolehkan kesemua penghantar aktif dilindungi secara automatik secara percuma.

Kaedah bayar dahulu dan tuntut kemudian ini akan memberi perlindungan kepada penghantar sepanjang tempoh waktu bekerja.

Menerusi skim insuran baharu ini, tuntutan sehingga RM100,000 boleh dibuat sekiranya berlaku kematian atau hilang keupayaan kekal.

Penghantar juga boleh menuntut sehingga RM2,500 untuk sebarang kos perubatan dan hospital sebanyak RM40 sehari selama 30 hari.

Terdahulu, syarikat itu memaklumkan kesemua penghantar Foodpanda layak mendapat skim insurans khas untuk Covid-19.

Tuntutan sehingga RM300 boleh dibuat bagi mereka yang perlu menjalani kuarantin termasuk RM5,000 sekiranya berlaku kematian mengejut.

Untuk rekod, terdapat 91 kes kemalangan membabitkan penunggang penghantar makanan dan barangan (p-hailing) di negara ini tahun lalu.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menjelaskan, jumlah itu meningkat ketara berbanding pada 2019.

Pada 2019, hanya terdapat satu kes kematian dan lima cedera ringan melibatkan pekerja p-hailing.

Berani bantu polis kejar penjenayah, pekerja p-hailing dipuji warga maya

AKSI seorang pekerja p-hailing membantu anggota polis mengejar suspek penjenayah tular di media sosial.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dimuat naik di Twitter,  kelihatan seorang pekerja p-hailing baru menaiki motosikal miliknya sebelum bertindak menghalang suspek yang sedang berlari.

Bagaimanapun, suspek berjaya melepaskan diri dan meneruskan larian.

Enggan berputus asa, pekerja p-hailing tersebut bertindak turun dari motosikal lalu mengejar suspek bersama dua anggota polis.

Menerusi komen di media sosial, rata-rata pengguna media sosial memuji sikap berani ditunjukkan pekerja p-hailing berkenaan.

Pada masa sama, mereka mendoakan agar pekerja p-hailing itu berada dalam keadaan selamat.

Setakat ini, tidak dapat disahkan sama ada suspek berjaya diberkas pihak berkuasa atau sebaliknya.

Dalam perkembangan lain, enam pekerja e-hailing dilaporkan disaman pihak berkuasa pada semalam yang didakwa makan di tepi jalan raya.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mendakwa perkara itu berlaku di dua lokasi.

Bagaimanapun, lokasi tersebut tidak dinyatakan dalam laporan berkenaan.

 

Cegah kemalangan, guna kamera kenderaan pantau rider p-hailing?

BAGAI telur dihujung tanduk.

Demikian peribahasa sesuai digambarkan bagi nasib penunggang motosikal p-hailing yang berdepan risiko kemalangan saban hari.

Statistik kemalangan jalan raya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menunjukkan, 1,684 kes kematian dicatatkan membabitkan penunggang motosikal p-hailing.

Jumlah ini amat membimbangkan memandangkan ia dicatatkan hanya dalam tempoh sembilan bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Justeru, apakah menjadi punca utama kepada permasalahan ini?

Tidak dinafikan terdapat pelbagai sebab mengapa perkara ini berlaku.

Antara faktor penyumbang termasuk struktur jalan raya, cuaca dan sikap pengguna jalan raya.

Bagaimanapun, apa yang menarik minat penulis adalah bagaimana sikap pengguna jalan raya menjadi penyumbang kepada kemalangan.

Kajian Institusi Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati 70 peratus penunggang p-hailing melakukan kesalahan lalu lintas ketika bertugas.

Antaranya termasuk:-

  • Berhenti di petak kuning
  • Melanggar lampu isyarat merah
  • Menggunakan telefon bimbit ketika menunggang

Maka, satu tindakan tuntas perlu dilakukan bagi mengelak lebih banyak kematian membabitkan pekerja p-hailing.

Penulis mencadangkan agar kesemua penunggang p-hailing diwajibkan melakukan pemasangan kamera pada motosikal masing-masing.

Mungkin kedengaran agak sukar untuk dilaksanakan memandangkan ia melibatkan kos dan masa.

Namun, tidak mustahil untuk ia dilaksanakan di masa hadapan.

Kerajaan dan pihak pengusaha syarikat penghantaran perlu memikirkan pelaksanaan terbaik terutama membabitkan kos pemasangan kamera.

Bagi penulis, tidak cukup sekadar kempen keselamatan jalan raya kerana menjadi fitrah manusia kadang kala hanya menjadi lebih disiplin apabila dipantau.

Pokok pangkal, usaha lebih serius perlu diambil pihak terlibat dalam mengatasi masalah ini.

Jangan kerana kemalangan jalan raya ibu kehilangan anak, isteri kehilangan suami dan anak kehilangan bapa.

Fikir-fikirkan!