Arkib Tag: EMOS

Pusat pameran Kawasaki All-Star keempat dibuka di Johor Bahru

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) memperkenalkan pusat pameran All-Star Kawasaki yang keempat di Johor Bahru. 

Menempatkan kesemua model Kawasaki yang ditawarkan di Malaysia, pusat pameran baharu ini juga menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk servis selepas jualan dan alat ganti.

 

Juga tidak dilupakan, Kawasaki Johor Bahru ini juga menawarkan pelbagai aksesori tambahan termasuk helmet pelbagai jenama. 

Meraikan majlis pembukaan ini termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan, Ketua Pegawai Pemasaran, George Kashiwagi dan  Pengarah Kawasaki Johor Baharu, Qbee Ng.  

Dalam pada itu, turut memeriahkan majlis adalah acara penyerahan tiga motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX-25RR yang baru sahaja diperkenalkan untuk pasaran tempatan. 

Sementara itu, EMOS cadang buka lapan lagi pusat pameran bertaraf All-Star Kawasaki menjelang Disember tahun ini. 

Harga rasmi Modenas Ninja ZX-25RR diumumkan – RM36,500

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) hari ini secara rasmi mengumumkan harga untuk Modenas Ninja ZX-25RR iaitu RM36,500.

Menurut EMOS, model ini boleh didapati di semua bilik pameran Kawasaki All-Star Dealer menjelang akhir Mac 2024.

Untuk perbandingan, satu lagi varian ZX-25R iaitu ZX-25R SE dilancarkan ke pasaran tempatan pada September tahun lalu dengan harga jualan RM33,900.

Seperti versi SE, ZX-25RR dilengkapi dengan fork jenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37 mm pada bahagian hadapan, namun di belakang, jentera Double-R ini menggunakan penyerap hentak Showa BFRC (Balance Free Rear Cushion) boleh laras.

Bagaimanapun, ‘nadi’ yang menggerakkan ZX-25RR adalah sama dengan SE iaitu enjin empat silinder sebaris bersesaran 250 cc yang mampu menghasilkan 46 PS pada 15,500 rpm dan 22 Nm pada 14,000 rpm.

Dari segi dimensi, motosikal ini mempunyai ukuran panjang 1,980 mm, lebar 750 mm, tinggi 1,100 mm serta jarak roda 1,380 mm. Ia mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 785 mm, berat 184 kg dan kapasiti tangki bahan api 15 liter.

Tayar yang digunakan bersaiz 110/70 R17 di hadapan dan 150/60 R17 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm dengan angkup monoblock empat piston di hadapan dan cakera tunggal 220 mm di belakang.

Selain itu, ZX-25RR didatangkan dengan beberapa ciri elektronik terkini termasuk Kawasaki Traction Control (KTRC), Kawasaki Quick Shifter (KQS), Assist & Slipper Cluth serta tiga mod tunggangan. Turut disertakan adalah paparan TFT dengan sambungan Bluetooth menerusi aplikasi Rideology.

Kawasaki Z900 ABS, SE kini dengan grafik dan warna lebih menarik

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) baru-baru ini telah memperkenalkan warna dan grafik baharu untuk dua jentera naked Kawasaki iaitu Z900 ABS dan Z900 SE.

Untuk tahun 2024, Z900 ABS memperkenalkan kombinasi warna baharu Candy Persimmon Red/Ebony, manakala Z900 SE pula boleh didapati dalam warna Metallic Spark Black/Metallic Matte Graphenesteel Gray.

Selain daripada itu, tiada sebarang perubahan mekanikal dilakukan. Z900 ABS dan Z900 SE akan terus dikuasakan oleh enjin sejukan cecair 948 cc, empat silinder sebaris yang menghasilkan 125 hp pada 9,500 rpm dan 98.6 Nm pada 7,700 rpm.

Dari segi kelengkapan, kedua-dua model ini menawarkan tiga mod tunggangan iaitu Road, Sport dan Rain, pilihan mod kuasa, tiga tetapan kawalan cengkaman KTRC (Kawasaki Traction Control) dan klac jenis Assist & Slipper.

Untuk tahap tunggangan yang lebih tinggi, Z900 SE menampilkan kelengkapan tambahan berupa fork terbalik berwarna emas di hadapan dan penyerap hentak Öhlins S46 dengan pelaras pra-muatan di belakang.

Harga jualan bermula dari RM44,900 untuk Z900 ABS dan RM55,900 untuk Z900 SE. Setiap pembelian didatangkan dengan waranti selama dua tahun tanpa had perbatuan.

Pusat 4S Kawasaki kini dibuka di Kuching

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat milik penuh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), baru-baru ini merasmikan pembukaan pusat 4S flagship ketiganya iaitu Kawasaki Kuching yang terletak di Kuching, Sarawak.

Terletak di bawah pengurusan Ghee Hua Co Sdn Bhd, Kawasaki Kuching merupakan pusat pameran bertaraf All-Star yang pertama di Malaysia Timur dan ketiga di Malaysia.

Majlis pelancaran dirasmikan oleh Law Kin Hin, Pengarah Kawasaki Kuching dan Ghee Hua Group, bersama Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas. Ia turut disaksikan oleh YB Dato Sri Abd Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak.

Ghee Hua diasaskan pada 1968 sebagai syarikat menjual basikal sebelum ia berkembang kepada penjualan motosikal pada 1970. Syarikat itu menjalinkan kerjasama dengan Modenas sebagai pengedar sah motosikal jenama itu pada Ogos 2000.

Dengan pembukaan Kawasaki Kuching, EMOS menjangkakan dapat memeriahkan pasaran motosikal dan skuter Kawasaki dan Modenas di Sabah dan Sarawak.

Syarikat itu mensasarkan untuk membuka 10 lagi pusat 4S Kawasaki pada tahun ini dan melantik lima pengedar bertaraf All-Star dalam tahun yang sama.

Menurut EMOS, semua pusat 4S Kawasaki All Star mematuhi piawaian reka bentuk dan pembinaan Kawasaki Plaza di Jepun yang mengutamakan paparan produk dan visual.

Modenas Versys-X 250 dijual pada harga bermula RM24,900

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah mengumumkan harga jualan rasmi bagi model Modenas Versys-X 250 iaitu RM24,900.

Boleh didapati dalam warna Metallic Flat Spark Black/CDY Lime Green, Versys-X 250 direka untuk menawarkan pengalaman menunggang, prestasi, dan gaya yang luar biasa dalam segmen kembara.

 

Model ini dikuasakan oleh enjin 249 cc, silinder berkembar selari yang menghasilkan 33 hp pada 11,500 rpm dan 21.7 Nm pada 10,000 rpm.

Enjin berkenaan digandingkan dengan transmisi enam kelajuan yang mempunyai klac jenis Slipper & Assist.

Untuk bahagian casis, Versys-X 250 menggunakan fork teleskopik 41 mm dan suspensi jenis monoshock. Sistem ini dipadankan dengan rim bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

Selain itu, motosikal ini juga dilengkapi dengan brek cakera bersama ABS dwi-saluran. Tangki bahan apinya berkapasiti 17 liter, manakala ketinggian tempat duduk adalah 815 mm.

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas berkata, “Kami teruja untuk memperkenalkan Versys-X 250 ke pasaran Malaysia pada harga yang kompetitif. Motosikal ini melambangkan semangat pengembaraan dan sesuai untuk penunggang yang gemar tunggang yang lasak.

Dengan ciri-ciri yang luar biasa dan harga berpatutan, kami percaya ia akan menjadi pengubah segmen jelajah pengembaraan.”

Ini harga rasmi untuk Ninja ZX-25R – Bermula RM33,900, enjin 250cc dengan 51hp/22.9Nm

SELEPAS dibuka untuk tempahan baru-baru ini, Kawasaki Ninja ZX-25R akhirnya rasmi memasuki pasaran Malaysia.

Dibawakan oleh Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), sportbike itu ditawarkan pada harga bermula RM33,900 untuk ZX-25R SE.

Motosikal ini menampilkan nadi empat-silinder 249.8cc dengan output 51hp pada 15,500rpm dan 22.9Nm tork pada 14,000rpm, menjadikannya model paling berkuasa dalam segmennya.

Kuasa dihantar ke roda belakang melalui kotak gear 6-kelajuan dengan quickshifter dan klac slipper & assist sebagai standard.

Selain itu, Ninja ZX-25R juga didatangkan dengan panel instrumen TFT, Kawasaki Traction Control (KTRC), Power Mode, serta brek cakera berukuran 310 mm dengan angkup monobloc empat piston di hadapan dan cakera 210 mm dengan angkup piston tunggal di belakang.

Untuk pasaran Malaysia, Ninja ZX-25R SE ditawarkan dengan dua warna iaitu Lime Green/Ebony dan Metallic Matte Graphenesteel Grey/Ebony.

Belum ada harga untuk ZX-25RR iaitu varian lebih sporty. Ia dilengkapi dengan fork jenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37 mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshock Showa BFRC pada bahagian belakang.

Kawasaki Ninja ZX-25R akhirnya dibuka untuk tempahan di Malaysia

PENGEDAR rasmi motosikal Kawasaki di Malaysia iaitu Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah mengumumkan bahawa tempahan untuk Kawasaki Ninja ZX-25R telah pun dibuka.

Harga jualan masih belum diumumkan namun menurut laporan media tempatan, model sportbike ini akan dilancarkan secara rasmi pada September tahun ini.

Untuk pasaran tempatan, Ninja ZX-25R akan ditawarkan dalam dua versi iaitu SE dan RR. Sebagai model varian lebih sporty, RR dilengkapi dengan fork jenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37 mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshock Showa BFRC pada bahagian belakang.

Untuk enjin, kedua-dua versi dikuasakan oleh enjin 249.8 cc empat silinder sebaris yang menghasilkan 51 PS pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm pada 14,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dengan teknologi quickshifter dan klac slipper & assist.

Selain itu, Ninja ZX25-R juga didatangkan dengan panel instrumen TFT, Kawasaki Traction Control (KTRC), Power Modes, serta brek cakera berukuran 310 mm dengan angkup monobloc empat piston di hadapan dan cakera 210 mm dengan angkup piston tunggal di belakang.

Modenas Versys 650 versi 2023 kini di pasaran – harga dari RM38,400

DI samping Ninja 650 dan Z650, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) turut melancarkan Modenas Versys 650 yang telah ditambah baik untuk model tahun 2023.

Motosikal jenis kembara ini boleh didapati dalam dua warna iaitu Metallic Spark Black dan Candy Limegreen/Metallic Flat Spark Black, dengan harga jualan bermula dari RM38,400 hingga RM39,100.

Untuk 2023, Versys 650 tampil dengan rekaan lebih bergaya serta kemudahan dalam bentuk cermin penghadang angin dengan ketinggian boleh laras. Ini meminimumkan rintangan angin, mengoptimumkan aerodinamik, serta meningkatkan keselesaan jarak jauh.

Seperti sebelum ini, Versys 650 dikuasakan oleh enjin silinder kembar selari bersesaran 645 cc dengan kuasa sebanyak 65.7 hp pada 8,500 rpm dan 61 Nm pada 7,000 rpm. Enjin ini dicantumkan dengan transmisi enam kelajuan.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik pada bahagian depan dan penyerap hentak jenis monoshock dengan pelarasan pramuatan pada bahagian belakang. Rim yang digunakan bersaiz 17 inci.

Untuk sistem brek pula, terdapat cakera berkembar berukuran 300 mm pada roda depan dan cakera tunggal 250 mm pada tayar belakang, serta tidak lupakan ABS.

Seperti Ninja 650 dan Z650, model ini juga didatangkan dengan Kawasaki Traction Control (KTRC) yang boleh diakses menerusi paparan TFT berukuran 4.3 inci.

Menerusi paparan tersebut juga, penunggang boleh mengakses telefon pintar menerusi sambungan aplikasi Rideology yang disertakan secara standard.

Versys 650 boleh didapati menerusi rangkaian pengedar sah Kawasaki di seluruh Malaysia mulai akhir bulan Julai.

Modenas Ninja 650, Z650 versi 2023 dilancarkan di Malaysia

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) hari ini melancarkan Modenas Ninja 650 dan Z650 ke pasaran tempatan. Kedua-duanya merupakan model tahun 2023 yang telah diberikan beberapa penambahbaikan.

Untuk Ninja 650, motosikal jenis sportbike ini tampil dengan reka bentuk yang lebih agresif dan tajam, serta pencahayaan LED. Ia juga mendapat ciri sambungan telefon pintar Rideology oleh Kawasaki yang memberikan penunggang akses kepada maklumat dan data penting.

Sementara itu, Z650 yang merupakan model jenis naked pula mempunyai kerangka yang dierka semula untuk kedudukan yang lebih ergonomik dan selesa untuk semua jenis penunggang.

Ia juga didatangkan dengan meter TFT yang menawarkan paparan yang jelas serta akses kepada tiga mod tunggangan yang disediakan iaitu Sport, Road dan Rain.

Bukan itu sahaja, pengendalian motosikal ini juga dipertingkatkan menerusi penggunaan fork teleskopik pada bahagian belakang dan penyerap hentak horizontal back-link pada bahagian belakang.

Difahamkan, Ninja 650 dan Z650 kini juga dilengkapi dengan ciri Kawasaki Traction Control (KTRC) yang mempunyai tiga mod iaitu Mode 1, Mode 2 dan Off.

Kedua-duanya masih dikuasakan oleh enjin penyejukan cecair DOHC 649 cc dengan dua silinder sebaris yang menghasilkan 68 PS pada 8,000 rpm dan 64 Nm pada 6,700 rpm.

Ninja 650 dijual pada harga RM35,200 untuk warna Metallic Matte Graphenesteel Gray dan RM35,900 untuk warna Lime Green/Ebony.

Z650 pula boleh didapati pada harga RM34,500 untuk Metallic Spark Black dan RM35,200 untuk Metallic Matte Graphenesteel Gray.

Kawasaki Z900 dan Z900 SE dipasang di Kedah, harga bermula RM44k

Pengedar rasmi motosikal Kawasaki di Malaysia iaitu Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) secara rasminya melancarkan model Kawasaki Z900 dan Z900 SE ke pasaran tempatan.

Apa yang menarik, Z900 kini dipasang di kilang Modenas di Gurun, Kedah, menjadikannya model Kawasaki berkapasiti tinggi yang pertama dipasang oleh jenama itu.

Z900 boleh didapati dalam dua warna iaitu Metallic Matte Graphenesteel Grey dan Metallic Black Spark, dengan harga jualan bermula dari RM43,900.

Manakala Z900 SE yang merupakan model edisi khas pula ditawarkan dalam warna Candy Lime Green pada harga RM55,900.

Kedua-dua model ini dikuasakan oleh enjin penyejukan cecair DOHC empat silinder sebaris bersesaran 948 cc yang mematuhi piawaian emisi Euro 5.

Enjin itu mampu menjana 123.6 hp pada 9,500 rpm dan 98.6 Nm pada 7,700 rpm, yang disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan.

Ciri-ciri baharu lain yang dibawakan oleh Z900 dan Z900 SE termasuk kerangka yang diperkuat pada bahagian lengan ayun dan pivot, reka bentuk Sugomi baharu, lengan ayun lebih kompak, pelindung pivot dan tayar Dunlop Sportmax Roadsport 2.

Dari segi elektronik pula, model-model ini menampilkan Kawasaki Traction Control (KTRC) dengan tiga tetapan, Power Mode Selection dengan mod tunggangan Sport, Rain, Road dan Rider, serta paparan TFT berwarna berukuran 4.3 inci dengan Bluetooth.

Sebagai model edisi khas, Z900 SE mendapat beberapa kelengkapan tambahan seperti fork Showa 41 mm boleh laras, penyerap hentak tunggal Öhlins S46, serta angkup Brembo M4.32 dengan silinder induk Nissin.

Z900 dan Z900 SE boleh didapati di semua pengedar sah Kawasaki bermula minggu kedua bulan ini.

Modenas Dominar D400 Adventure, D250 dilancarkan – harga dari RM14k

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat milikan penuh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) hari ini melancarkan dua model baharu iaitu Modenas Dominar D400 Adventure dan Dominar D250.

Dominar D400 Adventure merupakan model kembara yang sebelum ini sudah dilancarkan di India. Ia tampil dengan cermin penghadang angin yang lebih tinggi, pelindung tangan dan kaki, ‘bash plate’ enjin dan perehat belakang untuk pembonceng.

Bukan itu sahaja, model ini juga didatangkan dengan cagak untuk telefon pintar atau sistem navigasi dengan port pengecas USB yang boleh diakses.

Seperti Dominar D400, versi Adventure ini juga dikuasakan oleh enjin 373 cc, DOHC suntikan bahan api yang menghasilkan 39.4 hp dan 35 Nm.

 

Casisnya terdiri daripada fork jenis terbalik (SUD) dan penyerap hentak tunggal Nitrox, manakala sistem brek pula merangkumi cakera berukuran 320 mm di hadapan dan 230 mm di belakang. Turut disertakan adalah sistem ABS dwi saluran.

Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Savanna Green dan Charcoal Black. Harga jualan bermula dari RM15,797 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Sementara itu, Dominar D250 pula mempunyai reka bentuk dan ukuran dimensi yang sama dengan ‘abangnya’ iaitu Dominar D400.

Apa yang membezakan antara dua model ini adalah enjin, di mana Dominar D250 mempunyai ‘nadi’ silinder tunggal bersesaran 249 cc dengan kuasa sebanyak 26.6 hp pada 8,500 rpm dan 23.5 Nm pada 6,500 rpm.

Enjin ini digandingkan dengan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac jenis ‘slipper’.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan fork USD 37 mm dan penyerap hentak tunggal Nitrox boleh laras. Sistem brek juga sama iaitu cakera 320 mm dan 230 mm, serta ABS dwi saluran.

Penggunaan enjin yang lebih kecil menjadikan Dominar D250 7 kg lebih ringan, dengan berat keseluruhan mencecah 180 kg.

Dominar D250 boleh didapati dalam tiga warna iaitu Sparkling Black, Racing Red dan Citrus Rush. Ia dijual pada harga RM13,797 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Pusat 4S Kawasaki Shah Alam kini dibuka

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat milik penuh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), baru-baru ini merasmikan pembukaan pusat 4S pertamanya iaitu Kawasaki Shah Alam.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kawasaki Shah Alam, Chear Kin Keong, sementara EMOS diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Roslan Roskan dan Ketua Pegawai Pemasaran, George Kashiwagi.

“Melihat sekitar Kawasaki Shah Alam, saya mendapat inspirasi bahawa kedai yang pertama seumpamanya ini akan menjadi platform bagi komuniti Kawasaki untuk mendapatkan pelbagai produk inovatif Kawasaki,” kata Roslan.

Kawasaki Shah Alam merangkumi empat aspek perniagaan iaitu jualan, alat ganti, servis dan bilik pameran.

Apa yang menarik, pusat 4S flagship ini juga dikategorikan sebagai Kawasaki All Star, di mana peminat motosikal boleh menemui semua model Kawasaki terkini, dari model kapasiti kecil hingga besar, termasuk model-model off-road.

George Kashiwagi berkata semua outlet Kawasaki All Star menggunakan reka bentuk Kawasaki Plaza di Jepun yang mengetengahkan paparan produk dan perdagangan visual.

“Kami percaya dengan berkongsi aspek reka bentuk dan kepercayaan yang sama, bilik pameran ini akan membuatkan pengunjung berpuas hati. Dalam erti kata lain, ia memberikan mereka pengalaman Kawasaki di mana budaya bertemu dengan minat,” katanya.

EMOS tawar kotak ulang tahun ‘Z-Box’ kepada pemilik Modenas Z250

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) mengumumkan bahawa ia akan mula mengedarkan kotak ulang tahun Z edisi terhad (Z-Box) bersempena sambutan 50 tahun kejayaan siri Kawasaki Z.

Menurut EMOS, Z-Box terhad kepada hanya 300 pemilik Modenas Z250 baharu. Setiap kotak mengandungi sebuah buku bertajuk Z Chronicles, sehelai baju-T Z dan sehelai sarung kepala Kawasaki.

Z-Chronicles: Kisah Bermula dari Akhir

Pada tahun 1972, Kawasaki mengejutkan dunia motosikal dengan memperkenalkan Kawasaki 900 Super 4 yang turut digelar sebagai Z1. Didatangkan dengan enjin empat silinder sebaris pertama dalam kelasnya, berserta kapasiti 903 cc dan DOHC, ia merangkumi teknologi termaju dan dianggap sebagai motosikal terbaik dari Kawasaki.

Sebagai huruf terakhir dalam abjad, Z mewakili huruf muktamad. Model Z telah berkembang menjadi salah satu jenama motosikal utama Kawasaki. Walaupun bentuk dan gaya tunggangan telah berkembang selama bertahun-tahun, ia terus mengukuhkan diri sebagai ikon prestasi.

Dengan Z1 dan prestasinya yang mengejutkan dunia, Kawasaki mengembangkan siri Z untuk memenuhi pelbagai keperluan. Z400 adalah model yang sporty dengan ciri-ciri kuasa tunggangan yang diidamkan.

Kawasaki Z1

Untuk model KZ900LTD, penunggang boleh menikmati motosikal berprestasi tinggi serta keselesaan yang mantap, manakala Z500 / Z400FX ialah motosikal super sport kelas pertengahan.

Tidak lama kemudian, terdapat model untuk hampir setiap citarasa, gaya tunggangan, serta memberikan prestasi mengujakan yang membuatkan Z begitu terkenal. Dari 1972 hingga Ogos 2021, sebanyak 2,571,000 unit model Z telah dikeluarkan di seluruh dunia.

Untuk pertanyaan atau maklumat lanjut, layari lawan sesawang rasmi Modenas dan Kawasaki di https://modenas.my/v2/ dan http://www.kawasaki.com.my/home; atau hubungi Talian Bebas Tol di 1-800-880-008 atau WhatsApp Careline di +6019-570 8135.

Cabaran 1600km Modenas terima pengiktirafan Malaysia Book of Records

MODENAS bersama dengan kelab pemilik Modenas Dominar D400, DC Projek mengukir sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi ‘Jarak Paling Jauh Dilalui Konvoi Motosikal Dalam Tempoh 24 Jam’.

Konvoi yang diketuai oleh Presiden DC Projek, Muhammad Adib bin Rapia’e itu terdiri daripada 25 pemilik Dominar D400 dan tujuh pemilik Pulsar NS200.

Mereka memulakan perjalanan pada 1hb Oktober 2022 jam 9.40 pagi dan tamat pada 2 Oktober jam 9.15 pagi dengan jumlah tunggangan sejauh 1,642 km yang dilengkapkan dalam masa 23 jam 25 minit.

Acara pelepasan berlangsung di Glenmarie, Shah Alam dan dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan.

Konvoi menghala ke kilang Modenas di Gurun, Kedah, sebagai laluan pertama,  Dengan jarak perjalanan sejauh sebelum meneruskan perjalanan menuju sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah di mana mereka disambut dengan cuaca yang kurang baik.

Dari Kedah, konvoi meneruskan perjalanan sejauh 491 km ke Selatan menuju ke Sungai Besi, Kuala Lumpur dan terus ke Johor Bahru, Johor dan kembali semula ke Glenmarie, Shah Alam.

Dalam keadaan gelap gelita, dengan hanya berbekalkan minuman serta makanan ringan sebagai pengalas perut, konvoi meneruskan perjalanan dan hanya berhenti sebentar untuk rehat, mengisi petrol dan mengambil gambar resit petrol yang diisi bagi mematuhi syarat yang ditetapkan MBOR.

“Dengan keadaan hujan sepenjang perjalanan dari Kedah ke Johor, dengan kelajuan 110km/j, ada kalanya kami berhadapan dengan situasi “hydroplaning” ketika menunggang. Dan apa yang kami boleh katakan, kami amat bersyukur dengan kestabilan dan prestasi Modenas Dominar D400 dan Modenas Pulsar NS200”, kata Muhammad Adib.

“Tahniah kepada kesemua 32 peserta dalam menyempurnakan cabaran ini. Walaupun, saya tahu sebenarnya kumpulan itu tidak mempunyai banyak masa untuk melalui setiap negeri, namun saya amat berharap mereka telah memperolehi kepuasan daripada pencapaian program ini”, kata Roslan Roskan.

Modenas Ninja 250, Ninja 250 ABS dan Z250 ABS dilancarkan – harga dari RM18,900

PENGEDAR eksklusif baharu motosikal Kawasaki di Malaysia iaitu Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) hari ini melancarkan tiga model baharu iaitu Ninja 250, Ninja 250 ABS dan Z250 ABS.

Harga jualan yang disyorkan adalah seperti berikut:

– Ninja 250 – RM18,900

– Ninja 250 ABS – RM20,500

– Z250 ABS – RM19,500

Ketiga-tiga model tersebut berkongsi trenkuasa yang sama iaitu enjin 249 cc dua silinder sebaris DOHC yang menghasilkan 37 hp pada 12,500 rpm dan 23 Nm pada 10,000 rpm, serta transmisi enam kelajuan dengan klac Assist & Slipper.

Jentera-jentera ini dibina menggunakan kerangka Trellis yang diperbuat daripada keluli berketegangan tinggi. Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan lengan ayun di belakang.

Tayar didatangkan dalam saiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, manakala rim pula berukuran 17 inci. Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal berukuran 286 mm di depan dan 193 mm di belakang. Hanya Ninja 250 ABS dan Z250 ABS dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS).

Ciri-ciri lain yang terdapat pada model-model ini termasuklah sistem Ergo-Fit dan penunjuk tunggangan ekonomikal.

Untuk pilihan warna, Ninja 250 boleh didapati dalam warna Metallic Carbon Grey dan Metallic Matte Graphite, manakala Ninja 250 ABS dalam warna Metallic Matte Graphite Grey. Z250 ABS pula tersedia dalam warna Metallic Spark Black.

Ketiga-tiga model ini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah dan akan menggunakan nama Modenas di pasaran.

Ini ekoran daripada hasil peningkatan saham Kawasaki Motors. Ltd (KMC) di dalam syarikat Modenas yang menyaksikan kesemua model Kawasaki 650cc ke bawah dijenamakan semula di bawah Modenas.

“Pesanan saya kepada semua pemilik motosikal Kawasaki, lama dan baharu; di bawah pengurusan Modenas, anda boleh mengharapkan tahap perkhidmatan pelanggan yang serupa atau lebih lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Roslan Roskan.

“Modenas sentiasa memerhati, mempelajari dan menyesuaikan operasi perniagaan sepertimana rakan kongsi teknikal dan pemegang saham kami, KMC. Bersama-sama dengan Kawasaki, kami bersedia untuk pengembangan perniagaan yang lebih besar,” tambah beliau.

 

Kawasaki tambah pusat servis baharu, kini 20 cawangan

Berikutan berakhirnya tempoh peralihan enam bulan daripada bekas pengedar produk Kawasaki, sehingga kini, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) telah menambah wakil pusat servisnya di bahagian Sabah, wilayah Tengah dan Utara negara. Ini menjadikan bilangan wakil pusat servis Kawasaki kepada 20.

EMOS melalui wakil pusat servis, akan terus mengedar dan menyediakan perkhidmatan selepas jualan, alat ganti dan aksesori untuk motosikal Kawasaki di Malaysia sehingga diberitahu kelak.

Oleh itu, semua alat ganti dan pertanyaan perkhidmatan berkaitan teknikal termasuk perkara berkaitan panggil balik (recall) boleh dirujuk semula di wakil pusat servis Kawasaki yang sah seperti yang disenaraikan dalam jadual di bawah.

Sementara itu, EMOS akan memperkenalkan model terbaharu daripada barisan Kawasaki dan pelancaran bilik pameran eksklusif secara berperingkat.

Senarai wakil pusat servis Kawasaki yang sah:

Bagi memenuhi keperluan pelanggan Kawasaki di seluruh negara, senarai pengedar yang sah akan sentiasa dikemas kini di laman web rasmi, https://www.kawasaki.com.my/home/.

Untuk pertanyaan, pemilik motosikal Kawasaki boleh hubungi 1-800-880-008 atau WhatsApp di +6019-570 8135.

Edaran Modenas Sdn Bhd kini pengedar eksklusif Kawasaki di Malaysia

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) secara rasmi merupakan pengedar eksklusif baharu Kawasaki di Malaysia.

Ia turut menyaksikan Kawasaki Motors Ltd (KMC) kini memiliki 30 peratus ekuiti dalam Modenas bersama DRB-HICOM Berhad sebagai pemegang saham majoriti.

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Roslan Roskan berkata, pihaknya akan terus memastikan produk dan perkhidmatan pelanggan kekal berada pada tahap tertinggi.

Justeru, para pelanggan atau pemilik kenderaan Kawasaki tidak perlu bimbang dengan pengurusan baharu ini.

Kawasaki Z900 SE merupakan versi istimewa bagi Z900 di Eropah. – Foto fail ihsan Kawasaki

“Pemilik motosikal Kawasaki tidak perlu bimbang kerana di bawah pengurusan baharu, tahap unggul produk dan perkhidmatan pelanggan akan dikekalkan.

“Rancangan kami termasuk juga untuk memperluaskan operasi, membangun, mengeluar dan menjual motosikal Kawasaki untuk peminatnya,” katanya.

Selain itu, Modenas bakal memperkenalkan model terbaharu Kawasaki selain melancarkan bilik pameran eksklusif baharu secara berperingkat.

Modenas juga akan mula memasang model Kawasaki terpilih dan pada masa sama mengimport model dengan enjin yang lebih besar.

Model Modenas Kriss keluaran tahun 1996. – Foto ihsan Wikipedia

Kerjasama Modenas – KMC bukan suatu yang baharu memandangkan kedua syarikat telah menjalani kolaborasi sejak tahun 1996 lagi.

Ianya bermula semenjak koloborasi menghasilkan model paling ikonik Modenas iaitu Kriss.

EMOS melalui pengedarnya bukan sahaja akan menjual motosikal Kawasaki malah, mengedarkan alat ganti dan aksesori di Malaysia.

Pada masa sama, EMOS juga akan menyediakan perkhidmatan pelanggan yang meliputi semua perkara teknikal dan isu panggil semula atau “recall”.