Arkib Tag: gs3

GAC GS3 akan jadi model pertama CKD – SUV segmen-B, 1.5 turbo, ADAS Level 2

GAC GS3 akan menjadi model pertama hasil projek CKD antara Guangzhou Automobile Group (GAC) dan WTC Automotif (WTCA) yang dimeterai hari ini.

GAC GS3 yang akan dipasang itu merupakan model generasi baharu dengan versi pemanduan sebelah kanan (RHD). Ia dibina dari pelantar baharu serta menampilkan rangkaian janaan kuasa baharu sepenuhnya.

SUV segmen-B ini bakal mendapat unit 1.5-liter 4-silinder turbo yang merupakan enjin suntikan bahan api terus (T-GDI) generasi ketiga. Ia mampu menjana 270Nm dan dipadankan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan.

Padanan baharu ini menggantikan enjin 1.5-liter naturally aspirated dengan kotak gear automatik 6-kelajuan pada model terdahulu. GS3 CKD baharu juga akan dilengkapi dengan Advanced Driving Assist System (ADAS) Tahap 2.

Pengeluaran CKD bagi GAC GS3 dijadualkan bermula pada April tahun depan, dengan jualan pada pertengahan 2024.

Projek itu bernilai lebih RM60 juta dan menariknya, ia bukan sahaja CKD pertama GAC di ASEAN, malah di dunia. Kenderaan-kenderaan GAC akan dipasang di fasiliti CKD milik kumpulan Tan Chong Group di Segambut, Kuala Lumpur.

Menurut Naib Presiden GAC Group dan pengerusi GAC International, Yu Jun, beliau menjangkakan dalam pembangunan tiga hingga lima tahun, pengeluaran dan jualan akan mencapai 50,000 unit.

“Untuk mencapainya, GAC akan mengaturkan sumber dalaman dan luaran, meningkatkan sokongan untuk pasaran Malaysia, mempercepatkan pelancaran model-model penting, menambah baik matriks model, dan memberikan produk lebih pintar dan berkualiti untuk pengguna tempatan,” katanya.

WTCA juga merancang untuk membuka lebih 70 bilik pameran di Malaysia. Bilik pameran pertama yang dibuka ialah ialah di Seksyen 13 Petaling Jaya, bersebelahan bilik pameran Renault dan berdekatan Jaya 33. Ia dijangka beroperasi sepenuhnya suku ketiga tahun ini.

WTCA berkata dalam satu kenyataan media: “Dalam lima tahun akan datang, kami akan memperkenalkan model-model GAC Motor pemanduan stereng kanan yang menarik dan komprehensif, termasuklah SUV, sedan, dan MPV.

“Tambahan lagi, model-model serba baharu GAC juga akan dibangunkan terus untuk model LHD dan RHD, memastikan pengguna Malaysia mendapat produk terkini seperti pengguna global kami.”

GAC GS3 pencabar terbaharu X50, HR-V, Corolla Cross – harga bermula RM88,800

GAC kini tiba di Malaysia dan model pertama diperkenalkan ialah GS3, iaitu sebuah crossover atau SUV kompak segmen-B.

GAC diuruskan oleh Warisan Tan Chong Automotif (WTCA) yang telah memeterai perjanjian khas dengan GAC Motor pada November lepas. Model GAC GS3 ini ialah diimport sepenuhnya (CBU) dan hadir dengan dua varian; Standard (RM88,800) dan Premium (RM96,800).

Setiap pembelian dilindungi dengan jaminan 5-tahun atau 150,000km serta lima kali upah percuma dalam tiga tahun pertama.

Dari segi saiz, GS3 berukuran 4,358mm panjang, 1,825mm lebar dan 1,660mm tinggi (tanpa rel bumbung) dan mempunyai jarak roda 2,560mm. Secara keseluruhan, GS3 ini lebih besar dari Proton X50 dan Honda HR-V.

Kelengkapan luaran GAC GS3 adalah lampu depan halogen projektor, rim aloi 17-inci, lampu belakang LED, dan cermin sisi kuasa.

GS3 Standard hadir dengan tiga pilihan warna (Lunar Grey, Ivory White dan Starlight Silver) manakala varian Premium hadir dengan dua warna dwi-tona (Rosefinch Red dan Ivory White) dengan bumbung hitam.

Ciri di dalam pula adalah balutan ala kulit dan fabrik, pendingin hawa dengan penapis udara PM2.5, dan sistem infotainmen bersaiz 8-inci yang menyokong Apple CarPlay.

Kedua-dua varian GAC GS3 dipacu oleh enjin 1.5-liter naturally-aspirated 4-silinder yang menjana 113hp dan 150Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda dengan kotak gear automatik 6-kelajuan.

Untuk sistem keselamatan, GAC GS3 mendapat empat beg udara, ABS, EBD, Eletronic Stability Programme, Brake Assist, Hill-Start Assist, Hill Descent Control, dan Blind Spot Monitoring.

Walaupun bersaing dengan model-model seperti Honda HR-V, Toyota Corolla Cross, Subaru XV, Hyundai Kona dan Mazda CX-3, GAC GS3 mempunyai kelebihan dari segi harga kerana tidak melebihi RM100k.

Jadi ia berharga hampir sama dengan Proton X50. Apa pendapat anda mengenai GAC GS3 ini?