Arkib Tag: car of the year

IAM Kuala Lumpur, MIME, dan COTY 2024 bergabung untuk bawa pengalaman autoshow unik

INTERNATIONAL Automodified (IAM) dan Malaysia International Motor Expo (MIME) dilancarkan semalam, dan bakal diadakan pada 8-9 Jun depan di Kuala Lumpur Convention Centre.

Acara itu juga akan menyambut ulang tahun ke-20 bagi Malaysian Car of the Year Awards (COTY) yang mengiktiraf kenderaan terbaik 2024.

Gabungan ketiga-tiga acara ini bakal membawakan pengalaman autoshow unik bagi anda peminat kereta di Malaysia.

IAM

Kuala Lumpur akan menjadi lokasi pembukaan IAM yang dijadualkan mempunyai enam lokasi antarabangsa tahun ini.

Kemudian, IAM akan beralih ke Surabaya, Indonesia pada Julai, sebelum ke California, Amerika Syarikat, kemudian ke Singapura, Jakarta, dan Bangkok.

IAM yang dikatakan sebagai acara modifikasi dan gaya hidup terbesar di Asia Tenggara telah ke 38 bandaraya di Indonesia sejak 2001. Ia telah menarik ribuan peminat kereta dengan hampir 100 anugerah disampaikan untuk pelbagai kategori kenderaan.

Tahun lepas, IAM mencatatkan 70,000 pengunjung semasa diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).

MIME

MIME pula merupakan acara yang mengetengahkan barangan OEM (original equipment manufacturers) terkini dalam industri automotif.

Acara ini juga akan menghimpunkan kenderaan terbaharu termasuk kereta elektrik (EV), dan seksyen khas untuk pemenang-pemenang Car of the Year 2023.

“Apa yang membezakan MIME dari motor show lain ialah acara kami dikhaskan lebih untuk bakal pembeli dan pemilik kenderaan,” kata Pengasas MIME, Yamin Vong.

“Ia bukan sekadar pameran kereta baharu dalam pasaran, tetapi membawakan pengunjung suatu lokasi untuk mereka membuat pembelian di samping mendapat pengetahuan tepat dari pelbagai pilihan.

“Ini akan termasuk juga kenderaan dari pengedar rasmi serta pengimport bebas yang menawarkan model-model unik yang tidak terdapat di bilik pameran,” tambahnya.

COTY 2024

2024 akan menandakan ulangtahun ke-20 bagi COTY yang mengiktiraf kereta-kereta baharu terbaik bagi segmen masing-masing.

Satu kategori baharu ialah berkenaan EV, iaitu bangunan, hartanah, atau pemaju yang mesra EV.

Panel juri COTY adalah terdiri dari wartawan permotoran berpengalaman serta golongan profesional. Mereka menilai model-model berdasarkan pelbagai kriteria seperti reka bentuk, teknologi, keselamatan, dan nilai untuk wang.

COTY 2024 akan menampilkan anugerah People’s Choice, yang akan ditentukan melalui undian secara online.

Tiket bagi acara ini kini dijual pada harga RM22 di sini: https://www.ticket2u.com.my/event/34477?r=r124.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.internationalautomodified.com dan www.malaysiamotorexpo.com.

Honda Civic e:HEV RS dinobat Malaysia Car Of The Year 2023

MALAYSIA Car Of The Year (MCOTY) 2023 baru berakhir dan anugerah utama dirangkul oleh Honda Civic e:HEV RS Hybrid. Anugerah tahunan ini menjadi medan untuk wakil dan pakar automotif mengiktiraf dan meraikan kereta-kereta baharu di Malaysia.

Barisan juri memilih Honda Civic e:HEV RS Hybrid kerana teknologinya yang cekap, dan menawarkan pengurusan tenaga hibrid yang mantap dalam kalangan pesaing-pesaingnya.

Sebanyak 121 kereta baharu dinilai untuk tahun ini, dengan saingan sengit dari pelbagai jenis kenderaan. Panel juri terdiri dari 10 wartawan permotoran dan dua profesional dari bidang perundangan dan perubatan.

Juri-juri ini menilai kenderaan dari kriteria tertentu seperti reka bentuk, teknologi, keselamatan, dan nilai untuk wang. Hasil analisis mereka mengagihkan 121 kereta kepada tujuh kategori utama, dengan 13 pemenang dari segmen masing-masing.

Satu aspek menarik MCOTY ialah anugerah People’s Choice atau Pilihan Rakyat, dimana ia dipilih dari undian online melalui telefon pintar bagi memastikan seorang pengundi memilih satu kereta.

Anugerah People’s Choice tahun ini dinobatkan kepada Perodua Axia E bagi kategori marhaen, manakala BMW iX1 xDrive30 M Sport menang bagi kategori premium. Menarik juga kerana rakyat Malaysia memilih sebuah EV sebagai pemenang untuk pasaran premium.

Selain itu, terdapatjuga Honourable Mentions untuk tiga kereta yang tetap sangat bagus. Pertama ialah Ford Ranger Raptor 3.0 V6 petrol untuk prestasinya, dianggap seperti supercar dengan rupa trak pikap.

Kedua ialah Perodua Axia E 1.0 E manual kerana harganya yang sangat mampu milik, dengan hanya RM22,000, menjadikannya antara kereta dengan nilai untuk wang terbaik dalam dunia! Walaupun dikritik kerana standard keselamatannya, ia tetap jauh lebih selamat dari motosikal.

Akhir sekali ialah Chery Omoda 5 kerana jaminan yang ditawarkan. Ia dilancarkan dengan jaminan 1,000,000km untuk 3,000 pembeli pertama. Inisiatif membina keyakinan terhadap jenama ini menarik perhatian para juri.

Anugerah MCOTY kembali selepas ‘berehat’ tiga tahun disebabkan pandemik yang melanda dunia. Pada 2019, kurang dari lima model EV dalam pasaran, tetapi pada tahun ini, sebanyak 29 EV dilancarkan.

Berikut adalah senarai penuh anugerah dan pemenangnya:

A. Sedan dan hatchback terbaik

Kurang RM110,000: Toyota Vios 1.5G

RM111,000 hingga RM249,000: Honda Civic e:HEV RS Hybrid

Lebih RM250,000: Mercedes-Benz C300 AMG Line

B. Crossover terbaik

Kurang RM200,000: Toyota Corolla Cross Hybrid 1.8

Lebih RM200,000: Mazda CX-8 2.2D 2WD

C. Kereta elektrik (EV)

Kurang RM200,000: BYD Dolphin Premium Extended

Lebih RM200,000: Volvo C40

D. Hibrid

Kurang RM250,000: Toyota Corolla Cross Hybrid 1.8

Lebih RM250,000: Volvo XC90 Recharge T8 Ultimate

E. SUV

Kurang RM250,000: Kia Sorento 2.2 Diesel AWD

Lebih RM250,000: Lexus RX350 Luxury 2.4 T

F. Trak pikap

Ford Ranger XLT Plus Double Cab 4×4 WildTrak

G. MPV

Kia Carnival 2.2 Diesel 11-seater

H. Pemenang keseluruhan

Honda Civic e:HEV RS Hybrid

I. People’s Choice

Marhaen: Perodua Axia E

Premium: BMW iX1 xDrive30 M Sport

J. Honourable Mentions

Prestasi: Ford Ranger Raptor 3.0 V6 petrol

Mampu milik: Perodua Axia 1.0 E

Jaminan: Chery Omoda 5

K. CPO (operator tempat pengecas) terbaik

Gentari

L. Individu Tahunan

Ahmad Hadri Haris

 

7 finalis European Car of the Year 2022 dipilih, kebanyakannya EV!

EUROPEAN Car of the Year 2022 (ECOTY) telah mara ke peringkat seterusnya dimana tujuh finalis telah dipilih dari 39 model awal yang dicalonkan.

Dari sini, sekumpulan 61 juri dari 23 negara Eropah akan membuat undian awal tahun depan sebelum pemenang diumumkan pada 28 Februari 2022 di Geneva.

Peugeot 308

Barisan finalis ini didominasi oleh kenderaan yang mempunyai pilihan elektrik. Hanya satu model yang bukan elektrik sepenuhnya iaitu Peugeot 308. Semasa pelancaran, 308 boleh didapati dengan dua pilihan plug-in hybrid (PHEV) dengan kuasa 178hp dan 222hp.

Kia EV6

Selebihnya, enam model lain hadir dengan janaan kuasa elektrik sepenuhnya (EV) iaitu Hyundai Ioniq 5, Cupra Born, Ford Mustang Mach-E, Kia EV6, Skoda Enyaq iV dan Renault Megane E-Tech.

Barisan EV ini berjaya menyingkirkan model-model lain seperti Audi e-Tron GT, RS e-tron GT, BMW iX dan i4, Mercedes-Benz EQS, Tesla Model Y dan Volkswagen ID.4.

Peugeot 308 pula menyingkirkan model bukan EV seperti Honda HR-V, McLaren Artura, Toyota Yaris Cross dan Lexus NX (hanya menyebut beberapa nama).

Sumber: ruetir

Model mana yang akan menang ECOTY 2022 ini pada pandangan anda?

Pada 2021, pemenangnya adalah Toyota Yaris yang mengalahkan Fiat 500 dan Cupra Formentor.

Sebelum itu, Peugeot 208 menang pada 2020, Jaguar I-Pace pada 2019 dan Volvo XC40 pada 2018.