Arkib Tag: macan

Porsche Macan generasi kedua kini sebuah EV – dua varian, sehingga 630hp

INI dia tuan-tuan dan puan-puan, Porsche Macan serba baharu, generasi kedua. Seperti dilaporkan sebelum ini, SUV ini telah menjadi model elektrik sepenuhnya (EV), tidak lagi ditawarkan dengan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Adakah ini bermakna Porsche Macan menjadi model yang tidak mengujakan? Tidak juga, ia ditawarkan dengan dua pilihan, Macan 4 berkuasa 402hp dan Macan Turbo sehingga 630hp.

Porsche Macan baharu ini dibina pada pelantar Premium Platform Electric (PPE) yang dibangunkan bersama dengan Audi. Platform ini menggunakan binaan elektrik 800 volt.

Bateri pula ialah sel Lithium-Nickel Manganese Cobalt dengan kapasiti 95kWh. Ia boleh dicas dengan pengecas pantas DC sehingga 270kW.

Macan 4 dan Macan Turbo dipacu dua motor elektrik synchronous jenis magnet tetap. Motor di belakang dipusing 180 darjah untuk memberikan sedikit agihan berat yang lebih ke belakang.

Seperti disebut tadi, output maksima bagi Macan 4 ialah 402hp dan 650Nm tork, manakala Macan Turbo yang lebih berkuasa menjana sehingga 630hp dan 1,130Nm tork. Kesemua angka ini walaubagaimanapun adalah berdasarkan mod Overboost semasa Launch Control.

Bagaimana pula dengan prestasi? Porsche Macan 4 mampu memecut ke 96km/j dalam 4.9 saat, sementara Macan Turbo mampu melakukan pecutan sama dalam 3.1 saat sahaja. Kelajuan maksima masing-masing adalah 218km/j dan 260km/j.

Agak tinggi kelajuan maksima bagi sebuah EV, bukan? Ini kerana Porsche Macan baharu ini mendapat sistem penurun gear, ia tidak menggunakan kotak gear dua-kelajuan seperti yang digunakan pada Taycan.

Sistem gantungan pula adalah multi-link di depan dan belakang. Suspensi udara dan Porshe Active Suspesion Management (PASM) dibekalkan sebagai standard. Satu ciri baharu pada Macan ialah sistem stereng roda belakang, ia membelok sehingga 5-darjah mengikut keadaan.

Kini kita ke reka bentuk pula. Dari segi ini, ia tipikal Porsche – evolusi dan bukan revolusi. Macan mengekalkan bentuk seperti coupe, walaupun di depannya terdapat DRL seperti Taycan.

Lampu depan kini di bampar, dan tiada lagi hud clamshell. Memandangkan tiada enjin, hud ini juga lebih rendah.

Porsche berkata Macan mempunyai pekali seretan 0.25 sahaja, hasil dari aerodinamik aktif seperti spoiler belakang, panel bawah badan, dan flap di bampar depan.

Ruang dalaman pula mirip model-model Porsche lain yang terkini. Terdapat panel instrumen digital dengan paparan skrin melengkung, manakala di tengah terdapat sistem infotainmen generasi terkini.

Apa pendapat anda mengenai Porsche Macan generasi baharu yang kini EV sepenuhnya?

Porsche Macan EV dalam fasa ujian akhir – 603hp, lebih 500km jarak pemanduan

PARA jurutera Porsche sedang mempersiapkan Macan serba baharu yang juga kini merupakan model elektrik (EV) untuk pendedahan globalnya tidak lama lagi.

SUV itu kini dalam fasa-fasa akhir dan telah melalui pelbagai siri ujian ekstrem. Seperti yang telah diwar-warkan sebelum ini, Macan generasi kedua ini merupakan model elektrik dan menggantikan model generasi pertama selepas 10 tahun ia dalam pasaran.

Porsche Macan EV ini dibina pada pelantar PPE (Premium Platform Electric). Ia kekal sebagai sebuah Porsche yang sporti, tetapi akan menjadi lebih cekap.

Pekali aerodinamik 0.25

Menurut Naib Presiden Product Line Macan, Jorg Kerner, “Apabila kami membangunkan model baharu, ia sentiasa berkenaan dinamik dan ketepatan pemanduan. Itulah Porsche. Ia dalam DNA kami. Tetapi ia sentiasa berkenaan kecekapan juga, dan reka bentuk.”

Kunci kepada aerodinamik Macan baharu ini ialah pekali seretannya (Cd) serendah 0.25. Antara cabarannya ialah mengekalkan identiti Macan yang telah berjaya tetapi pada masa yang sama menepati keperluan dan syarat aerodinamik baharu.

Ini dicapai dengan Porsche Active Aerodynamic (PAA) yang merangkumi spoiler aktif di belakang, flap penyejukan aktif di depan, dan lantai bawah rata serta bertutup seperti jentera lumba.

Jarak pemanduan lebih 500km

Porsche Macan EV akan dibekalkan dengan dengan bateri lithium-ion 100kWh dan binaan 800-volt pada platform PPE yang digunakan.

Ini membolehkan Macan mendapat pengecasan pantas DC sehingga 270kW, bermakna baterinya boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 22 minit sahaja. Pengecasan AC kekal pada 11kW.

Jarak pemanduan pula adalah lebih 500km untuk semua varian.

Diuji dan sedia untuk pelancaran global

Macan EV kini dalam fasa akhir ujiannya, dan prototaip-prototaip dengan celoreng secara keseluruhan telah dipandu lebih 3.5 juta km dalam litar ujian dan jalan raya awam seluruh dunia.

“Kami meliputi semua rangkaian suhu. Dari 30 darjah di bawah paras beku di Scandinavia hingga lebih 50 darjah Celsius seperti di Death Valley, California,” kata Kerner.

“Sudah tentu SUV perlulah boleh dipandu di semua permukaan. Sebab itu kami bukan sahaja mengujinya di jalan raya, tetapi juga di off-road, kerikil, salji, dan ais,” katanya.

Sistem-sistem seperti pacuan semua-roda, dua motor elektrik, Porsche Traction Management, Launch Control, Porsche Active Suspension Management, semuanya diuji di permukaan-permukaan ini.

Nantikan laporan kami selepas pelancaran rasmi Porsche Macan EV pada 25 Januari ini.

Maserati Grecale GT pesaing Porsche Macan kini dengan sistem hibrid, dari RM598k

MASERATI Grecale GT Hybrid hari ini tiba secara rasmi di Malaysia, dibawa masuk oleh Naza Italia. Ianya merupakan varian hibrid untuk SUV premium kompak itu yang mula dilancarkan di peringkat global tahun lepas.

Untuk pengetahuan, nama Grecale mengambil inspirasi dari nama angin kuat Timur Laut di Mediterranean, dan model ini berada di bawah Levante. Grecale juga disasarkan kepada SUV premium seperti Porsche Macan.

Satu aspek utama sebuah Maserati ialah enjinnya, Grecale mempunyai tiga pilihan enjin seluruh dunia. Untuk pasaran Malaysia, Grecale GT dikuasakan oleh unit 2.0-liter 4-silinder turbo petrol yang mampu menghasilkan 296hp dan 450Nm tork.

Enjin ini dipadankan dengan sistem hibrid 48volt dengan Belt Starter Generator (BSG), eBooster dan juga pengubah DC/DC. BSG berfungsi sebagai alternator bagi mengecaj bateri yang akan membekalkan kuasa kepada eBooster, membantu enjin sebelum turbo spool.

Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan, membolehkan Grecale GT Hybrid memecut dari 0 ke 100km/j dalam hanya 5.6 saat, serta mencapai kelajuan maksima 240km/j.

SUV ini dibekalkan dengan empat mod pemanduan – Comfort, GT, Sport dan Off-Road. Terdapat juga Vehicle Dynamic Control Mode (VDCM) yang merupakan evolusi dari Chassis Domain Control Module (CDCM) dari supercar MC20.

Dari segi rupa, Grecale GT Hybrid mendapat penggayaan dari MC20 dengan hidung dan gril agresif, dengan kemasan krom untuk GT, manakala kemasa hitam utnuk Modena dan Trofeo. Ciri utama lain adalah bumbung yang menurun perlahan, pembuka pintu tersorok, dan tiga corong di fender serta logo Trident di tiang-C.

Di dalam pula, Maserati Grecale GT dilengkapi jam digital dengan fungsi Kompas, meter G-force, paparan instrumen 12.3-inci, paparan infotainmen tengah 12.3-inci, dan satu lagi skrin di bawah bersaiz 8.8-inci.

Kelengkapan lain adalah sambungan Android Auto dan Apple Carplay, sistem telematik Maserati Connect, dan pilihan sistem audio dengan 14 atau 21 pembesar suara.

Maserati Grecale GT Hybrid berharga dari RM598,000 termasuk duti dan cukai, dengan jaminan tiga -tahun tanpa had perbatuan. Ia boleh didapati dalam warna Bronzo Opaco, Blu Intenso, Bianco Astro, dan Bianco.

Porsche laku keras 6 bulan pertama 2022, Cayenne kekal model paling laris

PORSCHE nampaknya mempunyai prestasi jualan cukup baik untuk separuh masa pertama 2022, walaupun berhadapan beberapa cabaran.

Secara keseluruhan, pengeluar kereta sports itu telah menyerahkan 145,860 kenderaan kepada pelanggan seluruh dunia antara Januari hingga Jun, penurunan lima peratus berbanding tahun lepas.

“Selain dari kesukaran yang dihadapi dari peningkatan Covid-19 di China dan beberapa pasaran lain,  kata Detlev von Platen, ahli lembaga untuk Sales dan Marketing di Porsche AG.

“Pada masa yang sama, daya tarikan jenama dan populariti produk kami tetap kuat. Kami menjangkakan tahun kedua menjadi cukup dinamik,” tambahnya.

Situasi pasaran seluruh dunia di separuh masa pertama berbeza dan angka penyerahan kenderaan juga berbeza di setiap rantau dan pasaran.

Di Eropah, jumlah penyerahan kenderaan meningkat kepada 43,087, peningkatan tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Perkara sama dilaporkan di Jerman, iaitu pasaran tuan rumah. Penyerahan sebanyak 13,785 untuk enam bulan pertama 2022, juga peningkatan lima peratus.

Di China, Porsche berjaya menyerahkan 40,681 kenderaan walaupun berlakunya lockdown beberapa bulan di sesetengah bandaraya.

Secara keseluruhan, Porsche menjual 62,245 unit kenderaan di seluruh rantau Asia Pasifik, Afrika, dan Timur Tengah.

Di Amerika Syarikat, sebanyak 32,529 kenderaan diserahkan kepada pelanggan walaupun menghadapi beberapa masalah transit dan penghantaran.

Cayenne kekal model paling laris

Permintaan masih tinggi untuk model-model SUV. Sejumlah 41,947 unit Cayenne diserahkan kepada pelanggan sepanjang Januari hingga Jun 2022, menjadikannya model Porsche paling laris.

Ini diikuti dengan Macan di tempat kedua dengan 38,039 penyerahan. Ikon kereta sports iaitu 911, terjual sebanyak 21,616 unit di seluruh dunia.

Sementara itu, Taycan terjual sebanyak 18,877 unit walaupun terhalang oleh masalah-masalah produksi seperti rantaian bekalan.

Jualan untuk Panamera pula ialah sebanyak 15,604 unit, sementara 9,777 unit untuk 718 Boxster dan 718 Cayman.

Porsche sasar lebih 80 peratus jualan EV menjelang 2030

PORSCHE pada tahun lepas telah membuat jualan sebanyak 33.1 bilion Euro (RM153.55 bilion), peningkatan sebanyak 4.4 bilion Euro (RM20.4 bilion) berbanding tahun sebelumnya.

Kenaikan jualan ini telah menyumbang kepada keuntungan sebanyak 5.3 bilion Euro (RM24.59 bilion), tambahan 1.1 bilion Euro (RM5.1 bilion) berbanding tahun sebelumnya.

Porsche telah mencatat jualan sebanyak 301,915 unit di seluruh dunia pada tahun lalu. Antara model yang terlaris dijual adalah Macan (88,362 unit), diikuti dengan Cayenne (83,071 unit) dan Taycan (41,296 unit).

Tahun 2021 juga menyaksikan lebih 40 peratus jualan keseluruhan merupakan kereta elektrik (EV) jenis Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) mahupun Battery Electric Vehicle (BEV).

Porsche menyasarkan menjelang tahun 2025, separuh dari jualannya merupakan kereta PHEV dan BEV.

Menjelang 2030 pula, Porsche telah menyasarkan lebih 80 peratus dari jumlah jualannya merupakan BEV.

Untuk mencapai hasrat ini, Porsche juga telah melabur stesen pengecasan premium bersama rakan kongsinya sebagai tambahan kepada infrastruktur pengecasan milik Porsche yang sedia ada. Selain itu, Porsche juga telah menambah pelaburannya dari segi pembangunan sistem serta modul bateri.

Dalam membangunkan bateri berprestasi tinggi, Porsche telah menjalin usaha sama dengan Cellforce Group dan dijangka bakal memasuki fasa produksi menjelang 2024.

Tahun 2021 juga menyumbang kepada peningkatan jualan secara global. Porsche telah menjual 96,000 unit di China, peningkatan sebanyak lapan peratus berbanding tahun sebelumnya.

Di samping itu, jualan Porsche di US melonjak sebanyak 22 peratus dengan jualan lebih dari 70,000 unit.

Di Jerman sendiri, jualan Porsche bagi tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak sembilan peratus kepada hampir 29,000 unit.

Porsche Macan T yang lebih sporti tapi tidak menunjuk – 261hp dan 400Nm tork

PARA peminat Porsche pasti tahu varian T selama ini hanya dikhaskan untuk model 718 dan 911. Kini Porsche Macan pula diperkenalkan dengan varian ini.

Varian T atau Touring menawarkan elemen sporti dan mengujakan tanpa perlu nampak terlalu ekstrem, begitulah juganya dengan Porsche Macan T baharu ini. Ia diletakkan antara model asas Macan dan model lebih berkuasa Macan S.

Jadi, apa yang baharu pada Porsche Macan T?

  • Sport Chrono Package
  • Porsche Active Suspension Management (PASM), talaan khas 15mm lebih rendah
  • Porsche Torque Vectoring dengan talaan khas
  • Kemasan kelabu pada cermin sisi, spoiler, keliling gril, pemijak tepi
  • Kemasan hitam pada keliling cermin dan ekzos
  • Tulisan ‘Macan T’ pada ambang pintu
  • Casis talaan khas dengan anti-roll bar depan lebih keras

Porsche Macan T dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo 4-silinder yang menghasilkan 261hp 400Nm tork, dan menggunakan kotak gear PDK 7-kelajuan serta pacuan semua roda.

Prestasi 0-96km/j adalah 5.8 saat (0.2 saat lebih pantas dari Macan biasa) tetapi kelajuan maksima adalah sama, iaitu 232km/j. Suspensi adaptif boleh dipilih pelanggan sebagai pilihan tambahan.

Rim 20-inci diambil dari Macan S, tetapi unik untuk Macan T ialah tempat duduk sports dengan ciri pemanas dan pelarasan berkuasa 8-arah. Di tengah-tengah setiap tempat duduk terdapat kemasan Sport-Tex Stripe khas serta perehat kepala dengan tulisan ‘Porsche’.

Ciri lain adalah jahitan berwarna perak pada tempat duduk, perehat kepala, dan stereng, tetapi roda stereng sports GT dengan balutan Race-Tex adalah pilihan tambahan untuk tampak lebih sporti.

SUV ini juga dilengkapi dengan sistem infotainmen Porsche Communication Management (PCM) dengan skrin sesentuh 10.9-inci dan sistem navigasi secara standard.

Porsche Macan T kini boleh dibuat pra-tempahan, jika anda berminat bolehlah menghubungi mana-mana Porsche Centre seluruh negara.

Porsche Macan 2022 kini dengan kabin digital, kuasa sehingga 434hp, dari RM433k

PORSCHE Malaysia hari ini memperkenalkan Macan yang dikemaskini untuk 2022. Ia membawakan pembaharuan luar dan dalam termasuk enjin yang dinaiktaraf.

Rekaan luarannya kini menampilkan muka depan baharu yang membuatkan Porsche Macan nampak lebih lebar. Bukaan gril juga lebih besar dengan rekaan elemen tiga-dimensi untuk gaya lebih garang.

Bahagian belakang mengekalkan rekabentuk lampu LED bar nipis memanjang manakala di bawah menempatkan diffuser.

Macan juga mendapat lampu depan LED Porsche Dynamic Light System (PDLS) dan cermin sisi Sport Design sebagai standard. Rim lebih besar juga kini standard, bersaiz 19-inci dan ke atas.

Terdapat pilihan 14 warna untuk Porsche Macan 2022 kali ini termasuklah warna baharu Papaya Metallic dan Gentian Blue Metallic, manakala Pyhton Green adalah khas untuk Macan GTS.

Untuk bahagian kabin, Porsche Macan mendapat konsol tengah yang lebih moden dimana kebanyakan butang kini diganti dengan skrin sesentuh.

Tombol gear juga lebih pendek, manakala jam analogue di atas papan pemuka kini didatangkan secara standard.

Unit infotainmen adalah skrin bersaiz 10.9-inci dengan sistem Porsche Communication Management dan fungsi arahan suara. Selain itu, Macan juga mendapat stereng GT Sport dari 911.

Dari segi janaan kuasa, Macan dipacu oleh enjin 2.0-liter 4-silinder turbo yang ditala semula untuk menghasilkan 261hp dan 400Nm. Ini adalah peningkatan sebanyak 13hp dan 30Nm berbanding sebelum ini.

Macan S pula dikuasakan oleh enjin 2.9-liter V6 biturbo, cukup untuk 375hp iaitu 26hp lebih berbanding sebelum ini. Pecutan 0-100km/j boleh dibuat dalam 4.6 saat sahaja, dan kelajuan maksima ialah 259km/j.

Varian paling sporti ialah macan GTS yang mendapat enjin 2.9-liter V6 sama dengan Macan S, tetapi ditala untuk menghamburkan 434hp (59hp tambahan). Pecutan 0-100km/j boleh dicapai dalam 4.3 saat dan kelajuan maksima pada 272km/j.

Semua varian Macan dilengkapi dengan kotak gear PDK 7-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda Porsche Traction Management (PTM).

Harga Porsche Macan 2022 adalah seperti berikut:

Macan: RM433,154
Macan S: RM623,593
Macan GTS: RM786,232