Arkib Tag: bermaz auto alliance

Bermaz Auto Alliance henti operasi perniagaan Peugeot, Citroen dan DS

BERMAZ Auto Alliance (BAA) mengumumkan ia akan menghentikan operasi perniagaannya berkuat kuasa 29 Februari 2024.

BAA ditubuhkan tiga tahun yang lalu untuk menguruskan pengedaran, jualan dan selepas jualan untuk Peugeot di Malaysia dan sebagai pembaik pulih sah untuk jenama Citroen dan DS.

Pengumuman ini merupakan susulan kepada keputusan dan pengumuman pada 22 November 2023 oleh Stellantis N.V. untuk menguruskan jenamanya dalam pasaran Malaysia menerusi syarikat jualannya sendiri.

Dalam satu kenyataan, BAA berkata dengan penghentian operasi ini, mereka tidak lagi dapat meneruskan perkhidmatan pelanggan Peugeot.

Syarikat itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan atas sokongan dan keyakinan terhadap perkhidmatan jualan dan selepas jualan yang diberikan oleh BAA sepanjang mereka beroperasi.

BAA bersetuju untuk memindahkan sepenuhnya program Free Service Maintenance (FSM) berkontrak kepada Stellantis. Ini bermakna semua FSM yang akan datang akan dilaksanakan menerusi rangkaian yang dilantik oleh Stellantis.

Untuk maklumat terkini, pelanggan dinasihatkan untuk merujuk kepada Stellantis atau hubungi talian sokongan pelanggan bebas-tol di 1800-18-7852 atau e-mel kepada customersupport.my@stellantis.com untuk penjelasan lanjut.

Bermaz gesa pemilik henti pandu Citroen C3, C4, DS3, DS4 dan DS5

BERMAZ Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB) menggesa pemilik kenderaan Citroen dan DS di Malaysia untuk segera berhenti memandu kenderaan mereka sekiranya penggantian beg udara Takata masih belum dilakukan.

Menurut BAASB, kempen panggilan semula beg udara Takata yang dilakukan sejak 2020 itu melibatkan model C3, C4, DS3, DS4 dan DS5 yang dikeluarkan dari 2009 hingga 2017.

Kereta-kereta berkenaan dilengkapi dengan beg udara Takata dengan inflator yang mengandungi bahan kimia yang mungkin merosot terutamanya apabila terdedah kepada cuaca panas dan lembap untuk satu tempoh panjang.

Keadaan ini mungkin akan menyebabkan inflator tersebut pecah ketika letupan, di mana serpihan logam yang berterabur boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kematian.

Oleh kerana sudah terdapat kes kematian yang disebabkan oleh isu ini, pemilik atau pemandu model-model tersebut digesa untuk menghubungi BAASB dengan kadar segera untuk menukar beg udara.

Kerja-kerja penggantian adalah percuma dan BAASB akan menyediakan kereta ihsan (courtesy car) bagi memudahkan urusan pelanggan sehingga proses penggantian beg udara selesai.

BAASB berkata pihaknya telah mencuba untuk menghubungi pemilik kenderaan yang terlibat dalam kempen panggilan semula ini, termasuk menerusi surat, penghantaran kurier, emel, teks pesanan dan panggilan telefon.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian Pengurusan Perhubungan Pelanggan di 03-7627 8818 atau emel kepada customersupport@baasb.com.my.

Peugeot 2008 SE, e-2008 dan Landtrek dipamerkan di 1 Utama hingga 25 Mei

BERMULA 17 hingga 25 Mei ini, Bermaz Auto Alliance akan mengadakan siri jelajah Peugeot bertempat di LUXE Concourse, pusat beli-belah 1 Utama, dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Acara itu akan menampilkan beberapa model terbaharu Peugeot termasuk 2008 SE dan e-2008. Turut ditampilkan adalah trak pikap Landtrek, 2008 dan juga 3008.

Peugeot 2008 SE

Dilancarkan ke pasaran tempatan pada April lalu, 2008 SE tampil lebih menonjol dengan grafik unik pada bahagian bonet dan sisi, serta kemasan Matte Black pada bampar hadapan dan belakang. Sebagai pelengkap, ia juga didatangkan dengan rim 17 inci berwarna Piano Black.

Model ini ditawarkan dengan harga tambahan sebanyak RM2,900 berbanding model standard. Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Fusion Orange dan Pearl White.

Peugeot e-2008

Dipertontonkan buat pertama kali di Malaysia Autoshow 2023 tempoh hari, e-2008 merupakan versi elektrik bagi 2008. Ia dipacu oleh sebuah motor elektrik yang menjana 136 PS dan 260 Nm, membolehkan crossover ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 10 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 150 km/j.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan bateri berkapasiti 50 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sejauh 320 km dengan satu cas penuh. Bateri ini boleh dicas sehingga 80 peratus dalam 30 minit menggunakan pengecas DC 100 kW.

Peugeot Landtrek

Landtrek merupakan trak pikap saiz pertengahan yang tampil cukup bergaya dengan gril menegak bersama logo Peugeot Lion di tengah, lampu signatur LED dan rim aloi 18-inci yang dibaluti tayar bersaiz 265/60. Turut disertakan adalah paparan instrumen digital 4.2-inci, skrin infotainmen 10-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto dan sistem pendingin hawa dwi-zon.

Ia dipacu oleh enjin 1.9-liter diesel turbo empat silinder dengan 150 hp pada 4,000 rpm dan 350 Nm tork dari 1,800 hingga 2,800 rpm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan.

Peugeot Landtrek sah akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi

BERITA gembira untuk mereka yang menantikan Peugeot Landtrek. Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd, selaku pengedar rasmi jenama itu di Malaysia, mengesahkan bahawa trak pikap berkenaan akan tiba di pasaran tidak lama lagi.

Ini bakal menjadikan Malaysia negara pertama di Asia Pasifik yang menerima ketibaan model itu. Landtrek sebenarnya versi rebadge Kaicheng F70 yang dibangunkan secara bersama oleh Changan Automobile dan Kumpulan PSA.

Namun anda mungkin tidak perasan kerana Landtrek dengan gril menegak dengan logo singa Peugeot, dan lampu LED yang dicantikkan lagi dengan lampu nyalaan siang LED signatur.

Ruang dalaman menampilkan beberapa ciri unik jenama Perancis itu seperti stereng bersaiz kompak, suis ala kekunci piano dan skrin HD berukuran 10 inci di atas papan pemuka yang turut terdapat pada Peugeot 508.

Untuk pasaran Malaysia, Landtrek didatangkan dalam bentuk Double Cab dengan kapasiti lima penumpang dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat.

‘Nadi’ trak pikap ini berupa enjin turbodiesel 1.9 liter yang menghasilkan 150 hp dan 350 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan sistem pacuan empat roda berserta differential gandar belakang.

Setakat ini masih belum ada tarikh sebenar pelancaran Peugeot Landtrek namun ia kini dibuka untuk tempahan dengan harga anggaran RM123,000.

Semua kenderaan Peugeot kini dengan waranti, servis percuma selama 5 tahun

Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB) mengumumkan bahawa semua kenderaan yang diedarkan pihaknya kini didatangkan dengan waranti dan pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun.

Menurut BAASB, perlindungan ini berkuat kuasa serta-merta dan membabitkan Peugeot 2008, 3008 dan 5008 serta kenderaan-kenderaan lain yang diedarkan oleh BAASB sejak dilantik oleh Stellantis.

Pakej penyelenggaraan percuma ini memberikan pemilik servis penyelenggaraan berjadual dari pengeluar yang merangkumi kos buruh, alat ganti dan pelincir.

 

Selain pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun, model-model Peugeot di Malaysia akan menerima selang servis lanjutan 15,000km atau 12 bulan (yang mana tiba dahulu). Peugeot memperkenalkan selang servis baharu ini setelah melakukan ujian tempoh panjang di negara ini.

Selang servis yang lebih panjang adalah satu usaha berterusan bagi mengurangkan penggunaan pelincir dan alat ganti untuk menangani kesan negatif terhadap perubahan iklim. Selain itu, ia juga boleh mengurangkan kos pemilikan dan kunjungan ke pusat servis.

Apa yang penting, terma dan syarat pengeluar tidak berubah.

Pemilik boleh layari customer.peugeot.com.my untuk membuat tempahan janji temu atau memeriksa maklumat penting lain seperti perincian kenderaan dan waranti atau mencari pusat servis dan bilik pameran yang terdekat.

Untuk maklumat lanjut, pemilik juga boleh menghubungi khidmat sokongan pelanggan Peugeot menerusi emel di customersupport@baasb.com.my atau talian 03-7627 8818.

Akhir sekali, pemilik disarankan untuk mengemas kini maklumat mereka di https://baasb.com.my/Peugeot/index.html bagi membolehkan BAASB memeriksa maklumat waranti dan memaklumkan pelanggan mengenai panggilan semula.