Arkib Tag: komersial

Mercedes Actros L dengan rekaan futuristik, lebih aerodinamik, ciri premium

SEJAK diperkenalkan pada Jun 2021, Mercedes Actros L menjadi penanda aras untuk trak diesel heavy-duty kategori premium.

Kini, Mercedes-Benz memperkenalkan Actros L 2024 dengan rekaan futuristik, lebih aerodinamik, enjin cekap, padat ciri-ciri keselesaan, dan dilengkapi ciri keselamatan terkini.

Kita lihat bentuk luaran dahulu. ‘Kepala’ trak ini dikenali sebagai ProCabin dan direka khas untuk aerodinamik.

Dari spoiler depan di bumbung, tiang-A, panel deflektor di sisi, dan flap depan kesemuanya direka dengan ruang udara minima untuk aerodinamik tetapi cukup bukaan untuk penyejukan.

Kelengkapan lain bahagian luaran termasuklah logo Mercedes berwarna Dark Chrome, plat pemijak aluminium, lampu LED sekeliling, dan lampu depan Matrix LED.

Ruang pemandu ProCabin pula mengutamakan keselesaan. Terdapat tiga varian – Stream, Big, dan Giga Space – yang menawarkan ciri seperti pemanas tempat duduk, alas tempat duduk baharu, dan ruang rehat dengan tilam premium tebal.

Ciri tambahan yang boleh dipilih adalah lampu ambien, lampu bacaan LED, soket USB-C, langsir berkualiti tinggi, peti sejuk, dan soket 230-volt. Dah macam dalam kereta Mercedes!

Bermula April 2025 juga, anda boleh melengkapkan Actros L dengan Multimedia Cocpit Interactive 2 yang hadir dengan rekaan menu baharu, arahan suara, sambungan telefon pintar lebih baik, dan ciri Connected Traffic Warnings.

Nadi kepada trak besar ini ialah enjin diesel OM 471 generasi ketiga iaitu unit 12.8-liter yang menawarkan prestasi, kecekapan bahan api, pelepasan karbon lebih rendah, dan kos operasi lebih rendah.

Sebagai sebuah Mercedes, Actros L padat dengan ciri keselamatan canggih dan terkini. Trak ini dilengkapi dengan Active Brake Assist 6, Active Sideguard Assist 2, Front Guard Assist, dan Active Drive Assist 3 yang membawakan pemanduan semi-auto.

Trak futuristik ini boleh mula ditempah bulan ini, tetapi pengeluaran hanya akan bermula pada Disember 2024 nanti.

Isuzu medium-duty FVR kini dengan enjin Euro 5, kotak gear AMT

ISUZU Malaysia hari ini memperkenalkan FVR 240 yang diperbaharui dengan dua ciri utama iaitu enjin Euro 5 dan kotak gear AMT (automated manual transmission) 6-kelajuan.

Pengenalan transmisi AMT ini bukanlah baharu di Malaysia, kerana Isuzu sebelum ini memberikannya pada trak heavy-duty Giga dan light-duty ELF.

Jadi kali ini, giliran FVR medium-duty pula mendapat kotak gear separa automatik ini. FVR merupakan trak chasis tegar 4×2 dengan kelas 19 tan.

Berkenaan enjin tadi, Isuzu FVR 240 kini dilengkapi dengan penarafan Euro 5. Enjin diesel 6-silinder dengan kapasiti 7.8-liter itu menjana 240hp dan 706Nm tork, dan ia boleh menerima diesel B20.

Transmisi AMT dengan dua-pedal direka untuk mengurangkan beban kepada pemandu dan paling penting, mengurangkan downtime disebabkan penyelenggaraan klac.

Ciri lain pada Isuzu FVR 240 baharu ini adalah lampu depan LED, beg udara SRS, brek ABS, soket pengecasan USB, penggera kabin condong, Hill Start Aid, dan Immobiliser.

Isuzu FVR 240 baharu juga dilindungi dengan jaminan 3-tahun atau 200,000km (yang mana dahulu).

MAN catat pertumbuhan ketara pada 2023 – jualan bas, trak, van meningkat

PENGELUAR kenderaan komersial MAN Truck & Bus mencapai pertumbuhan jualan yang ketara dalam seluruh rangkaian produk pada tahun kewangan 2023.

Secara keseluruhan, syarikat kenderaan komersial itu berjaya menyerah sekitar 116,000 kenderaan. Ini merupakan peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding 2022, walaupun masih terjejas dengan kesesakan bekalan dan penurunan permintaan disebabkan pandemik.

Perniagaan enjin luaran adalah terbaik dalam sejarahnya selepas 2014. Dari 11,600 yang terjual, lebih separuh daripadanya kepada pelanggan dalam sektor pertanian – untuk digunakan dalam traktor atau penuai gabungan.

Jualan trak meningkat sebanyak 44 peratus kepada sekitar 83,700 unit berbanding tahun sebelumnya. Jualan bas juga meningkat sebanyak 19 peratus kepada sekitar 5,700 unit.

Semua segmen mencatat pertumbuhan kukuh, dengan pasaran bas dan koc khususnya, yang telah dengan ketara. Jualan koc meningkat lebih daripada dua kali ganda kepada lebih 1,100 kenderaan.

Memandangkan MAN dapat memenangi tender penting dalam perniagaan bas bandar dan arah aliran ke arah kenderaan elektrik bateri berterusan tanpa henti, jualan bas elektrik meningkat lagi.

Sejumlah 263 bas bandar elektrik telah dijual pada 2022 dan angka ini telah meningkat kepada 771 kenderaan menjelang 2023.

Bersama-sama dengan pelancaran pasaran trak elektrik MAN eTruck pada bulan Oktober, MAN dapat meneruskan strateginya untuk menyahkarbon armada kenderaannya secara sistematik.

Menjelang 2030, separuh daripada semua trak MAN baharu dan kira-kira 90 peratus daripada semua bas bandar baharu akan mempunyai pemacu elektrik bateri. Kerja-kerja juga sedang dijalankan untuk membina koc elektrik masa depan.

Perniagaan van juga meningkat dengan ketara. Sekitar 26,600 van telah diserahkan kepada pelanggan, peningkatan sebanyak 23 peratus.

Friedrich Baumann, Ketua Pegawai Jualan dan Penyelesaian Pelanggan di MAN Truck & Bus SE berkata: “Selepas beberapa tahun yang sangat mencabar, kami kembali ke jalan menuju kejayaan. Kami berjaya memenuhi kehendak pasaran dengan portfolio produk inovatif kami dan perkhidmatan berorientasikan pelanggan.

“Ini merupakan salah satu sebab mengapa kami berjaya mencatat jualan cemerlang pada tahun kewangan 2023.

“Disebabkan prestasi pasukan yang kukuh merentas semua bidang syarikat, kami dapat memenuhi permintaan yang sangat tinggi dengan cara yang terbaik dan menjual lebih banyak kenderaan dan enjin berbanding tahun-tahun sebelum ini.”

Hyundai Staria-Load: Van komersial dengan rupa futuristik, tetapi bukan EV!

DIPERKENALKAN pada Mac lalu, Hyundai Staria adalah MPV dengan rekaan futuristik yang mampu memuatkan sehingga 11 penumpang.

Kini, jenama dari Korea Selatan itu memperkenalkan pula versi komersial yang dikenali sebagai Staria-Load. Difahamkan, ia dibangunkan khas untuk pasaran Australia sebagai pengganti model terdahulu iaitu iLoad.

Dari segi penampilan, Staria-Load mempunyai rupa yang sama dengan model asas kecuali tingkap sisi pada kedua-dua sebelah kiri dan kanan telah digantikan dengan panel dalam warna yang sama badan, manakala rim yang digunakan pula adalah jenis keluli.

Ia boleh didapati sama ada dengan dua atau lima tempat duduk, dengan pilihan tailgate jenis terpisah (barn door) atau liftback seperti yang terdapat pada Staria.

Seperti kebanyakan van komersial yang lain, pilihan warna adalah terhad dan bagi model ini, hanya dua warna yang ditawarkan iaitu Shimmering Silver dan Creamy White.

Menurut Hyundai, versi dua tempat duduk menawarkan ruang kargo berkapasiti 4,935 liter dan mampu membawa tiga buah palet kayu bersaiz Euro (1,200mm x 800mm).

Versi lima tempat duduk juga tidak kurang hebatnya, dengan ruang kargo berkapasiti 2,890 liter yang boleh memuatkan dua buah palet kayu Euro yang disusun secara bertindih.

Staria-Load didatangkan dengan satu pilihan enjin sahaja iaitu enjin turbodiesel 2.2-liter empat silinder yang menghasilkan 174hp pada 3,800rpm dan 430Nm dari 1,500 hingga 2,500rpm.

Kuasa disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi automatik lapan kelajuan – berbeza dengan iLoad yang mempunyai pacuan roda belakang. Pun begitu, ia masih berupaya untuk menunda beban sehingga 2,500kg.

Biarpun ia merupakan sebuah van komersial, Staria-Load tidak lekang dengan ciri-ciri mewah dan kemudahan yang boleh menjadikan pemanduan lebih selesa.

Antara ciri yang disertakan secara standard termasuk stereng dan tombol gear yang dibalut dengan kulit, kluster instrumen dengan paparan digital berukuran 4.2 inci, serta skrin multimedia lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Turut disertakan adalah pad pengecas tanpa-wayar.

Sistem keselamatan pula merangkumi tujuh beg udara serta sistem bantuan pemandu (ADAS) seperti Blind Spot Collision Avoidance Assist-Rear, Driver Attention Warning, Forward Collision Avoidance Assist, Lane Following Assist, Lane Keeping Assist, Rear Cross-Traffic Collision Avoidance Assist, Safe Exit Warning, Smart Cruise Control dengan fungsi Stop & Go dan Surround View Monitor.

Menurut laman web Hyundai Australia, harga bagi Staria-Load bermula dari AUD50,141 (kira-kira RM152,538).