Arkib Tag: forester

Subaru Forester 2025 – model generasi ke-6 tampil lebih moden dan selesa

SUBARU telah memperkenalkan Forester 2025 bersempena dengan Los Angeles Auto Show 2023.

Kini dalam generasi keenam, Forester serba baharu ini hadir dengan rekaan yang lebih moden, casis yang dipertingkatkan dan pelbagai kelengkapan terkini.

Penampilan SUV ini yang lebih moden dan berani boleh dilihat menerusi gril baharu dengan panel hitam yang bersambung dengan lampu LED.

Menurut Subaru, rekaan ini memberikan penampilan seakan perisai pada wajah hadapan Forester. Bukan itu sahaja, model generasi baharu ini juga menampilkan logo Subaru yang dikemas kini.

Pada bahagian sisi, terdapat gerbang roda bersegi dan panel plastik hitam seperti WRX, manakala di belakang pula anda akan menemui lampu berbentuk tiga segi yang bersambung dengan jalur hitam.

Di sebalik ‘baju’ baharu ini, platform Subaru Global Platform (SGP) telah diperkukuhkan sebanyak 10 peratus menerusi teknik kimpalan yang lebih kuat dan perekat struktur tambahan.

Menurut Subaru, penambahbaikan ini menjadikan badan Forester lebih kukuh dan ringan, selain menjadikan kabin lebih senyap.

Ruang dalaman Forester telah diberikan pembaharuan secara menyeluruh dan kini menampilkan skrin sentuh Starlink 11.6 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, Bluetooth dan sistem navigasi dengan sistem kawalan suara.

Aspek praktikaliti dikekalkan dengan tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara 60:40, memberikan ruang kargo seluas 74.4 kaki padu (sekitar 2,107 liter).

Bukan itu sahaja, pintu tailgate kini boleh dibuka secara bebas tangan dengan adanya sensor kaki. Turut disertakan adalah cangkuk tugas berat (enam di dalam ruang kargo, dua pada tailgate) dan rel bumbung.

Kesemua lima varian Forester (Base, Premium, Sport, Limited dan Touring) dikuasakan oleh enjin boxer 2.5-liter empat silinder dengan 180 hp/241 Nm, Lineartornic CVT dan Symmetrical All-Wheel Drive.

Tidak cukup dengan itu, trenkuasa ini juga dibantu oleh Active Torque Vectoring dan sistem pengurusan prestasi SI-Drive. Apa yang menarik, SUV ini juga mendapat sistem stereng kuasa daripada WRX.

Turut disertakan secara standard adalah versi terbaru sistem bantuan pemandu EyeSight yang dikatakan boleh beroperasi dengan lebih lancar dan pantas berbanding sebelum ini.

Selain boleh mengesan kehadiran penunggang basikal dan pejalan kaki di persimpangan, sistem ini juga didatangkan dengan ciri-ciri tambahan seperti Reverse Automatic braking, Blind Spot Detection dengan Lane Change Assist dan Rear Cross-Traffic Alert.

Subaru Forester dikemaskini untuk 2023 – EyeSight 4.0, dari RM174k

TC Subaru Sdn Bhd hari ini memperkenalkan Forester yang dikemaskini untuk 2023. Ia membawakan pembaharuan merangkumi EyeSight 4.0, penambahbaikan dari segi ciri dan kelengkapan, serta kosmetik.

EyeSight 4.0 didatangkan standard untuk semua varian Forester, kini dengan sembilan ciri, antaranya Autonomous Emergency Steering, Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Pre-Collision Braking, Subaru Rear Vehicle Detection, dan High Beam Assist.

X-MODE yang merupakan butang untuk mengawal Symmetrical All-Wheel Drive juga telah ditambah baik untuk Forester 2023. Ia mempunyai mod Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud (bergantung kepada varian) dan kini didatangkan dengan fungsi X-MODE Auto Restore dan Hill Descent Control.

Dari segi rupa dan penampilan, Subaru Forester 2023 diberikan dua kit badan baharu iaitu GT Lite dan GT Edition, masing-masing dengan lip depan dan belakang, skirt sisi, dan rim (18-inci atau 17-inci bergantung kepada varian).

Harus diketahui bahawa kit badan ini direka oleh Giken Co. Ltd dan Masahiko Jack Kobayashi, iaitu dari pasukan asal Subaru yang terlibat dalam reka bentuk 12 model termasuk WRX STI.

Di dalam kabin pula, Subaru Forester 2023 mendapat tempat duduk kulit dengan jahitan berlian dwi-tona, dengan logo GT di sisi. Forester 2023 boleh didapati dengan tujuh warna; Crystal White, Ice Silver Metallic, Crystal Black Silica, Horizon Blue Pearl, dan tiga warna baharu (Cascade Green Silica, Magnetite Gray Metallic, dan Brilliant Bronze Metallic).

Subaru Forester masih dikuasakan oleh enjin boxer 4-silinder dengan output 154hp dan 196Nm tork. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear CVT dan sistem pacuan Symmetrical AWD.

Harga bagi Forester 2023 adalah seperti berikut:

Forester 2.0i-L Eyesight: RM174,288
Forester 2.0 i-L EyeSight GT Lite: RM180,288
Forester 2.0 i-S EyeSight: RM184,288
Forester 2.0 i-S EyeSight GT Edition: RM196,288

50 tahun AWD – Subaru sambut dengan Forester XT-Edition

50 tahun lepas, negara kita Malaysia baru merdeka 15 tahun, tetapi Subaru telah mula menghasilkan kenderaan pacuan semua-roda (AWD). Jadi tahun ini untuk menyambut setengah abad mereka dengan AWD, Subaru memperkenalkan Forester XT-Edition, edisi khas untuk pasaran Jepun sahaja.

Walaubagaimanapun, ia mendapat warna khas Geyser Blue iaitu cat yang mula diperkenalkan untuk pasaran Amerika Utara. Ini bermakna Forester XT-Edition ini merupakan model JDM pertama dengan cat badan itu.

Kemasan lain pada Forester edisi terhad ini termasuklah trim hitam pada gril depan, rel bumbung, perumah cermin sisi, dan rim 18-inci. Warna gelap ini juga boleh didapati pada sekitar lampu kabus dan spoiler bumbung.

Untuk menampakkan gaya rugged pada SUV ini, Subaru telah memberikan tempat duduk fabrik, dan lantai kargo kalis air dengan rel untuk memudahkannya ditarik keluar.

Di bahagian kabin, Forester ini mendapat jahitan perak pada tempat duduk, papan pemuka, panel pintu, manakala corong pendingin hawa diberikan warna metalik. Forester ini juga dilengkapi dengan EyeSight Safety Plus sebagai standard, lengkap dengan kamera pandang belakang digital.

Diasaskan dari Forester Sport, XT-Edition ini dikuasakan oleh enjin 1.8-liter turbo dengan 174hp dan 300Nm tork. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear CVT Lineartronic.

Edisi terhad ini dijual pada harga 3,355, 000 Yen (RM111,607) termasuk cukai 10 peratus.

Subaru Forester Wilderness dengan suspensi lebih tinggi, kemasan kulit kalis air

BARU-baru ini, Subaru of America telah melancarkan barisan model Forester 2022 yang hadir dengan pelbagai penambahbaikan yang melibatkan aspek reka bentuk dan kelengkapan. Namun, apa yang paling menarik perhatian adalah kehadiran varian baharu dikenali sebagai Wilderness yang direka khas untuk penggemar aktiviti outdoor.

Jadi, apakah yang membezakan Wilderness dengan varian-varian Forester lain? Secara asasnya, ia dihasilkan mengikut acuan yang sama dengan Outback Wilderness yang diperkenalkan pada April lalu, bermakna ia mempunyai penampilan lebih rugged serta sistem suspensi lebih tinggi.

Sekilas pandang, varian ini kelihatan gagah dengan kehadiran gril heksagon yang lebih menonjol, kemasan gerbang roda yang lebih lebar, skid plate pada bampar dan perumah lampu kabus LED yang juga berbentuk heksagon. Di atas bonet pula terdapat kemasan anti-silau berwarna hitam matte.

Ruang dalaman pula tidak jauh berbeza dengan Forester yang lain, cuma Wilderness mendapat perlindungan tambahan dalam bentuk kemasan kulit StarTex yang kalis air dan lumpur.

Pelanggan yang inginkan lebih kelengkapan boleh mendapat pakej tambahan yang merangkumi skrin sentuh multimedia berukuran 8.0 inci dengan Subaru Starlink dan navigasi, sistem audio Harman Kardon dan juga pintu but berkuasa.

Seperti yang diperkatakan tadi, penambahbaikan yang ada pada Forester Wilderness tidak terhad kepada aspek kosmetik sahaja. Casisnya turut dinaik taraf dengan sistem suspensi khas yang memberikannya jarak lega tanah setinggi 9.2-inci, iaitu 0.5-inci lebih tinggi berbanding varian standard tetapi 0.4-inci lebih rendah jika dibandingkan dengan Outback Wilderness.

Menurut Subaru, ketinggian tambahan itu disumbangkan oleh gegelung dan penyerap hentak lebih panjang yang telah ditala bagi membantu mengekalkan prestasi pengendalian Forester.

Untuk model ini, Subaru menggunakan rim aloi 17-inci berwarna hitam matte yang dipadankan dengan tayar all-terrain Yokohama Geolandar. Pemandu tidak perlu risau jika berlaku kebocoran semasa berada di dalam hutan kerana ia didatangkan dengan tayar ganti bersaiz penuh yang ditelakkan di bawah lantai kargo.

Selain itu, terdapat juga rak bumbung ladder type yang boleh menampung beban dengan berat sehingga 100kg semasa bergerak atau 363kg semasa dalam keadaan pegun. Dengan kapasiti yang lebih tinggi ini,  pemilik boleh mendirikan khemah yang lebih besar di atas bumbung.

Seperti varian-varian lain, Forester Wilderness dikuasakan oleh enjin boxer 2.5-liter 4-silinder yang menghasilkan 182hp dan 239Nm, dengan kuasa disalurkan ke kesemua roda menerusi transmisi Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua roda Symmetrical All-Wheel Drive.

Walaupun secara umumnya trenkuasa ini standard, Subaru telah menala semula nisbah transmisi berkenaan untuk memperbaik kuasa mendaki pada kelajuan rendah. Bukan itu sahaja, sistem X-Mode juga telah ditala semula dengan mod pemanduan Snow, Dirt, Deep Snow dan Mud.