fbpx

Makin gah di persada sukan permotoran dunia, ini lima ‘hero’ Malaysia

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi antara venue terbaik bagi mana-mana penganjuran sukan permotoran dunia. - Foto ihsan SIC
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi antara venue terbaik bagi mana-mana penganjuran sukan permotoran dunia. - Foto ihsan SIC

SUKAN permotoran di Malaysia tidak dinafikan masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara lain seperti Jepun, Jerman, Itali, United Kingdom dan banyak lagi.

Masih terlalu banyak perlu dipelajari dan dibangunkan bermula daripada teknologi, infrastruktur, pengurusan serta pencarian bakat pelumba.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna Malaysia boleh dipandang ‘sebelah mata’ oleh ‘gergasi’ sukan permotoran lain.

Sejak pembinaan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada tahun 1997, Malaysia kian mengatur langkah dalam sukan permotoran.

Buktinya, beberapa bakat pelumba dan jurutera tempatan mula menyinar di persada antarabangsa.

Siapakah mereka ini?

Berikut merupakan antara pelumba yang berjaya mengharumkan nama negara dalam sukan permotoran:

Wazi Abdul Hamid

Nama Wazi Abdul Hamid bukan suatu yang asing dalam sukan permotoran negara ini.

Pelbagai kejayaan dilakar Wazi dengan memenangi beberapa perlumbaan bertaraf antarabangsa sepanjang kariernya.

Antara pencapaian terbaik Wazi apabila berjaya merangkul tempat kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia pada tahun 1995, 2003 dan 2005.

Selain itu, Wazi juga pernah menjadi naib juara keseluruhan bagi FIM Asia Road Racing Championship (Underbone 125cc).

Wazi bersara daripada dunia perlumbaan pada tahun 2006 dan kini banyak memberi fokus kepada program permotoran.

Bekas pelumba Cub Prix Wazi Abdul Hamid antara individu lantang menyuarakan mengenai nasib sukan lumba di Malaysia. - Foto ihsan Facebook/Wazi Abdul Hamid

Alex Yoong

Nama sebenar Alex Yoong adalah Alexander Charles Yoong Loong.

Dilahir pada 1976, Alex merupakan bekas pelumba Formula Satu (F1).

Karier Alex sebagai pelumba F1 bermula apabila dirinya berjaya menyertai perlumbaan pertama di Grand Prix Itali pada tahun 2001.

Alex pernah mewakili dua pasukan dalam kejohanan F1 iaitu European Minardi F1 dan KL Minardi Asiatech.

Bagaimanapun, karier Alex sebagai pelumba F1 terhenti pada tahun 2002.

210603-alex-yoong.jpg

Adam Norrodin

Adam Norrodin merupakan pelumba Moto3 yang kini sedang mewakili pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT).

Pada 2014 dan 2015, Adam berlumba di kejohanan Piala Bakat Asia dan Kejohanan Dunia Junior FIM CEC Moto3.

Prestasi yang begitu memberansangkan menyaksikan Adam terus mengatur langkah dengan menyertai Moto3 pada tahun 2016.

Selain meminati sukan motosikal, anak kelahiran Johor ini juga menyukai permainan bola sepak.

210603-adam-norrodin.jpg

Karamjit Singh

Karamjit Singh atau dikenali sebagai Flying Sikh merupakan pemandu Asia pertama memenangi Kejuaraan Kereta Pengeluaran Dunia Fédération Internationale de l’Automobile (FIA).

Mula berlumba sebagai pelumba rali profesional sejak tahun 1985, Karamjit juga pernah memenangi Kejuaraan Rali Asia Pasifik FIA pada 2002 dan 2004.

Untuk rekod, Karamjit pernah mewakili pasukan Petronas EON Racing Team dan Pasukan Proton Pert Malaysia.

210603-karamjit-singh.jpg

Hafizh Syahrin Abdullah

Sebut nama Hafizh Syahrin Abdullah, siapa tidak mengenali pelumba asal Selangor ini.

Mencipta sejarah untuk Malaysia, Hafizh merupakan pelumba pertama negara menyertai perlumbaan MotoGP.

Pada musim pertama di MotoGP, Hafizh mengutip 46 mata keseluruhan.

Pungutan itu hanya kurang empat mata untuk mengatasi Franco Morbidelli bagi meraih gelaran Rookie of The Year 2018.

Nombor perlumbaan Hafizh adalah 55 bersempena tarikh lahirnya pada 5 Mei.

Kini, Hafizh menyertai semula perlumbaan Moto2 bersama pasukan RW Racing GP.

Foto ihsan Facebook/Hafizh Syahrin Abdullah

Demikian antara lima pelumba warga Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara dalam persada sukan permotoran dunia.

Tidak dinafikan, ada banyak lagi pelumba yang telah mencurahkan bakti kepada negara dalam sukan ini.

Apa pun, terus memberi sokongan anda kepada sukan permotoran Malaysia!

#MalaysiaBoleh

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved