Pesawat lakukan pendaratan cemas di atas bumbung Toyota Camry

Toyota Camry pesawat

Perjalanan biasa pada waktu puncak di Lebuhraya I-95, Florida, bertukar menjadi detik mendebarkan apabila sebuah pesawat kecil hilang kawalan lalu merempuh sebuah Toyota Camry yang dipandu wanita berusia 57 tahun.

Kejadian berlaku pada Isnin lalu sekitar jam 5:45 petang dan dirakam melalui dashcam kenderaan lain di lebuh raya. Sebelum insiden itu, juruterbang melaporkan bahawa pesawat Beechcraft 55 itu mengalami kerosakan pada kedua-dua enjin dan cuba melakukan pendaratan kecemasan.

Rakaman video menunjukkan detik cemas pesawat itu menjunam lalu melanggar bahagian belakang Camry tersebut, tercampak ke atas bumbung, sebelum terjatuh ke atas jalan raya dan meluncur sehingga berhenti di penghadang tengah.

Menurut peronda lebuhraya Florida, pemandu Camry itu hanya mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan di hospital berhampiran. Juruterbang berusia 27 tahun dan penumpangnya pula tidak tercedera.

Gambar selepas kejadian menunjukkan kerosakan teruk pada bumbung dan belakang Camry berkenaan. Wanita itu boleh dikatakan sangat bernasib baik kerana akibatnya boleh menjadi lebih serius jika pesawat tersebut terkena bahagian pemandu.

Walaupun berlaku pada waktu puncak, tiada kemalangan melibatkan kenderaan lain. Polis menutup lorong jalan untuk sementara bagi kerja-kerja pembersihan dan membukanya semula selepas beberapa jam.

FAA (Federal Aviation Administration) kini menyiasat punca kegagalan mekanikal pesawat.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved