Arkib Tag: helmet

19 topi keledar Shoei, Arai bernilai RM63,200 dicuri

SEORANG peniaga topi keledar berputih mata apabila 19 topi keledar jenama Arai dan Shoei bernilai RM63,200 lesap dicuri orang pada 29 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pemiliknya mendakwa telah keluar dari kediamannya di Taman Bukit Kuchai, Puchong pada jam 2 petang dalam keadaan pintu biliknya berkunci.

Menurutnya, mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun menyedari kehilangan topi keledar itu selepas pulang ke bilik sewanya pada jam kira-kira 4.45 petang.

“Suspek disyaki masuk ke bilik mangsa melalui pintu pagar hadapan rumah yang tidak berkunci. Kemudian suspek dipercayai masuk melalui tingkap belakang bilik mangsa yang terletak di tingkat atas,” katanya.

Tambah beliau lagi, tempat kejadian adalah di sebuah rumah teres dua tingkat dan bilik mangsa berada di tingkat atas.

Siasatan awal mendapati mangsa menjalankan perniagaan menjual topi keledar jenama Arai dan Shoei sejak tahun 2011 di laman Facebook dan TikTok.

“Polis telah mengesan beberapa cap jari di lokasi kejadian dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti suspek terlibat untuk tindakan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sementara itu, kejadian itu turut dikongsikan di laman grup Facebook RXZ Members – Official yang memaparkan senarai jenis topi keledar yang hilang selain memohon jasa baik semua pihak untuk sebarkan berita ini agar barang terbabit dapat dipulangkan semula.

Sepanyol bakal wajibkan pakai helmet ‘full-face’ tunggang motosikal

Kerajaan Sepanyol bakal mewajibkan pemakaian helmet ‘full-face’ sekaligus mengharamkan helmet jenis ‘open-face’ dalam usaha menangani kemalangan maut melibatkan motosikal. 

Menurut laporan media antarabangsa, Sepanyol tekad mengetatkan peraturan melibatkan penunggang motosikal di negara itu dalam usaha mengurangkan angka kematian melibatkan kemalangan motosikal. 

Menurut statistik, seramai 268 kematian dicatatkan pada sepanjang 2023 akibat dari kemalangan motosikal. Sehubungan itu, kerajaan Sepanyol menyifatkan pemakaian helmet ‘full-face’ dapat mengurangkan angka tersebut pada tahun baru. 

Selain itu, kerajaan juga bercadang untuk mewajibkan pemakaian sarung tangan motosikal. 

Topi keledar Gracshaw DC Super Heroes dilancarkan – RM460

JENAMA topi keledar tempatan, Gracshaw telah melancarkan barisan topi keledar edisi terhad DC Super Heroes yang menampilkan enam rekaan istimewa.

Rekaan-rekaan tersebut adalah berdasarkan watak popular dari DC iaitu Batman, Superman, Wonder Woman, The Flash, Aquaman dan The Joker.

Menurut Gracshaw, topi keledar ini merupakan produk tulen dan asli yang direka dengan kerjasama DC.

Tambah syarikat itu lagi, hanya 1,500 unit akan dihasilkan untuk rekaan Batman, Superman, The Flash dan The Joker, manakala Aquaman dan Wonder Woman masing-masing terhad kepada 500 unit.

Ini bagi memastikan status topi keledar ini sebagai barangan pengumpul yang jarang ditemui dan berharga.

Topi keledar Gracshaw DC Super Heroes menggunakan model Gennex sebagai asas. Selain mempunyai pensijilan SIRIM, ia juga menawarkan ciri-ciri seperti pengunci cincin D berganda, sistem pengudaraan berganda dan pelapik dalaman yang boleh ditanggalkan.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan visor yang boleh didapati dalam lapan warna menarik.

Topi keledar Gracshaw DC Super Heroes boleh didapati dalam saiz M hingga XXXL, dengan harga RM460 seunit. Setiap pembelian didatangkan kotak khas yang mengandungi beg, sijil ketulenan dan pelekat unik.

Topi keledar ini boleh didapati di 30 pengedar terpilih Gracshaw bermula 10 Januari 2024.

Helmet GIVI M33.0 Aria masuk pasaran Malaysia, harga dari RM195

GIVI Malaysia baru-baru ini telah melancarkan rangkaian topi keledar terbaru mereka iaitu M33.0 Aria ke pasaran tempatan.

Menurut GIVI, topi keledar ini mempunyai cengkerang luaran kukuh yang diperbuat daripada material technopolymer dan beratnya adalah 1,220 g sahaja, sekali gus menjadikan ia cukup selesa untuk kegunaan harian.

Untuk menambahkan lagi keselesaan pemakai, topi keledar M33.0 Aria juga dilengkapi dengan dua liang udara pada bahagian hadapan dan satu extractor pada bahagian belakang untuk memberikan pengaliran udara yang baik.

Pengikat micrometric pula memastikan topi keledar sentiasa terpasang dengan kemas dan selesa.

Selain itu, topi keledar ini juga didatangkan dengan visor yang telah disalut bahan anti calar bagi memastikan pandangan sentiasa jelas serta memanjangkan jangka hayat visor.

Bukan itu sahaja, pelapik dengan kain anallergik membantu mengurangkan jangkitan bakteria pada lapisan dalam dan pipi. Pelapik tersebut boleh ditanggalkan dengan mudah untuk dicuci.

Pelanggan juga tidak perlu risau tentang keselamatan kerana topi keledar M33.0 Aria mencapai piawaian homologasi keselamatan terbaru ECER22.06, selain memenuhi standard keselamatan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ).

@engear.tv

5 Benda Best Tentang #Helmet #Givi #m33 #aria #best #helmetlover #givimalaysia #engeartv #malaysia #bike #motobike #fyp #carsoftiktok #tiktokmalaysia

♬ original sound – Engear TV – Engear TV

Topi keledar GIVI M33.0 Aria boleh didapati dalam saiz S hingga XL, dengan enam warna menarik untuk dipilih iaitu Graphic Rush Blue Turquoise, Graphic Rush Red Blue, Graphic Union Black Blue, Graphic Union Grey Yellow, Dark Blue dan Dark Grey.

Harga jualan untuk Semenanjung Malaysia bermula dari RM195 untuk rekaan tanpa grafik (plain) dan RM220 untuk grafik.

Di Sabah dan Sarawak pula, harga jualan bermula dari RM215 untuk rekaan plain dan RM245 untuk grafik.

GIVI 50.9 Atomic kini di Malaysia, 4 warna, RM735

GIVI Malaysia telah memperkenalkan topi keledar full-face terbaharu mereka iaitu 50.9 Atomic. Ianya mendapat penarafan ECE 22.06 terkini, dan dijual pada harga RM735.

Topi keledar ini direka khas untuk sportsbike dan sport touring, serta menampilkan rongga udara besar di atas untuk aliran udara maksima.

Ia juga dilengkapi dengan spoiler belakang untuk menambah kestabilan, manakala ‘dagu’ depannya direka bagi mengurangkan kemasukan angin, air dan bunyi.

Visornya boleh dipasang terus dengan pin pengunci, dan turut mendapat sunvisor drop-down terbina dalam. GIVI 50.9 juga menampilkan salutan anallergenic di kusyen dalam untuk mengelakkan alahan kulit.

GIVI 50.9 boleh didapati dalam saiz M hingga XXL, dan ditawarkan dalam empat warna iaitu Atomic White Blue Red, Atomic Titanium Silver Blue, Atomic Black Silver, dan Atomic Silver Black.

Gracshaw Gennex Japan Edition tawar 6 rekaan unik dari anak tempatan – RM420 seunit

GRACSHAW telah melancarkan barisan topi keledar edisi khas yang dikenali sebagai Japan Edition. Terdapat enam rekaan unik yang boleh dipilih, setiap satu dengan tema dan cerita yang tersendiri.

Model Japan Edition adalah berasaskan model Gennex yang mempunyai rekaan open-face dan double visor. Ia dijual pada harga RM420 seunit dan setiap topi keledar didatangkan dengan beg galas eksklusif.

Menurut Gracshaw, setiap topi keledar Japan Edition menampilkan elemen Jepun yang dikategorikan kepada tiga tema iaitu cerita rakyat, budaya pop dan catatan sejarah.

‘Kurita’ mendapat ilham reka bentuk daripada sotong gergasi dari kisah dongeng Jepun yang popular, manakala ‘Tsuru’ menampilkan burung jenjang bermahkota merah, spesis burung yang paling jarang ditemui dan dipercayai membawa tuah.

Sementara itu, ‘Japop’ diinspirasikan oleh budaya anime dan manga, menampilkan karakter-karakter menarik termasuk Astro Boy. ‘Tengu’ pula merupakan makhluk sakti nakal bermuka merah dan berhidung panjang yang dikatakan memiliki kuasa mengawal angin.

Rekaan ‘Oda’ memberi pengiktirafan kepada Nobunaga Oda, hulubalang Jepun yang berani semasa zaman Sengoku, manakala ‘Karasu’ pula menampilkan senjata yang digunakan oleh para ninja seperti shuriken, kunai dan kusarigama.

Farizan bin Md Akir dari Bahagian Pemasaran, Double Site Marketing, berkata model Japan Edition idireka bentuk di Pulau Pinang dan dibuat di Jitra, Kedah.

“Ini merupakan rangkaian topi keledar paling unik dan menarik daripada Gracshaw dan kami mengambil masa hampir lapan bulan untuk membangunkannya daripada peringkat konsep hinggalah kepada pengeluaran.” katanya lagi.

Topi keledar Gracshaw Japan Edition boleh dibeli secara dalam talian melalui https://shop.gracshaw.com, Kedai Rasmi Gracshaw di Shopee https://shopee.com.my/gracshaw.os dan melalui laman Facebook https://www.facebook.com/gracshaw.

Alamak helmet bau kepam! Apa kena buat?

Topi keledar atau helmet merupakan aspek keselamatan paling penting ketika menunggang motosikal di jalan raya.

Pemakaian helmet bukan sahaja selari dengan undang-undang tetapi lebih penting ia dapat mengurangkan risiko kecederaan jika berlaku kemalangan jalan raya.

Memahami hakikat ini, maka adalah penting helmet dijaga rapi apatah lagi melibatkan aspek kebersihan.

Artikel ini berkongsi dengan anda tips penjagaan helmet agar kekal bersih hygiene untuk digunakan.

Pastikan helmet dalam keadaan kering

Ramai dalam kalangan penunggang motosikal kurang peka dengan kondisi dalaman helmet sama ada ia dalam keadaan kering atau lembap.

Bahagian dalaman helmet yang basah atau lembap boleh mengeluarkan bau kurang menyenangkan.

Kaedah paling mudah ialah anginkan seketika bahagian dalaman helmet selepas ia digunakan.

Anda juga tidak digalakkan menjemur helmet di kawasan panas kerana dibimbangi merosakkan struktur polisterina dan stirofoam.

Basuh sponge dalaman secara berkala

Anda boleh keluarkan bahagian sponge dalaman helmet dan cucikan ia dengan ejen pencuci khas.

Cara ini bukan sahaja menghindarkan bau-bauan kurang menyenangkan tetapi dapat mengurangkan bakteria ‘bersarang’ di helmet anda.

Bagaimanapun, elak jemur secara terus di bawah cahaya matahari.

Lap bahagian luaran dengan kerap

Pastikan anda lap bahagian luaran helmet dengan kerap bagi menyingkirkan debu yang melekat.

Gunakan tisu basah atau kain mikrofiber agar permukaan helmet tidak mudah calar.

Jika terlebih rajin, tidak salah untuk anda polish dengan menggunakan bahan pengilap yang sesuai.

Simpan helmet di tempat sesuai

Helmet perlu disimpan di tempat yang sesuai dan tidak terdedah kepada habuk serta kekotoran lain.

Pastikan juga helmet anda tidak terdedah kepada haiwan seperti kucing bagi mengelak risiko tertentu.

Bayangkan jika helmet anda yang mahal dicakar atau lebih parah terkena najis haiwan itu…kes naya bro!

Penjagaan rapi helmet amat penting untuk kekal hygiene. – Foto ihsan Unsplash/Markus Winkler

Gunakan semburan Muc-Off

Muc-off merupakan salah satu daripada produk pembersihan helmet yang terdapat di pasaran.

Terdapat beberapa jenis produk dihasilkan jenama ini antaranya bagi pembersihan visor, sponge dalaman dan bahagian ‘cengkerang’ helmat.

Menerusi kaedah ini, anda bukan sahaja berjaya menyingkirkan bau kurang menyenangkan tetapi kekal menjaga kualiti helmet tersebut.

Demikian antara tips penjagaan helmet yang dapat dikongsikan.

Jika ada sebarang tips lain yang boleh dikongsikan boleh tinggalkan komen di semua platform media sosial Engear.

Semoga terus istiqamah dalam menjaga kebersihan helmet!

Jangan biarkan helmet anda dihantui bau kepam…selamat mencuba!

Elak kepala ‘pecah’! Berikut helmet sering dipakai orang Malaysia

KADAR kemalangan melibatkan penunggang motosikal di negara ini amat membimbangkan.

Berdasarkan senario itu, pemilihan topi keledar (helmet) bagi tujuan keselamatan adalah sangat penting.

Penunggang motosikal wajib mengetahui ciri keselamatan setiap helmet termasuk mengenal pasti adakah ia memenuhi piawaian Standard and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM).

Justeru bagaimana untuk memilih helmet yang sesuai?

Apakah jenama helmet yang sering digunakan para penunggang motosikal negara ini?

Jom kita semak satu per satu!

Senarai helmet popular di Malaysia

Terdapat banyak jenis dan jenama helmet di pasaran dengan pelbagai harga.

Ada mahal dan ada juga yang murah.

Semuanya bergantung kepada kualiti dan jenama.

Berikut merupakan antara beberapa jenis helmet yang sering digunakan para penunggang motosikal negara ini:

Arai Open Face Helmet

Nama Arai bukan biasa-biasa bagi kebanyakan pencinta helmet.

Bukan sahaja kerana harganya yang ‘berdentum’, tetapi Arai amat terkenal dengan kualiti yang super premium!

Setakat ini, kebanyakan helmet jenama Arai berharga ribuan ringgit.

Jika anda terjumpa Arai yang agak murah, hati-hati kerana ia mungkin produk cetak rompak.

Shoei Jo Helmet – Hawker

Reka bentuk helmet ini sesuai untuk penunggang motosikal jenis skuter.

Helmet ini membenarkan aliran udara di bahagian dalam sekaligus memberi keselesaan menyeluruh kepada si pemakai.

Rangka topi yang ringkas dan bergaya ini juga sesuai untuk meningkatkan prestasi semasa menunggang sambil mengutamakan keselamatan.

Bayangkan anda pakai helmet ini sambil bersiar di tengah ibu kota, ‘merecik!’

KYT NF-J

Helmet asal Indonesia ini kian menempa nama dalam kalangan penunggang motosikal negara ini.

NF-J bukan sahaja ‘sedap’ dipakai tetapi juga mempunyai pelbagai design menarik.

Kebanyakan design dicipta berjaya menarik perhatian anak muda.

Selain itu, antara helmet NF-J popular adalah bertemakan frontliner tanda tribute kepada petugas barisan hadapan menentang Covid-19.

ARC Ritz AR4 (Stars)

Reka bentuk helmet ini sangat unik dengan cermin depan diperbuat daripada bahan tahan retak.

Memiliki corak bintang eksklusif, ia mempunyai fitur keselamatan tinggi selain mendapat kelulusan piawaian Sirim.

Rata-rata penunggang mengakui ARC Ritz AR4 sangat selesa dipakai terutama ketika cuaca panas.

GIVI M50.2 Turismo Graphic Touring Helmet

Helmet jenis ini sangat sesuai untuk individu menunggang motosikal bagi jarak jauh.

Menutup wajah sepenuhnya, ia memberi perlindungan menyeluruh bahagian kepala dan muka.

Apa yang penting harganya amat berpatutan dengan kualiti yang amat memuaskan.

SGV Cruiser Visorex Helmet

Jangan panggil diri anda ‘Mat Motor’ jika tidak pernah mendengar nama helmet ini.

Sekiranya anda memerlukan helmet jenis sederhana dan ringan, SGV jenama paling sesuai.

Apa yang penting, ia bukan sahaja murah tetapi selamat digunakan kerana memilki pengiktirafan Sirim.

Sebenarnya ada banyak lagi helmet terkenal di negara ini.

Untuk kami senaraikan kesemuanya memang terlalu banyak!

Mungkin di masa lain kita akan borak lagi mengenai helmet yang sering digunakan penunggang motosikal negara ini.

Jumpa lagi guys!