fbpx

Superbike dilanggar dari belakang gara-gara brek mengejut

Nissan Almera langgar superbike

KONVOI motosikal berkuasa tinggi atau superbike sudah menjadi pemandangan biasa di negara ini, terutamanya pada hujung minggu. Selalunya, peserta konvoi akan menunggang secara berhemah namun kadang kala, ada juga yang bertindak sembrono sehingga menyebabkan kejadian yang tak diingini berlaku.

Pada Ahad lalu, seorang penunggang superbike dilanggar dari belakang oleh sebuah Nissan Almera apabila beliau membrek secara mengejut untuk menukar lorong setelah terpisah dari konvoi. Kejadian ini dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kereta yang berada di belakang.

Dalam video berdurasi 60 saat yang dimuat naik ke laman Facebook bernama John Kiew itu, beberapa buah superbike dilihat memecut di lorong memotong, diikuti dengan sebuah Almera dan sebuah lagi superbike di belakangnya.

Setelah beberapa saat mengekori Almera tersebut, superbike tersebut akhirnya memotong sedan itu. Bagaimanapun, sebaik sahaja berada di hadapannya, penunggang superbike itu membrek secara mengejut kerana melihat rakan-rakan konvoinya yang telah mengambil susur keluar ke arah USJ/Subang Jaya.

Tindakan mengejut itu menyebabkan pemandu Almera tersebut tidak sempat membrek lalu merempuh bahagian belakang superbike itu. Impak pelanggaran menyebabkan kereta itu melantun beberapa kali. Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah penunggang superbike tersebut masih elok berada di atas motosikalnya.

Jadi apakah pengajaran yang boleh kita ambil dari kejadian ini? 

Mudah sahaja. Jika anda terlepas susur keluar, janganlah terburu-buru menukar lorong kerana perbuatan anda itu akan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain atau lebih teruk lagi, mengakibatkan kehilangan nyawa. Lebih baik ambil susur keluar yang seterusnya. Lagipun, sekarang semua orang guna Waze atau Google Maps.

Dalam kes abang superbike ni, penulis ada satu nasihat: “Lebih baik terpisah dari konvoi dari terpisah nyawa dari badan.”

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved