Arkib Tag: nombor plat

Dana hasil jualan nombor plat disalurkan ke Kumpulan Wang Disatukan, bukan MOT

KESEMUA hasil kutipan penjualan nombor pendaftaran kenderaan disalurkan kepada Kumpulan Wang Disatukan dan bukannya Kementerian Pengangkutan.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang berkata jumlah kutipan keseluruhan dari jualan nombor pendaftaran kenderaan bagi tahun 2023 ialah RM311.8 juta, termasuk penjualan nombor pendaftaran istimewa (NPI) berjumlah RM21 juta.

Penjualan NPI bermula pada 2019, manakala tawaran bidaan melalui NPI bermula pada tahun 2023 dengan nombor siri M_M.

“Walau bagaimanapun, bagi tahun 2024 seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2024, sebahagian penjualan NPI akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang ingin tahu kutipan hasil daripada tawaran bidaan NPI dan perincian inisiatif yang telah dilaksanakan kementerian, dengan menggunakan hasil kutipan NPI sejak tahun 2018 sehingga 2023.

Menurut Loke, sebahagian penjualan NPI digunakan oleh kerajaan untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi, yang memberi manfaat kepada lebih 40,000 belia daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Selain itu, sebanyak 100,000 topi keledar termasuk topi keledar kanak-kanak dapat dibekalkan dan diagih secara percuma kepada keluarga kurang mampu.

“Ikhtiar FLYsiswa akan diteruskan untuk manfaat hampir 60,000 pelajar daripada keluarga kurang mampu terutama di Sabah, Sarawak dan Labuan, serta inisiatif pembiayaan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) kepada hampir 50,000 pemandu teksi, kereta sewa dan pemandu bas sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Loke turut memaklumkan kementerian baru-baru ini telah memperkenalkan NPI untuk siri GOLD, dengan jumlah kutipan bagi siri itu setakat ini berjumlah RM17 juta.

“Seperti Yang Berhormat telah maklum, nombor siri GOLD1 telah dibida oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nilai RM1.5 juta, menyumbang kepada hasil kerajaan. Separuh daripada hasil tersebut dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan bagi tujuan pelaksanaan inisiatif seperti yang dinyatakan,” katanya.

Nombor plat ‘GOLD 1’ jadi milik Agong dengan bidaan RM1.5 juta

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar muncul sebagai pemilik nombor plat kenderaan keluaran khas GOLD 1 dengan nilai bidaan tertinggi dalam sejarah negara iaitu RM1.5 juta.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Istana Negara.

Pada pertemuan itu, Anthony turut mempersembahkan secara simbolik nombor plat kenderaan berkenaan kepada Sultan Ibrahim.

Menerusi hantaran tersebut, Sultan Ibrahim bertitah bahawa RM1.5 juta itu akan disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan.

Nombor plat siri GOLD merupakan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50. Ia dibuka untuk bidaan pada 1 Februari bermula jam 12 tengah hari hingga 5 Februari lalu.

Pada Jun tahun lalu, Sultan Ibrahim berjaya memperoleh nombor plat FF 1 selepas berjaya membidanya dengan tawaran tinggi pada harga RM1.2 juta.

Nombor plat NSW 1 dibida dengan harga RM31 juta

ENTAH kenapa, harga nombor plat satu digit, terutamanya nombor 1, boleh mencecah jutaan ringgit dengan begitu mudah.

Sebagai contoh, di Australia, seorang individu telah membuat bidaan bernilai RM31 juta untuk nombor plat NSW 1 dalam satu lelongan yang diadakan oleh Lloyds Auction House.

Menariknya, ia merupakan kali pertama plat nombor 1 dari negeri New South Wales itu dilelongkan. Plat tersebut asalnya dikeluarkan untuk komisioner polis pertama sebelum ia diperoleh oleh pengasas Australian National Airways, Sir Frederick Stewart sekitar 1930-an.

Selepas kematian Stewart, nombor plat tersebut diberikan kepada isteri beliau. Berikutan kematian isterinya itu pada 2000, nombor tersebut kini dibuka untuk bidaan sehingga 27 Januari tahun depan.

Dari tahun 1910 hingga 1937, setiap negeri di Australia mengeluarkan plat pendaftaran secara berperingkat, dari nombor 1 dan hingga 274-000. Nombor-nombor ini dikeluarkan secara berasingan untuk kereta penumpang, motosikal dan kenderaan komersil.

Seperti di Malaysia, nombor-nombor ini menjadi buruan pengumpul yang sanggup membayar harga yang tidak masuk akal untuk memilikinya.

Dengan harga yang telah mencecah puluhan juta dengan tempoh bidaan berbaki lebih sebulan, nombor plat NSW 1 dijangka akan memecahkan rekod untuk nombor plat termahal di Australia.

Pada 2017, Sydney Morning Herald melaporkan bahawa nombor plat 4 dari negeri itu dijual pada harga kira-kira RM7.5 juta.

Walaupun angka-angka ini sangat tinggi, ia bukanlah nombor plat yang paling mahal pernah dijual. Di Dubai, plat AA8 dijual pada harga RM44 juta sementara P7 pula berharga RM70 juta.

Sementara itu, nombor plat dari Eropah iaitu F1 masih lagi tersenarai untuk lelongan di laman web regtransfers.co.uk dengan harga permulaan hampir RM90 juta.

50 peratus hasil jualan nombor plat khas akan disalurkan untuk program inisiatif rakyat

SEPARUH daripada hasil penjualan nombor plat khas kenderaan yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kerajaan bakal digunakan bagi membiayai program inisiatif rakyat.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Sew Fook yang berkata, ia juga sudah mendapat kebenaran dari Kementerian Kewangan dan akan dimulakan seawal tahun depan.

“Kementerian Kewangan telah bersetuju apa sahaja inisiatif penjualan nombor pendaftaran istimewa ini, 50 peratus daripada hasil tersebut akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif rakyat.

“Antara inisiatif akan diguna daripada hasil penjualan nombor pendaftaran itu adalah pemberian lesen motosikal kelas B2 untuk rakyat kumpulan B40,” katanya di Dewan Rakyat minggu lalu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Jimmy Puah (PH-Tebrau) yang ingin tahu mengenai apakah inisiatif yang dilakukan kerajaan hasil daripada penjualan nombor plat istimewa kenderaan.

Terdahulu, sebelum ini nombor siri plat ‘Malaysia’ yang diperkenal Ogos 2018 lalu, kerajaan berjaya menjana RM13 juta hasil penjualan nombor siri tersebut.

Bagi nombor siri ‘Malaysia 1’ sahaja, kerajaan menjana RM1,111,111.

Nombor plat P7 bernilai RM70 juta milik pengasas Telegram

BARU-baru ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membeli nombor plat FF1 pada harga RM1.2 juta, menjadikannya nombor pendaftaran kenderaan termahal di Malaysia setakat ini.

RM1.2 juta sememangnya satu jumlah yang sangat besar, namun ia jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan 55 juta dirham (kira-kira USD15 juta atau RM70 juta) yang dibelanjakan oleh pengasas aplikasi Telegram, Pavel Valeryevich Durov untuk membeli nombor plat P7.

Durov, yang berketurunan Perancis-UAE, mendapat nombor tersebut menerusi acara lelongan ‘The Most Noble Numbers’ yang diadakan di Dubai, UAE. Menurut laporan, hasil bidaan itu akan disalurkan kepada inisiatif bantuan makanan global bergelar ‘1 Billion Meals Endowment’ milik pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid.

Apa yang menarik, bidaan Durov mengatasi rekod dunia Guinness untuk nombor pendaftaran kereta paling mahal sebelum ini iaitu nombor “1” yang berharga 52.2 juta dirham (RM66 juta). Nombor itu dibeli oleh Saeed Abdul Ghaffar Khouri pada 2008.

Ini secara tidak langsung menjadikan P7 sebagai nombor pendaftaran kenderaan termahal di dunia. Agaknya nombor itu akan diletakkan di kereta apa ya?

Seperti yang kita tahu, nombor pendaftaran satu digit ini memang menjadi rebutan orang kaya. Di Australia, nombor plat “4” dijual pada harga USD1.6 juta (RM7.5 juta) pada 2017. Awal tahun ini pula, seorang individu dari Hong Kong membayar USD3.2 juta (RM15 juta) untuk nombor plat “R”.

Nombor plat FF1 milik Sultan Johor, RM1.2 juta

NOMBOR plat kenderaan FF1 iaitu turutan nombor baharu bagi Putrajaya menjadi milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Kenyataan di Facebook rasmi baginda memaklumkan, nombor itu dibida baginda dengan tawaran tertinggi.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi perkongsian di Facebooknya pada Sabtu memaklumkan plat FF1 itu bernilai RM1.2 juta.

Nombor plat kenderaan itu dipersembahkan Anthony semasa menghadap baginda di Johor Bahru baru-baru ini.

“Pagi tadi, saya mengadap DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim untuk mempersembahkan secara simbolik nombor plat FF 1 kepada Tuanku yang merupakan pemilik nombor khas unik tersebut,” tulisnya.

“Tuanku telah perkenan untuk membayar kepada kerajaan sebanyak RM1.2 juta untuk nombor khas tersebut. Untuk rekod, bayaran RM1.2 juta merupakan nilai tertinggi yang pernah dikutip setakat ini oleh kerajaan untuk pendaftaran satu nombor plat kenderaan.”

Pada 2016, Sultan Johor dilaporkan memenangi bidaan nombor plat kenderaan F1 dengan nilai bidaan RM836,660 bagi turutan nombor baharu bagi Putrajaya.

Selepas itu, pada Ogos tahun sama, baginda memenangi bidaan untuk nombor plat V1 dengan nilai RM989,780.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, bayaran yang diterima itu juga menjadikan jumlah kutipan hasil kerajaan untuk nombor siri FF meningkat kepada RM35.4 juta.

No plat BRA diteruskan walaupun kedengaran kurang sopan

NOMBOR plat (pendaftaran) BRA akan diteruskan pengeluarannya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) walaupun gabungan tiga huruf itu kedengaran kurang sopan atau seksis.

Nombor plat BRA untuk negeri Selangor itu dijangka dikeluarkan sekitar April nanti.

Menurut Utusan Malaysia, sumber agensi berkenaan memberitahu setakat ini, tiada sekatan terhadap penggunaan siri plat pendaftaran kenderaan darat dengan huruf tertentu.

“Insya-Allah, huruf tersebut tetap diteruskan apabila tiba masa selepas siri BQY tamat sekitar April depan,” kata sumber agensi tersebut.

Polemik gabungan tiga abjad tersebut bagaimanapun tular diperkatakan segelintir warganet kerana sebutannya menyerupai pakaian dalam wanita dalam Bahasa Inggeris.

“Itu mungkin sekadar pandangan persepsi masyarakat, tetapi, bagi pihak JPJ, kombinasi huruf sedemikian tiada pun melambangkan maksud spesifik kepada mana-mana benda.

“JPJ pada masa ini memang pun tiada polisi khusus yang akan mengharamkan siri huruf tertentu macam pernah dilakukan oleh Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) di Singapura,” terang sumber itu.

Plat B mula diperkenalkan oleh JPJ pada 1971 bagi menggantikan siri huruf SL yang diwujudkan British sebagai negeri yang pertama menggunakan format baharu itu sejak 1948.

Siri tersebut amat popular di negara ini selepas kemerdekaan kerana Selangor merupakan pusat ekonomi terbesar sebelum dipintas oleh plat W untuk Wilayah Persekutuan pada 1996 lalu.

Ketika ini, plat negeri termaju berkenaan baru sahaja melepasi siri BQV sebelum ia mencapai giliran huruf tengah baharu iaitu BRA pada Mei ini bergantung keadaan penjualan kenderaan.

Nombor plat ‘fancy’ boleh didenda hingga RM3k, ini cara untuk lapor kepada JPJ

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) semalam mengingatkan orang ramai agar mematuhi peraturan bagi memasang nombor pendaftaran kenderaan mengikut spesifikasi yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jika didapati melanggar peraturan tersebut, anda boleh didenda antara RM300 hingga RM3,000 di bawah Seksyen 14 (4) APJ 1987.

Dalam siaran di laman Facebook Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, pihak JPJ turut berkongsi contoh-contoh gambar kenderaan yang tular dan tidak mematuhi spesifikasi (fancy) yang ditetapkan.

JPJ juga berkongsi cara yang boleh kita lakukan untuk melaporkan kesalahan nombor pendaftaran fancy dengan menghantar gambar dan butiran kenderaan ke aduantrafik@jpj.gov.my.

Antara perincian nombor pendaftaran fancy adalah mengelirukan, kabur dan tidak mengikut ukuran dimana huruf atau angka disusun untuk membentuk perkataan berlainan dari kombinasi asal.

Kenyataan ini walaubagaimanapun tidak termasuk siri nombor pendaftaran khas yang pernah dikeluarkan sebelum ini seperti PATRIOT, PERFECT dan UM.