Arkib Tag: diskaun saman

JPJ tidak akan beri diskaun saman kepada orang ramai

ANDA sedang menunggu diskaun pengurangan saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)? Anda boleh lupakan hasrat itu kerana jabatan itu tidak lagi akan memberi diskaun kepada orang ramai.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kementeriannya telah mengamalkan dasar tiada pemberian diskaun saman kepada pengguna jalan raya sejak beliau menjawat jawatan berkenaan pada 2018.

Tambah Anthony lagi, ketika itu beliau juga telah membatalkan lebih RM4 juta saman kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), dan perkara itu disambut baik orang ramai.

“Kami hendak beri satu mesej kepada orang ramai bahawa saman itu adalah untuk mendidik. Jika kami bagi diskaun, ia tidak adil kepada orang lain yang bayar saman pada masa yang ditetapkan,” katanya.

Loke berkata JPJ sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan jalan raya tidak akan berkompromi dalam hal ini. Perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki kerana isu kesalahan-kesalahan jalan raya mesti dipandang serius.

Walaupun tiada pemberian diskaun saman JPJ, Kementerian Pengangkutan turut mengadakan program lain seperti pemberian 5,000 topi keledar secara percuma sempena program Setahun Bersama Kerajaan MADANI.

Diskaun saman trafik sehingga 50 peratus pada 8-10 Disember

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menawarkan pengurangan sehingga 50 peratus bagi kompan saman trafik terpilih sempena program “Setahun Bersama Kerajaan Madani” dari 8 hingga 10 Disember ini di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata tawaran itu tidak termasuk kesalahan lalu lintas bagi tahun 2023 yang melibatkan kemalangan, kes mahkamah berstatus waran tangkap atau masih dalam perbicaraan, dan kesalahan tidak boleh dikompaun.

“Pembayaran kompaun hanya boleh dibuat di kaunter semakan dan pembayaran saman trafik di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bermula 9 pagi hingga 4 petang pada 8 Dis (Jumaat) dan dari 9 pagi hingga 6 petang pada 9 dan 10 Dis (Sabtu dan Ahad),” katanya.

Beliau menggesa orang ramai untuk menyemak sama ada mereka mempunyai sebarang saman di portal PDRM atau aplikasi MyBayar sebelum ke kaunter pembayaran bagi mengelak kesesakan dan mempercepatkan proses pembayaran.

Pakar keselamatan jalan raya gesa kerajaan henti beri diskaun saman trafik

DISKAUN saman trafik bukanlah satu perkara yang asing di negara ini. Malah, ia sudah menjadi sesuatu yang sering ditunggu-tunggu oleh pengguna jalan raya terutamanya mereka yang memiliki banyak saman tertunggak.

Amalan ini perlu dihentikan segera kerana menurut dua pakar jalan raya, ia hanya akan menyebabkan pengguna bersikap acuh tak acuh terhadap undang-undang.

Bercakap kepada FMT, Law Teik Hua dari Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata “budaya” menawarkan diskaun untuk saman mengurangkan impak penguatkuasaan undang-undang.

“Tiada siapapun akan menghormati undang-undang jika mereka tahu bahawa kerajaan akhirnya akan memberikan diskaun,” katanya.

Tambah Law, kerajaan melihat saman sebagai kaedah meraih pendapatan dan bukannya penalti bagi mereka yang melanggar undang-undang. Bagaimanapun, katanya, saman sepatutnya bersifat tegas supaya mengekang pesalah melanggar peraturan.

Law turut berkata sistem demerit yang kini digunakan juga wajar dikuatkuasakan dengan lebih meluas untuk mengekang kesalahan jalan raya.

Katanya, kesukaran akibat lesen memandu digantung atau ditarik balik mampu menjadi pengajaran yang memastikan pematuhan peraturan lalu lintas.

Gambar oleh: MalayMail

Sementara itu, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud, ahli bersekutu Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) bersetuju dengan Law bahawa sistem demerit patut lebih dikuatkuasakan.

Malah beliau berkata, pemberian diskaun bagi saman lalu lintas tidak diamalkan di negara maju.

“Di UK, orang ramai mematuhi peraturan lalu lintas kerana sedar walaupun mampu membayar saman, mereka tidak dapat mengelak sistem markah demerit.

“Jadi orang kaya sekalipun tidak sanggup melanggar peraturan kerana tahu sebaik kehilangan markah kerana kesalahan dilakukan, lesen mereka akan ditarik balik atau dibatalkan pihak berkuasa,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar khas bayaran saman berjumlah hanya RM50 bagi semua saman trafik PDRM yang dikeluarkan pada tahun 2022 dan sebelumnya. Tawaran ini bermula dari 21 April hingga 21 Mei 2023.

Diskaun saman dari 21 April hingga 21 Mei, bayar RM50 sahaja

SELAIN tol percuma dan cuti am tambahan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan kadar khas bayaran saman berjumlah hanya RM50 bagi semua saman trafik PDRM.

Tawaran ini bermula dari 21 April hingga 21 Mei 2023 dan hanya terpakai untuk saman yang dikeluarkan pada 2022 dan tahun-tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, PDRM akan melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April dengan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.

Menurut Anwar, ini bagi memastikan kelancaran perjalanan serta keselamatan pengguna jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri.

Ini akan diikuti dengan Op Selamat 20 selama tujuh hari bermula Khamis ini (20 April) dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.

“PDRM juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Sukarelawan (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk memastikan laluan-laluan ‘hotspots’ seperti susur masuk dan keluar di plaza tol tidak mengalami kesesakan lalu lintas,” katanya.