fbpx

Modenas Ninja 250, Ninja 250 ABS dan Z250 ABS dilancarkan – harga dari RM18,900

Modenas X Kawasaki 250 cc model pelancaran

PENGEDAR eksklusif baharu motosikal Kawasaki di Malaysia iaitu Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) hari ini melancarkan tiga model baharu iaitu Ninja 250, Ninja 250 ABS dan Z250 ABS.

Harga jualan yang disyorkan adalah seperti berikut:

– Ninja 250 – RM18,900

– Ninja 250 ABS – RM20,500

– Z250 ABS – RM19,500

Ketiga-tiga model tersebut berkongsi trenkuasa yang sama iaitu enjin 249 cc dua silinder sebaris DOHC yang menghasilkan 37 hp pada 12,500 rpm dan 23 Nm pada 10,000 rpm, serta transmisi enam kelajuan dengan klac Assist & Slipper.

Jentera-jentera ini dibina menggunakan kerangka Trellis yang diperbuat daripada keluli berketegangan tinggi. Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan lengan ayun di belakang.

Tayar didatangkan dalam saiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, manakala rim pula berukuran 17 inci. Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal berukuran 286 mm di depan dan 193 mm di belakang. Hanya Ninja 250 ABS dan Z250 ABS dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS).

Ciri-ciri lain yang terdapat pada model-model ini termasuklah sistem Ergo-Fit dan penunjuk tunggangan ekonomikal.

Untuk pilihan warna, Ninja 250 boleh didapati dalam warna Metallic Carbon Grey dan Metallic Matte Graphite, manakala Ninja 250 ABS dalam warna Metallic Matte Graphite Grey. Z250 ABS pula tersedia dalam warna Metallic Spark Black.

Ketiga-tiga model ini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah dan akan menggunakan nama Modenas di pasaran.

Ini ekoran daripada hasil peningkatan saham Kawasaki Motors. Ltd (KMC) di dalam syarikat Modenas yang menyaksikan kesemua model Kawasaki 650cc ke bawah dijenamakan semula di bawah Modenas.

“Pesanan saya kepada semua pemilik motosikal Kawasaki, lama dan baharu; di bawah pengurusan Modenas, anda boleh mengharapkan tahap perkhidmatan pelanggan yang serupa atau lebih lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Roslan Roskan.

“Modenas sentiasa memerhati, mempelajari dan menyesuaikan operasi perniagaan sepertimana rakan kongsi teknikal dan pemegang saham kami, KMC. Bersama-sama dengan Kawasaki, kami bersedia untuk pengembangan perniagaan yang lebih besar,” tambah beliau.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved