Ducati Hypermotard 698 Mono dilancarkan di Malaysia, dari RM71k
Ducati Malaysia memperluaskan penawarannya di negara ini dengan pelancaran Ducati Hypermotard 698 Mono baharu.
Jentera itu boleh didapati dalam varian asas Hypermotard 698 Mono yang berharga RM70,900 dan varian 698 Mono RVE pada harga RM77,900.
Kedua-duanya dipacu oleh enjin Superquadro Mono 659 cc silinder tunggal yang dibina berasaskan enjin Superquadro 1,285 cc dari 1299 Panigale.
Dilengkapi dengan sistem desmodromic, enjin ini mampu menjana kuasa keseluruhan berjumlah 77.5 hp pada 9,750 rpm dan 64 Nm pada 8,000 rpm.
Apa yang lebih menarik, kuasanya boleh meningkat sehingga 84.5 hp jika menggunakan ekzos perlumbaan Termignoni.
Sistem suspensi terdiri daripada upside-down fork Marzocchi boleh laras sepenuhnya di hadapan dan lengan ayun berkembar dengan penyerap hentak Sachs di belakang.
Untuk roda, Hypermotard 698 Mono menggunakan rim aloi tempaan 17 inci yang dibalut tayar Pirelli Diablo Rosso IV bersaiz 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.
Kuasa membrek pula dibekalkan oleh cakera tunggal 330 mm dan angkup Brembo M4.32 di hadapan, dan cakera tunggal 245 mm dengan angkup piston tunggal di belakang.
Untuk sistem elektronik, motosikal ini didatangkan dengan teknologi yang diperoleh daripada barisan Panigale seperti Cornering ABS with Slide-by-Brake, Ducati Wheelie Control, Ducati Traction Control, Engine Brake Control dan empat mod tunggangan.
Varian RVE boleh dibezakan dengan varian asas menerusi grafik unik dan penambahan Ducati Quick Shift (DQS), yang ditawarkan sebagai opsyen pada varian asas.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.