Arkib Tag: camry

Toyota Camry 2024 untuk Amerika kini tiada lagi V6, hanya hibrid

TOYOTA baru mendedahkan Camry 2024 bagi pasaran Amerika, dan seperti biasa, ia akan dikenali sebagai model tahun Camry 2025.

Camry kini hanya ditawarkan sebagai hibrid, tiada lagi pilihan V6. Rekaan luaran dan kabin kini baharu, sementara sistem suspensi telah ditala semula. Jom kita lihatkan pembaharuan-pembaharuan ini dengan lebih terperinci.

Walaupun nampak rupanya seperti baharu, Toyota mengesahkan bahawa Camry ini masih menggunakan pelantar TNGA-K sedia ada. Jadi ia boleh dikira sebagai facelift dan bukannya serba baharu.

Jika dilihat dari sisi, terdapat persamaan dengan model sebelum ini. Apa pun, pereka Toyota berjaya memberikan sedikit perbezaan pada Camry baharu ini, seperti di muka depan. Ia menampilkan bentuk ‘hammerhead’ dan DRL nipis, memberikan ‘imej keluarga’ dengan model seperti Prius.

Di dalam ialah tempat dimana terdapat perubahan paling besar. Papan pemuka dan konsol tengah telah dirombak sepenuhnya. Varian LE dan SE mendapat paparan instrumen 7-inci, manakala XLE dan XSE dengan 12.3-inci.

Untuk skrin infotainmen, Camry hadir dengan skrin 8- atau 12.3-inci. Sambungan Apple Carplay dan Android Auto serta pengecasan tanpa-wayar adalah standard. Terdapat juga pilihan seperti paparan Head Up Display, sistem audio JBL, Wi-Fi, kunci digital, dan cermin laminated untuk mengurangkan gegaran dan bunyi angin.

Tiga pilihan enjin sebelum ini telah digugurkan, dan pembeli hanya ditawarkan dengan enjin 4-slinder 2.5-liter naturally-aspirated baharu, yang digandingkan dengan dua motor elektrik dan pek bateri lithium-ion.

Menurut Toyota, pakej ini boleh memberikan output keseluruhan 225hp, atau 232hp untuk pacuan semua-roda. Sistem suspensi telah ditala untuk “respon lebih baik dan pengendalian lincah”. Ini dicapai dengan penyerap hentak baharu, dengan setup sporti yang khas.

Toyota Camry 2024 dilengkapi dengan pakej Toyota Safety Sense 3.0 yang merangkumi sistem seperti Pre-Collision System dengan Pedestrian Detection, Full-Speed Dynamic Radar Cruise Control, Lane Departure Alert dengan Steering Assist, Lane Tracing Assist, Auto High Beam, dan Proactive Driving Assist dengan bantuan kamera dan radar.

Honda Accord 1.5 TC-P: Kecil di sini, besar di sana – Pandu uji

INI bukanlah jenaka dua maksud atau double-meaning, tetapi Honda Accord 1.5 TC-P ini sememangnya kecil di sini, besar di sana.

Kecil di bahagian sesaran atau kapasiti enjinnya, tetapi besar dari segi kuasa dan prestasi. Sebenarnya, kita telah lama memasuki era dimana kita harus berhenti ‘mengukur’ kemampuan sesebuah kereta dari kapasiti enjinnya.

Untuk 2022, kereta dengan enjin 5.0-liter V10 belum tentu lebih laju dari enjin 3.0-liter V6. Begitu juga enjin 1.5-liter turbo, belum tentu ia lebih perlahan dari 2.0-liter lebih-lebih lagi jika naturally-aspirated (NA).

Pengukuran lebih tepat adalah terus melihat kepada output yang dihasilkan, iaitu kuasa dan tork. Untuk Honda Accord 1.5 TC-P ini, enjin 1.5-liter VTEC Turbo 4-silinder menjana 201hp pada 5,550rpm dan 260Nm tork dari 1,600 hingga 5,000rpm.

Angka ini adalah lebih tinggi dari enjin 2.4-liter Accord generasi sebelum ini yang menghasilkan 175hp dan 225Nm tork. Ini bukan magik tuan-tuan dan puan-puan, tetapi sekadar fizik dan sains.

Accord generasi ke-10 ini juga merupakan yang pertama dalam sejarah yang dikuasakan oleh enjin turbo. Tetapi, bagaimana dengan prestasi dan pemanduan dunia sebenar Accord ini?

Bayangan berbeza

Sebelum itu, mari kita belek terlebih dahulu apa yang ada di luar dan dalam kereta ini. Pasaran sedan segmen-D semakin mengecil jadi salah satu cara pengeluar membuatkan pelanggan terus membeli kereta sebegini ialah dengan menjadikan rupanya ‘tidak begitu sedan’.

Maksud saya ialah memberikan reka bentuk yang tidak konvensional, seperti Honda Accord ini dengan rekaan ala fastback di belakang. Dan harus dikatakan juga Accord generasi ini lebih kepada revolusi dari segi rekaan, berbanding sekadar evolusi.

Bentuknya agak jauh berbeza berbanding generasi-generasi sebelum ini dengan rekaan sedan tradisional.

Bumbung belakangnya ‘ditarik’ terus hingga hampir ke hujung but, dengan permukaan mendatar di but yang lebih pendek dari biasa. Tetapi jangan terkeliru kerana ruang kargonya masih besar dan ke dalam, dengan kapasiti 570 liter.

Muka depannya masih sangat Honda, dengan bahasa rekaan Solid Wing Face seperti model-model Honda yang lain pada masa kini. Saya agak suka rupa depan ini kerana nampak cukup premium dan mahal.

Bahagian belakangnya agak janggal tetapi sofistikated bagi saya, ia tidaklah begitu cantik, tetapi satu rekaan yang unik dan ‘segar’. Tidak terlalu menyerupai mana-mana kereta. Apa pendapat anda semua?

Rim Honda Accord ini bersaiz 18-inci dan nampak cukup besar, dipadankan pula dengan tayar Michelin Primacy 3 ST yang sebenarnya cukup sesuai dengan karakter Accord.

Kabin luas tetapi kurang ‘umph’

Duduk di tempat pemandu, anda terasa cukup lapang tetapi pada masa yang sama segala suis dan butang kawalan mudah dicapai.

Entah kenapa saya begitu pentingkan rekaan roda stereng walaupun ia tiada kena mengena dengan aspek mekanikal pemanduan. Apa pun, saya cukup suka rekaan stereng Accord ini dengan tiga batang yang sporti, seolah-olah ‘menjemput’ anda untuk memandunya.

Posisi memandu juga sangat baik dengan banyak pelarasan yang boleh dibuat. Anda duduk rendah tetapi pandangan luar juga tidak begitu terjejas.

Untuk tempat duduk belakang, tiada rungutan yang boleh dibuat. Ruang kaki dan kepala sangat lapang, malah postur badan juga selesa untuk perjalanan jauh.

Cuma saya rasakan tiada apa-apa yang ‘wow’ untuk kabin Accord ini walaupun segalanya baik-baik sahaja. Pesaing-pesaingnya seperti Toyota Camry dan Hyundai Sonata mempunyai beberapa fungsi menonjol, tetapi Accord biasa-biasa sahaja untuk bab ini.

Dari segi paparan meter, susunan instrumen Accord lebih tradisional dengan dua meter; rpm di belah kiri dan speedometer di belah kanan. Tetapi meter rpm di sebelah kiri ini sebenarnya paparan digital dan pelbagai maklumat pemanduan boleh dipaparkan di bahagian dalamnya.

Sementara itu speedometer di belah kanan adalah jenis fizikal yang kekal tidak berubah. Secara keseluruhan paparan sebegini cukup kemas dan tidak menyemakkan mata dengan terlalu banyak maklumat.

DNA sejati sebuah Honda

Seperti diperkatakan di permulaan tadi, Honda Accord ini dipacu oleh enjin 1.5-liter turbo buat pertama kali. Adakah prestasinya terbantut dengan kapasiti enjin lebih kecil ini?

Jika dilihat pada angka 201hp dan 260Nm tadi, ia bukan sahaja jauh lebih tinggi dari Accord 2.4 generasi sebelum ini, malah masih lebih tinggi berbanding CR-V dan Civic generasi terkini.

1.5-liter VTEC Turbo pada CR-V menjana 190hp dan 243Nm, manakala pada Civic mengeluarkan 180hp dan 240Nm.

Talaan enjin dan transmisi CVT pada Accord menjadikannya mudah dan lancar dipandu pada kelajuan rendah, tetapi pada masa sama mempunyai tenaga mencukupi untuk menambah kelajuan walaupun meter menunjukkan tiga angka.

Sebagai contoh anda memandu pada kelajuan 110km/j dan mahu menukar lorong untuk memotong, kuasa yang dibekalkan mencukupi untuk anda memecut ke 130km/j contohnya. Jadi ini memberikan anda keyakinan untuk memotong, lantas menambah keyakinan.

Transmisi CVT juga begitu responsif, memberikan kesan seolah-olah ‘downshifting’ jika diperlukan, jadi anda akan sentiasa berada pada julat kuasa yang betul pada masa yang betul.

Anda yang mengikut perkembangan permotoran sudah tentu skeptikal dengan CVT tetapi saya harus katakan CVT pada Honda Accord ini adalah antara yang terbaik talannya. Rasa ‘rubber band’ sangat minima, dan kebanyakan masa terasa agak semulajadi.

Accord semakin menyinar di selekoh, dimana badannya yang lebih rendah dan lebar menghasilkan pergerakan badan yang sporti. Stereng juga mempunyai ‘feel’ dan ketepatan cukup baik, menambahkan lagi kepuasan pemanduan.

Dengan Accord, anda akan rasa ragu-ragu untuk mengambil sedan Jerman recond. Ya betul sedan Jerman dengan konfigurasi RWD kedengaran lazat dipandu, tetapi sedan seperti Accord pun kini semakin sofistikated dan mempunyai kualiti pemanduan yang tinggi.

Casis keseluruhan terasa tegap, sebagai contoh dalam situasi mengambil selekoh berkelajuan tinggi yang panjang dengan sedikit alunan pada permukaan jalan. Kereta terasa melekat dan stabil, sterengnya juga memastikan anda sentiasa rasa dalam kawalan penuh.

Oh ya, saya juga sempat memandu Accord ini ke Genting Highlands. Satu perkara yang anda perlu tahu adalah turbo amat sukakan udara lebih sejuk, ia akan berfungsi dengan lebih cekap dan menghasilkan lebih kuasa.

Jadi tiada masalah Accord 1.5 VTEC Turbo ini untuk dipandu secara ‘spirited’ ke jalan-jalan sebegini, dan tayar Primacy 3 ST memberikan keseimbangan baik antara cengkaman serta kesenyapan. Kelincahan Accord di selekoh membuatkannya rasa lebih kecil dari saiznya yang sebenar.

Berbaloi dibeli?

Untuk harganya, pesaing terdekat yang anda akan jumpa adalah Camry, Mazda6, Passat dan Sonata. Masing-masing mempunyai kelebihan dan untuk Accord, saya rasakan ia mempunyai kelebihan rupa yang paling sporti.

Jika Passat lebih bersahaja, Camry lebih organik, Accord ini lebih bersegi dan dinamik.

Apa pun, sedan segmen-D memang satu pasaran yang semakin kecil tetapi tetap penting untuk banyak pengeluar. Dan kita harus berikan pujian pengeluar-pengeluar ini kerana meletakkan usaha begitu banyak dalam penghasilannya.

Spesifikasi Honda Accord 1.5 TC-P

Harga: RM187,390.73
Enjin: 1.5-liter 4-silinder VTEC Turbo
Kotak gear: Automatik CVT
Kuasa: 201hp @ 5,500rpm
Tork: 260Nm @ 1,600-5,000rpm

Toyota Camry facelift 2022: Macam sama, tapi berbeza sangat! – Ulasan awal

TOYOTA Camry, apa perkara pertama yang anda terfikir bila terdengar nama ini; Pak lebai? Guru besar? Pakcik pencen? Senior manager?

Ya, walau apa pun, nama Camry cukup sinonim dengan golongan lebih berusia dan sudah settle down, mahu semuanya lebih relaks dan tenteram.

Toyota Camry 2022 terkini juga bukanlah untuk golongan terlalu muda, tapi gayanya seperti untuk mereka yang masih mahu sesuatu yang mengujakan, laju, dan menonjol.

Kami sempat memandu Toyota Camry facelift 2022 dalam satu sesi pemanduan singkat, dan apa yang boleh penulis katakan, sedan segmen-D Toyota kali ini terasa cukup berbeza.

Apa yang baharu? Nampak sama sahaja…

Nampak sama sahaja dengan Camry 2019, bukan? Tidak seperti facelift biasa yang hanya memberikan pembaharuan dari segi rupa atau kosmetik, Camry 2022 ini hanya sedikit di bahagian itu, tetapi lebih kepada bahagian mekanikal.

Untuk bahagian rupa, sangat sedikit. Pembaharuan terhad kepada bampar depan yang direka semula, rim rekaan baharu, dan lampu belakang yang diubah sedikit. Itu sahaja.

Kini untuk pembaharuan lebih besar, ialah enjin dan kotak gear baharu. Enjinnya masih menggunakan sesaran atau kapasiti 2.5-liter, tetapi ia kini merupakan unit Dynamic Force yang menggantikan enjin 2AR-FE sebelumnya.

Enjin baharu ini mendapat sistem suntikan terus bahan api, VVT-iE (electric variable valve timing), kepala silinder baharu, nisbah mampatan 13:1, dan kecekapan suhu lebih baik sebanyak 40 peratus. Hasilnya, output kini setinggi 209hp dan 253Nm berbanding 184hp/235Nm pada sebelumnya.

Enjin ini digandingkan dengan kotak gear yang juga baharu, iaitu Direct Shift dengan 8-kelajuan menggantikan automatik 6-kelajuan. Walaupun kotak gear baharu ini mempunyai lebih nisbah gear, ianya – menurut Toyota – lebih kompak dari sebelum ini.

Kemudian ada lagi, di dalam kabin di belakang, konsol tengah tempat duduk kini menampilkan beberapa gajet dan ‘permainan’.

Terdapat panel sesentuh dimana anda boleh mengawal pendingin hawa, sudut sandaran tempat duduk sebanyak lapan-darjah, dan menaik atau menurunkan tirai di cermin belakang. Anda juga boleh menjadi bos dengan mengawal sistem infotainmen di depan melalui konsol ini.

Di depan pula, papan pemuka masih lagi terdapat jalur panjang berbentuk Y yang mendominasi rekaannya, tetapi terdapat perubahan susunan skrin infotainmen. Skrin ini lebih besar, dan kini di atas corong pendingin hawa. Oh ya, sistem infotainmen juga kini menyokong sambungan Apple Carplay dan Android Auto.

Akhir sekali, pembaharuan di bahagian keselamatan. Camry facelift 2022 ini mendapat TSS (Toyota Safety Sense) versi 2.5 dan dua penambahbaikan utama adalah pada Pre-Collision System dan Dynamic Radar Cruise Control.

Pre-Collision System padanya bukan sahaja mengesan kenderaan, pejalan kaki dan penunggang basikal, tetapi juga mampu mengesan siang dan malam. Dynamic Radar Cruise Control pula kini mampu beroperasi pada semua kelajuan, termasuklah pada kelajuan ‘merangkak’ seperti dalam kesesakan jalan raya.

Gaya pemanduan semakin ‘muda’

Pemanduan Toyota Camry generasi sekarang sebenarnya sudah cukup mantap, sebab utamanya kerana penggunaan platform TNGA (Toyota New Global Architecture) yang memberikan casis cukup tegap serta respon yang baik.

Cuma ‘kesedapan’ ini sedikit terbantut dek powertrain, dimana kotak gear terasa seakan tidak padan dengan enjinnya.

Kotak gear automatik 6-kelajuan itu sedikit gelabah. Sebagai contoh, kita tambahkan sedikit input pendikit minyak semasa menaiki bukit, kotak gear ini tergesa-gesa downshift terlalu banyak, sampaikan bunyi enjin tiba-tiba menerpa ke dalam kabin.

Ia membuatkan suasana kabin kurang selesa.

Perkara ini diselesaikan dengan penggunaan enjin Dynamic Force dan kotak gear baharu Direct Shift. Enjin dan kotak gear ini seolah-olah direka untuk satu sama lain.

Dengan kotak gear Direct Shift, pecutan juga terasa lebih “direct”. Haa nampak di situ? Kotak gear baharu ini memberikan rasa pecutan lebih telus dan responsif, dan seperti kurang pembaziran kuasa.

Ditambah pula dengan casis yang sedia mantap, pemanduan Toyota Camry facelift 2022 ini secara keseluruhan lebih memuaskan.

Kami teruja untuk uji sedan ini dengan lebih lanjut di masa akan datang untuk meneroka lagi kebolehan Camry ini. Sementara itu, jemput tonton video ringkas kami di bawah:

Spesifikasi Toyota Camry 2.5V

Harga: RM199,109.50
Enjin: 2.5-liter 4-silinder Dynamic Force
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 206hp @ 6,600rpm
Tork: 253Nm @ 5,000rpm

Toyota Camry facelift 2022 kini dengan enjin 2.5 Dynamic Force, kotak gear baharu, RM199k

TOYOTA agak aktif awal tahun ini, baru sahaja melancarkan Corolla Cross Hybrid bulan lepas, kini mereka merasmikan pula kehadiran Camry facelift. Sedan segmen-D ini kini menerima pembaharuan luar dan dalam.

Sebenarnya di bahagian luar tidak banyak yang berubah, ia mendapat gril depan yang direka semula, rim 18-inci baharu, dan lampu LED belakang yang diubah sedikit.

Perubahan terbesar adalah pada enjin dan kotak gearnya. Toyota Camry facelift 2022 ini dikuasakan oleh enjin 2.5-liter Dynamic Force baharu yang masih naturally-aspirated, tetapi kini merupakan suntikan terus bahan api.

Ia juga mempunyai kecekapan haba sebanyak 40 peratus serta menampilkan kepala silinder yang direka semula. Output kini adalah 209hp pada 6,600rpm dan 253Nm pada 5,000rpm (25hp dan 18Nm lebih dari sebelum ini).

Enjin ini digandingkan dengan kotak gear yang juga baharu, iaitu automatik Direct Shift 8-kelajuan. Walaupun mempunyai lebih nisbah gear, ianya mempunyai saiz lebih kompak berbanding unit 6-kelajuan sebelumnya.

Masuk ke dalam pula, anda akan lihat bahawa unit infotainmen kini diletakkan di atas corong pendingin hawa, dan paling penting, kini menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Dan di belakang, terdapat satu ciri yang pasti memberi kelebihan buat Camry berbanding pesaing-pesaingnya. Ciri ini ialah panel kawalan elektronik di perehat tangan belakang yang mampu mengawal fungsi-fungsi seperti penyandar, sistem pendingin hawa, tirai cermin belakang, serta sistem audio.

Ciri lain pada Camry facelift termasuklah keyless entry, lampu automatik, tempat duduk depan dengan pelarasan berkuasa, pengecaj tanpa-wayar, kamera 360-darjah, sistem audio JBL, dan sistem telematik.

Bahagian keselamatan Camry juga dipertingkat, kini menampilkan Toyota Safety Sense 2.5. Beberapa ciri seperti Autonomous Emergency Braking kini mampu mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal dalam keadaan siang dan malam.

Adaptive Cruise Control pula kini mampu memperlahankan kenderaan untuk mengambil selekoh dan memecut secara automatik untuk memotong apabila signal dihidupkan.

Berapakah harga untuk Camry facelift 2022 ini? Ia ditawarkan pada harga RM199,110 atas jalan tanpa insurans, kira-kira RM10,000 lebih dari model sebelum ini. Adakah peningkatan harga ini berbaloi dengan penambahan spesifikasinya?

Lexus ES 250 facelift kini dengan varian F Sport, 204hp, harga bermula RM296k

LEXUS ES 250 facelift diperkenalkan oleh UMW Motor dan hadir dengan tiga pilihan, termasuk varian baharu F Sport.

Harga bermula pada RM296,663 untuk Premium, RM329,910 untuk Luxury, dan RM345,134 untuk F Sport yang anda lihat ini. Harga adalah atas jalan tanpa insurans, termasuk pengecualian cukai 50 peratus untuk kereta CBU.

Apa yang menarik mengenai Lexus ES 250 ini? Ianya antara model paling laris Lexus dengan lebih 2.65 juta unit telah terjual merangkumi tujuh generasi. Rekaan dinamik dan tajam yang anda dapat lihat ini ialah hasil dari konsep yang Lexus gelarkan sebagai Provocative Elegance.

Harus diketahui juga Lexus ES 250 generasi ketujuh ini dibina di atas pelantar Global Architecture K (GA-K) iaitu dari Toyota New Global Architecture (TNGA) yang menjadi asas Camry. Tetapi Lexus ES 250 ini lebih dari sekadar Camry yang lebih mahal.

Versi facelift ini mendapat rekaan Spindle Grille baharu. ES 250 Premium diberikan lampu bi-LED, manakala Luxury dan F Sport dilengkapi lampu LED kompak 3-tahap dengan rekaan DRL baharu. F Sport juga dapat dibezakan dari rupa yang lebih sporti serta rim aloi khas 19-inci dengan kemasan Dark Premium Metallic.

Pilihan warna untuk ES 250 adalah: Sonic Quartz, Sonic Titanium, Graphite Black Glass Flake, Red Mica Crystal Shine, Ice Ecru Mica Metallic, Deep Blue Mica, dan dua warna baharu Sonic Iridium dan Sonic Chrome. F Sport pula boleh didapati dengan dua warna eksklusif heat Blue Contrast Layering atau White Nova Glass Flake.

Untuk bahagian kabin, kesemua varian ES 250 mendapat tema warna baharu, kemasan hitam atau Brown Walnut untuk Premium dan Luxury, serta kemasan aluminium Flare Red atau Black untuk F Sport.

Teknologi juga cukup canggih, dengan skrin sesentuh 8- dan 12.3-inci yang diubah kedudukannya untuk lebih ergonomik untuk pemandu dan penumpang.

Antara ciri unik pada ES 250 ini adalah Nanoe-X yang memperbaiki kualiti udara kabin, jam analog (F Sport), dan meter gegelung logam dengan kesan 3D yang diinspirasikan dari supercar LFA.

Lexus ES 250 dikuasakan oleh enjin 2.5-liter empat-silinder petrol yang mampu menjana 204hp dan 247Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda depan dengan transmisi Direct-Shift 8-kelajuan.

Pecutan ke 100km/j dapat dicapai dalam 9.1 saat dan kelajuan maksima ialah 210km/j.

ES 250 juga hadir dengan ciri keselamatan Lexus Safety System+ dengan teknologi seperti Pre-Collision System+, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Keep Asssit, Lane Tracing Assist, dan Adaptive Highbeam System.