Arkib Tag: nissan almera

Nissan Almera Kuro Edition dengan rupa lebih garang, dari RM83,888

UNTUK 2024, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) memperkenalkan Nissan Almera Kuro Edition yang membawakan kelengkapan lebih garang dan sporti, standard untuk semua varian. Ia juga hadir dengan warna baharu Glacier Grey.

Pakej asas bagi Almera Kuro Edition akan dilengkapi dengan gril depan hitam baharu dan rim hitam (15- dan 16-inci bergantung kepada varian). Kemudian, anda boleh pilih untuk menambah Kuro Package atau Kuro GT Package.

Kuro Package berharga RM8,000, merangkumi kit badan Tomei (bampar depan dan belakang, skirt sisi, spoiler belakang) berwarna hitam, pelindung pembuka pintu, plat pemijak kaki, visor pintu, pedal sports, dan filem tinting ICE Cool.

Kuro GT Package pula berharga tambahan RM3,200, dan didatangkan dengan spoiler GT Tomei serta rim aloi Impul 16-inci. Pakej ini terhad kepada 300 kenderaan sahaja.

“Dengan adanya penambahbaikan Kuro Edition, Nissan Almera kini menjadi lebih menarik berbanding sebelumnya dan kami yakin ia akan menjadi sedan yang paling lengkap dalam segmen-B,” kata Christopher Tan, Pengarah Jualan dan Pemasaran Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd.

Spesifikasi lain adalah serupa pada Almera sebelum ini. Ia dipacu enjin 1.0-liter turbo berkuasa 100hp dan 152Nm, dipadankan dengan kotak gear CVT Xtronic.

Ciri keselamatan terdiri dari Intelligent Forward Collision Warning (IFCW), Intelligent Forward Emergency Braking (IFEB) sebagai standard. Varian tertinggi VLT pula dilengkapi dengan Spot Warning (BSW), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Intelligent Around View Monitor (IAVM) dengan Moving Object Detection.

Nissan Almera Kuro Edition 2024 baharu ditawarkan pada harga bermula RM83,888, dan ETCM menawarkan harga promosi Kuro Package hanya RM1,000 (harga asal RM8,000), dan Kuro GT Package pada RM500 sahaja.

Nissan Almera facelift 2023 masuk pasaran Thailand – harga dari RM73k

ENAM bulan selepas diperkenalkan di Amerika Syarikat, Nissan Almera facelift (atau dikenali sebagai Versa di AS) kini dilancarkan pula untuk pasaran Thailand.

Dari segi reka bentuk, sedan kompak ini menampilkan gril V-Motion generasi baharu yang lebih besar dan lebar berbanding sebelum ini.

Seperti Versa, Almera untuk pasaran Thailand mendapat susunan bar melintang yang disudahi dengan kemasan krom pada bahagian hujung. Turut disertakan adalah logo baharu Nissan.

Model facelift ini turut membawakan pilihan warna baharu yang dikenali sebagai Gray Sky Pearl. Menurut Nissan, warna ini boleh berubah mengikut keadaan dan sudut pandangan.

Dalam keadaan cahaya rendah, warna itu akan nampak keunguan manakala di bawah sinaran matahari, ia bertukar menjadi warna biru.

Lebih menarik lagi, warna itu nampak seperti warna solid apabila dilihat dari jauh tetapi apabila diamati dari dekat, ia akan mula menunjukkan efek mutiara.

Untuk ruang dalaman pula, Almera facelift mengekalkan rekaan yang sedia ada, cuma kali ini ia dikemaskan lagi dengan warna biru pada papan pemuka dan panel pintu.

Antara kelengkapan yang tersedia termasuklah skrin sentuh berukuran lapan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem pengecaman suara dan pengecas wayarles.

Bergantung pada varian, Almera facelift kini dilengkapi dengan Tire Pressure Monitoring System (TPMS), High Beam Assist (HBA) dan Lane Departure Warning (LDW) sebagai ciri keselamatan baharu.

Ciri-ciri lain yang sedia ada seperti Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Intelligent Around View Monitoring (IAVM), Moving Object Detection (MOD), Intelligent Forward Collision Warning (IFCW), Blind Spot Warning (BSW) dan Hill Start Assist (HSA).

Seperti sebelum ini, Almera facelift dikuasakan oleh enjin 1.0-liter turbo tiga silinder dengan 100 PS dan 152 Nm. Dipadankan dengan transmisi Xtronic CVT, ia dikatakan mempunyai kadar penggunaan bahan api sekitar 23.3 km/liter.

Berikut adalah harga jualan Almera facelift di Thailand mengikut varian:

  • E – 549,000 baht (RM72,586)
  • EL – 589,000 baht (RM77,874)
  • V – 659,000 baht (RM87,129)
  • VL – 699,000 baht (RM92,418)

Superbike dilanggar dari belakang gara-gara brek mengejut

KONVOI motosikal berkuasa tinggi atau superbike sudah menjadi pemandangan biasa di negara ini, terutamanya pada hujung minggu. Selalunya, peserta konvoi akan menunggang secara berhemah namun kadang kala, ada juga yang bertindak sembrono sehingga menyebabkan kejadian yang tak diingini berlaku.

Pada Ahad lalu, seorang penunggang superbike dilanggar dari belakang oleh sebuah Nissan Almera apabila beliau membrek secara mengejut untuk menukar lorong setelah terpisah dari konvoi. Kejadian ini dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kereta yang berada di belakang.

Dalam video berdurasi 60 saat yang dimuat naik ke laman Facebook bernama John Kiew itu, beberapa buah superbike dilihat memecut di lorong memotong, diikuti dengan sebuah Almera dan sebuah lagi superbike di belakangnya.

Setelah beberapa saat mengekori Almera tersebut, superbike tersebut akhirnya memotong sedan itu. Bagaimanapun, sebaik sahaja berada di hadapannya, penunggang superbike itu membrek secara mengejut kerana melihat rakan-rakan konvoinya yang telah mengambil susur keluar ke arah USJ/Subang Jaya.

Tindakan mengejut itu menyebabkan pemandu Almera tersebut tidak sempat membrek lalu merempuh bahagian belakang superbike itu. Impak pelanggaran menyebabkan kereta itu melantun beberapa kali. Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah penunggang superbike tersebut masih elok berada di atas motosikalnya.

Jadi apakah pengajaran yang boleh kita ambil dari kejadian ini? 

Mudah sahaja. Jika anda terlepas susur keluar, janganlah terburu-buru menukar lorong kerana perbuatan anda itu akan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain atau lebih teruk lagi, mengakibatkan kehilangan nyawa. Lebih baik ambil susur keluar yang seterusnya. Lagipun, sekarang semua orang guna Waze atau Google Maps.

Dalam kes abang superbike ni, penulis ada satu nasihat: “Lebih baik terpisah dari konvoi dari terpisah nyawa dari badan.”

Beli Nissan Almera Turbo anda dapat percuma Tomei Aero Package bernilai RM8,000, stok terhad

BERITA baik buat anda yang mahu membeli Nissan Almera Turbo, kerana setiap pembelian akan hadir dengan Tomei Aero Package secara percuma! Kit badan ini bernilai RM8,000 dan dibangunkan khas oleh Tomei Jepun, iaitu syarikat penala terkemuka yang bekerjasama dengan Edaran Tan Chong Motor (ETCM).

Tomei Aero Package ini boleh didapati untuk semua varian Almera – VLT, VLP, dan VL – dan pastinya memberikan imej lebih sporti kepada sedan ini.

Pakej ini merangkumi lima komponen iaitu spoiler bampar depan, spoiler bampar belakang (dua keeping), dan skirt sisi. Semua bahagian ini juga hadir dengan skema warna dwi-tona.

Khas untuk Almera varian VLT, Tomei Aero Package ditambah dengan pedal sport dengan perehat kaki, pelindung pemegang pintu, plat sisi pintu, visor sisi, dan filem tint ICE Cool.

Semua komponen adalah dipasang dari kilang bagi memastikan kualitinya sama dengan keseluruhan kereta. Setiap barangan juga datang dengan jaminan tiga tahun/100,000km (yang mana dahulu).

Untuk mereka yang mahukan gaya lebih sporti lagi, ETCM menawarkan Tomei GT Wing yang direka khas untuk Almera. Ianya berharga RM1,400 termasuk pemasangan dan boleh dimasukkan sekali dalam pembiayaan pinjaman anda.

Nissan Almera dikuasakan oleh enjin 1.0-liter turbo 3-silinder yang menjana 99hp dan 152Nm tork, dipadankan dengan kotak gear CVT Xtronic.

Ia dilengkapi ciri seperti Advanced Around View Monitor, Intelligent Moving Object Detection, tempat duduk Zero Gravity, Intelligent Forward Collision Warning (IFCW), dan Intelligent Forward Emergency Braking (IFEB).

Tomei Aero Package ini walaubagaimanapun hanya ditawarkan untuk masa terhad dan stok juga terhad. Jadi jika anda berminat, bolehlah lawati mana-mana bilik pameran Nissan di seluruh negara atau layari www.nissan.com.my.