Arkib Tag: mc2

Proton Saga MC2 facelift 2022 kini lebih moden, harga bermula RM34,400

SELEPAS beberapa teaser, Proton Saga 2022 akhirnya dilancar hari ini. Model facelift dengan nama kod MC2 ini ditawarkan dalam empat varian, dengan harga seperti berikut:

Saga 1.3 Standard MT: RM34,400
Saga 1.3 Standard AT: RM38,300
Saga 1.3 Premium AT: RM41,300
Saga 1.3 Premium S AT: RM44,300

Untuk facelift kali ini, pembaharuan diberikan di luar dan dalaman untuk menjadikan sedan segmen-A ini kekal ‘segar’, serta penambahan beberapa ciri baharu. Kita mulakan di bahagian luaran.

Saga MC2 ini boleh dibezakan melalui logo Proton baharu di gril depan dengan perumah bulat, seperti dilihat pada Iriz dan Persona facelift.

Elemen Ethereal Bow pada gril juga hadir dalam kemasan merah sama seperti X50. Walaubagaimanapun bagi anda yang mahukan lampu LED seperti Bezza, harap maaf kerana Saga 2022 akan kekal dengan unit halogen.

Bergantung kepada varian, Saga 2022 juga menampilkan rim 15-inci rekaan baharu serta kit badan (Premium sahaja).

Seterusnya di bahagian dalam, Saga MC2 dilengkapi warna lebih gelap untuk ruang kabin, serta kemasan merah pada beberapa bahagian seperti perumah corong pendingin hawa.

Tempat duduk pula mendapat balutan kulit baharu dengan jahitan merah, dan jahitan ini juga terdapat pada roda stereng.

Panel pendingin hawa juga telah direka semula. Untuk panel instrumen, Saga MC2 masih mengekalkan skrin ‘terapung’ 7-inci seperti model 2019 tetapi menurut Proton, Operating System padanya ditambah baik, tetapi tidak menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri baharu lain termasuklah keyless entry, butang penghidup enjin, cermin sisi auto-lipat, pembuka but luaran, tetapi semua ini hanya pada Premium S.

Stability Control pula kini diberikan kepada semua varian dengan kotak gear AT. Tiada perubahan pada bahagian enjin, bermakna Saga 2022 akan terus dipacu oleh unit 1.3-liter Campro VVT yang menjana 95hp dan 120Nm tork.

Enjin ini akan dipadankan dengan kotak gear automatik 4-kelajuan dari Hyundai, selain dari manual 5-kelajuan untuk varian Standard MT.

Proton Saga 2022 boleh didapati dalam lima pilihan warna iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon, dan warna baharu Ruby Red.

Proton Saga MC2 2022 dilancar Khamis ini!

BERITA buat mereka yang ternanti-nanti, Proton Saga 2022 sah akan dilancarkan Khamis ini, bersamaan 12 Mei (lusa).

Pelancaran Saga dengan nama kod MC2 itu akan membawakan beberapa perubahan pada luaran, rekaan dalaman yang direka semula, dan penambahan ciri baharu.

Berdasarkan gambar-gambar teaser yang dikongsi di Facebook Proton Cars, ia memaparkan rim aloi 15-inci baharu yang akan ditampilkan pada varian Premium dan Premium S baharu. Juga dapat dilihat ialah kit badan untuk varian tertinggi dengan warna badan.

Pembaharuan pada muka depan terhad kepada penggunaan logo baharu bulatan yang menggantikan bentuk lencana. Logo ini mula digunakan pada Proton Iriz dan Persona facelift 2021.

Elemen Ethereal Bow pada gril juga hadir dalam kemasan merah sama seperti X50. Walaubagaimanapun bagi anda yang mahukan lampu LED seperti Bezza, harap maaf kerana Saga 2022 akan kekal dengan unit halogen.

Tiada gambar dalaman didedahkan oleh Proton, tetapi imej-imej tertiris menunjukkan Saga 2022 bakal mendapat konsol tengah yang direka semula dengan kemasan merah pada perumah pendingin hawa.

Roda stereng juga mendapat logo baharu, selain panel instrumen diberikan grafik merah baharu menggantikan perak.

Ciri lain yang bakal diterima oleh Saga 2022 termasuklah keyless entry, butang penghidup enjin, cermin sisi auto-lipat, pembuka but luaran, dan tempat duduk kulit, kesemuanya untuk Premium S.

Stability Control pula kini diberikan pada varian-varian bawah termasuk Standard AT, hanya varian Standard MT yang tidak dilengkapi ciri penting ini. Ya, Saga 2022 akan masih ditawarkan dengan kotak gear manual.

Tiada perubahan pada bahagian enjin, bermakna Saga 2022 akan terus dipacu oleh unit 1.3-liter Campro VVT yang menjana 95hp dan 120Nm tork.

Enjin ini akan dipadankan dengan kotak gear automatik 4-kelajuan dari Hyundai, selain dari manual 5-kelajuan untuk varian asas.

Anda boleh tonton pelancaran Proton Saga 2022 pada pagi Khamis nanti di laman Facebook Proton Cars.

Sementara itu, terdapat juga pautan untuk anda daftarkan minat terhadap sedan segmen-A ini.

Proton Saga MC2 bakal dapat warna Ocean Blue? Ciri lain keyless entry, ESC

KITA kini sudah dapat idea lebih jelas berkenaan bagaimana rupa Proton Saga 2022 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Spesifikasi jangkaan juga telah tersebar di portal-portal dan media sosial, dimana sedan segmen-A rakyat marhaen itu akan mendapat ciri-ciri lebih premium seperti keyless entry, butang push start, dan unit infotainmen 7-inci jenis floating dengan Atlas OS.

Saga dengan nama kod MC2 ini juga bakal mendapat beberapa pembaharuan merangkumi logo Proton terkini, rekaan panel meter baharu, rim baharu, dan warna-warna baharu.

Menurut video di saluran Youtube Imagino, warna-warna baharu yang bakal ditawarkan pada Saga 2022 adalah Passion Red dan Ocean Blue.

Warna merah pada Saga 2019 ialah Ruby Red, tidak dapat dipastikan sama ada ia sama dengan Passion Red atau tidak, kita harus tunggu hari pelancaran nanti. Tetapi warna Ocean Blue sememangnya baharu untuk Saga, sebelum ini ditawarkan pada Iriz dan X50.

Warna-warna lain adalah sama seperti sebelum ini iaitu Snow White, Jet Grey, dan Armour Grey. Walaubagaimanapun, warna Rosewood Maroon nampaknya akan dihentikan penawarannya.

Terdapat juga varian Premium S baharu, dan untuk harga, Saga sedia ada dijual pada harga antara RM32,800 hingga RM39,800. Mungkinkah Saga MC2 ini nanti dapat kekal pada paras bawah RM40,000?

Apa pun, warna-warna ini hanyalah rendering dari pemilik akaun video jadi sama-sama kita nantikan berita lanjut dan hari pelancarannya nanti yang dijangka pada Mei depan.

Sementara itu, anda juga boleh lihat spesifikasi jangkaan Saga MC2 di bawah: