Arkib Tag: Ducati Malaysia

Ducati ‘We Ride As One’ berjaya kumpul 300 pemilik Ducati di Malaysia

Program We Ride As One anjuran Ducati bagi tahun 2024 berlangsung meriah dengan lebih 300 pemilik Ducati berjaya dikumpulkan. 

Acara bermula di Ducati Sungai Buloh sebagai venue permulaan yang menyaksikan pemilik pelbagai motosikal Ducati termasuk Panigale, Mutlistrada, Hypermotard, Monster dan Ducati Scrambler berkumpul.

Peserta memulakan perjalanan dari Ducati Sungai Buloh ke Putrajaya Lake Club pada Sabtu dan menyelusuri laluan dan landskap yang indah. 

Seramai 300 motosikal terlebih berkonvoi ke tiga lokasi utama yang merangkumi Jambatan Seri Gemilang, Jambatan Seri Saujana sebelum berakhir di Kelab Tasik Putrajaya di mana kesemua Ducatisti berpeluang meramah mesra dan menikmati makan tengah hari. 

Ducati Malaysia umum Waranti Kilang 3 Tahun Ever Red

Berita baik bagi bakal pemilik motosikal Ducati yang dibeli selepas 1 Mac 2024 apabila Ducati Malaysia mengumumkan waranti kilang Ever Red tiga tahun. 

Pengumuman terbaru itu menyaksikan kesemua model Ducati termasuk Scrambler Ducati keluaran 2024 antaranya Panigale V4 dan Scrambler termaktub dalam waranti kilang tiga tahun tersebut. 

Menurut Ducati, waranti kilang tiga tahun ini adalah khas untuk pemilik Ducati di Malaysia. 

Antara ditawarkan menerusi waranti tiga tahun Ever Red ini termasuk perbatuan tanpa had dan pindah milik waranti sekiranya motosikal masih berada dalam lindungan waranti tiga tahun. 

Ducati Panigale V4 SP2 jentera litar terulung kini di Malaysia – RM300,865

SELAIN Diavel V4, Ducati Malaysia turut melancarkan jentera yang dibangunkan khusus untuk litar lumba yang masih boleh digunakan di jalan raya iaitu Panigale V4 SP2.

Dari segi penampilan, Panigale V4 SP2 boleh dikenal pasti menerusi livery Winter Test yang menggabungkan warna hitam matte, aksen gentian karbon pada winglet dan mudguard, serta aksen merah menyala dan warna bendera Itali.

Menjadikan superbike ini lebih istimewa adalah rim magnesium tempaan Marchesini yang digandingkan dengan tayar Pirelli Diablo Supercorsa untuk pengendalian yang mantap.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan nombor siri pengeluaran yang diukir menggunakan laser pada bahagian bar hendal.

Kuasa dibekalkan oleh enjin Desmosedici Stradale V4 1,103 cc yang menghasilkan 215.5 hp pada 13,000 rpm 123.6 Nm pada 9,500 rpm. Penggunaan klac kering STM EVO SBK memastikan kuasa disalurkan ke roda dengan lebih efektif.

Untuk suspensi, Panigale V4 SP2 menggunakan gabungan fork Öhlins NPX25/30 dan penyerap hentak Öhlins Smart EC 2.0 yang kedua-duanya boleh dikawal secara elektronik.

Untuk sistem brek pula, terdapat master cylinder Brembo MCS yang membolehkan penunggang melaraskan feel brek mengikut cuaca dan kondisi tunggangan.

Akhir sekali, sistem elektronik terdiri daripada ciri-ciri seperti Riding Modes, Power Modes, Cornering ABS EVO, Traction Control EVO 3, Wheelie Control EVO, Slide Control dan Engine Brake Control EVO.

Tidak cukup dengan itu, jentera ini turut dilengkapi dengan Power Launch, Quickshift EVO 2, lampu LED dengan DRL dan bateri litium ion.

Harga jualan (OTR tidak termasuk insurans) Panigale V4 SP2 bermula dari RM300,865.

Ducati tawar rebat tunai sehingga RM8,000 sempena Merdeka

SEMPENA sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia tidak lama lagi, Ducati Malaysia kini mengadakan promosi ‘Massive Deals for Merdeka’ di mana pelanggan boleh menikmati pelbagai tawaran menarik untuk motosikal dan barangan rasmi jenama itu.

Bagi mereka yang ingin membeli motosikal Ducati yang baharu, inilah masanya kerana Ducati Malaysia menawarkan rebat tunai sehingga RM8,000 untuk model terpilih. Tawaran ini sah hingga 30 September 2023.

Bukan itu sahaja, pelanggan dan peminat Ducati juga boleh menunggang uji motosikal Ducati untuk merasai sendiri kehebatan jentera Itali itu sepanjang tempoh kempen ini diadakan.

Di samping rebat tunai, Ducati Malaysia turut menawarkan promosi diskaun sehingga 35 peratus ke atas pakaian dan barangan rasmi Ducati, servis Desmo, aksesori dan alat ganti.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ‘Massive Deals for Merdeka’ dan rangkaian model Ducati, layari laman web rasmi Ducati Malaysia atau kunjungi bilik pameran bertauliah Ducati di Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Sungai Buloh dan Pulau Pinang.

Ducati Scrambler generasi kedua dilancarkan di Malaysia – 3 versi, harga dari RM64k

DIPERKENALKAN di peringkat global pada penghujung tahun lalu, Ducati Scrambler generasi kedua kini memasuki pasaran Malaysia dengan tiga varian untuk dipilih iaitu Icon, Full Throttle dan Nightshift.

Harga jualan (OTR tidak termasuk insurans) bermula dari RM63,865 untuk versi asas Icon, dan RM70,865 untuk Full Throttle dan Nightshift.

Ketiga-tiga versi dikuasakan oleh enjin Desmodue silinder L berkembar 803 cc yang menghasilkan 73 hp pada 8,250 rpm dan 65.2 Nm pada 7,000 rpm. Menurut Ducati, enjin ini 2.5 kg lebih ringan berbanding enjin terdahulu.

Selain itu, penambahbaikan pada casis dan kerangka trellis menjadikan Scrambler generasi baharu ini 4 kg lebih ringan berbanding sebelum ini.

Di samping enjin, ketiga-tiga versi turut berkongsi sistem suspensi yang sama yang merangkumi fork terbalik Kayaba 41 mm dan penyerap hentak monoshock, juga dari Kayaba.

Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal 330 mm dengan angkup empat piston pada bahagian hadapan dan cakera 245 mm dengan angkup satu piston pada bahagian belakang.

Ciri-ciri lain yang disertakan secara standard termasuk Cornering ABS, Power Mode, Riding Mode (Road dan Sport), Traction Control, Ride-by-Wire dan lampu LED berserta daytime running light LED.

Turut tersedia secara standard adalah paparan TFT berukuran 4.3 inci dengan penampilan moden klasik. Sistem multimedia ditawarkan sebagai aksesori tambahan.

Versi Full Throttle mendapat beberapa ciri tambahan berupa bar hendal yang lebih rendah, lampu isyarat LED jenis high performance, Quickshifter, ekzos Termignoni, panel sisi dengan nombor serta rekaan mudguard dan ekor yang lebih sporty.

Sementara itu, versi Nightshift menerima kelengkapan yang sama dengan Full Throttle, cuma ia mempunyai cermin sisi jenis bar-end, bar hendal rata, pelana berwarna coklat dan rim jenis spoked.

Untuk pilihan warna, Scrambler Icon ditawarkan dalam tiga warna asas iaitu kuning, hitam dan merah, bersama enam pilihan warna untuk panel. Versi Full Throttle pula boleh didapati dalam warna merah/hitam manakala Nightshift dalam warna Nebula Blue.

Ducati DesertX mendarat di Malaysia – RM112,900

SEGMEN motosikal kembara bagi pasaran Malaysia kini semakin hangat dengan kehadiran satu lagi pesaing yang menarik iaitu Ducati DesertX. Antara pesaing jentera dari Itali ini termasuklah BMW F 850 GS Adventure, Triumph Tiger 900 Rally Pro dan KTM 890 Adventure R.

Menurut Ducati, reka bentuk DesertX yang dihasilkan oleh Ducati Centro Stile melambangkan interpretasi kontemporari motosikal-motosikal enduro era 80-an. Bagaimanapun, segala komponen dan teknologi yang ada padanya adalah yang terkini.

Sebagai contoh, DesertX mempunyai kerangka trellis keluli yang dipadankan dengan sistem suspensi boleh laras keluaran Kayaba yang terdiri daripada fork terbalik 46 mm di depan dan penyerap hentak tunggal di belakang.

Fork tersebut menawarkan jarak pergerakan (travel) sebanyak 230 mm manakala penyerap hentak belakang pula 220 mm. Bukan itu sahaja, jarak lega tanah sebanyak 250 mm menjadikan jentera ini sesuai untuk tunggangan off-road yang ekstrem.

DesertX didatangkan dengan rim 21 inci di depan dan 18 inci di belakang, serta tayar jenis Pirelli Scorpion Rally STR bersaiz 90/90-21 dan 150/70 R18.

Untuk sistem brek depan, Ducati melengkapkan model ini dengan angkup radial monobloc Brembo M50 dengan empat omboh 30 mm dan dua cakera berukuran 320 mm. Sementara itu di belakang terdapat angkup omboh berkembar Brembo yang ditugaskan untuk mengapit cakera tunggal 265 mm.

Kuasa dibekalkan oleh enjin silinder V berkembar Testastretta 11° Desmodromic bersesaran 937 cc yang menghasilkan 110 hp pada 9,250 rpm dan 92 Nm pada 6,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dari Multistrada V2.

Bagaimanapun, transmisi tersebut mempunyai nisbah gear 1 hingga 5 yang lebih pendek bagi memberikan kuasa pecutan untuk tunggangan off-road. Nisbah gear 6 pula lebih panjang untuk tunggangan di lebuh raya sambil mengekalkan rpm pada tahap rendah untuk menjaga penggunaan bahan api.

DesertX mempunyai enam mod tunggangan (Sport, Touring, Urban, Wet, Enduro dan Rally) dan empat mod kuasa (Full, High, Medium dan Low).

Turut disertakan adalah ciri-ciri seperti Engine Brake Control (EBC), Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Ducati Quick Shift (DQS) Up & Down dan juga ABS Cornering.

Ducati DesertX dijual pada harga asas RM112,900. Sempena pelancaran ini, Ducati Malaysia menawarkan pakej eksklusif yang merangkumi diskaun 40% ke atas pakej aksesori DesertX dan 35% ke atas pakej pakaian DesertX.