Arkib Tag: Karamjit Singh

MIRC dilancarkan, rali dalam ladang sawit pada Mac 2024 nanti

SETELAH lima tahun dunia sukan rali di Malaysia sunyi dari deruman jentera-jentera di ladang-ladang sawit, kini ianya bakal kembali dengan pelancaran Malaysia International Rally Championship (MIRC) 2024.

Bakal diadakan pada Mac 2024 depan, acara berbentuk karnival ini akan bertempat di Paya Besar yang melalui ladang sawit Felda Panching, berdekatan bandar Kuantan, Pahang.

Elemen rali Malaysia dengan lalual ladang sawit yang mencabar dan berkelajuan tinggi telah melahirkan nama-nama besar seperti Karamit Singh. Malah, ianya menjadi landskap unik yang meletakkan nama Malaysia dalam kalendar rali antarabangsa.

Perlumbaan MIRC akan dianjurkan oleh Millennium Motorsport Adventure Club (MMAC), diuruskan oleh sebuah syarikat pengurus acara gergasi iaitu Semenyih Eco-Ventures Resort & Recreation dengan rakan strategik dari Pejabat Parlimen Paya Besar, Majlis Bandaraya Kuantan dan Kerajaan Negeri Pahang serta Pahang Corporation.

Acara ini turut diiktiraf oleh Motorsports Association of Malaysia (MAM) serta Kementerian Belia dan Sukan, Malaysia.

Pengarah Acara, Dato’ Seri Mohamad Khafey Ikhwan Bin Abdul Latiff berkata, “Penganjuran MIRC kali ini adalah berstatus berbeza dengan penganjur lain pada sebelum ini. Acara utama adalah perlumbaan rali itu sendiri yang akan disertai oleh pelumba dan kereta terbaru dari China, Thailand dan Indonesia.

“Malah, pelumba-pelumba tempatan pasti akan menantikan kembalinya kehebatan sukan rali di Malaysia ini.”

Katanya lagi, “Bagi menambahkan kemeriahan sepanjang minggu tersebut, kami akan turut menganjurkan karnival dan makanan di dua tempat utama iaitu di dalam Tapak Karnival Felda Panching dan Tapak Karnival Bandar Kuantan, Pahang.

Perlumbaan rali ini bakal menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah hampir RM30,000 kepada semua pemenang kelas 4WD dan 2WD termasuk keseluruhan hadiah motosikal bagi setiap kategori dipertandingkan.

Terdapat juga hadiah-hadiah sampingan lain yang bakal diumumkan kemudian.

Nantikan laporan kami menjelang acara dan selepas perlumbaan.

Jurumudi rali untuk Karamjit Singh, Jagdev Singh meninggal dunia hari ini

JURUMUDI rali berpengalaman negara, Jagdev Singh dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir siang tadi.

Beliau dikatakan jatuh sakit dan dikejarkan ke Subang Jaya Medical Center pada 12 Julai lalu. Berita sedih ini diumumkan dalam satu hantaran akaun Facebook miliknya oleh saudara terdekat.

Jagdev merupakan antara jurumudi rali terbaik dalam Malaysia dan mampu bekerjasama dengan kereta-kereta dan pemandu-pemandu rali pantas di peringkat antarabangsa.

Mendiang pernah bergandingan dengan pemandu Australia, Russell Palmer yang memandu Suzuki Swift GTi dan Proton Satria Group A untuk pasukan Silverstone Rally Team Malaysia.

Antara pemandu lain yang turut pernah bergandingan dengan Jagdev termasuklah Gunaseelan Rajoo, Katsuhiko Taguchi, Cody Crocker, dan Kenneth Koh. Namun gandingan yang paling diingati sudah tentu bersama ‘Flying Sikh Malaysia’, iaitu Karamjit Singh.

Jagdev pernah menjadi jurumudi Karamjit semasa mereka mendominasi Kejohanan Rali Malaysia dari 2013 hingga 2015 dengan Proton Satria Neo pasukan Proton R3.

Mereka berdua juga pernah bergandingan dalam pasukan lain di kejohanan rali peringkat nasional dan antarabangsa.

Takziah untuk keluarga dan rakan-rakan Jagdev Singh dari kami pasukan Engear TV.

Selamat tinggal Proton, Karamjit Singh akan pandu Perodua Myvi turbo pula

BEKAS juara dunia rali, Karamjit Singh membuat kenyataan mengejutkan hari ini. Beliau akan mengucapkan selamat tinggal kepada Proton dan beralih kepada Perodua untuk musim ini.

Karamjit yang memandu untuk pasukan Cisco Racing berkata, langkah itu adalah perlu kerana Proton tidak lagi berminat menyokong perjalanan ralinya.

Gambar oleh: Bernama

Karamjit memenangi kejuaraan Malaysia National Rally Championship (MNRC) ke-17 beliau tahun lepas dengan memandu Proton Gen2.

“Saya sememangnya sudah lama menjadi peminat Proton dan telah berlumba memandu Proton sejak 1988 hingga kini,” katanya.

“Malangnya, kami tidak (lagi) mendapat sebarang sokongan dari Proton. Sejak saya membeli Gen2 ini pada 2017, saya telah membelanjakan RM500,000 dari wang saya sendiri untuk mengubah suainya untuk perlumbaan.

“Saya telah menghabiskan semua simpanan EPF saya untuk ini, tiada lagi tinggal di dalam akaun,” tambahnya.

Menurut Karamjit, bosnya (Cisco Racing) berkata supaya melupakan Proton. “Mari cuba Perodua. Trend di peringkat dunia juga menggunakan kereta lebih kecil (kompak) seperti Myvi.”

“Ianya lebih ringan dan lebih mudah untuk berlumba, jadi saya kata mengapa tidak, mari cuba. Mana tahu, Perodua akan menaja kami di masa depan.

“Kami mempunyai perancangan untuk bertemu dengan Perodua untuk berbincang mengenai perkara ini (penajaan).

“Pada masa ini, ideanya ialah untuk menggunakan Myvi untuk berlumba dalam MNRC tahun ini tetapi jika Perodua menaja kami, mungkin boleh bawakannya untuk bersaing di Asia Pacific Rally Championship (APRC) yang memerlukan belanja lebih besar.”

Karamjit mendedahkan mereka memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk membangunkan Myvi MNRC-spec dengan kos RM500,000.

“Kami telah memutuskan untuk menggunakan Myvi generasi terkini dan memasukkan enjin 2.0-liter turbo, berserta sistem pacuan semua-roda (AWD),” terang Karamjit.

“Kami belum memutuskan secara spesifik enjin yang akan digunakan, kami boleh guna sama ada Toyota, Subaru atau Mitsubishi.”

“We have not decided on the specific engine we will be using for the car, we can use either Toyota, Subaru or Mitsubishi drivetrains.

“Sudah tentu ini memerlukan modifikasi menyeluruh pada casis. Kesemua proses akan dilakukan di Malaysia.”

Makin gah di persada sukan permotoran dunia, ini lima ‘hero’ Malaysia

SUKAN permotoran di Malaysia tidak dinafikan masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara lain seperti Jepun, Jerman, Itali, United Kingdom dan banyak lagi.

Masih terlalu banyak perlu dipelajari dan dibangunkan bermula daripada teknologi, infrastruktur, pengurusan serta pencarian bakat pelumba.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna Malaysia boleh dipandang ‘sebelah mata’ oleh ‘gergasi’ sukan permotoran lain.

Sejak pembinaan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada tahun 1997, Malaysia kian mengatur langkah dalam sukan permotoran.

Buktinya, beberapa bakat pelumba dan jurutera tempatan mula menyinar di persada antarabangsa.

Siapakah mereka ini?

Berikut merupakan antara pelumba yang berjaya mengharumkan nama negara dalam sukan permotoran:

Wazi Abdul Hamid

Nama Wazi Abdul Hamid bukan suatu yang asing dalam sukan permotoran negara ini.

Pelbagai kejayaan dilakar Wazi dengan memenangi beberapa perlumbaan bertaraf antarabangsa sepanjang kariernya.

Antara pencapaian terbaik Wazi apabila berjaya merangkul tempat kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia pada tahun 1995, 2003 dan 2005.

Selain itu, Wazi juga pernah menjadi naib juara keseluruhan bagi FIM Asia Road Racing Championship (Underbone 125cc).

Wazi bersara daripada dunia perlumbaan pada tahun 2006 dan kini banyak memberi fokus kepada program permotoran.

Alex Yoong

Nama sebenar Alex Yoong adalah Alexander Charles Yoong Loong.

Dilahir pada 1976, Alex merupakan bekas pelumba Formula Satu (F1).

Karier Alex sebagai pelumba F1 bermula apabila dirinya berjaya menyertai perlumbaan pertama di Grand Prix Itali pada tahun 2001.

Alex pernah mewakili dua pasukan dalam kejohanan F1 iaitu European Minardi F1 dan KL Minardi Asiatech.

Bagaimanapun, karier Alex sebagai pelumba F1 terhenti pada tahun 2002.

Adam Norrodin

Adam Norrodin merupakan pelumba Moto3 yang kini sedang mewakili pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT).

Pada 2014 dan 2015, Adam berlumba di kejohanan Piala Bakat Asia dan Kejohanan Dunia Junior FIM CEC Moto3.

Prestasi yang begitu memberansangkan menyaksikan Adam terus mengatur langkah dengan menyertai Moto3 pada tahun 2016.

Selain meminati sukan motosikal, anak kelahiran Johor ini juga menyukai permainan bola sepak.

Karamjit Singh

Karamjit Singh atau dikenali sebagai Flying Sikh merupakan pemandu Asia pertama memenangi Kejuaraan Kereta Pengeluaran Dunia Fédération Internationale de l’Automobile (FIA).

Mula berlumba sebagai pelumba rali profesional sejak tahun 1985, Karamjit juga pernah memenangi Kejuaraan Rali Asia Pasifik FIA pada 2002 dan 2004.

Untuk rekod, Karamjit pernah mewakili pasukan Petronas EON Racing Team dan Pasukan Proton Pert Malaysia.

Hafizh Syahrin Abdullah

Sebut nama Hafizh Syahrin Abdullah, siapa tidak mengenali pelumba asal Selangor ini.

Mencipta sejarah untuk Malaysia, Hafizh merupakan pelumba pertama negara menyertai perlumbaan MotoGP.

Pada musim pertama di MotoGP, Hafizh mengutip 46 mata keseluruhan.

Pungutan itu hanya kurang empat mata untuk mengatasi Franco Morbidelli bagi meraih gelaran Rookie of The Year 2018.

Nombor perlumbaan Hafizh adalah 55 bersempena tarikh lahirnya pada 5 Mei.

Kini, Hafizh menyertai semula perlumbaan Moto2 bersama pasukan RW Racing GP.

Demikian antara lima pelumba warga Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara dalam persada sukan permotoran dunia.

Tidak dinafikan, ada banyak lagi pelumba yang telah mencurahkan bakti kepada negara dalam sukan ini.

Apa pun, terus memberi sokongan anda kepada sukan permotoran Malaysia!

#MalaysiaBoleh