Arkib Tag: kasut

Porsche dan Puma bekerjasama untuk kasut edisi khas sempena ulang tahun 911

PORSCHE akan menyambut ulang tahun ke-60 model 911 dengan sneaker edisi terhad. Ianya kerjasama antara Porsche Lifestyle Group dengan Puma, dan sneaker itu berasaskan 911 versi moden serta klasik.

Model pertama iaitu Retro Sneaker mengambil inspirasi Porsche 911 S 2.5 1972 yang tirus dan kecil. Ia dikemaskan dengan kulit lembut dan balutan suede, dan lidahnya mendapat jahitan berwarna merah.

Sneaker berwarna biru cerah ini juga menampilkan nombor 56, iaitu salah satu kereta bersejarah dari era itu. Bahagian berjaring pada lidah juga didatangkan dengan lencana Porsche 911 S/T, bersama logo “60 Years of Porsche 911” berwarna hitam dan putih.

Hanya 1,972 pasang Retro Sneaker akan dihasilkan seluruh dunia, dan setiap satu hadir dengan nombor siri khas.

Kasut kedua pula ialah Heritage Sneaker, yang diinspirasikan dari Porsche 911 S/T 2024. Jadi untuk sneaker ini, ia mempunya profil lebih moden.

Dengan warna biru/kelabu, kasut kulit lembut ini mirip kereta ulangtahun 911 S/T, manakala lapisan dalam kasut berwarna coklat cognac seperti kabin kereta.

Nombor 63 pada kasut ini merujuk kepada tahun kelahiran Porsche 911, dan hanya 1,963 pasang Heritage Sneaker ini akan dihasilkan.

Sama seperti Retro Sneaker, kasut ini juga didatangkan dengan logo “60 Yeas of Porsche 911” pada tag gantung, yang juga diperbuat dari kulit.

Porsche 911 S/T baharu merupakan versi lightweight untuk generasi 992 semasa dengan komponen dikongsi dengan GT3 RS dan GT3 Touring.

Kedua-dua kasut ini akan dilancarkan dalam acara pra-jualan khas pada 5 September depan.

Nissan Kicks 327 Edition kereta unik hasil kerjasama dengan New Balance

PENGELUAR kereta bekerjasama dengan jenama-jenama luar bidang automotif bukanlah suatu perkara baharu. Kebiasaannya kita melihat kerjasama antara kereta dan jam tangan, selain dengan kasut sneaker.

Satu lagi kerjasama yang dapat kita jangkakan ialah Nissan, menerusi kempen terbaharu mereka di Jepun. Dengan nama kereta mengikut slang untuk kasut, Nissan Kicks telah dijelmakan sebagai versi sepasang sneaker, lebih tepat lagi New Balance 327.

Perkenalkan, Nissan Kicks 327 Edition.

Untuk merealisasikan projek ini, Nissan ‘membalut’ Kicks e-Power 4WD dengan reka bentuk mirip New Balance 327. Terdapat logo besar di bahagian kanan SUV itu, manakala bahagian kiri menampilkan tulisan “Nissan Kicks 3227 Edition”.

Sementara itu, bahagian lain dikenakan dengan fabrik suede dan tapak putih New Balance yang ikonik, menyempurnakan pericincian sneaker itu. Bumbung Nissan Kicks juga hadir dengan ‘lidah dan kolar’ manakala talinya disambung pada hud depan.

Nissan Kicks 327 Edition ini bukan hanya sekadar kempen edisi terhad. Kereta atau hasil karya seni ini akan dipamerkan di Nissan Crossing, iaitu galeri baharu dii Ginza.

Ia akan dipromosikan dengan motto “Catch the Kicks” dimana mereka yang melihatnya dan memuatnaik gambar ke Twitter akan berpeluang memenangi sebuah Nissan Kicks e-Power 4WD sebenar. Cuma tidak dinyatakan sama ada kereta hadiah itu mendapat livery 327 Edition atau tidak.

Sementara itu, pelekat Nissan Kicks 327 Edition boleh didapati di cawangan New Balance Ginza bermula 24 Januari, selagi stok masih ada. Mereka yang membawa pelekat itu ke Crossing Cafa di tingkat atas pula akan mendapat kopi macchiato istimewa.

Mazda x Mizuno ialah kasut memandu dengan rekaan Kodo Design

INI ada satu produk menarik untuk pemilik dan peminat Mazda. Pengeluar itu bekerjasama dengan jenama sukan Jepun, Mizuno, untuk memperkenalkan kasut memandu yang membawakan falsafah rekaan mereka.

Kasut memandu ini direka dengan garisan-garisan ringkas dan minima, sama seperti apa yang kita boleh lihat pada kenderaan-kenderaan Mazda.

Dinamakan Mazda x Mizuno, kasut ini bukan untuk rupa semata-mata. Menurut kenyataan Mazda, kasut ini direka untuk memberikan “kawalan pedal ringan, stabil dan selesa.”

Terdapat juga ciri penting lain seperti sokongan dorsiflexion yang menambahbaik kebolehkawalan dan ketepatan pedal.

Selain itu, mempunyai tapak melengkung yang meningkatkan sentuhan pada lantai, sambil membolehkan kaki digerak semasa memandu. Jaring berstruktu pada tendon Achilles pula menyerap gerakan dan mengekalkan keselesaan kaki.

Walaupun kebanyakan kasut memandu mempunyai tapak nipis dan keras, lantas menjadikannya kurang selesa di luar kereta, Mizuno menampilkan teknologi Cob untuk ‘kusyen’. Ini membolehkan rasa dan tindakbalas menerus dari pedal, tetapi masih selesa untuk berjalan.

Kasut Mazda x Mizuno ini baru permulaan untuk pengeluar kereta itu membabitkan diri dalam barangan gaya hidup.

Kasut memandu ini boleh didapati untuk pra-tempahan di Makuake dengan harga 39,600 Yen (RM1,502). Penghantaran dijangka bermula pada Mac 2022. Tetapi penghantaran ke luar Jepun tidak dinyatakan.

Korang pemilik Mazda minat dengan kasut ini? Patutkah Mazda Malaysia bawa masuk sebagai pilihan aksesori?

Lima jenis kasut sesuai dipakai ketika menaiki motosikal

PEMAKAIAN kasut ketika menunggang motosikal adalah suatu yang tidak boleh diambil mudah.

Ramai kalangan penunggang atau pembonceng motosikal sering kali mengabaikan pemakaian kasut sekaligus mengundang risiko tinggi kecederaan jika berlaku kemalangan.

Berdasarkan peraturan jalan raya negara ini, penunggang motosikal diwajibkan memakai kasut.

Hal ini bersesuaian dengan undang-undang di bawah Seksyen 15(B) Kaedah Lalulintas Nombor LN177/1959 Etika Berpakaian Kemas dan Bersih.

Walaupun ada menganggap agak ‘leceh’ untuk memakai kasut setiap kali menunggang motosikal namun, perlu diingat keselamatan perlu diutamakan.

Maka, kami ingin kongsikan kepada anda tips memilih kasut yang sesuai ketika menaiki motosikal.

Pilih saiz kasut bersesuaian

Pemilihan size kasut yang sesuai amat penting kepada setiap penunggang atau pembonceng.

Kasut tidak boleh terlalu ketat dan terlalu longgar.

Jika kasut terlalu ketat akan mengundang rasa tidak selesa dan kasut terlampau besar pula boleh menyebabkan ia melayang ketika meluncur di jalan raya.

Pakai kasut kalis air

Penggunaan kasut kalis air penting terutama ketika keadaan hujan.

Ia mampu ‘menyelamatkan’ kaki anda daripada basah sekaligus memberi keselesaan menunggang ketika hujan.

Bagaimanapun, kebanyakan kasut jenis ini agak mahal di pasaran dan bergantung kepada jenama anda pilih.

Elak pemakaian kasut tapak nipis

Anda perlu elak pemakaian kasut yang mempunyai tapak nipis bagi mengelak kecederaan jika berlaku kemalangan.

Bayangkan jika kaki anda tersepit jika berlaku kemalangan atau terpijak objek tajam secara tidak sengaja…okey! Tak nak bayangkan!

Apa yang pasti, elak pemakaian kasut jenis tapak nipis!

Beli kasut original

Terdapat banyak jenama ‘kasut motosikal’ di pasaran dengan pelbagai harga.

Nasihat kami, jangan kedekut untuk beli kasut original kerana kualitinya lebih terjamin.

Ya, mungkin ramai tidak mampu membeli kasut jenama tertentu kerana harganya yang mahal.

Maka, kumpul duit dan beli ‘kasut motosikal’ yang original. Sebenarnya, sekarang ini dah banyak juga jenama kasut dengan harga mampu milik.

Pakai kasut jenis ‘high cut’ dan bertali

Tunggangan jarak jauh sesuai dengan pemakaian kasut jenis ‘high cut’ dan bertali.

Dengan itu, ia mampu memberi perlindungan menyeluruh terhadap kaki anda terutama daripada bendasing seperti batu, skru kenderaan lain dan sebagainya.

Cegah sebelum terlambat

Itu antara lima tips pemilihan kasut ketika menaiki motosikal.

Nasihat kami, pakailah kasut ketika menaiki motosikal walau ingin ke lokasi berdekatan.

Ini kerana malang tidak berbau dan menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga keselamatan diri.

Apa yang menyedihkan, ramai juga di antara pekerja p-hailing atau ‘rider’ penghantar makanan lebih gemar memakai selipar ketika bertugas.

Sayangilah diri anda, sentiasa amalkan etika keselamatan sebelum terlambat.