Arkib Tag: kapal terbang

Kapal terbang RC ini hasil anak tempatan, terima tempahan antarabangsa

BANYAK produk Malaysia sebenarnya telah menembusi pasaran antarabangsa, tetapi siapa sangka salah satu produk itu adalah kapal terbang kawalan radio (RC). Ianya adalah hasil kerja Hazanie Abd Hamid, 48 tahun yang berasal dari Johor.

Beliau telah berkecimpung dalam hobi ini selama 10 tahun dan kini kapal terbang RC hasil kerjanya telah mendapat permintaan antarabangsa termasuk Emiriah Arab Bersatu (EAB).

Menurut Hazanie, beliau hampir putus asa apabila lebih 30 kapal terbang kawalan jauh yang dicipta gagal berfungsi dan diterbangkan.

Namun hasil dorongan rakan-rakan dan ahli keluarga, akhirnya anak beliau berjaya menerbangkan kapal terbang sulungnya yang diberi nama Debab.

Katanya, pengalaman sebagai juruteknik selain minat mendalam dalam bidang inovasi mendorong beliau berusaha lebih gigih.

“Saya dah hampir putus asa apabila lebih 30 buah kapal terbang yang saya buat gagal diterbangkan. Tapi ia tetap teruskan kerana saya yakin mampu menerbangkannya,” katanya.

Berkat kesabaran selama 10 tahun akhirnya beliau berjaya mencipta dan menerbangkan kapal terbang pertamanya.

Ditanya kenapa diberi nama Debab, Hazanie menjelaskan, idea itu tercetus selepas melihat kapal terbang kargo terbesar milik Rusia yang dikenali sebagai Antonov An- 124 100.

Susulan kejayaan itu, beliau telah berusaha memberi nilai tambah kepada ciptaanya menerusi ilmu yang dipelajari dalam talian.

Hingga kini Hazanie telah mencipta lebih 100 kapal terbang yang menerima sambutan dalam kalangan penggiat hobi pesawat RC tempatan dan antarabangsa.

Pesawat-pesawat ‘debab’ ini kebanyakannya berasal dari model sebenar tetapi telah dipendekkan dan digemukkan seakan-akan lebih comel.

Antara kapal terbang ciptaannya yang telah menjadi versi debab adalah A4 Skyhawk, F-14 Tomcat, Fatty Flying Ship, Sukhoi Su-30, dan Macross.

Ciptaan terbaharu beliau dikenali sebagai VTOL FlyingShip yang mampu bergerak atas permukaan air dan mampu terbang di udara.

Model itu menarik perhatian seorang pembeli dari Dubai, EAB yang telah membuat tempahan.

Gambar-gambar oleh: Facebook Haznie Abd Hamid

Bercita-cita jadi juruterbang, lelaki ini bina sendiri kapal terbang di bengkel!

PERNAH bercita-cita menjadi juruterbang, seorang lelaki nekad membina sendiri sebuah kapal terbang di bengkel miliknya.

Mohd Zaki Zahari, 58, yang merupakan anak jati Kampung Senggora, Maran, telah membelanjakan kira-kira RM10,000 bagi membina dan menyiapkan pesawat ringan sejak Mei tahun lepas.

Menurutnya, idea untuk membina pesawat ringan jenis seaplane itu tercetus selepas hampir 34 tahun dia bergiat aktif dalam hobi bermain kapal terbang dan helikopter kawalan jauh (RC).

Malah sepanjang tempoh terbabit, sudah banyak model pesawat RC yang dibinanya menggunakan pelbagai bahan termasuk dari bahan terpakai.

“Dari aspek teknikal, kapal terbang RC hampir sama dengan pesawat sebenar kerana kebanyakan model pesawat yang dibina menggunakan pelan pesawat sebenar dengan mengecilkan skala asal,” katanya.

“Dari situ datang idea kenapa saya tidak membina satu pesawat dengan skala sebenar yang boleh diterbangkan dari dalam kokpit.”

Mohd Zaki menceritakan sebahagian bahan yang digunakan adalah daripada barangan terpakai seperti daripada papan tanda. Namun dia melabur untuk membeli bilah kipas kerana mengambil kira faktor keselamatan.

“Selain itu, saya turut menggunakan enjin kereta Volkswagen Beetle 1,200 cc yang telah dinaik taraf menjadi 50 kuasa kuda dan dijangka pesawat ini mampu terbang dengan kelajuan lebih 60 knot atau 120 kilometer sejam,” ujar beliau.

Pesawat yang dibinanya mempunyai ukuran panjang kira-kira enam meter, panjang sayap sembilan meter dan berat sekarang kurang daripada 200 kilogram (kg) serta dilengkapi dengan ‘Inclinometer’ dan sistem GPS untuk tujuan kawalan ketika penerbangan.

Mohd Zaki menambah, beliau tidak dapat menjangkakan bila pesawat itu dapat disiapkan dan ia juga bergantung dengan keadaan kewangan.

Beliau juga mengakui agak mustahil untuk dirinya sendiri dapat menerbangkan pesawat berkenaan apabila ia siap kelak berikutan kekangan peraturan-peraturan berkaitan penerbangan di negara ini. Namun ia tidak melemahkan semangat beliau untuk menyiapkan sepenuhnya pesawat tersebut.

“Malah sejak tular di platform TikTok baru-baru ini, ada peminat aktiviti ini dari luar negara yang menghubungi saya untuk bertukar pandangan kerana lelaki terbabit juga ada membina pesawat sendiri.

“Selain itu, saya sering bertukar fikiran dan meminta pandangan rakan-rakan terutama mereka yang berkongsi minat dan hobi yang sama.

“Biarpun agak mustahil untuk saya terbangkan pesawat ini disebabkan faktor undang-undang tetapi berharap hasil kerja saya ini dapat diiktiraf atau sekurang-kurangnya menjadi rujukan untuk pelajar dalam bidang kemahiran berkaitan aeroangkasa,” tambah Mohd Zaki lagi.

Kami amat menyokong usaha dan minat yang diceburi oleh Mohd Zaki. Walaupun belum tentu beliau dapat menerbangkan pesawatnya itu sendiri atas faktor lesen dan perundangan, diharapkan ada pihak yang mampu membantunya merealisasikan impiannya itu, seperti menaja beliau mendapatkan lesen juruterbang persendirian.

Kami yakin Mohd Zaki mampu menerbangkannya memandangkan beliau sudah biasa dengan kapal terbang RC, jadi secara kasarnya beliau mempunyai kemahiran dan pemahaman mengenai penerbangan.

Usaha ini juga boleh dijadikan contoh oleh anak muda, lebih baik terlibat dalam bidang sebegini berbanding dalam aktiviti sia-sia seperti lumba haram.

Gambar oleh: Sinar Harian, Facebook

Lelaki ini sempat keluar beberapa saat sebelum kapal terbangnya dilanggar kereta api

KAPAL terbang yang membuat pendaratan kecemasan di jalan raya bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia perkara yang tak dapat dielakkan.

Tetapi kadang-kadang lebih baik megelak dari mendarat di landasan kereta api seperti yang ditunjukkan di video di bawah.

Video dari orang awam yang menyaksikan kejadian memberikan gambaran dramatik saat juruterbang ditarik keluar dari pesawatnya beberapa saat sebelum pesawat itu dirempuh kereta api. Ya, hanya beberapa saat sahaja!

Tiada perincian mengenai punca kapal terbang itu terhempas, tetapi insiden itu berlaku kira-kira jam 2 petang di Los Angeles, California, tidak berapa lama selepas ia berlepas.

Pesawat itu terhempas betul-betul di atas landasan kereta api dan orang awam serta anggota polis berjaya mengeluarkan juruterbang yang cedera itu hanya beberapa saat sebelum kereta api menghentam bangkai pesawat itu.

Malah, orang awam yang merakam kejadian itu hampir terkena serpihan pesawat yang dilanggar. Menurut Reuters, juruterbang itu hanya cedera ringan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Rakaman dari badan anggota polis juga menunjukkan mereka hanya beberapa kaki sahaja dari bangkai pesawat semasa kereta api menghentamnya. Jika mereka terlambat beberapa saat, pasti keadaan jauh lebih parah.

Syabas kepada orang awam dan anggota polis yang membantu menyelamatkan juruterbang tersebut, mereka memang wira! Juruterbang itu pula pasti bersyukur kerana mendapat ‘nyawa baharu’.

Penyusunan semula, AirAsia Investment kembali dikenali sebagai AirAsia Aviation

AIRASIA Group Bhd menamakan semula anak syarikat milik penuhnya, AirAsia Investment Ltd kepada AirAsia Aviation Ltd.

Ia susulan langkah penyusunan semula mewujudkan perbezaan di antara perniagaan syarikat penerbangan dan digital.

Memetik laporan Bernama, Bo Lingam yang merupakan bekas presiden (penerbangan) AirAsia Group dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan AirAsia Aviation.

Linggam bertanggungjawab menyelia empat syarikat penerbangan AirAsia Group iaitu AirAsia Malaysia, AirAsia Filipina, AirAsia Thailand dan AirAsia Indonesia.

Jelas Lingam, perubahan struktur itu membantu memacu pertumbuhan dalam perniagaan sebagai syarikat penerbangan dan digital.

“Entiti AirAsia Aviation memegang pelaburan syarikat penerbangan sedia ada kami dan mengorak laluan bagi usaha baharu untuk dibentuk apabila sampai masanya.

“Kami akan terus mengkaji pasaran baharu bagi operasi dari sana pada masa akan datang, seperti Kemboja, supaya kami dapat menghubungkan kembali Asean dengan tawaran tambang nilai dan gaya hidup terbaik,” katanya lagi.

Juruterbang cipta rekod pertama terbang dalam terowong, capai kelajuan 245km/j

TIADA siapa pernah menerbangkan kapal terbang melalui terowong sebelum ini. Dan Dario Costa baru-baru ini memecahkan rekod dunia sebelum kita sarapan.

Pada awal pagi selepas subuh, Dario Costa yang juga seorang juruterbang lumba dan aksi lagak ngeri profesional menerbangkan pesawat Zivko Edge 540 miliknya melalui dua terowong Çatalca Tunnels di lebuhraya Marmara di utara Turki.

Dengan lebih dua dekad pelbagai pengalaman penerbangan, juruterbang berusia 41 tahun itu telah mencatatkan lebih 5,000 jam penerbangan. Lebih separuh darinya adalah dari aerobatik prestasi tinggi.

Costa juga sebelum ini merupakan juruterbang Itali pertama yang memenangi Red Bull Air Race Challenger Class. Dia telah lama mengimpikan untuk melakukan Tunnel Pass ini, dan merupakan aksi paling sukar dan merbahaya pernah dilakukannya.

Dengan lampu malap dalam dinding konkrit melengkung, Costa berlepas di terowong pertama kira-kira jam 6:43 pagi waktu tempatan. Waktu sebegini memberikan pencahayaan paling optima untuknya.

Ruang yang sempit bermakna dia perlu memastikan pesawat sentiasa terbang hanya beberapa inci dari permukaan jalan, dengan ruang untuk kesilapan yang sangat kecil. Sekali terbersin, pasti berlipat pesawatnya di dalam terowong!

Cabaran lain adalah perubahan aliran udara dan pengendalian pesawat itu yang sangat sensitif, memerlukan reaksi kurang dari 250 milisaat untuk Costa membuat pembetulan berterusan semasa penerbangan.

Antara saat paling kritikal ialah semasa melalui ruang 360 meter antara dua terowong kerana pesawat ringan itu terdedah kepada angin lintang sambil Costa mengemudi dengan berhati-hati memasuki terowong kedua.

https://www.youtube.com/watch?v=UNyRRHxc0W4

“Segalanya berlaku sangat pantas, tetapi semasa saya keluar dari terowong pertama, pesawat mula bergerak ke kanan kerana angin lintang dan di dalam kepala saya, semuanya menjadi perlahan dalam saat itu,” terang Costa.

“Saya bertindak balas dan kekal fokus menghalakan pesawat ke laluannya untuk memasuki terowong kedua. Kemudian di dalam kepala saya, semuanya menjadi pantas kembali.”

Costa terbang dalam kelajuan purata kira-kira 245km/j dan selepas keluar sahaja dari terowong kedua, dia terus membuat lengkungan kemenangan ke atas sebelum mendarat.

Dari mula berlepas hingga keluar terowong kedua, penerbangan itu mencatatkan perjalanan 2.26km dan dalam masa kurang 44 saat, Costa telah mencipta rekod Guinness World Record yang sah.

Guinness World Record juga mengiktiraf empat rekod lagi iaitu kapal terbang pertama terbang melalui terowong, penerbangan paling lama melalui bawah halangan, kapal terbang pertama melalui dua terowong, dan kapal terbang pertama berlepas di dalam terowong.