Ducati Malaysia buka bilik pameran di Johor Bahru
Ducati Malaysia telah melancarkan pusat pengedaran terbarunya di Johor Bahru, sekali gus menandakan kehadiran semula Ducati ke Johor selepas 10 tahun.
Menurut Ducati Malaysia, pembukaan cawangan ini merupakan sebahagian daripada komitmennya untuk memperluaskan lagi kehadiran jenama Ducati di selatan Semenanjung Malaysia.
Pusat pengedaran baharu itu terletak secara strategik di No.9 Jalan Permas 9/17, Masai Johor, iaitu bersebelahan Aeon Permas Jaya.
Dengan pelaburan berjumlah RM3.5 juta, kemudahan berkeluasan 2,418 kaki persegi itu merangkumi bilik pameran yang boleh memuatkan sehingga 16 motosikal pada satu-satu masa, serta pusat servis yang canggih dan serba lengkap.
Menurut Ducati Malaysia, pusat servis itu berukuran 2,135 kaki persegi dan dilengkapi dengan empat ruang servis dengan kapasiti untuk menyelenggara sehingga 200 motosikal sebulan.
Selain itu, terdapat juga ruang khas yang mempamerkan barangan dan aksesori tulen Ducati, serta ruang berasingan untuk Scrambler Ducati yang lengkap dengan pakaian, aksesori dan ruang rehat tersendiri.
Ducati Malaysia berkata ia menetapkan sasaran untuk menjual 30 unit motosikal Ducati menjelang akhir tahun ini dan 100 unit pada 2025.
Buat masa ini, terdapat lebih 200 motosikal Ducati di Johor dan bilik pameran ini dijangka menjadi lokasi tumpuan Ducatisti di rantau ini.
Pusat pengedaran Ducati Johor dibuka setiap Isnin hingga Sabtu dari 10 pagi hingga 7 malam. Bilik pameran tetap beroperasi pada hari Ahad dari 10 pagi hingga 3 petang.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.