fbpx

Renault Megane E-Tech crossover EV dengan pecutan 100km/j dalam 7.4 saat, jarak hingga 470km

renault megane e-tech 01

BAGI golongan peminat kereta, nama Renault Megane mungkin lebih sinonim dengan jentera hot hatch tiga pintu yang merupakan pesaing rapat kepada Honda Civic Type-R, Volkswagen Golf GTI dan Ford Focus ST. Namun, ini mungkin akan berubah dengan pelancaran sebuah crossover elektrik yang menggunakan nama yang sama.

Dikenali secara rasmi sebagai Megane E-Tech Electric, ia merupakan model elektrik sepenuhnya (EV) kedua daripada Renault selepas Zoe.

Ia dibina berdasarkan platform Common Module Family-EV (CMF) yang turut digunakan oleh Nissan Ariya.

Model ini mempunyai ukuran panjang 4.21 meter panjang dan tinggi 1.5 meter, manakala tapak rodanya berukuran 2.7 meter. Menurut Renault, ia menampilkan konsep rekaan Sensual Tech yang menggabungkan elemen sensual yang digunapakai oleh model-model terdahlu dengan elemen teknologikal.

Antara elemen yang menarik perhatian adalah rekaan lampu hadapan LED berbentuk langsing yang dihasilkan menerusi proses pemotongan laser. Lampu belakang pula merentangi tailgate dan menampilkan optik mikro-fiber yang disusun khusus supaya melahirkan efek kilaun 3D.

Selain itu, Megane E-Tech Electric juga menjadi model produksi pertama Renault yang menggunakan logo baharu jenama itu. Logo yang direka berdasarkan tema retro itu boleh didapati pada bahagian gril dan penutup port pengecas pada sebelah kanan badan.

Ruang dalaman juga tidak kurang hebatnya. Selain memfokuskan kepada penggunaan bahan kitar semula untuk upholsteri, model ini juga dilengkapi dengan sistem infotainmen OpenR yang menampilkan skrin sentuh pada konsol tengah dan kluster instrumen yang disusun dalam bentuk ‘L’ terbalik. Kedua-dua skrin berkenaan berukuran 12.3-inci.

Ia menggunakan sistem operasi Android Automotive OS, bermakna ia menyokong pelbagai aplikasi Google termasuk Google Assistant, Google Maps dan Google Play. Bukan itu sahaja, kemas kini perisian juga boleh dilakukan secara atas udara (Over-The-Air).

Megane E-Tech Electric dikuasakan oleh konfigurasi motor elektrik tunggal yang boleh didapati dalam dua versi iaitu 130hp/250 Nm dan 218hp/300 Nm. Dari segi prestasi, versi yang lebih berkuasa mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.4 saat.

Pek bateri juga ditawarkan dalam dua kapasiti iaitu 40kWh yang menawarkan jarak pemanduan sejauh 300km, atau 60kWh untuk jarak pemanduan sejauh 470km. Dengan ukuran tebal hanya 110mm, ia dikatakan bateri yang paling nipis di pasaran.

Untuk pengecasan, Renault mendedahkan yang model ini mengambil masa 8 jam untuk mencapai jarak pemanduan 400km menerusi wallbox berkapasiti 7.4kW atau 160km dalam masa sejam jika menggunakan stesen pengecas awam 22kW.

Sudah tentu, ia juga boleh disambungkan sistem pengecas pantas DC berkapasiti 130kW yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 300km dalam tempoh 30minit.

Dari segi keselamatan pula, Megane elektrik ini dilengkapi dengan 26 sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pemanduan, parkir dan keselamatan.

Antara ciri utama yang disertakan adalah Active Driver Assist (menggabungkan Adaptive Cruise Control dan Lane Keeping Assist), Lane Departure Warning, Emergency Lane Keeping Assist, Rear Automatic Emergency Braking, Occupant Safe Exit, Full Auto Park, Around View Monitor 3D dan juga Smart Rear View Mirror.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved