Arkib Tag: lotus emira

Harga Lotus Eletre dan Emira naik sehingga RM96k di Malaysia

LOTUS Car Malaysia telah mengumumkan harga terkini bagi Hyper SUV Eletre dan kereta sport Emira yang berkuat kuasa serta merta.

Menurut pemegang francais tunggal itu, kemaskini harga ini adalah berikutan perkembangan pertukaran ringgit berbanding matawang asing utama dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Berbeza dengan harga anggaran asal yang diumumkan pada majlis pelancaran April lalu, harga cadangan untuk Eletre S adalah RM698,000 (naik daripada RM648,000). Sementara itu, varian tertinggi iaitu Eletre R kini berharga RM838,000 (naik daripada RM798,000).

Harga Eletre yang disenaraikan berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia dan Langkawi. Harga baharu untuk varian asas Eletre akan diumumkan kelak memandangkan ia tidak ditawarkan sehingga sekurang-kurangnya pada tahun 2025.

Bagi Emira pula, harga asal untuk Emira i4 First Edition ialah RM1,095,000 di Semenanjung Malaysia dan RM509,000 di Langkawi. Unit terhad dengan harga pengenalan RM998,800 ditawarkan berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat.

Emira V6 First Edition versi manual pula berharga RM1,289,000 di Semenanjung Malaysia (naik daripada RM1,205,800) dan RM529,000 di Langkawi (naik daripada RM478,800).

Emira V6 First Edition versi automatik kini ditawarkan pada harga RM1,309,000 di Semenanjung Malaysia (naik daripada RM1,225,800) dan RM539,000 di Langkawi (naik daripada RM493,800).

Mereka yang berminat untuk melihat secara dekat kedua-dua model ini boleh mengunjungi Lotus Store di Level 3, Pavilion Kuala Lumpur sehingga 30 September 2023. Di sana, Eletre S berwarna kuning Solar Yellow dan Emira V6 berwarna merah Magma Red ada dipamerkan.

Dibuka bermula 10am hingga 10pm setiap hari, bilik pameran itu menawarkan pengalaman tersendiri yang dibantu oleh Lotus Experts dan konfigurator yang membolehkan pelanggan menukar spesifikasi kereta mereka.

Lotus Emira i4 kini di Malaysia – Dari RM998,800, 2.0-liter 360hp/430Nm

LOTUS Cars Malaysia telah membuka tempahan bagi Emira i4 First Edition. Apa pula bezanya dengan Lotus Emira sebelum ini? Versi i4 ialah yang menggunakan nadi 2.0-liter turbo dari Mercedes-AMG, dan model ini ditawarkan pada harga permulaan RM998,800 termasuk cukai, tanpa insurans.

Harus diketahui bahawa harga ini hanya untuk kenderaan yang dikeluarkan pada 2023, selepas ini harganya akan meningkat sedikit kepada RM1.095 juta untuk Semenanjung Malaysia, dan RM509,000 untuk Langkawi.

Menurut Lotus, unit pertama untuk pelanggan Malaysia akan tiba pada November ini. Setiap unit Lotus Emira i4 hadir dengan jaminan tiga tahun, tanpa had perbatuan.

Dari segi rupa, Emira i4 nampak serupa dengan versi enjin V6. Bezanya, Emira i4 dipacu oleh enjin M139 Mercedes-AMG bersesaran 2.0-liter yang juga menjadi nadi kepada A45, CLA45 dan GLA45.

Enjin ni menjana 360hp dan 430Nm tork, dan dipadankan dengan kotak gear yang sama, iaitu dwi-klac AMG Speedshifft 8G. Tetapi tidak seperti Mercedes-AMG yang menggunakan pacuan semua-roda, Lotus Emira i4 tetap sebuah RWD (pacuan roda belakang).

Lotus Emira i4 juga menggunakan sistem kemasukan dan sistem ekzos berbeza dari AMG, yang pastinya memberikan bunyi serta respon berbeza pada jentera sports mid-engined ini.

Sebagai perbandingan, Emira V6 menggunakan enjin dari Toyota berkapasiti 3.5-liter dengan supercaj, dan menjana 406hp dan 420Nm. Dari segi pecutan, Emira i4 memecut ke 100km/j dalam 4.4 saat, hanya 0.1 saat lebih perlahan dari versi V6 manual, dan 0.2 saat di belakang Emira V6 automatik.

Lotus Emira i4 dibina dengan casis aluminium Lotus Sports Car Architecture yang sama dengan V6, tetapi perbezaan enjin menyebabkan versi i4 memerlukan subframe berbeza. Emira i4 juga 12kg lebih ringan.

Suspensi adalah sama, iaitu double-wishbone di depan dan belakang, dengan spring Eibach dan penyerap hentak monotube Bilstein untuk varian Tour dan Sport.

Rim adalah 20-inci dibaluti dua pilihan tayar iaitu Goodyear Eagle F1 Supersport (casis Tour) atau Michelin Pilot Sport Cup 2 (casis Sport). Profil tayar adalah 245/35 di depan dan 295/30 di belakang.

Ia datang standard dengan brek AP Racing bersaiz 370mm di depan, dan 350mm di belakang. Emira i4 juga dilengkapi dengan sistem stereng elektrohidraulik, sistem ESC yang ditala semula, dan e-Diff yang melaras brek belakang untuk menyalurkan tork pada tayar yang mempunyai cengkaman lebih tinggi.

Ciri lain pada Lotus Emira i4 termasuklah lampu LED, paparan instrumen 12.3-inci, paparan infotainmen 10.25-inci dengan sambungan Apple Carplay dan Android Auto, tempat duduk berkuasa, balutan kulit Nappa atau Alcantara pelbagai pilihan warna, dan kemasan krom.

Anda boleh pilih sehingga 13 warna untuk badan, antaranya Hethel Yellow, Magma Red, Vivid Red, Dark Verdant, Seneca Blue, Atlantis Blue, Meridian Blue, Osmium Silver, Nimbus Grey, Shadow Grey, Zinc Grey, Mist White dan Cosmos Black.

Ciri khas pada model First Edition adalah empat pakej yang boleh anda pilih iaitu Lower Black Pack, Design Pack, Convenience Pack, dan Lotus Drivers Pack.

Emira akan menjadi model Lotus terakhir dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), jadi adakah ini bermakna ia bakal mencapai status future classics dan harganya meningkat?

Lotus Emira lebih mesra road tax dilancar – 2.0 turbo dari Mercedes-AMG

SEMASA pelancaran Lotus Emira lebih setahun lepas, kita dimaklumkan bahawa akan terdapat dua pilihan enjin iaitu 3.5-liter supercaj V6 dari Toyota dan 2.0-liter turbo dari Mercedes-AMG.

Mereka telah mendedahkan perincian Emira dengan enjin 3.5-liter malah model itu telah mendarat di Malaysia. Anda boleh tonton video liputan kami di bawah.

Kini, mereka mendedahkan pula maklumat lanjut mengenai pilihan enjin kedua. Unit 2.0-liter itu merupakan enjin yang menjadi nadi kepada banyak model AMG 45, dan kira-kira 11.7kg lebih ringan.

Enjin M139 4-silinder ini menjana 360hp untuk Emira, walaupun ia mampu mengahmburkan sehingga 421hp dan 500Nm pada A45S facelift. Kotak gear yang digandingkan juga dari Mercedes-AMG iaitu automatik dwi-klac 8-kelajuan, tiada pilihan manual seperti pada enjin 3.5-liter V6.

“Enjin 2.0-liter ini merupakan unit 4-silinder turbo produksi paling berkuasa di dunia. Walaupun berprestasi tinggi, ia cukup efisyen disebabkan teknologi canggih padanya, dan melepaskan emisi yang rendah dan prestasi linear,” kata Gavan Kershaw, pengarah kenderaan Lotus pada 2021.

Penyerahan Lotus Emira dengan enjin 4-silinder dijangka bermula hujung tahun ini. Walaupun Lotus tidak mendedahkan sebarang angka prestasi, kami jangkakan Emira dengan enjin 2.0-liter ini mampu memecut 0-100km/j lebih pantas dari 4.3 saat yang dicatat oleh 3.5 V6.

Ini kerana walaupun bersesaran lebih kecil, enjin itu lebih ringan dan mampu rev lebih pantas, ditambah pula dengan kotak gear AMG yang cukup laju. Cuma menarik untuk melihat bagaimana enjin M139 ini dipadankan pada jentera pacuan roda-belakang (RWD), tidak seperti AMG 45 dengan AWD 4Matic.

Apa pun, harus diketahui juga bahawa Emira akan menjadi model Lotus terakhir dengan enjin pembakaran dalaman (ICE). Kesemua model Lotus selepas ini adalah elektrik, seperti SUV Eletre.

Jika anda berkemampuan, cepat-cepat rebut peluang memiliki Lotus berenjin petrol terakhir. Tambahan pula versi 2.0 ini lebih mesra cukai jalan (road tax)!