Arkib Tag: insurans

Allianz EV Shield tawar perlindungan pengecas mudah alih yang pertama

ALLIANZ General Insurance Company (Malaysia) Berhad melancarkan insurans baharu iaitu Allianz EV Shield untuk kenderaan elektrik (EV) bagi pengecasan mudah-alih bagi kenderaan EV yang kehabisan cas.

Menurut Allianz, insurans sebegini adalah yang pertama seumpamanya dalam industri.

Allianz EV Rangers yang telah memulakan operasi di Lembah Klang menyediakan perkhidmatan mengecas mudah alih yang boleh mengecas kenderaan untuk sampai ke fasiliti mengecas yang terdekat.

Pelanggan dengan perlindungan Allianz EV Shield akan mendapat manfaat yang melindungi pelbagai titik sentuh berkaitan mengecas EV.

Ini termasuklah RM15,000 untuk kehilangan atau kerosakan akibat kebakaran, kecurian dan bencana alam terhadap kotak dinding pengecas dan RM2,000 untuk kerosakan akibat kebakaran, kecurian dan bencana alam terhadap kabel pengecas mudah alih.

Jika kejadian yang tidak diingini berlaku ketika menggunakan pengecas EV awam, sebuah perlindungan ehsan sehingga RM5,000 akan diberikan untuk kos pembaikan atau untuk perbelanjaan perubatan jika kenderaan rosak dan orang yang diinsuranskan mengalami kecederaan anggota badan.

Selain itu, orang yang diinsuranskan dilindungi sehingga RM50,000 untuk kecederaan anggota badan pihak ketiga dan kerosakan harta yang disebabkan oleh penggunaan langsung pengecas dinding EV di rumah oleh orang yang diinsuranskan.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata: “Dengan produk terbaru kami, kami telah mengenal pasti titik sentuh yang biasa dihadapi oleh pelanggan dan telah mereka penyelesaian yang menyeluruh.

“Misalnya, jika anda kehabisan bateri dalam perjalanan untuk menaiki pesawat, Allianz EV Rangers kami akan segera sampai kepada anda, cas bateri EV anda dan anda boleh meneruskan perjalanan.”

Untuk maklumat lanjut berkenaan Allianz EV Shield, layari https://www.allianz.com.my/personal/home-motor-and-travel/car-and-motorcycle/ev-shield.html.

KL Menjerit: Edisi banjir kilat – Engear Tibai

SALURAN Youtube Engear TV kini mempunyai satu segmen baharu yang dikenali sebagai ‘Tibai’. Dalam segmen ini, Mat Tibai sebagai hos akan menibai apa sahaja isu atau topik hangat yang berkaitan dengan industri automotif Malaysia.

Episod pertama segmen Tibai yang dimuat naik pada 2 Jun 2022 membincangkan tentang isu banjir kilat yang dilihat semakin menjadi-jadi terutamanya Lembah Klang sejak akhir-akhir ini.

Dalam video berdurasi 6 minit 39 saat itu, Mat Tibai berkata isu banjir kilat melibatkan tiga aspek iaitu kerajaan, pengguna dan pihak insurans.

Sumber gambar: BERNAMA

Bercakap mengenai kerajaan, Mat Tibai mempersoalkan apakah tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan atau pihak berkuasa bagi memastikan banjir kilat tidak berulang lagi pada masa depan.

Beliau juga menyifatkan tindakan kerajaan untuk mengkaji hot spot atau punca banjir sebagai ‘kelakar’ kerana masalah banjir bukanlah perkara baharu di Malaysia. Tambah beliau lagi, kajian sepatutnya dilakukan secara berterusan, manakala sistem saliran juga perlu dipantau.

Untuk pengguna pula, kempen kesedaran awam perlu sering dijalankan bagi memastikan sistem saliran tidak tersumbat dan orang awam sentiasa bersedia.

Mat Tibai turut menegur pengguna yang dilihat sering mengabaikan perlindungan bencana khas (special perils) ketika membeli insurans kenderaan. Ini menyebabkan ramai pemilik kenderaan mengalami kerugian besar ketika kejadian banjir.

Turut ditibai dalam episod ini adalah pihak insurans yang didakwa sengaja melambat-lambatkan proses tuntutan ketika banjir pada tahun lalu, sekaligus menambahkan lagi kegusaran mangsa.

Tonton video penuh ‘KL Menjerit: Edisi Banjir Kilat – Engear Tibai’ di bawah:

1.6 juta penjawat awam kini boleh perbaharui insurans kereta secara ansuran

BEKERJA sebagai penjawat awam ada banyak faedahnya, antaranya adalah gaji yang stabil, bonus musim perayaan dan juga pencen yang terjamin.

Kini, penjawat awam bakal mendapat satu lagi manfaat iaitu mereka boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan secara ansuran menerusi program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com.

Program yang diilhamkan oleh Kementerian Sumber Manusia, di bawah kerjasama strategik antara PERKESO, ANGKASA dan A Tech Insure Sdn Bhd ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail Sabri, program itu berlandaskan konsep patuh syariah Qardhul Hasan (pinjaman tidak melibatkan faedah atau unsur riba) dan bakal memanfaatkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam termasuk yang bertaraf kontrak.

Menerusi myezycover.com, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan tanpa sebarang bayaran pendahuluan dan faedah. Pembayaran balik boleh dilakukan menerusi Skim Potongan Gaji ANGKASA (SPGA) sehingga 10 bulan.

Penjawat awam tetap dan bertaraf kontrak layak memohon skim pembiayaan insurans ini dengan syarat nisbah hutang tidak melebihi 60% daripada jumlah pendapatan bulanan.

“Melalui myezycover.com, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan di hujung jari dengan mudah, jimat dan pantas. Nota perlindungan insurans diperoleh dalam masa hanya lima minit,” kata Ismail Sabri.

“Inisiatif ini tidak berorentasikan komersial semata-mata. Apa yang paling penting, ia dapat membantu merealisasi konsep Keluarga Malaysia berasaskan indeks kebahagiaan yang menjadi tanda aras komitmen dan kesungguhan kerajaan,” tambah beliau lagi.

Banjir: Syarikat insurans berdepan tuntutan hingga RM3 bilion

INDUSTRI insurans berdepan dengan tuntutan berkaitan banjir dianggarkan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion berikutan bencana alam yang melanda di beberapa kawasan dalam negara baru-baru ini.

Persatuan Industri Am Malaysia (PIAM) dalam satu kenyataan berkata, anggaran itu termasuk daripada tuntutan persendirian dan komersial yang berpotensi dan sebenar, berpunca daripada banjir kilat selain musim tengkujuh yang akan datang dalam beberapa minggu serta bulan akan datang.

“Disebabkan banjir teruk luar biasa seperti yang dilaporkan secara meluas di pelbagai tempat dalam negara ini, industri insurans am berpotensi menghadapi peningkatan sebanyak RM2 bilion hingga RM3 bilion jumlah pendedahan tuntutan berkaitan banjir,” katanya.

PIAM menambah, industri insurans am turut menghulur bantuan dengan menyumbang RM2.43 juta kepada Dana Bantuan Banjir yang baru ditubuhkan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Inisiatif industri insurans am ini akan melebihi komitmen sedia ada oleh penanggung insurans sejak bencana banjir berlaku, iaitu mempercepatkan penyelesaian tuntutan, menyediakan langkah bantuan khas tambahan, dan bantuan ‘ad hoc ex-gratia’ selanjutnya, seperti yang ditentukan oleh penanggung insurans am individu,” katanya.

Persatuan itu menambah, bantuan CSR ini pada awalnya adalah dalam bentuk subsidi ke arah pembersihan di bengkel untuk kenderaan yang terjejas secara langsung akibat banjir yang mana masih belum dibaiki lagi pada peringkat ini.

“Subsidi ini bagaimanapun dihadkan sekali beri bagi setiap kenderaan sebanyak RM500 untuk kereta atau kenderaan perdagangan dan RM100 untuk motosikal.

“Pihak yang menuntut perlu mengemukakan bukti diperlukan mengenai kerosakan banjir pada kenderaan mereka dan bukti perlindungan insurans terdahulu.

“Kenderaan terbabit mestilah sama ada diinsuranskan pada masa ini (sebarang jenis polisi motor dengan atau tanpa perlindungan banjir adalah layak) atau kenderaan yang kali terakhir diinsuranskan pada 1 Jun 2021.

Menurut PIAM, dana akan ditutup sebaik sahaja jumlah yang dicagarkan sebanyak RM2.43 juta sudah habis digunakan.

Selaras dengan objektif CSR itu, PIAM mengalu-alukan sumbangan daripada pihak atau industri lain terhadap Tabung Bantuan Banjir yang akan memanjangkan hayat dana itu dan seterusnya membantu lebih ramai pemandu yang terjejas.

Banjir: Takaful Malaysia sedia khidmat tunda percuma kepada pelanggan terjejas

TAKAFUL Malaysia Am Berhad memaklumkan bahawa mereka menyediakan perkhidmatan tunda percuma ke bengkel terdekat khusus untuk pelanggan takaful motor persendirian komprehensif yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif dalam menyediakan bantuan segera serta memudahkan proses bantuan kepada pemegang sijilnya, para pelanggan juga boleh berhubung melalui WhatsApp.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad, Mohamed Sabri Ramli berkata, “Sebagai sebuah syarikat insurans Islam, kami mempunyai pengalaman secara langsung berurusan dengan pelanggan yang terjejas akibat banjir.

“Maka, inisiatif yang kami tawarkan melalui perkhidmatan tunda percuma ke bengkel terdekat kepada pelanggan takaful motor persendirian komprehensif kami yang terjejas akibat bencana banjir adalah seruan untuk kami bertindak bagi meringankan bebanan kewangan dan kebimbangan mereka pada masa yang mencabar ini.”

Pelanggan hanya perlu menghubungi talian bantuan 24 jam di 1800-888-788 atau memaklumkan melalui WhatsApp di 019-629 2680.

Tambah Mohamed Sabri, “Pelanggan kami boleh segera memaklumkan tuntutan takaful motor mereka melalui WhatsApp dan kami akan mengaturkan serta mempercepatkan proses tuntutan tersebut.”

JPJ lancar Ops Sedar, buru kenderaan tiada perlindungan insurans

Orang ramai dinasihati memperbaharui perlindungan insurans kenderaan atau berdepan tindakan undang-undang.

Susulan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan Ops Sedar seluruh negara bermula hari ini bagi memastikan pemilik kenderaan mematuhi arahan tersebut.

Memetik laporan Berita harian, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui sekatan jalan raya dibuat di beberapa lokasi terpilih.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak lebih RM1,000 dan lesen boleh digantung selama 12 bulan.

“Sepanjang Ops Sedar dilaksanakan di lapangan, JPJ akan menyediakan kemudahan Mobile JPJ bagi memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu secara terus,” katanya.

Pengguna jalan raya yang tidak memiliki perlindungan insurans kenderaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 90(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pemilik kenderaan diberi kelonggaran untuk tidak memperbaharui cukai jalan sehingga 31 Disember 2021.

Bagaimanapun, kerajaan menetapkan setiap kenderaan perlu memiliki insurans sebagai perlindungan jika berdepan kemalangan.

59 peratus pemandu Malaysia tidak mempunyai perlindungan banjir – kajian

ZURICH Malaysia mendapati 50 peratus pengguna jalanraya Malaysia masih tidak mempunyai perlindungan secukupnya untuk kerosakan akibat banjir.

Perkara ini merupakan salah satu dari hasil kajian mereka dari bancian Impact of Pandemic on Protection.

Hal ini juga perlu dititikberatkan memandangkan Malaysia kerap mengalami musim hujan seperti Monsun Timur Laut yang kini sedang berlaku dari November hingga Mac tahun depan.

Jabatan Meteorologikal telah memberi amaran kepada beberapa negeri yang dijangka dilanda paras hujan lebih tinggi antara 450mm hingga 1,000mm pada November dan Disember ini.

Tambahan lagi, tanah runtuh dan pokok tumbang juga merupakan bencana yang tidak dijangka kebanyakan pengguna jalan raya di Malaysia.

Hanya satu dari tiga pengguna jalan raya (34 peratus) dilaporkan mempunyai perlindugan dari ribut termasuklah pokok tumbang, dan hanya 29 peratus mempunyai perlindungan tanah runtuh.

Bancian itu juga mendapati untuk memperbaharui insurans dan takaful kenderaan, rakyat Malaysia berhubung dengan ejen. Dari 990 responden, 38 peratus memilih berbuat demikian walaupun adanya portal online.

Walaubagaimanapun, portal online tetap menjadi cara paling popular dengan 43 peratus menggunakannya, menunjukkan kepentingan platform digital hari ini.

Sementara itu, 16 peratus memilih untuk melawati kiosk fizikal untuk memperbaharuinya sendiri.

Bancian ini dibuat pada September 2021 yang melibatkan 1,201 rakyat Malaysia dari semua negeri, dan 990 darinya adalah pemilik kenderaan.

Ianya merupakan usaha Zurich Malaysia untuk memahami landskap pengguna tempatan dan membentuk pelan perlindungan yang menepati keperluan.

Takaful myClick Motor FlexiSaver khas untuk yang jarang memandu

Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad (STMAB) melancarkan Takaful myClick Motor FlexiSaver.

Ia merupakan pelan takaful motor flexi pertama negara dengan perlindungan harian Pay As You Drive.

Pengerusi Takaful Malaysia berkata, pelan ini bersesuaian dengan keperluan kewangan serta memberi perlindungan kepada individu yang jarang memandu.

Jelas Datuk Mohammed Hussein lagi, pelan tersebut juga sesuai kepada individu memiliki beberapa kereta dan mahukan penjimatan lebih terhadap pelan insurans.

“Perlindungan harian Pay As You Drive yang terdapat di bawah pelan ini sangat sesuai dan bermanfaat.

“Kami memberi pelanggan fleksibiliti untuk mengaktifkannya sehari sebelum ingin memandu dan dikenakan bayaran hanya pada hari yang mereka pandu sahaja,” katanya.

Pelancaran Takaful myClick Motor FlexiSaver menandakan komitmen teguh Takaful Malaysia mendorong inovasi produk dan memberikan nilai unggul kepada pelanggan.

Pada masa sama, pengguna mempunyai pilihan membuat keputusan dan hanya membayar perlindungan yang diperlukan sahaja.

Takaful myClick Motor FlexiSaver adalah pelan takaful motor dalam talian menyediakan perlindungan setahun untuk kehilangan atau kerosakan kenderaan.

Perlindungan meiliputi kebakaran atau kecurian, kecederaan anggota badan, kematian dan kerosakan harta benda pihak ketiga.

Pelan ini juga menyediakan program bantuan di bahu jalan 24 jam untuk khidmat tunda kerosakan tanpa had dan pembaikan kecil di jalan raya.

Beri insurans baharu, Foodpanda hargai penghantar

FOODPANDA Malaysia dan PolicyStreet mengumumkan skim insurans baharu yang menawarkan perlindungan berganda kepada semua penghantarnya jika berlaku situasi di luar jangkaan.

Pengarah Urusan Foodpanda Sayantan Das berkata, ia  sebagai tanda komitmen berterusan terhadap kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kesemua penghantarnya.

Jelasnya, kesemua penghantar adalah tulang belakang syarikat dan berhak mendapat perlindungan terbaik.

“Foodpanda sentiasa mencari cara dan peluang baharu bagi memastikan kesihatan, keselamatan, dan kesejahteraan kesemua penghantar dijaga.

“Penghantar-penghantar kami sentiasa berhadapan dengan keadaan cuaca dan jalan raya yang tidak dapat dijangkakan.

“Oleh itu, kami ingin mengingatkan mereka bahawa mereka adalah keutamaan kami dan kami komited untuk menyediakan mereka skim insurans terbaik,” katanya.

Skim insurans ini membolehkan kesemua penghantar aktif dilindungi secara automatik secara percuma.

Kaedah bayar dahulu dan tuntut kemudian ini akan memberi perlindungan kepada penghantar sepanjang tempoh waktu bekerja.

Menerusi skim insuran baharu ini, tuntutan sehingga RM100,000 boleh dibuat sekiranya berlaku kematian atau hilang keupayaan kekal.

Penghantar juga boleh menuntut sehingga RM2,500 untuk sebarang kos perubatan dan hospital sebanyak RM40 sehari selama 30 hari.

Terdahulu, syarikat itu memaklumkan kesemua penghantar Foodpanda layak mendapat skim insurans khas untuk Covid-19.

Tuntutan sehingga RM300 boleh dibuat bagi mereka yang perlu menjalani kuarantin termasuk RM5,000 sekiranya berlaku kematian mengejut.

Untuk rekod, terdapat 91 kes kemalangan membabitkan penunggang penghantar makanan dan barangan (p-hailing) di negara ini tahun lalu.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menjelaskan, jumlah itu meningkat ketara berbanding pada 2019.

Pada 2019, hanya terdapat satu kes kematian dan lima cedera ringan melibatkan pekerja p-hailing.