Arkib Tag: cukai jalan

Perincian cukai jalan EV di peringkat akhir – Anthony Loke

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke berkata kementeriannya kini di peringkat akhir perincian bagi kadar cukai jalan atau lesen kenderaan motor (LKM) untuk kenderaan elektrik (EV) dan ia dijangka diumumkan bulan depan, kata Menteri berkenaan Anthony Loke Siew Fook.

Menurut Loke, perincian itu ialah untuk menjadikan EV menarik dan lebih murah berbanding kenderaan jenis enjin pembakaran dalaman (ICE). Ia dijangka diumumkan bulan depan.

“Cabaran yang dihadapi dalam proses perincian sekarang ialah perbandingan kapasiti (CC) kereta ICE dengan EV. Sekarang (pengguna EV) tak payah bayar cukai tapi pembeli EV bimbang cukai yang akan dikenakan jauh lebih tinggi berbanding kereta ICE.

“Komitmen kerajaan sekarang ialah untuk merendahkan cukai berkenaan supaya pembeli EV dapat kadar cukai jalan EV yang berpatutan, jadi diharapkan perincian cukai jalan EV dapat diumumkan sebelum akhir April nanti supaya kadar cukai jalan (EV) yang dibayar masih berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Warisan Tan Chong Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA) dan Guangzhou Automotive Group (GAC) Motor International Co Ltd (GAC Motor International) pada Sabtu.

Pada majlis berkenaan, WTCA dan GAC Motor International memeterai perjanjian bagi memulakan kebolehlaksanaan dua projek pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.

Cukai jalan digital: Boleh kongsi e-LKM kepada pemandu lain

KERAJAAN pada Februari 2023 mengumumkan bahawa pemandu tidak lagi wajib mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) pada kenderaan di bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan.

Walauapun perkara ini disambut baik rata-rata rakyat Malaysia, timbul pula isu bagaimana jika pemandu itu bukan pemilik kenderaan, sebagai contoh kereta sewa. Bagaimana mahu mempamerkan LKM jik diperlukan?

Nampaknya kini kita boleh membuat perkongsian Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) atau fungsi baharu iaitu “Kongsi LKM” di aplikasi MyJPJ.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini. “Melalui fungsi baharu itu pemilik kenderaan boleh berkongsi e-LKM kepada ahli keluarga, rakan-rakan atau individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan,” katanya.

“Pemilik hanya perlu klik nombor plat kenderaan dan seterusnya klik butang ‘Kongsi LKM’ untuk membuat perkongsian e-LKM kepada individu lain.

“Fungsi ini juga mempunyai tempoh had masa perkongsian yang boleh ditetapkan oleh pemilik kenderaan dan mempunyai kod pengaktifan yang perlu diberikan kepada penerima e-LKM tersebut untuk mengaktifkan perkongsian.

“Sistem juga akan menghapuskan rekod perkongsian sekiranya tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam,” tambah Anthony.

Sibuk kerja hingga lupa baharu ‘road tax’ Ferrari, lelaki berusia 30 tahun ditahan

Seorang lelaki yang memandu kereta Ferrari 488 Spider ditahan di Lebuhraya Guthrie pada Khamis lalu atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.

Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya, kesalahan itu dikesan menerusi operasi harian yang dijalankan Stesen Penguatkuasa (SPK) Elmina JPJ Selangor.

Pemandu lelaki berusia 30 tahun itu ditahan dan pemeriksaan lanjut mendapati LKM kereta terbabit telah tamat tempoh.

“Alasan yang diberi pemandu terbabit ialah kesibukan kerja dan lupa,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sementara itu, operasi rondaan turut dilaksanakan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

Kata Khairul Khar, sebanyak 126 kesalahan dikesan antaranya lesen memandu kompeten (CDL) (21 kes), lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (19 kes), tiada perlindungan insurans (19 kes) serta teknikal (54 kes).

“Pasukan operasi turut bertindak menyita enam motosikal jenis Honda EX5 atas pelbagai kesalahan,” ujarnya.

Tambahnya, SPK Elmina sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.

“Sebarang aduan kesalahan lalul intas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” jelasnya.

Selamat tinggal pelekat ‘road tax’! Tak perlu lagi pamer di kenderaan

SELAMAT tinggal pelekat lesen kenderaan bermotor (cukai jalan atau road tax). Bermula hari ini, ia tidak perlu lagi dipamerkan pada kenderaan milik persendirian rakyat Malaysia.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

Perkara itu diumumkan hari ini oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Katanya, peruntukan di bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan yang mewajibkan lesen kenderaan bermotor dipamerkan pada kenderaan, tidak akan lagi dikuatkasakan.

“Perubahan itu akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu termasuk motosikal,” kata Anthony.

Pengumuman itu adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pengangkutan untuk melaksanakan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), khususnya membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian

“Saya mengalu-alukan semua pemandu dan pemilik kenderaan untuk beralih ke platform digital.

“Dengan pendigitalan, keadaan sesak dan beratur panjang di kaunter JPJ akan berkurangan dan ini akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan keselesaan rakyat,” tambahnya.

Anthony Loke pada awal bulan lepas berkata bahawa beliau telah mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengatasi masalah kualiti pelekat cukai jalan yang kurang berkualiti dan cepat rosak.

Mansuh cukai jalan, peluang terbaik PM gembirakan rakyat

BAJET 2023 disaran hapus cukai jalan ekoran pemilik kenderaan kini berdepan sistem cukai berlapis-lapis.

Kerajaan disaran supaya menghapuskan cukai jalan bagi meringankan beban rakyat memandangkan sistem cukai kenderaan yang diguna pakai pada ketika ini berkonsepkan ‘cukai atas cukai’.

Muhammad Zahid Md Arip. Gambar oleh: Parlimen Malaysia

Ahli Dewan Negara, Muhammad Zahid Md Arip berkata, pada ketika ini pemilik kenderaan berdepan dengan sistem cukai yang berlapis-lapis seperti duti import, cukai eksais, cukai cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta cukai jalan.

“Sudahlah mereka terpaksa membayar cukai yang berganda, rakyat khususnya yang tinggal di Lembah Klang seolah-olah terkepung dan terpaksa menggunakan laluan yang hampir semuanya dikenakan tol pada setiap hari.

“Rakyat Keluarga Malaysia tidak boleh terus dibebankan dengan ‘cukai atas cukai’ yang bertimpa-timpa ini dan Bajet 2023 adalah peluang terbaik untuk Perdana Menteri menggembirakan rakyat.

“Saya difahamkan ketika ini, konsultasi Bajet 2023 sedang berlangsung, saya berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan ini,” katanya.

Menurut beliau, cadangan tersebut dilihat memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dan kerajaan secara keseluruhan.

“Saya sedar cadangan ini akan mengakibatkan kerajaan kehilangan pendapatan sekitar RM3 bilion setahun, tetapi ia bukanlah satu jumlah yang terlalu besar berbanding manfaat lebih banyak yang bakal diperoleh rakyat serta kerajaan secara keseluruhannya, apatah lagi ketika gendang pilihan raya umum semakin kuat dipalu ketika ini.

“Kerajaan sebenarnya boleh melihat dan mempelajari dari United Kingdom (UK) dalam pelaksanaan hal ini, yang mana negara itu sudah menghapuskan cukai jalan sejak 2015 dan hanya mengenakan cukai duti eksais (VED) sahaja untuk pemilik kenderaan.

“Bagi menampung kehilangan hasil akibat penghapusan cukai jalan ini pula, kerajaan boleh menimbangkan untuk mengurangkan subsidi minyak dan kaedah ini sebenarnya lebih adil kepada rakyat dan kerajaan, kerana ia bersifat bersasar terus kepada pengguna yang layak khususnya daripada kumpulan B40,” ujarnya.

Ujar beliau, rakyat masih lagi belum bangkit daripada kesan ekonomi pasca pandemik Covid-19, terutamanya bagi mereka yang hilang pekerjaan sebelum ini.

1.6 juta penjawat awam kini boleh perbaharui insurans kereta secara ansuran

BEKERJA sebagai penjawat awam ada banyak faedahnya, antaranya adalah gaji yang stabil, bonus musim perayaan dan juga pencen yang terjamin.

Kini, penjawat awam bakal mendapat satu lagi manfaat iaitu mereka boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan secara ansuran menerusi program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com.

Program yang diilhamkan oleh Kementerian Sumber Manusia, di bawah kerjasama strategik antara PERKESO, ANGKASA dan A Tech Insure Sdn Bhd ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail Sabri, program itu berlandaskan konsep patuh syariah Qardhul Hasan (pinjaman tidak melibatkan faedah atau unsur riba) dan bakal memanfaatkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam termasuk yang bertaraf kontrak.

Menerusi myezycover.com, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan tanpa sebarang bayaran pendahuluan dan faedah. Pembayaran balik boleh dilakukan menerusi Skim Potongan Gaji ANGKASA (SPGA) sehingga 10 bulan.

Penjawat awam tetap dan bertaraf kontrak layak memohon skim pembiayaan insurans ini dengan syarat nisbah hutang tidak melebihi 60% daripada jumlah pendapatan bulanan.

“Melalui myezycover.com, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan di hujung jari dengan mudah, jimat dan pantas. Nota perlindungan insurans diperoleh dalam masa hanya lima minit,” kata Ismail Sabri.

“Inisiatif ini tidak berorentasikan komersial semata-mata. Apa yang paling penting, ia dapat membantu merealisasi konsep Keluarga Malaysia berasaskan indeks kebahagiaan yang menjadi tanda aras komitmen dan kesungguhan kerajaan,” tambah beliau lagi.

Indonesia jadi negara ketiga buat kiraan cukai berdasarkan pelepasan karbon, bukan lagi ikut kapasiti enjin

INDONESIA akan mengubah struktur cukai kenderaan mereka yang berdasarkan kapasiti enjin kepada pengiraan berdasarkan pelepasan karbon CO2 yang lebih terkini.

Sistem ini akan bermula pada 16 Oktober 2021 dan ini menjadikan Indonesia negara yang ketiga di rantau Asia Tenggara yang melaksanakan sistem ini selepas Singapura dan Thailand.

Presiden Indonesia, Joko Widodo. Sumber: Facebook

Ia sebahagian langkah menyesuaikan Cukai Barangan Mewah (Luxury Goods Tax) untuk kenderaan akan menjadikan struktur cukai Indonesia setaraf dengan negara maju ASEAN yang lain yang mula diumumkan pada 2019.

Jadi, apa perubahan yang akan berlaku dalam industri automotif negara jiran ini? Pertamanya, sedan dan SUV tidak akan dikenakan cukai yang lebih tinggi kerana tiada lagi cukai berdasarkan jenis badan kenderaan dalam sistem baharu ini.

Kenderaan seperti MPV, SUV, dan hatchback sebelum ini dikenakan cukai antara 10 hingga 125 peratus bergantung kepada kapasiti enjin, manakala sedan dan kenderaan 4WD/AWD dikenakan cukai antara 30 hingga 125 peratus.

Sumber: bestsellingcarsblog.com

Ini menjelaskan kenapa Toyota Avanza dan Innova lebih banyak dijumpai di sana berbanding Honda Civic. Sistem baharu ini akan menjadikan model sedan seperti Civic dan Toyota Corolla lebih berdaya saing.

Sumber: Kompas Otomotif

Sementara itu, kenderaan Low Cost Green Cars (LCGC) seperti Daihatsu Ayla dan Toyota Agya (kembar Perodua Axia) akan melihat sedikit kenaikan harga kerana akan dikenakan cukai 3 peratus.

LCGC di sini dikategorikan sebagai kereta bandar dengan kapasiti enjin bawah 1.2-liter dan mempunyai kecekapan bahan api sekurang-sekurangnya 20km/liter.

Untuk segmen MPV dan SUV Rendah (seperti Toyota Avanza dan Rush) juga akan mengalami kenaikan harga.

Walaubagaimanapun, kebanyakan pengguna tidak akan merasai kenaikan harga tahun ini. Struktur cukai baharu akan melihatkan cukai antara 15 hingga 70 peratus untuk kenderaan penumpang dengan penekanan untuk kenderaan elektrik bateri (BEV).

Untuk menikmati cukai terendah (15 peratus), kenderaan petrol harus memperoleh kecekapan bahan api minimum 15.5km/liter dan pelepasan karbon tidak lebih 150g/km, manakala diesel pula 17.5km/liter dengan pelepasan CO2 sama.

Pengurangan cukai seterusnya akan meningkat 5 peratus untuk setiap kenaikan 50g/km dan sehingga 25 peratus untuk tahap 250g/km.

Had kecekapan bahan api petrol bermula pada minimum 11.6 hingga 15.5 km/liter untuk lingkungan cukai 15 peratus, meningkat kepada 9.3 hingga 11.5 km/liter dan kemudiannya 9.2km/liter kebawah.

Untuk diesel: 13.1 hingga 17.5 km/liter, 10.5 hingga 13 km/liter, dan 10.5 km/liter ke bawah untuk lingkungan cukai yang sama.

Kenderaan elektrik Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV), BEV, dan Biofuel akan dikenakan cukai minimum 15 peratus sahaja.

Secara umumnya, harga kenderaan hibrid juga akan meningkat, tetapi kenaikan akan diketepikanbagi pengeluar kenderaan yang telah memberi komitmen pelaburan sekurang-kurangnya Rp5 trilion (sekitar RM1.47 bilion) dalam pengeluaran kenderaan elektrik tempatan.

Sumber: Malay Mail

Malaysia bila lagi? Ya, satu persoalan menarik. Malangnya tanah air kita masih mengenakan struktur cukai zaman dinosaur yang berdasarkan kapasiti enjin.

Jangankan bab cukai, kurikulum sekolah memandu kita pun masih lagi menyuruh penunggang motosikal mengangkat tangan jika berhenti. Siapa antara anda yang pernah praktikkan cara ini semasa menunggang di jalan raya sebenar?

Boleh perbaharui lesen memandu dan cukai jalan di Pos Malaysia mulai hari ini

Mereka yang berhasrat memperbaharui lesen memandu atau cukai jalan boleh mendapatkan kemudahan itu di semua cawangan Pos Malaysia di seluruh negara bermula hari ini.

Dalam satu kenyataan, Pos Malaysia berkata, bagi mereka yang sudah mendapat temu janji di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh terus ke JPJ di tarikh dan lokasi ditetapkan atau ke mana-mana cawangan pejabat pos.

“Pelanggan juga boleh memperbaharui insurans motor mereka di kaunter pejabat pos atau dalam talian melalui laman sesewang dan aplikasi mudah alih,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut bolehlah melayari AskPos di www.pos.com.my atau terus ke aplikasi mudah alih Pos Malaysia.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan tempoh moratorium untuk memperbaharui lesen kenderaan bermotor dan lesen memandu dilanjutkan hingga 31 Disember 2021.

Mengapa harga cukai jalan berbeza mengikut kenderaan?

KENDERAAN yang tidak mempunyai cukai jalan atau tamat tempoh merupakan satu kesalahan serius di negara ini.

Walaupun kadang-kala pemilik kenderaan terlupa menghidupkan semula cukai jalan kenderaan mereka, ia tidak bermakna kesalahan itu boleh diabaikan pihak berkuasa.

Berdasarkan peruntukan undang-undang, pemilik kenderaan gagal menghidupkan cukai jalan boleh didakwa mengikut Seksyen 15(1) dan Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.

Persoalannya, mengapa cukai jalan ini sangat penting? Apakah faktor penentu terhadap harga cukai jalan sesebuah kenderaan?

Fungsi cukai jalan di Malaysia

Cukai jalan merupakan antara elemen penting perlu ada bagi sesebuah kenderaan.

Menerusi cukai jalan, wang yang diterima kerajaan akan digunakan untuk membaiki dan menyelenggara struktur jalan raya untuk keselesaan pengguna.

Selain itu, cukai jalan juga perlu ‘hadir’ bersama insurans yang bertindak melindungi kenderaan jika terlibat dalam kemalangan.

Sebagai contoh, jika kenderaan anda terlibat dalam kemalangan maka, insurans akan membantu anda untuk melunaskan kos membaiki kerosakan.

Wang dipungut kerajaan melalui cukai jalan akan digunakan untuk membaiki dan menyelenggara struktur jalan raya. – Foto oleh Hari Anggara

Proses kira-kira cukai jalan

Harga bagi cukai jalan di negara ini berbeza-beza mengikut kapasiti enjin kenderaan

Semakin tinggi kapasiti atau cc enjin maka, semakin mahal harga cukai jalan yang dikenakan.

Berikut adalah senarai harga cukai jalan mengikut cc kenderaan di Malaysia:

Kiraan lanjut boleh didapati menerusi ‘kelas’ kira-kira bersama Shamsul Yunos di YouTube EnGear. – Foto oleh EnGear

Sementara itu, bagi lesen kenderaan atau roadtax motosikal pula harganya adalah berada pada kadar tetap iaitu RM2.00 bagi semua kuasa motor 7500W.

Bagi kuasa motor melebih 7500W pula, terdapat perbezaan daripada segi kadar asasnya seperti di bawah:

  • 7501W sehingga 10000W – RM9.00
  • 10001W sehingga 12500W – RM12.00
  • 12501W sehingga 25000W – RM30.00
  • 25001 sehingga 40000W – RM40.00
  • Melebihi 40000W – RM42.00

Kenderaan elektrik juga tidak terlepas daripada dikenakan cukai jalan dan terdapat pengiraan tertentu dalam menentukan harganya.

Proses penentuan harga cukai jalan bagi kenderaan jenis ini bergantung kepada kuasa yang dijana.

Jadual kadar asas bagi kenderaan melebihi 80000KW. – Foto oleh EnGear

Ini bermakna semakin tinggi kuasa dijana maka semakin mahal cukai jalan yang dikenakan.

Sebagai contoh, sebuah kereta model Tesla S Plaid yang menghasilkan 615KW pasaran Malaysia akan dikenakan cukai jalan sebanyak RM13,000.

Demikian antara perkongsian mengenai kira-kira cukai jalan kenderaan terdapat di Malaysia.

Untuk makluman lebih lanjut anda boleh tonton video yang telah disediakan bersama Bro Shamsul Yunos.

Selamat menonton!