Arkib Tag: Langkawi

SPRM buru 100 kereta mewah yang dibawa keluar dari Langkawi

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam usaha menjejaki sebanyak 100 kenderaan mewah pelbagai jenama termasuk McLaren dan Ferrari yang dibawa keluar dari Langkawi, Kedah.

Menurut laporan Harian Metro, pemilik-pemilik kenderaan itu dipercayai bersekongkol dengan sindiket untuk membawa keluar kereta itu dari Langkawi dengan mendapat pengurangan duti kereta mewah secara tidak sah sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

Sumber mengatakan terdapat 100 kenderaan mewah yang berada di atas jalan raya di seluruh negara selepas dibawa keluar dari Langkawi oleh sindiket terbabit.

Kata sumber itu lagi, ada di antara kenderaan itu yang dibeli pada 2015 lagi dan sudah bertukar pemilik asalnya hingga pemilik ketiga.

“SPRM sudah mengumpul dokumen berkaitan kenderaan mewah terbabit bagi mengesan kenderaan itu dan membantu siasatan. Siasatan akan diteruskan bagi membawa pulang kembali ketirisan wang cukai kerajaan oleh sindiket terbabit,” katanya.

SPRM akan mengesan individu yang bersubahat dengan sindiket untuk mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah dari Langkawi.

Dalam fasa pertama operasi khas yang dijalankan di utara negara ini pada 13 Julai lalu, SPRM berjaya menyita 20 kereta mewah dan menumpaskan satu sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta.

Operasi itu menyaksikan seramai tujuh individu ditahan di Kedah dan mereka yang dikesan ini adalah ejen sebuah agensi kerajaan yang bersubahat dengan mengemukakan maklumat palsu.

“Siasatan SPRM mendedahkan suspek itu bersubahat bersama pemilik kereta terbabit dengan mengemukakan dokumen yang mempunyai maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam,” kata sumber.

LIMA 2023: The Black Eagles tiba dengan lapan T-50, singgah Kuantan sebelum Langkawi

PASUKAN aerobatik The Black Eagles hari ini tiba di Malaysia setelah berlepas dari Korea Selatan untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023.

The Black Eagles yang merupakan pasukan dari Tentera Udara Diraja Korea (ROKAF) itu berlepas dan terbang melalui Filipina, sebelum singgah di Kuantan, Pahang.

Menurut siaran di Facebook The Republic of Korea Air Force Aerobatic Team, Black Eagles 블랙이글스, mereka berlepas dari Wonju, dan tiba di Clark, Filipina melalui Jeju dan Kaoong.

“The Black Eagles akan menyertai Pameran Udara Lima di Langkawi, Malaysia dari 23 hingga 27 Mei!” tulis siaran itu.

Beberapa pesawat T-50 The Black Eagles berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan.

Dalam pada itu, rakan penulis Engear berkongsi video pesawat-pesawat The Black Eagles yang sedang berlepas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang, petang tadi.

Difahamkan pasukan itu singgah di Kuantan sebelum meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

The Black Eagles menerbangkan pesawat KAI T-50 Golden Eagle yang merupakan pesawat latihan supersonic yang digunakan tentera udara Korea Selatan.

T-50 juga mempunyai varian LCA (light combat aircraft) iaitu FA-50 yang telah ditempah oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam program Fighter-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA).

Pengeluar FA-50, Koraea Aerospace Industries Co (KAI), pada Februari lepas dilaporkan telah menandatangani kontrak bernilai 1.2 trilion won (RM4.08 bilion) untuk membekalkan 18 pesawat pejuang kepada Malaysia.

Sumber gambar: Facebook

KLIA, LIA tercalon sebagai lapangan terbang terbaik oleh ASQ

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) telah tercalon sebagai antara lapangan terbang terbaik di dunia dalam kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) untuk suku kedua tahun ini.

Lapangan Terbang Langkawi (LIA) – Gambar oleh: Perspective of Langkawi

Kedua-dua lapangan terbang itu meraih skor sempurna 5.00 dalam tinjauan global oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) yang mengukur kepuasan penumpang secara keseluruhan daripada segi keselamatan, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan terminal.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Gambar oleh: klia.info

Pencapaian KLIA ini turut dikongsi dengan tujuh lapangan terbang lain dalam kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa) dan LIA adalah satu-satunya lapangan terbang yang mendapat mata penuh dalam kategori 2.0 – 5.0 mppa.

“Memang agak mencabar untuk mengekalkan pengalaman penumpang yang hebat apabila kami terus mengalu-alukan ketibaan lebih ramai penumpang di lapangan terbang kami, tetapi kami tidak akan goyah dalam komitmen kami untuk berbuat demikian,” kata Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd, Datuk Iskandar Mizal Mahmood dalam satu kenyataan.

“Keputusan ASQ terbaharu ini adalah manifestasi komitmen kami, yang bukan sahaja daripada Malaysia Airports tetapi seluruh komuniti lapangan terbang.”

Beliau berkata bagi KLIA, tiga pujian yang diterima melalui tinjauan ASQ adalah proses yang lancar di titik sentuh, bantuan di lapangan yang sopan dan daftar masuk pantas di kaunter.

Pada Julai 2022, Malaysia Airports Group mencatatkan sejumlah 7.8 juta pergerakan penumpang – 4.8 juta pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang tempatan dan 3.0 juta penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen, Turki.

Kumpulan itu merekodkan 3.1 juta pergerakan domestik serta 1.6 juta pergerakan antarabangsa di Malaysia pada bulan lepas, peningkatan 26 peratus yang menggalakkan berbanding bulan sebelumnya.

Setakat ini, kedua-dua segmen telah menunjukkan trend pemulihan yang agak positif, dengan trafik domestik serta antarabangsa masing-masing mencapai 66 peratus dan 18 peratus daripada jumlah sebelum Covid-19.

Pameran LIMA akan diteruskan – Hishamuddin

MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan Penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) akan diteruskan.

Beliau berkata, penganjuran LIMA banyak bergantung dengan kejayaan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2022 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang bermula 28 hingga 31 Mac 2022.

Pameran LIMA. Gambar oleh: Defense News

“Sama ada kita teruskan penganjuran LIMA banyak bergantung kepada kejayaan kita di DSA dengan NATSEC Asia 2022,” katanya.

“Jelas dalam empat hari ini, semua telah membantu menyakinkan Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) bahawa kita boleh (meneruskan LIMA tahun hadapan).

“Dan saya percaya dengan kejayaan DSA dan NATSEC 2022 meletakkan kita di atas asas yang cukup baik untuk mengadakan dan menjayakan LIMA tahun hadapan.”

Beliar berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup DSA dan NATSEC 2022, semalam.

Sebelum ini, penganjuran LIMA’21 yang dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 20 Mac 2021 dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

Pelancong Langkawi melalui jalan udara tidak perlu surat kebenaran polis – Menteri Kesihatan

MEREKA yang melancong ke Pulau Langkawi, Kedah menaiki penerbangan bermula 16 September ini tidak perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis, kata Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan.

Sumber: Bernama

Dalam ciapan di Twitter, Khairy berkata hanya mereka yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri tersebut sahaja perlu berbuat demikian.

“Bagi program perintis pelancongan ‘travel bubble’ Langkawi, surat dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan rentas negeri dan sekatan jalan raya diperlukan sekiranya pelancong melalui jalan darat,” katanya.

Pada 9 September, kerajaan mengumumkan kebenaran kepada pengunjung domestic dari seluruh negara untuk mengunjungi Langkawi, kecuali mereka yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Purau peranginan di utara tanah air yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan itu adalah terhad kepada individu yang lengkap dos vaksin Covid-19.