Arkib Tag: filem

Pelakon lagak ngeri Fast and Furious 9 nyaris terkorban, pengarah disaman RM4.66 juta

Seorang pelakon lagak ngeri (stuntman), Joe Watts telah mengalami kecederaan “yang mengubah hidupnya” selepas terjatuh kira-kira 25 kaki dari tali keselamatan di studio Warner Bros. di Leavesden, United Kingdom (UK).

Eksekutif kesihatan dan keselamatan (HSE) kerajaan UK mendapati pasukan penggambaran Fast and Furious 9 (FF9) tidak menilai risiko secukupnya seperti tali putus, rosak, pemeriksaan keadaan, atau regangan di antara babak.

Ini bermakna mereka bertanggungjawab terhadap insiden Watts, dimana beliau jatuh dan mengalami keretakan tengkorak, trauma kecederaan otak, dan mengakibatkan pelakon itu mempunyai kecacatan dan kurang upaya kekal.

Laporan juga mengatakan tali keselamatan yang menyokong Watts tidak diperiksa dalam tempoh enam bulan dan penerbit FF9 tidak menyediakan sebarang alas sekiranya berlaku sebarang insiden tidak diingini.

FF9 Pictures Limited didapati bersalah dan disaman kira-kira USD1.05 juta (RM4.66 juta). Pegawai HSE, Roxanne Barker berkata, “Kecederaan Watts mengubah hidupnya dan dia boleh terkorban.

“Dalam kerja-kerja aksi lagak ngeri, ia bukan berkenaan mengelakkan terjatuh tetapi meminimakan risiko kecederaan,” katanya.

HSE sebelum itu menyiasat penerbit Squid Game: The Challenge, selepas laporan peserta-peserta mengalami kecederaan saraf dan hipotermia.

Watts kini mengumpulkan sekitar USD1.2 juta untuk kecederaan peribadi, menyatakan dia tahu tidak akan dapat bekerja lagi. Dia juga menggesa industri filem untuk membuatkan set mereka lebih selamat.

“Saya tidak mahu apa yang terjadi kepada saya berlaku kepada orang lain,” ujar Watts.

Motosikal Shin Kamen Rider akan dipamerkan dari 15 Julai hingga 3 September 2023

Honda Collection Hall di Mobility Resort Motegi, Tochigi Prefecture akan mengadakan pameran motosikal sebenar yang digunakan dalam filem Shin Kamen Rider.

Dalam pameran bermula 15 Julai hingga 3 September itu, empat motosikal yang membintangi filem tersebut akan dipamerkan, iaitu:

  • Cyclone biasa (Honda CBR250R)
  • Cyclone dari Kamen Rider (Honda CBR650R)
  • Cyclone dari Kamen Rider No.2 (Honda CBR650R)
  • Shin Cyclone (Honda CBR250R)

Pameran khas itu diadakan kerana Cyclone diasaskan dari motosikal-motosikal Honda sebenar. Satu ruang bakal disediakan untuk para pengunjung mengambil gambar imej Kamen Rider dan Kamen Rider No.2 bersaiz sebenar di samping motosikal-motosikal tersebut.

Jadi, para peminat siri Kamen Rider dan juga peminat motosikal Honda pasti tidak mahu melepaskan peluang ini. Ruang pameran akan dibuka dari 10:00 pagi hingga 4:30 petang dan masuk serta parkir adalah percuma.

Untuk pengetahuan, Shin Kamen Rider merupakan filem olahan kepada siri televisyen tahun 1971 berjudul Kamen Rider bersempena dengan sambutan ulang tahun yang ke-50 francais tersebut.

Ia diarahkan oleh Hideaki Anno dan dibintangi pelakon Jepun terkenal seperti Sosuke Ikematsu (Takeshi Hongo), Tasuku Emoto (Hayato Ichimonji), Minami Hamabe (Ruriko Midorikawa), Masami Nagasawa, Tori Matsuzaka, serta Takumi Saitoh.

Porsche 911 Carrera RS 3.8 dalam filem Transformers baharu, ada rahsia rupanya!

JIKA anda sudah menonton filem Transformers: Rise of the Beasts, anda pasti perasan akan Autobot “Mirage” iaitu sebuah Porsche 911. Ia bukan model biasa-biasa, sebaliknya 911 Carrera RS 3.8 yang cukup ikonik.

Filem Transformers terbaharu itu menampilkan aksi Autobots dan memperkenalkan kumpulan Maximals yang menyertai mereka untuk mempertahankan planet Bumi.

Menurut Ketua Komunikasi Pemasaran Porsche AG, Oliver Hoffman, “911 Carrera RS 3.8 sempurna bukan sahaja kerana filem itu menggunakan tema 1994, tetapi juga kerana karakter Mirage itu sendiri. Ianya suatu karakter yang gagah namun mempunyai hati yang baik.”

Hanya 55 unit Porsche 911 istimewa ini pernah dibina, menjadikannya kereta bersejarah yang cukup rare. Tetapi ada satu rahsia. Untuk mengelakkan risiko kerosakan, sebenarnya tiada model asli digunakan semasa penggambaran.

Sebaliknya, lima unit kereta 911 964 dibina agar menyerupainya. Untuk menghasilkan bunyi enjin asli Mirage, sebuah 911 RS 3.8 sebenar digunakan.

“Penting untuk mendapatkan bunyi 911 dalam file mini,” kata Ayesha Coker, Naib Presiden Pemasaran Porsche Cars North America.

Setiap unit kereta memenuhi fungsi spesifik. Sebuah kereta contohnya, dimodifikasi untuk dipandu laju sambil mengundur. Unit yang lain dibina khas untuk siri lagak ngeri, dan ada unit yang dikawal dari luar untuk memfokuskan pelakon di dalamnya.

“Kami teruja bekerjasama dengan pasukan Porsche untuk projek ini yang membawakan Autobot Mirage dengan cara unik, ikonik, dan tidak dapat dilupakan untuk menunjukkan semangat robot dan kereta itu,” kata Irene Trachtenberg, SVP Worldwide Marketing Partnerships Paramount.

Gambar teaser Fast X terdedah, trailer pertama 10 Februari depan

PARA peminat Fast and Furious semua, anda sudah bersedia untuk one last ride bersama ‘keluarga’ hero lumba jalanan?

Pelbagai aksi telah mereka tempuhi. Mereka telah berhadapan dengan pengganas, pasukan special force, lompat merentasi bangunan tinggi, keluar kapal terbang, malah pernah menerbangkan Pontiac Fiero ke angkasa. Apa pula aksi kali ini?

Jawapannya hanya akan dapat diketahui Mei ini, dimana filem kesepuluh bagi francais Fast and Furious tiba di pawagam. Buat masa sekarang, ia akan dikenali hanya sebagai Fast X. Berdasarkan foto teaser yang tersebar online, kita akan dapat menonton trailer pertama dalam seminggu sahaja lagi.

Bulatkan 10 Februari dalam kalendar anda.

Serba sedikit yang telah diketahui mengenai filem ini ialah Brie Larson dan Jason Momoa telah menyertai kumpulan pelakon, sebagai Tess (Larson) dan Dante (Momoa).

Ura-ura juga mengatakan Gal Gadot akan kembali sebagai Gisele, tetapi tidak dipastikan sepenuhnya kerana namanya tiada dalam senarai IMDB (Internet Movie Database). Gisele sebelum ini terbunuh di penghujung Fast 6, walaupun dia hanya hilang dalam kegelapan.

Tetapi memandangkan karakter Han (lakonan Sung Kang) boleh dibawa balik selepas meletup dalam Tokyo Drift, sudah pasti tidak sukar untuk mengembalikan watak Gisele. Dan ya, Sung kang juga disenarai dalam barisan pelakon kali ini.

Francais ini dikatakan bakal berakhir sepenuhnya selepas filem ke-11. Apa pun, sama-sama kita nantikan trailer pertama 10 Februari nanti.

Toyota AE86 Sprinter Trueno untuk dijual kepada hati kental sahaja, RM160k dengan penuh ‘jajan’

Jarang-jarang kami naikkan iklan jual kereta, biasanya hanya jentera terpilih yang kami rasa ingin kongsikan dengan anda para pembaca.

Dan untuk hari ini, jentera yang ingin kami kongsikan ialah sebuah Toyota AE86 Sprinter Trueno GT Apex original. Tidak selalu ia timbul di laman jualan, tetapi pastinya ada sahaja tersimpan di garaj-garaj pemilik bertuah negara kita.

Ia sebuah jentera yang cukup ikonik bagi peminat kereta. Terkenal di litar lumba, di litar drift, di skrin filem, anime, malah di lampiran kertas manga. Silap-silap yang bukan kaki kereta pun kenal AE86 ini.

Ya, Toyota AE86 Sprinter Trueno ini untuk dijual lengkap dengan segala ‘jajan’ sekali jalan. Maka, harganya pun kami rasa padan untuk pakej diberikan. Mari kita lihatkan dulu perincian spesifikasi AE86 ini, seperti dikongsi oleh pemiliknya:

ENGINE: 4AGE 16v

  • Upgraded Toda Cam pulley
  • Upgraded NGK Plug Cable
  • SARD Fuel Regulator
  • Upgraded SARD Big Radiator
  • Upgraded 5zigen Exhaust Manifold
  • Upgraded Honda High Torque Starter

BOTTOM PART

  • Upgraded TRD Poly Bushings
  • Upgraded TRD Full lock LSD 4.3 Gear Ratio
  • Upgraded EXEDY Heavy Duty Clutch Pad
  • Federal RSRR semi slick tyre 205/50/15 4 pcs
  • 15″ 9JJ Atara Racing Pisang Wheels
  • (Front) Upgrade Japan JIC HLSF Adjustables
  • (Rear) Upgrade Japan TRD SH Absorbers

BODY PART

  • VARIS Carbon Fiber hood
  • Carbon Fiber headlight cover
  • D-Max Side skirt
  • TRD duck tail

INTERIOR

  • Nardi Deep Dish Steering
  • Stock Kouki Interior
  • Other than steering, all remain stock condition

Extra: Ultra racing front and rear strut bar

Lazat? Ya, hampir meleleh juga air liur penulis membaca spesifikasinya. Sayang sekali tiada bajet untuk menyambar.

Harga ditawarkan ialah RM160,000, boleh dirunding. Jika anda berkemampuan dan berminat, boleh hubungi terus nombor-nombor tertera di bawah:

Brian: 016-210 0628
Winnie: 011-3700 1216

Toyota AE86 Trueno 1986 ini diiklankan di Facebook Group Kereta Turbo untuk dijual, dan anda boleh lihat terus iklannya di sini.

Transformers Autobots dan Decepticons baharu didedahkan – Skyline R33, Porsche 911, Optimus Prime G1!

“SKUAD telah keluar…”, tulis pengarah filem itu. Steven Caple Jr. telah memuatnaik di Instagramnya dua gambar menunjukkan barisan terbaharu Autobot dan Decepticon untuk filem Transformers baharu.

Sebelum ini satu video telah mendedahkan rupa Optimus Prime G1, manakala gambar di bawah adalah barisan Autobots ‘old school’. Dapat dilihat Camaro versi ‘off-road’ untuk Bumblebee, Porsche 911 sebagai Mirage, superbike Ducati sebagai Arcee dan van Volkswagen sebagai Wheeljack.

Untuk Decepticon pula, sebuah trak semi (lori treler) sebagai Scourge, sebuah trak tunda, dan paling menarik, Nissan Skyline GT-R R33 sebagai Nightbird.

Dalam Transformers baharu yang bertajuk “Rise of the Beasts” itu, ia akan turut menampilkan Maximals, Predacons, dan Terrorcons iaitu binatang purba dan raksasa Transformers.

Sumber juga mengatakan Peter Cullen akan kembali menjadi suara untuk Optimus Prime manakala Ron Perlman untuk suara Optimus Primal.

Anthony Ramos akan melakonkan watak Noah, seorang bekas jurutera elektronik tentera yang bertemu dengan Elena (lakonan Dominique Fishback), seorang pengkaji artifak di muzium.

Transformers: Rise of the Beasts dijangka ditayangkan pada 24 Jun 2022.

Tiada aktiviti ziarah Aidilfitri, ini filem kereta untuk anda ‘layan’

RAMAI sedia maklum berhubung pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dilaksanakan seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan.

Tidak dinafikan keputusan itu mengecewakan sebilangan besar rakyat yang bercadang melakukan aktiviti ziarah pada 1 Syawal nanti.

Bagaimanapun, pengorbanan ini perlu dilakukan demi mengawal penularan pandemik Covid-19 yang kian menunjukkan angka membimbangkan.

Berikut antara friendly reminder prosedur operasi standard (SOP) yang perlu anda patuh ketika memandu atau menaiki kenderaan:

1. Anda dilarang merentas negeri dan daerah kecuali bagi tujuan kecemasan, kesihatan, kerja atau temu janji vaksinasi.

2. Anda tidak dibenarkan menaiki kenderaan melebihi tiga orang termasuk pemandu. Arahan ini tertakluk kepada kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing.

3. Anda dilarang melakukan aktiviti kunjung-mengunjung. Selain itu, ziarah kubur sempena Aidilfitri turut tidak dibenarkan.

Maka, apa aktiviti yang anda boleh lakukan pada Aidilfitri nanti?

Banyak perkara yang boleh dilakukan pada Aidilfitri antaranya termasuk menonton filem.

Di sini EnGear nak recommend beberapa ‘filem kereta’ yang boleh anda tonton:

The Fast and the Furious

Terdapat lebih sembilan episod yang anda boleh ‘layan’ masa Aidilfitri nanti.

Apa yang menarik setiap episod filem ini mempunyai tarikan tersendiri yang penuh dengan aksi mendebarkan.

Bagi penulis, The Fast and the Furious (2001) paling best terutama ketika babak Dominic Toretto (Vin Diesel) cuba merompak sebuah lori sedang bergerak.

Initial D

Movie ini diadaptasi daripada komik Jepun yang amat terkenal suatu masa lalu.

Ia berkisarkan kisah seorang anak muda bekerja dengan bapanya sebagai penghantar tauhu menggunakan sebuah kereta vintage.

Nak tahu apa jalan ceritanya? Tonton sendiri nanti ya!

Lauda: The Untold Story

Lauda: The Untold Story bukan sebuah filem tetapi merupakan dokumentari.

Dokumentari ini menceritakan kehidupan pelumba profesional Niki Lauda yang berdepan kemalangan pada tahun 1976.

Pelbagai kisah suka dan duka Lauda dapat dihayati menerusi dokumentari selama 1 jam 30 minit ini.

Cars

Filem animasi ini amat sesuai ditonton oleh seisi keluarga.

Menceritakan mengenai ‘dunia kereta’, kanak-kanak pasti menyukai filem ini yang penuh dengan elemen jenaka.

Evolution of KL Drift 2

Filem arahan pengarah Syamsul Yusof ini tidak kurang hebatnya.

Menerusi filem ini anda dapat saksikan kelibat kereta seperti Nissan 350Z, Mazda RX-7, Nissan Silvia S13 dan Toyota Supra.

Jangan terkejut kerana filem ini juga banyak mempamerkan aksi mencemaskan!

Demikian antara filem yang anda boleh tonton pada Hari raya Aidilfitri nanti.

Akhir kata, nasihat kami terus patuhi arahan pihak berkuasa.

Ia bukan sahaja hanya semata-mata kerana undang-undang tetapi paling utama untuk mengawal penularan Covid-19.

Semoga kita semua dipanjangkan usia untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan rakan taulan di tahun mendatang.

Amin!