Arkib Tag: kajian

Kereta baharu masih barang mewah mampu milik bagi kebanyakan isi rumah Malaysia – Kenanga Research

KENANGA Research berpendapat bahawa kereta baharu masih dianggap barang mewah yang mampu untuk dimiliki bagi kebanyakan isi rumah di Malaysia walaupun kadar inflasi tinggi dan ekonomi global perlahan.

“Kami kini melihat peluang lebih besar dalam segmen mampu milik kerana ia akan kurang terjejas oleh subsidi bahan api bersasar, yang mungkin menjejas permintaan untuk kenderaan pasaran pertengahan kerana ia akan menghakis perbelanjaan kumpulan M40,” kata firma itu dalam nota penyelidikan.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor automotif dan unjuran jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) bagi 2023 sebanyak 720,000 unit, yang akan mencapai paras yang direkod pada 2022 dan memperkenalkan TIV 2024 sebanyak 712,000 unit.

Menurut firma itu, kelihatan pendapatan industri kukuh, disokong tempahan tertunggak sebanyak 235,000 unit.

Kenanga Research memetik MBM Resources Bhd sebagai pilihan utamanya bagi sektor ini dengan saranan ‘outperform’ dan hargan sasaran (TP) RM4.70 sesaham memandangkan kumpulan itu memberi tumpuan kepada segmen mampu milik dan menawarkan hasil dividen yang menarik kira-kira 12 peratus.

Dalam ruang jenama bukan nasional, firma itu berpendapat pembuat kereta beralih daripada segmen margin rendah yang sangat kompetitif seperti SUV tujuh tempat duduk dan memberi tumpuan kepada produk premium yang akan menarik kumpulan berpendapatan sederhana seperti yang ditawarkan oleh Bermaz Auto Bhd.

Honda misalnya, menggantikan varian tujuh tempat duduk Honda BR-V dengan WR-V (SUV kompak lima tempat duduk), memperoleh 7,300 unit tempahan dan 3,300 unit dihantar hanya dalam masa beberapa bulan selepas dilancarkan.

Kenanga Research turut berkata bahawa pembeli kereta diberikan pelbagai pilihan menarik dengan pelancaran baharu termasuk Perodua D66B (1QCY24, segmen B), Toyota Innova Zenix (3QCY23), Mazda CX-30 CKD, Peugeot Landtrek, Honda WR-V, Honda CR-V, Toyota Vios, Toyota GR86, Toyota GR Corolla dan Nissan Serena.

Di samping itu, Kenanga Research berkata jualan kenderaan akan disokong oleh kenderaan elektrik bateri (BEV) baharu yang menikmati pengecualian cukai jalan dan perkhidmatan (SST) serta insentif kemudahan kenderaan elektrik lain sehingga 2025 bagi unit import sepenuhnya (CBU) dan 2027 untuk pemasangan tempatan (CKD).

Ketepatan masa antara rungutan utama pengguna pengangkutan awam

PERKHIDMATAN yang tidak menepati masa merupakan rungutan utama pengguna pengangkutan awam, menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan UCSI.

“Daripada pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pengguna pengangkutan awam, 54 peratus menyatakan ketepatan masa, 48 peratus menyatakan sambungan perbatuan terakhir yang lemah, manakala 47 peratus menganggap tambah terlalu mahal,” kata kajian itu.

Kaji selidik yang dijalankan dari 10 Julai hingga 4 Ogos itu mengambil kira maklum balas 1,029 responden mengenai persepsi mereka terhadap pengangkutan awam di Malaysia. 67 peratus daripada responden berkata mereka menggunakan pelbagai jenis pengangkutan awam termasuk kereta api dan bas.

Mengenai kekerapan penggunaan, 21 peratus responden berkata mereka menggunakan pengangkutan awam setiap hari, 22 peratus beberapa kali seminggu dan 24 peratus beberapa kali sebulan. Satu pertiga daripada responden tidak menggunakan sebarang bentuk pengangkutan awam.

Mengenai alasan menggunakan pengangkutan awam pula, 39 peratus responden berkata ia disebabkan mereka tiada kenderaan sendiri, 25 peratus akibat kesesakan lalu lintas dan 18 peratus disebabkan kekurangan kemudahan parkir serta kos yang perlu ditanggung jika menggunakan kenderaan sendiri.

Antara mereka yang memilih untuk tidak menggunakan pengangkutan awam, sebab utama adalah kerana mereka lebih suka menggunakan kenderaan sendiri (33 peratus) serta untuk kemudahan dan keselamatan (19 peratus).

Pemandu KL rugi 75 jam setahun terperangkap dalam kesesakan trafik, boleh baca 31 buah buku!

ANDA pasti pernah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan berfikir masa yang terbuang boleh digunakan untuk melakukan aktiviti berfaedah seperti membaca buku, bukan? Atau mungkin anda rasa mahu terbang naik helikopter sahaja pulang ke rumah.

Menurut satu kajian oleh syarikat pemetaan digital TomTom, pemandu-pemandu di Kuala Lumpur (KL) secara purata kerugian 159 jam setahun memandu dalam kesesakan jalan raya di pusat bandar semasa waktu puncak. Masa itu boleh digunakan untuk membaca kira-kira 31 buah buku.

Dari 159 jam yang terbuang itu, hampir separuh atau 75 jam adalah disebabkan kesesakan lalu lintas.

Anda juga telah membelanjakan RM1,023 setahun untuk petrol semasa waktu puncak, dengan satu per lima darinya atau RM221 dibelanjakan semasa kesesakan lalu lintas.

Sebagai perbandingan, anda perlu menanam 83 pokok setahun untuk ‘menyerap’ 833kg karbon dioksida yang dilepaskan oleh ekzos kereta semasa waktu puncak. 180kg dari karbon dioksida itu adalah dari kesesakan lalu lintas sahaja.

Dalam erti kata lain, disebabkan kesesakan ini, pemandu KL menghabiskan tambahan sembilan minit untuk setiap 10km semasa waktu puncak pagi, dan 12 minit lagi untuk waktu petang.

Pengiraan TomTom adalah berdasarkang anggaran pemandu KL yang memandu sejauh 10km semasa waktu paling sibuk di sebelah pagi, dan jarak yang sama di waktu petang. Anggaran ini juga dibuat dengan 230 hari bekerja setahun.

Semasa hari minggu, waktu paling sibuk di sebelah pagi adalah dari 8 hingga 9 pagi (18 hingga 21 minit), dan pukul 6 hingga 7 untuk sebelah petang (22 hingga 25 minit).

Data kajian juga menunjukkan waktu puncak paling buruk di KL biasanya jatuh pada hari Khamis dari 6 hingga 7 petang, dimana ia mengambil masa 25 minit 20 saat untuk memandu sejauh 10km secara purata.

Jika anda bekerja dari rumah selama tiga hari (dari Selasa hingga Khamis), anda akan jimat 104 jam dan RM609 untuk petrol setahun.

Kajian yang dilakukan oleh TomTom adalah berdasarkan indeks dari 389 bandar dari 56 negara seluruh dunia. Mereka yang memandu 10km di waktu puncak di London menghabiskan masa sebanyak 325 jam setahun.

Sebagai perbandingan, pemandu di KL menghabiskan 159 jam tahun lepas, pemandu Singapura menghabiskan masa sedikit kurang, pada 150 jam.

Pemandu di Manila pula menghabiskan 241 jam, manakala Jakarta dan Bangkok masing-masing menghabiskan 214 jam dan 192 jam.

10 negara paling bahaya untuk memandu, Malaysia tempat ke-8!

MALAYSIA masih tersenarai dalam 10 negara paling merbahaya untuk memandu, menurut satu data bebas dari Zutobi.

Tahun lepas negara kita yang tercinta ini di tempat ke-7, untuk 2022 turun satu anak tangga ke tempat ke-8. Menurut Zutobi, Malaysia mencatatkan skor keselamatan hanya 5.63 dari 10.

Gambar oleh: Malay Mail

“Malaysia juga mencatatkan skor 22.5 untuk korban di lorong trafik dari 100,000 populasinya, kedua tertinggi selepas Thailand dengan skor 32.3,” menurut data itu.

Walaubagaimanapun, kajian itu menunjukkan dari 10 negara, Malaysia mencatatkan kematian terendah berkaitan alkohol, dengan skor hanya 1.0.

Data itu juga menunjukkan Afrika Selatan masih negara paling merbahaya untuk dipandu dengan skor membimbangkan 3.41 per 10.

“Dianggarkan sekitar 22.2 kematian jalan raya untuk setiap 100,000 populasi Afrika Selatan dan berdasarkan anggaran, hanya 31 peratus penumpang depan di negara itu memakai tali pinggang keselamatan.”

Thailand kekal di tangga kedua negara paling merbahaya untuk dipandu, dengan skor 4.35 per 10.

“Amerika Syarikat disenaraikan sebagai negara ketiga paling merbahaya dengan skor 5.03 per 10. Ini kerana 29 peratus korban jalan raya negara itu adalah berkaitan penggunaan alkohol.”

Menurut data itu lagi, “India pula mencatatkan peningkatan angka kematian sekitar 50 peratus tahun ini, dengan kadar 22.6 berbanding 15.6 untuk populasi 100,000.”

Untuk negara paling selamat dipandu pula, data menunjukkan Norway di tangga pertama dengan skor 8.2 dimana perihal tali pinggang keselamatan tidak menjadi punca korban jalan raya negara itu.

“Iceland pula di tempat kedua dengan skor 8.05. Kelajuan maksima dibenarkan di Iceland ialah 90km/j, jauh lebih rendah dari purata 120km/j di negara-negara lain.”