Arkib Tag: Lotus Cars Malaysia

Harga Lotus Eletre dan Emira naik sehingga RM96k di Malaysia

LOTUS Car Malaysia telah mengumumkan harga terkini bagi Hyper SUV Eletre dan kereta sport Emira yang berkuat kuasa serta merta.

Menurut pemegang francais tunggal itu, kemaskini harga ini adalah berikutan perkembangan pertukaran ringgit berbanding matawang asing utama dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Berbeza dengan harga anggaran asal yang diumumkan pada majlis pelancaran April lalu, harga cadangan untuk Eletre S adalah RM698,000 (naik daripada RM648,000). Sementara itu, varian tertinggi iaitu Eletre R kini berharga RM838,000 (naik daripada RM798,000).

Harga Eletre yang disenaraikan berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia dan Langkawi. Harga baharu untuk varian asas Eletre akan diumumkan kelak memandangkan ia tidak ditawarkan sehingga sekurang-kurangnya pada tahun 2025.

Bagi Emira pula, harga asal untuk Emira i4 First Edition ialah RM1,095,000 di Semenanjung Malaysia dan RM509,000 di Langkawi. Unit terhad dengan harga pengenalan RM998,800 ditawarkan berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat.

Emira V6 First Edition versi manual pula berharga RM1,289,000 di Semenanjung Malaysia (naik daripada RM1,205,800) dan RM529,000 di Langkawi (naik daripada RM478,800).

Emira V6 First Edition versi automatik kini ditawarkan pada harga RM1,309,000 di Semenanjung Malaysia (naik daripada RM1,225,800) dan RM539,000 di Langkawi (naik daripada RM493,800).

Mereka yang berminat untuk melihat secara dekat kedua-dua model ini boleh mengunjungi Lotus Store di Level 3, Pavilion Kuala Lumpur sehingga 30 September 2023. Di sana, Eletre S berwarna kuning Solar Yellow dan Emira V6 berwarna merah Magma Red ada dipamerkan.

Dibuka bermula 10am hingga 10pm setiap hari, bilik pameran itu menawarkan pengalaman tersendiri yang dibantu oleh Lotus Experts dan konfigurator yang membolehkan pelanggan menukar spesifikasi kereta mereka.

Gentari, Lotus meterai kerjasama bangunkan infrastruktur pengecasan EV

Gentari Sdn Bhd (Gentari) menerusi anak syarikatnya Gentari Green Mobility Sdn Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Lotus Cars Malaysia (LCM) untuk meneroka kerjasama dalam pembangunan infrastruktur mobiliti hijau.

Majlis tandatangan yang dilakukan semasa pelancaran Lotus Eletre menyaksikan Gentari diwakili oleh Ketua Pegawai Mobiliti Hijau, Shah Yang Razalli, manakala Lotus Cars Malaysia diwakili oleh Pengurus Besar, Tengku Ezan Ley.

Merangkumi tempoh selama dua tahun, MoU tersebut akan menyaksikan Gentari bekerjasama dengan LCM bagi membangunkan infrastruktur pengecasan EV di kemudahan LCM dan juga kawasan awam, serta penawaran pakej pengecasan EV untuk pemilik kenderaan elektrik Lotus.

Selain itu, perjanjian itu turut menyasarkan kerjasama berpotensi lain seperti pengenalan solusi Armada Kenderaan Sifar Pelepasan di Malaysia, penggunaan tenaga boleh diperbaharui di kemudahan LCM serta platform digital dengan LCM.

“Hari ini, kami bekerjasama dengan Lotus Cars Malaysia untuk memudahkan pemandu kereta berprestasi tingginya untuk turut mengurangkan jejak karbon mereka dengan setiap kilometer perjalanan,” kata Shah Yang Razalli.

Sementara itu, Tengku Ezan Ley berkata kerjasama ini membolehkan pihaknya untuk menyokong pemilik EV jenama Lotus bermula dengan Eletre dengan meningkatkan kemudahan bagi membolehkan mereka merancang perjalanan dengan lebih efektif.

Sejak pengenalannya pada Jun 2022, Gentari menerusi entiti gabungannya telah membuka lebih 150 poin pengecasan di 35 lokasi di Malaysia dan 160 poin pengecasan di India.