Arkib Tag: ev6

Kia EV9 rangkul dua kategori dalam World Car Awards 2024 – kini boleh ditempah di Malaysia

KIA EV9 baru-baru ini memperoleh dua anugerah World Car Awards 2024 dalam satu acara di New York Auto Show. EV9 merangkul anugerah World Car of the Year dan World Electric Vehicle.

Anugerah itu terdiri dari 100 juri wartawan permotoran dari 29 negara. World Car Awards memberikan anugerah itu kepada EV9 disebabkan rekaan inovatif, ruang tujuh tempat duduk yang luas, dan harga yang berdaya saing.

Dibina di pelantar E-GMP, EV9 merupakan model Kia pertama yang menampilkan teknologi bateri generasi-keempat dengan prestasi yang ditambah baik.

“Kami sangat berbesar hati dan rasa terhormat dengan anugerah World Car of the Year dan World Electric Vehicle untuk EV9 2024,” kata Ho Sung Song, Presiden dan CEO Kia.

“Kemenangan ini ialah bukti terhadap komitmen kami dalam menerokai had teknologi dan reka bentuk. Kejayaan EV9 ini akan terus memacu kami menghasilkan kenderaan menarik untuk pelanggan kami di seluruh dunia,” katanya.

Sebelum ini, Kia pernah mendapat tiga anugerah dari World Car Awards – Telluride sebagai World Car of the Year dan Soul EV untuk World Urban Car pada 2020, dan Kia EV6 GT untuk World Performance Car of the Year pada 2023.

Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, pengedar tunggal Kia di Malaysia juga mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa EV9 kini boleh mula ditempah di bilik pameran Kia berdekatan.

Bergantung kepada varian, Kia EV9 boleh mempunyai output 201hp/350Nm sehingga 380hp/700Nm. Pecutan 0-100 adalah sepantas 5.3 saat bagi versi dua motor, manakala jarak pemanduan maksima ialah 680km bagi Earth Long Range.

Kia EV6 GT-Line AWD memang hebat, bukan sekadar hype – Pandu Uji

RASANYA anda semua sudah sedia maklum bahawa jenama Kia sudah jauh ke hadapan dalam industri automotif. Jenama itu yang dahulunya sering dipandang rendah kerana menghasilkan kereta yang buruk dan tidak berkualiti, kini mempunyai barisan produk yang mampu bersaing dengan pengeluar-pengeluar dari Eropah.

Malah, Kia telah mula mengorak langkah dalam segmen kenderaan elektrik (EV) sejak 2016 dengan Niro EV. Pada 2021, Kia memperkenalkan model EV kedua mereka iaitu EV6. Rata-rata reaksi yang diberikan adalah sangat positif dan kemuncaknya, ia merangkul dua gelaran berprestij iaitu European Car of the Year dan Car of the Year.

Kira-kira setahun selepas pelancarannya di peringkat global, EV6 akhirnya tiba di Malaysia menerusi Dinamikjaya Motors selaku pengedar rasmi Kia di negara ini. Saya akhirnya berpeluang untuk mencuba model ini dan menyiasat sama ada ia benar-benar mengagumkan atau sekadar hype.

Untuk pasaran Malaysia, EV6 ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu GT-Line AWD, pada harga RM300,668 (on-the-road tidak termasuk insurans). Ya, memang mahal namun saya boleh katakan pada harga ini, anda sebenarnya mendapat sebuah EV bertaraf premium dari segi reka bentuk, kelengkapan dan prestasi.

Apa yang anda perlu tahu, EV6 dibangunkan menggunakan platform E-GMP (Electric-Global Modular Platform) yang dibangunkan khusus untuk EV. Ini bermakna tidak ada model Kia berenjin petrol atau diesel yang dibina di atas platform yang sama.

Platform ini turut digunakan oleh Hyundai Ioniq 5 namun tidak seperti model itu yang tampil dengan tema retro futuristik, EV6 mempunyai reka bentuk yang 100 peratus moden dan futuristik. Saya secara peribadi merasakan ia adalah model Kia yang paling menarik pernah dihasilkan setakat ini.

Buat pengetahuan anda, Ioniq 5 dan EV6 kedua-duanya adalah crossover namun EV6 kelihatan lebih sleek kerana ukurannya 97 mm lebih pendek dan 55 mm lebih rendah berbanding Ioniq 5. Tapak rodanya juga lebih pendek dengan perbezaan sebanyak 10 mm.

Dari sisi, imej EV6 diserlahkan lagi menerusi rim berukuran 20 inci, manakala dari belakang pula rekaan lampu yang merentangi sepanjang bahagian tailgate dan fender membuatkan ia tampak lebar seperti sebuah kereta sport yang sebenar.

Berbeza dengan bahagian luarannya, saya mendapati ruang dalaman EV6 kekurangan ‘faktor wow’ – mungkin kerana penggunaan warna hitam dengan sedikit perincian berwarna putih pada tempat duduk dan stereng terasa agak basic untuk sebuah EV yang berharga RM300,000.

Walau bagaimanapun, setelah diamati dan disentuh, setiap permukaan terasa begitu kemas dan berkualiti tinggi. Lebih penting lagi, tiada bunyi menjengkelkan kedengaran apabila panel-panel ditekan. Tempat duduk pula dibalut dengan upholsteri suede yang terasa begitu lembut pada sentuhan.

Dari segi kelengkapan, sebenarnya banyak yang anda dapat. Ada dua skrin berukuran 12.3 inci, satu sebagai panel instrumen digital dan satu lagi sebagai skrin infohibur, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Meridian dengan 14 pembesar suara, pengecas wayarles, empat port USB-C dan dua soket 12 volt.

Satu lagi ciri yang bagi saya cukup berguna adalah Vehicle-to-Load (V2L) yang secara asasnya menjadikan EV6 sebuah power bank gergasi yang boleh digunakan untuk mengecas pelbagai perkakasan elektrik menerusi penyambung tiga poin yang disediakan.

Anda juga tidak perlu risau jika anjung kereta di rumah anda sempit kerana EV6 juga mempunyai ciri Remote Smart Parking Assist yang membolehkan anda menggerakkannya ke hadapan atau belakang dengan menggunakan kunci, tanpa perlu berada di dalam.

Ciri bantuan pemandu yang disertakan juga cukup lengkap. Selain ciri-ciri seperti Forward Collision-Avoidance Assist, High Beam Assist, Blind Spot Monitor dan sebagainya, EV6 turut didatangkan dengan Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Lane Following Assist dan Lane Keeping Assist yang membolehkan ia dipandu secara separa autonomi.

Aspek keselesaan tidak dilupakan, dengan adanya ciri-ciri seperti sistem pendingin hawa dua zon lengkap dengan corong udara belakang, pencahayaan ambien, stereng tilt dan teleskopik serta perehat tangan. Lebih menarik lagi, tempat duduk hadapan mempunyai ciri Premium Relaxation yang membolehkan ia dibaringkan dengan sekali tekan sahaja.

Dari segi ruang dan praktikaliti, EV6 boleh memuatkan sehingga empat penumpang dewasa dengan cukup selesa. Ruang kaki belakang cukup luas tetapi ruang kepala mungkin agak terhad untuk mereka yang tinggi. Namun sekurang-sekurangnya penyandar belakang tidak terlalu tegak, bermakna perjalanan jauh selesa dan tidak memenatkan.

Memuatkan bagasi untuk trip hujung minggu tidak akan menjadi masalah kerana EV6 menyediakan ruang but sebesar 520 liter serta ruang storan tambahan sebesar 20 liter di bawah penutup bonet. Kereta ini juga sesuai untuk membawa muatan panjang kerana kerusi belakang boleh dilipat sepenuhnya.

‘AWD’ pada namanya bermakna EV6 GT-Line ini mempunyai dua motor elektrik iaitu satu pada setiap gandar. Dengan kuasa keseluruhan mencecah 325 PS dan 605 Nm, EV6 tidak syak lagi memang sebuah EV yang pantas walaupun mempunyai berat sekitar dua tan. Malah, kepala saya ditolak ke belakang setiap kali memecut dari persimpangan lampu isyarat.

Sudah tentu, setiap kali berbicara tentang EV, jarak gerak lebih penting dari prestasi pecutan. Dengan bateri Long Range berkapasiti 77.4 kWj, model ini sepatutnya boleh dipandu sejauh 506 km dengan satu cas penuh. Namun anda perlu tahu bahawa angka tersebut dicapai menerusi ujian yang dilakukan dalam persekitaran yang paling ideal.

Dalam dunia sebenar, saya boleh katakan memang mustahil untuk mendapatkan jarak seperti yang dikatakan oleh pengeluar. Ini kerana ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk gaya pemanduan. Dalam erti kata lain, lebih agresif pedal ditekan, lebih pendek jarak yang anda akan dapat.

Namun sebagai pemandu, anda boleh memaksimumkan jarak gerak dengan memandu secara lebih ekonomik. Dengan EV6, anda juga boleh memanfaatkan teknologi brek janaan semula yang berfungsi untuk menyalur semula tenaga ke bateri setiap kali pedal brek ditekan. Terdapat tiga tahap kekuatan janaan semula yang boleh dipilih menerusi paddle shifter.

Sistem suspensi EV6 terasa sedikit keras. Ini sudah tentu memberikannya kelebihan dari segi kestabilan terutamanya ketika di selekoh. Dan dengan kuasa pecutan yang hebat, ia mampu keluar dari selekoh dengan pantas tanpa sebarang masalah.

Namun, ini secara tidak langsung menjejaskan aspek keselesaannya. Setiap lubang kecil serta bonggol boleh dirasakan dengan jelas di dalam kabin. Malah, kereta ini juga terasa melantun jika dipandu di atas jalan yang beralun.

Secara ringkasnya, saya amat berpuas hati dengan apa yang ditawarkan oleh EV6. Ia mempunyai rupa yang sangat menarik, ruang dalamannya cukup luas dan lengkap dengan segala teknologi yang sepatutnya ada, dan jarak gerak yang ditawarkan juga cukup memuaskan. Jika anda mencari sebuah EV untuk pemanduan harian dengan bajet RM300,000, ini adalah pilihan yang tepat.

Benar, harganya diakui memang tidak murah tetapi seperti yang saya katakan, anda mendapat sebuah EV yang premium. Malah, saya juga berani katakan yang EV6 lebih baik dari segala aspek dari pesaing terdekatnya dari Jerman iaitu Mercedes-Benz EQA.

Spesifikasi Kia EV6 GT-Line AWD

Harga: RM300,668
Motor elektrik: Dua, Permanent Magnet Synchronous Motor (PMSM)
Kuasa: 325 PS
Tork: 605 Nm
Bateri: 77.4 kWj

Kia EV6 dibuka untuk tempahan – EV dengan 321hp, 605Nm, jarak pemanduan 506km, RM300k

SELEPAS lebih setahun membuat kemunculan globalnya, kini Kia EV6 mendarat di Malaysia untuk pelancaran rasmi. Seperti boleh diteka pada namanya, EV6 merupakan sebuah kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) dan ia telah memenangi banyak anugerah seperti 2022 Reddot “Best of the Best Car Design” dan 2022 European Car of the Year.

Pengedar baharu kenderaan Kia di Malaysia, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd kini mengumumkan EV6 sedia untuk tempahan.

Mari kita lihatkan perincian EV terbaharu di negara ini. Kia EV6 dibina pada platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP) iaitu pelantar khas untuk kenderaan elektrik.

Ia dikuasakan oleh dua motor elektrik, menjadikan Kia EV6 sebuah kenderaan pacuan semua-roda (AWD). Motor di depan menghasilkan 99hp/255Nm manakala unit di belakang menjana 221hp/350Nm. Output keseluruhan adalah 321hp dan 605Nm tork.

Kuasa dibekalkan oleh bateri 77.4kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 506km untuk setiap caj penuh.

Dari segi prestasi, Kia EV6 mampu memecut ke 100km/j dalam 5.2 saat manakala kelajuan maksima ialah 183km/j.

Untuk pengecasan pula, menggunakan AC (Type 2) akan mengambil masa sekitar tujuh jam tetapi dengan pengecasan pantasn DC (CCS2), ia hanya akan mengambil masa 18 minit untuk bateri mencapai 80 peratus dari 10 peratus.

Kia EV6 nampak agak futuristik kerana ia menggunakan bahasa rekaan baharu “Opposite Under” yang membawakan konsep fokus kepada manusia, rekaan progresif, dan kuasa elektrifikasi.

Profil sisi EV6 menampakkan inspirasi rekaan crossover dengan garisan-garisan tajam dan perincian berteknologi tinggi yang memberikan imej aerodinamik. Spoiler bumbung padanya mempunyai laluan yang akan mengalirkan udara ke cermin seterusnya turun ke spoiler bawah di but.

Rekaan dalaman pula cukup luas dan versatil dengan penggunaan ruang yang baik. Ini disumbangkan oleh penggunaan platform E-GMP dan jarak roda 2,900mm. Ruang kargo adalah sebanyak 250 liter dan memandangkan tiada enjin di depan, terdapat tambahan 20 liter ruang di bawah hud depan.

Selain itu, Kia EV6 dilengkapi paparan infotainmen sebesar 12.3-inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay, pengecasan tanpa-wayar, dan sistem audio Meridian dengan 14 pembesar suara.

Sistem keselamatan Advanced Driver Assistance System juga hadir sebagai standard, yang merangkumi:

High Beam Assist (HBA)
Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA)
Rear Cross-Traffic Collision Assist (RCCA)
Blind-Spot View Monitor (BVM)
Lane Keeping Assist (LKA)
Driver Attention Warning (DAW)
Forward Collision-Avoidance Assist (FCA) dengan Junction Turning.

Kia EV6 baharu ini merupakan unit CBU (diimport sepenuhnya) dari Korea dan boleh dipilih dengan lima warna – Snow White Pearl, Aurora Black Pearl, Runway Red, Yacht Blue dan warna khas Moonscape.

Tempahan kini dibuka, dengan harga RM300,688. Kia EV6 dilindungi dengan jaminan 5 tahun (atau 150,000km) dengan jaminan bateri sehingga 7 tahun atau 150,000km yang mana terdahulu.