Lotus Cars Malaysia buka cawangan di Pulau Pinang, yang pertama di luar Lembah Klang


Lotus Cars Malaysia telah melancarkan cawangan ketiganya bagi mengukuhkan kehadirannya di negara ini.
Di samping cawangan di Pavilion Damansara Heights dan Glenmarie Kuala Lumpur, Lotus Store Pulau Pinang menjadi cawangan pertama Lotus yang terletak di luar Lembah Klang sejak beroperasi di negara ini 28 tahun lalu.
Terletak secara strategik di No 2A-01-02, Jalan Penang, 10000 Georgetown, Pulau Pinang, cawangan baharu ini mempamerkan dua model Lotus iaitu Emira dan Eletre, serta ruang konfigurator di mana pelanggan boleh memilih warna dan kemasan untuk kenderaan Lotus mereka.
“Pulau Pinang adalah lokasi yang sangat penting dan strategik untuk Lotus Cars Malaysia, dan kami amat berbesar hati untuk memperkenalkan kemudahan yang beroperasi sepenuhnya ini pada tahun 2024,” kata Pengarah Eksekutif Lotus Cars Malaysia, Mohamad Reza bin Abdul Mutalib.
Untuk pasaran Malaysia, Lotus Cars Malaysia menawarkan barisan lengkap Lotus yang terdiri daripada SUV prestasi elektrik iaitu Eletre, Hyper GT elektrik iaitu Emeya dan kereta sport enjin-tengah iaitu Emira.
Selain versi asas, Eletre dan Emeya juga boleh didapati dalam versi S dan R, manakala Emira ditawarkan dalam versi First Edition, First Edition V6, Turbo dan Turbo SE.
Sempena pembukaan Lotus Store Pulau Pinang, pelanggan yang membeli Lotus Emira akan menikmati pengalaman melawat kilang Lotus di Hethel, United Kingdom pada April dan Oktober 2025.
Bukan itu sahaja, mereka juga berpeluang untuk memandu Emira di litar ujian Lotus yang ikonik.
Selain itu, Lotus Cars Malaysia juga menawarkan pelan pembiayaan untuk Eletre dengan ansuran bulanan bermula dari RM6,388.

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.