Arkib Tag: Jerman

GR Yaris versi WRC oleh Toyota Jerman, terhad 300 unit sahaja

TOYOTA Gazoo Racing WRT membuat kemunculan dalam World Rally Championship di rali Monte Carlo 2017 dengan Yaris WRC. Sejak itu, Toyota telah memperoleh tidak kurang dari 33 kemenangan, empat kejuaraan pengeluar, dan lima kejuaraan pemandu.

Toyota Jerman mengambil serius pencapaian ini, dan mahu meraikan kejayaan Gazoo Racing dengan versi khas GR Yaris. Dikenali dengan GR Yaris WRC, versi ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 300 unit.

Sayangnya, ia juga terhad untuk pasaran Jerman sahaja, dan agak mahal, pada 42,490 Euro (RM216,354). Walaupun tidak semahal GR Yaris di Malaysia, ia masih mahal berbanding hatchback-hatchback kompak lain di pasaran sana.

Ada lagi berita buruk, kerana Toyota Jerman tidak akan sewenang-wenangnya menjual GR Yaris WRC ini kepada sesiapa yang mempunyai dana. Mereka yang berminat perlu membuat permohonan online sebelum 4 Disember ini.

Mereka yang terpilih mempunyai masa 14 hari untuk menyempurnakan tempahan mereka, dan penyerahan akan dibuat pada musim panas 2024.

GR Yaris WRC ini akan dipacu oleh enjin sama 1.6-liter turbo 3-silinder dengan kotak gear manual dan sistem pacuan semua-roda GR-Four.

Tetapi ia akan turut mendapat High Performance Package yang merangkumi LSD Torsen, rim aluminium 18-inci, suspensi prestasi tinggi, dan angkup brek berwarna merah dengan tulisan GR.

Kesemua 300 unit juga akan diberikan setup khas yang unik untuk setiap pelanggan. Tiada maklumat terperinci didedahkan berkenaan hal ini, tetapi setup ini akan menggunakan kepakaran dari pihak WRT.

Akhir sekali, pelanggan diberi pilihan dua warna iaitu putih atau merah.

Perkara lain tidak berubah dari GR Yaris biasa, termasuklah output 257hp, pecutan 0-100 dalam 5.5 saat, dan kecekapan bahan api sekitar 9.8 liter per 100km.

BMW 330e M Sport sedan seronok dipandu dengan ‘perisa’ elektrifikasi – Pandu uji

BMW secara tradisinya terkenal dengan karakter mereka yang sedap dipandu, lebih-lebih lagi 3-Series. Malah model ini menjadi penanda aras untuk pengendalian bagi segmen sedan kompak premium.

Dari zaman E30, E36, hinggalah kepada G20 yang terkini, boleh dikatakan BMW masih di tempat teratas untuk aspek ini. Ada pesaing seperti Mercedes C-Class dan Jaguar XE yang agak hampir, tetapi BMW 3-Series masih sedikit ke depan.

Kini dengan era elektrifikasi, BMW telah mula menyuntik elemen ini ke dalam kereta-kereta mereka, maka lahirlah BMW 330e. Ianya varian tambahan selain 320i dan 330i untuk pasaran Malaysia.

Jadi, adakah aspek elektrifikasi ini telah ‘merosakkan’ aspek pengendalian sinonim dengan BMW? Kenderaan hibrid adalah lebih berat berbanding versi asal, jadi hukum fizik secara umum mengatakan berat bukanlah sahabat baik untuk pengendalian.

Rekaan

Jika dilihat rekaan 3-Series generasi G20 terkini tidak jauh berbeza dari yang sebelumnya. BMW banyak mengambil pendekatan evolusi berbanding revolusi.

Ia mungkin nampak kekal dari tradisi 3-Series, tetapi jika ingin bersaing dengan model-model lain dalam bab rekabentuk ini, BMW perlu menghasilkan satu perubahan yang lebih drastik.

Apa pun, rekabentuk BMW G20 kali ini tetap cantik dengan lampu depan lebih sofistikated, ‘Hofmeister kink’ yang diubah posisi kini di belakang pintu, dan lampu belakang dengan kesan 3-dimensi. Bagi penulis lampu belakang ini bukan sahaja cantik, tetapi tampil begitu moden.

Dan varian M Sport hadir dengan pelbagai kit M yang sporti di luar dan dalam, menaikkan lagi seri kereta ini.

Di bahagian kabin pula, penulis rasakan BMW 3-Series G20 masih kekurangan jika dibandingkan dengan pesaing terdekatnya, C-Class. Walaubagaimanapun, rekaan kokpit G20 kali ini jauh lebih baik berbanding F30 sebelumnya.

Kokpit kini sedap dilihat, dengan susun atur yang cukup kemas, dan pilihan bahan yang membuatkan 3-Series ini terasa cukup berkualiti dan solid.

Pemanduan

Paling ketara mengenai BMW 3-Series generasi G20 ini ialah sterengnya yang kekal tajam, responsif dan tepat walaupun menggunakan sistem baharu. Stereng serta posisi memandunya yang sporti menyumbang kepada kepuasan pemanduan untuk kereta ini.

Kuasa lebih dari mencukupi, dengan penjimatan bahan api yang agak mengagumkan. Oh ya, enjinnya juga sangat senyap, memberikan pemanduan selesa untuk perjalanan jauh.

Dan memandangkan 330e ini merupakan versi plug-in hibrid (PHEV), cara memandunya ialah anda harus rajin mengecaj baterinya bila ada kelapangan, sebagai contoh setiap kali balik ke rumah.

Ini kerana jika baterinya habis, 330e M Sport ini ibarat ‘menggalas’ beban lebih yang sia-sia kerana dengan berat sekitar 1,740kg, kereta ini adalah hampir 300kg lebih berat berbanding 330i.

Ya betul, baterinya boleh dicaj sambil bergerak semasa dipandu, tetapi kadarnya agak rendah dan perlahan. Selain itu, komputer kereta juga jarang sekali menggunakan baterinya sehingga betul-betul habis.

Secara keseluruhan, BMW 330e ini tetap lincah dan sporti. Dalam kebanyakan masa, anda hampir terlupa bahawa ianya sebuah hibrid.

Untuk siapa BMW 33e M Sport?

Jika anda mahukan sedan premium sporti dengan sedikit elemen elektrifikasi, BMW 330e M Sport ini satu pilihan cukup ideal. Sekurang-kurangnya dapat ‘menyediakan’ anda sebelum beralih kepada kenderaan EV sepenuhnya nanti.

Tetapi jika anda rasakan kenderaan hibrid masih terlalu kompleks, lebih baik pilih sahaja 320i atau 330i.

Spesifikasi BMW 330e M Sport

Harga: RM260,680
Enjin: 2.0-liter 4-silinder turbo
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 181hp @ 5,000rpm
Tork: 300Nm @ 1,350rpm
Kapasiti bateri: 12kWh
Output bateri: 67hp, 120Nm

Proton Satria GTi menakluk litar Nurburgring, dipandu oleh anak Malaysia!

MUDAH untuk kita berasa bangga apabila melihat kereta nasional kita di luar negara, dan terbaharu, sebuah Proton Satria GTi tetapi bukan di sebarangan tempat. Sebaliknya di litar yang mendapat jolokan The Green Hell, tidak lain lagi iaitu Nurburgring Nordschleife, Jerman.

Lebih menarik lagi, ia bukan dipandu oleh warga asing, tetapi rakyat Malaysia sendiri!

Perkara ini dikongsi oleh pemiliknya iaitu Danial Khairi yang berhubung dengan Engear baru-baru ini. Menurut Danial, dia melawat dan memandu Satria GTi miliknya di litar Nurburgring itu pada 5 September lepas.

“Ini kali pertama saya memandu Satria GTi di sini, dan sudah lama mengimpikannya, sejak lima tahun lepas,” katanya.

Dia memandu Satria GTi itu dalam sesi Nurburgring Touristfahrten (pemanduan pelancong) dimana semua pemandu boleh membawa masuk apa jua kenderaan mereka ke dalam litar dengan bayaran mengikut jumlah pusingan.

“Asalkan kereta kita selamat dipandu, ada kelulusan penuh dari pemeriksaan Tüv. Tüv ni macam Puspakom di Malaysia,” terangnya.

Ianya bukan perlumbaan, malah anda perlu mematuhi undang-undang jalan-raya biasa semasa di dalam litar. Sebagai contoh, hanya potong di sebelah kiri (kerana stereng kereta di bahagian kiri). Cuma sudah tentu tiada had laju.

“Jadi, kami tak ambil catatan masa. Sesi ini bertujuan untuk memahami karakter kereta masing-masing.

“Lagipun kalau semua nak kejar masa, nanti kurang toleransi dan tiada beri ruang kepada pemandu lain,” tambahnya.

Danial melawat litar itu bersama dua rakannya iaitu Ruben dan Jochem. Tambahnya, bayaran dikenakan adalah 25 Euro (RM113) untuk satu pusingan.

Tetapi disebabkan kami ingin tahu juga anggaran catatan masa, Danial berkongsi bahawa keretanya mencatatkan masa kira-kira 11 minit.

“Tengok video catatan masa ditambah dengan masa untuk beri ruang kepada pemandu lain, dalam 11 minit. Kalau litar kosong dan tekan sehabisnya, mungkin boleh bawah 10 minit,” kata Danial.

11 minit sebenarnya agak bagus untuk pemanduan separa santai di litar sepanjang 20.83km dengan 160 selekoh itu.

Untuk konteks, kereta pacuan roda-depan terpantas di litar itu adalah Renault Megane RS Trophy R dengan catatan 7 minit 40.1 saat, rekod dibuat pada 2019.

Berkenaan modifikasi atau naik taraf pada GTi miliknya, Danial berkata tiada modifikasi serius melainkan tayar Nankang NS-2R dan sistem ekzos Gestec buatan Jerman.

“Saya sengaja tak ‘setup’kan kereta kerana nak tengok potensi dan prestasi asal suspensi talaan Lotus dan Proton.

“Ini kerana konsep di sebalik kereta ini adalah hot hatch yang boleh dipandu setiap hari termasuk di salji, jarak jauh, jalan berbukit, berselekoh, dan di litar.

“Di Nurburgring, terbukti pengendalian buat masa sekarang adalah memuaskan,” kata Danial.

Sebelum ini kami pernah berkongsi yang Danial memandu Satria GTi miliknya di Jerman dimana dia membeli kereta itu dengan harga kira-kira RM4,694.

Syabas, Danial! Dan teruskan bawa Satria GTi ini ke merata-rata kawasan di Eropah agar lebih ramai penduduk di sana tahu mengenai model ikonik Proton ini.

Sumber gambar: Danial Khairi dan Dutch DIY Mechanics

Anak Malaysia pandu Proton Satria GTi di Jerman, beli dengan harga RM4.7k

ENTAH lah, tapi semacam satu perasaan yang sukar digambarkan bila melihat kereta buatan Malaysia berada di negara asing. Mungkin kerana kita tidak seperti Jepun, Jerman, Itali atau Perancis yang sudah biasa mengeksport banyak kereta ke luar negara, jadi bila terjumpa kereta-kereta kita, akan tercetus rasa bangga.

Kali ini kami ingin kongsikan pula seorang anak Malaysia, Danial Khairi yang megah memandu Proton Satria GTi di Jerman.

Danial berkongsi kepada Engear bahawa Satria GTi itu dibeli di sana dengan harga 1,000 Euro (RM4,694) pada 2017. Jika dilihat pada gambar-gambar, Satria GTi ini sememangnya versi eksport memandangkan ia versi pemanduan sebelah kiri (left-hand drive).

“Kereta dalam keadaan standard semasa dibeli, tetapi banyak juga perlu dibaiki dan ditukar. Selepas beli, saya bawa pulang kereta ini dengan towing (trak tunda),” kata Danial.

Menurutnya, harga Proton Satria GTi di sana bergantung kepada keadaan kenderaan. “Yang penting, lulus pemeriksaan,” tambahnya.

“Untuk membolehkannya dipandu semula, saya telah tukar komponen-komponen asas enjin seperti palam pencucuh dan kabelnya, penapis minyak, penapis bahan api, malah tangki minyak juga ditukar.

“Selepas perkara-perkara di atas, saya memeriksa dan buka semula sistem brek,” kata Danial.

Menurut Danial lagi, di Jerman dia tidak sewenang-wenangnya menghantar kereta ‘rare’ seperti Proton Satria GTi ini untuk servis dan penyelenggaraan.

“Saya beli jek, alat-alat diperlukan, baca buku manual. Nak hantar di bengkel itu boleh, tetapi harus pastikan mereka tahu serba sedikit mengenai kereta ini,” kongsinya.

Jika dilihat pada gambar-gambar di akaun media sosial Danial, beliau telah memandu Satria GTi ini ke merata tempat di Jerman, termasuklah melalui jalan bersalji. Siap ‘lepak’ dengan geng Volkswagen Golf Mk7 lagi!

Siaran terbaharu di Facebook Danial menunjukkan dia memandu GTi ini di sekitar Switzerland dan melayan jalan-jalan berbukit di Sustenpass, Innertkirchen.

Pasti seronok menikmati kelazatan Handling by Lotus sambil menghayati pemandangan indah dengan gunung-ganang. Jalan sebegini sememangnya sesuai dengan karakter Satria GTi.

Danial kini bekerja dan tinggal di Freiburg, Jerman. Difahamkan juga semasa di Malaysia, beliau pernah bekerja di jabatan powertrain dalam Proton sebagai pelatih dan untuk percubaan.

Syabas, Danial. Teruskan memandu Satria GTi di sana dan tunjukkan produk serta kemampuan Malaysia!

Sumber gambar: Facebook Danial Khairi

IAA 2021: BMW dedah mampu hasilkan kenderaan kitar semula

PAMERAN Motor Antarabangsa Jerman (IAA) bermula Selasa memberi fokus kepada promosi kenderaan mesra alam.

Ia dilihat sebagai usaha meransang penghasilan kenderaan mesra alam dalam kalangan pemain industri permotoran dunia.

Mengangkat tema ‘What will move us next’, ia bukan sahaja mengetengahkan kenderaan seperti kereta malah, mempromosikan basikal elektrik.

“Kami komited dalam memperkenalkan kenderaan mesra alam dan misi yang perlu dilunaskan adalah dengan meneruskan kegemilangan industri permotoran Jerman,” kata Presiden IAA Hildegard Mueller.

IAA 2021 menyaksikan lebih 700 peserta terdiri daripada pengeluar kenderaan, basikal dan komponen automotif.

Penghasilan kenderaan elektrik menjadi fokus utama kebanyakan pengeluar automotif ketika ini. – Foto ihsan Facebook/IAA2021

BMW antara wakil Jerman yang terlibat dalam pameran antarabangsa ini berkata, syarikat itu bersedia menghasilkan kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang 2025.

Jelas Ketua Operasi Eksekutif (CEO) BWM, Oliver Zipse, BMW juga sedang bercadang menghasilkan kenderaan daripada bahan kitar semula secara 100 peratus.

Apa yang lebih mengagumkan, kenderaan tersebut juga boleh dikitar semula sekaligus mampu mengurangkan tahap pencemaran alam sekitar.

BMW antara syarikat yang serius menghasilkan kenderaan mesram alam. – Foto ihsan BMW

Sementara itu, sebuah lagi syarikat kenderaan Jerman iaitu Mercedes-Benz juga membuat kejutan pada pameran ini dengan memperkenalkan tujuh model terbaharu.

Syarikat itu yakin pameran ini menjadi platform penting dalam memperkenalkan teknologi mereka kepada dunia sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan baharu dalam dunia automotif.

 

Ketahui tujuh model kereta Jerman bawah RM30,000 di pasaran Malaysia

MEMILIKI kenderaan mewah menjadi impian bagi kebanyakan individu terutama kepada mereka yang ‘gilakan’ kereta.

Namun, tidak semua mampu memiliki kenderaan mewah apatah lagi jika ia membabitkan jenama syarikat pengeluar dari Jerman.

Tetapi tahukah anda, masih ada kereta continental ini yang harganya mampu milik dan boleh didapati di pasaran Malaysia?

Berikut antara tujuh kereta mewah Jerman telah kami temui yang mana harganya di bawah RM30,000!

BMW 3 Series E46 318CI (2002)

Model 3 Series ini antara yang paling handsome pernah dihasilkan syarikat pengeluar BMW.

Tergolong dalam ‘keluarga’ coupe, ia mempunyai kapasiti enjin 1,800 cc.

Harga sebuah model ini boleh didapati sekitar RM29,999.

BMW 3 Series E46 318CI. – Foto ihsan Facebook/CK Lee

BMW 5 Series E60 (2007)

Model rekaan Chris Bangle ini juga dikenali sebagai eagle eye. Kereta ini diproduksi di Malaysia dan mempunyai enjin 2,500 cc.

Harga di pasaran adalah sekitar RM28,800.

Apa yang menarik mengenai model ini ia bukan sahaja mampu dimiliki pada harga berpatutan malah, prestasi yang dihasilkan amat memuaskan.

BMW 5 Series E60 (2007). – Foto ihsan Facebook/Kelvin Law

BMW X5 (2004)

BMW X5 merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) paling terkenal di Malaysia suatu ketika dahulu.

Model ini mempunyai enjin 3,000 cc dan cukup sporty  untuk kegunaan pelbagai jenis permukaan jalan raya.

Harga di pasaran ketika dianggarkan RM29,800.

BMW X5 (2004). – Foto ihsan Wikipedia

Mercedes Benz B Class (2004)

Mercedes Benz B Class B170 Avantgarde mempunyai enjin kapasiti 1.7 liter atau 1,700 cc.

Kelebihan model ini adalah bersifat kompak dan mudah untuk dikendalikan terutama di dalam bandar.

Hasil penyelidikan dan recce yang kami lakukan mendapati harganya adalah sekitar RM22,300 atau jauh lebih rendah.

Kena pandai survey ya!

Mercedes Benz B Class (2004). – Foto ihsan Wikipedia

Mercedes Benz C Class (2005)

Turut dikenali sebagai model ‘mata kacang’ ia merupakan antara kenderaan sedan terbaik pernah dihasilkan Mercedes.

Kelihatan ‘mahal’ dan ‘elegan’, model tahun 2005 ini boleh didapati dalam lingkungan harga RM27,800.

Mercedes Benz C Class (2005). – Foto ihsan Wikipedia

Mercedes Benz CLS (2005)

Model ini tergolong dalam kategori coupe namun, mempunyai empat pintu.

Boleh dikatakan legend, model tahun 2005 ini boleh didapati pada harga RM28,800. Murah bukan?

Mercedes Benz CLS (2005). – Foto ihsan Wikipedia

Porsche Cayenne (2006)

Model SUV ini antara yang terbaik pernah wujud dalam industri automotif dunia.

Ia mempunyai enjin 3.2 liter dan mampu memecut pada kelajuan menakjubkan.

Harga bagi model 2006 ini adalah dalam lingkungan RM41,00.

Porsche Cayenne (2006). – Foto ihsan Wikipedia

Jadi, apa pendapat anda?

Adakah berbaloi untuk memiliki kenderaan mewah terpakai pada harga berpatutan ini?

Tepuk dada tanya selera!

Mungkin kalau dah jemu drive Proton atau Perodua, anda boleh cuba nasib untuk memiliki kenderaan mewah yang disenaraikan di atas.

Cuma…pastikan anda punya modal untuk proses servis kenderaan ya!

MotoGP: Rins kian pulih, teruja beraksi di Sachsenring

PELUMBA MotoGP Alex Rins yang mengalami patah pergelangan tangan akibat kemalangan jalan raya mengakui bersedia untuk perlumbaan di Sachsenring, hujung minggu ini.

Pasukan perubatan mengesahkan Rins boleh menyertai perlumbaan jika tidak mengalami sebarang masalah atau kesakitan pada bahagian tangan yang cedera.

Jelas pelumba pasukan Suzuki Ecstar itu, kecederaan dialami semakin pulih walaupun masih merasai kesakitan.

“Saya telah bertemu doktor dan kecederaan semakin pulih. Doktor telah membuka jahitan di tangan dan semuanya tampak positif.

“Namun, tidak dinafikan saya masih merasai sedikit kesakitan pada pergelangan tangan. Itu adalah suatu yang saya perlu tangani segera,” katanya kepada media.

Rins semakin pulih daripada kecederaan pergelangan tangan dan bersedia untuk perlumbaan seterusnya di Sachsenring, Jerman. – Foto ihsan Facebook/Alex Rins

Minggu lalu, Rins terlibat dalam satu kemalangan jalan raya ketika menunggang basikal di Barcelona, Sepanyol.

Kemalangan berpunca daripada kelalaian Rins yang didakwa menggunakan telefon bimbit ketika menunggang basikal.

Mengikut fakta kes, Rins terlanggar sebuah kereta sebelum terjatuh dan mengalami patah pada bahagian pergelanggan tangan.

Terdahulu, Rins mengakui teruja untuk menyertai perlumbaan di Sachsenring selepas terlepas pusingan di Catalunya, Sepanyol.

Kebanyakan pelumba teruja untuk berlumba di Sachsenring memandangkan tiada perlumbaan di litar itu sejak tahun lalu akibat penularan pandemik Covid-19.

“Litar ini punya keunikan tersendiri antaranya selekoh ‘blind spot’ yang berbukit selain banyak selekoh kiri berbanding kanan,” katanya lagi.

Pelumba Suzuki Ecstar Alex Rins terkenal dengan sikap ‘pantang’ mengalah ketika dalam perlumbaan. – Foto ihsan Facebook/Alex Rins