Arkib Tag: bas

Smart Campus Autonomous Vehicle oleh UMP ini merupakan bas tanpa pemandu pertama Malaysia!

PARA penyelidik di Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini sedang membangunkan sebuah bas pintar dengan sistem komputer untuk membolehkannya bergerak tanpa pemandu atau secara berkendiri (autonomous).

Dinamakan Smart Campus Autonomous Vehicle (SCAV), ia dilengkapi pelbagai pengesan di sekeliling kenderaan dan dikawal oleh komputer. Ia mampu bergerak sendiri di sekitar kawasan kampus sambil memproses maklumat trafik.

Ketua program, Ts. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) yang mempunyai kepakaran dalam bidang kenderaan autonomi, berkata ini merupakan bas pertama seumpamanya di Malaysia yang dibangunkan oleh pakar tempatan.

“Pada masa ini, proses pembangunan berada pada tahap akhir dengan 80 peratus hampir siap dan kini memfokus kepada algoritma spesifikasi tinggi dan teknologi pada bas itu sendiri,” katanya.

“Beberapa ujian awal juga dibuat sebelum ia boleh berfungsi sepenuhnya sebagai kemudahan untuk penduduk kampus, yang akan disempurnakan tahun depan.”

Sementara itu, pensyarah FTKPM, Dr. Mohamad Heerwan Peeie berkata, bas ini menggunakan beberapa jenis pengesan. Antaranya Light Detection and Ranging (LIDAR), Intertial Measurement Unit (IMU), dan beberapa kamera untuk memperoleh maklumat.

Mereka juga akan membangunkan perisian lebih terperinci untuk menjadikan sistem ini lebih stabil dalam persekitaran lebih sukar.

Syabas pasukan penyelidik UMP! Moga university tempatan lain juga akan mengeluarkan produk automotif yang penuh inovasi sebegini.

Omicron: Penumpang wajib jalani ujian ATK sebelum naiki bas di Thailand

PENULARAN Covid-19 terus menjadi ancaman bagi kebanyakan negara buat masa ini.

Sambutan tahun baharu tidak lama lagi misalnya memaksa pihak berkuasa mempertingkatkan tahap keselamatan bagi menghalang penularan virus itu.

Thailand misalnya mengeluarkan arahan terbaharu melibatkan keselamatan bagi penumpang menaiki kenderaan awam.

Hal ini kerana kerajaan Thailand menjangkakan terdapat pertambahan penumpang pengangkutan awam bersempena cuti tahun baharu nanti.

Jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata, Perdana Menteri Thailand juga meminta pihak berkuasa mengetatkan langkah pencegahan Covid-19 bagi pengangkutan awam selain memantau aliran trafik.

“Beliau mengarahkan Kementerian Kesihatan Awam bersama-sama Kementerian Pengangkutan dan Transport Co. Ltd. menyelaraskan langkah bagi menampung sejumlah besar penumpang bas awam.

“Kementerian Pengangkutan juga diarah memastikan aliran trafik bergerak lancar bermula 29 Disember hingga 4 Januari,” katanya seperti dilapor Bernama.

Sejak Isnin, Thailand mencatatkan lebih 500 kes Covid-19 daripada varian Omicron.

Ia menjadikan jumlah jangkitan di negara itu kepada 2,214,712 kes dengan 21,630 kematian.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Awam mencadangkan semua penumpang bas awam melibatkan tempoh perjalanan selama empat jam dan lebih harus menjalani ujian menggunakan Kit Ujian Antigen (ATK).

Mereka juga diwajibkan dan memakai pelitup muka pada setiap masa.

Kerajaan cadang perluas Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi

KERAJAAN akan berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan cadangan memperluaskan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi kepada mereka gagal mendapatkan skim bantuan tersebut.

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa berkata, ini kerana masih terdapat baki peruntukan belum digunakan sehingga 31 Oktober 2021.

Setakat ini, hanya RM505 juta daripada RM 1 bilion digunakan melibatkan 1,492 akaun.

“Masih ada baki peruntukan sebanyak RM495 juta untuk dimanfaatkan oleh pengusaha bas dan teksi.

“Sehingga kini, hanya lapan syarikat kredit yang terlibat dalam skim berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa. – Foto ihsan Bernama

Pada 17 November lepas, kerajaan bersetuju memanjangkan lagi skim rehabilitasi yang pada awalnya tamat pada 31 Disember ini.

Kerajaan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi kepada pengusaha bas dan teksi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ia membolehkan golongan terbabit mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan bayaran balik lebih murah.

RapidKL mula ujian bas mini Hino Poncho sekitar KL

RAPID Bus dan Hino Motor Sales bekerjsama memulakan percubaan dengan bas mini Hino Poncho di laluan lebih mencabar sekitar Kuala Lumpur (KL). Ini susulan dari percubaan pertama selama dua bulan pada 2019.

Bas mini Hino Poncho dengan pajang 7 meter dan berlantai rendah itu sesuai untuk akses ke jalan-jalan sempit dan sesak.

Percubaan kedua ini akan berjalan hingga April 2022 dengan laluan T180 (Taman Dato’ Senu – Chow Kit) dan 302 (Titiwangsa – KLCC).

Di Jepun, lebih 2,000 unit Hino Poncho beroperasi di jalan-jalan sibuk serta kawasan perumahan yang lebih senyap.

Selain panjang cuma 7 meter, bas mini ini dengan overhang depan dan belakang yang pendek memudahkannya membuat pusingan tajam di jalan-jalan sempit.

Lantai rendah pula menjadikan Hino Poncho ini mesra kepada warga emas, kanak-kanak dan penumpang berkerusi roda. Ketinggiannya juga boleh dilaras sebanyak 50mm untuk memudahkan penumpang turun dan naik.

Hino Poncho dikuasakan oleh enjin cekap Euro-V dengan sistem suntikan bahan api common-rail dan kotak gear automatik 5-kelajuan.

Enjin ini juga tidak memerlukan cecair tambahan seperti AdBlue, manjadikan kos operasi dan penyelenggaraannya lebih rendah.

Lanjutan percuma satu tahun untuk kenderaan perkhidmatan awam – MOT

KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) akan memberi pelanjutan selama satu tahun secara automatik kepada mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang telah mencapai had usia maksima penggunaan seperti ditetapkan di dalam syarat lesen/permit kenderaan.

Gambar oleh: Malaymail

Inisiatif ini adalah demi membantu pemain-pemain industri pengangkutan awam khususnya pemilik teksi, bas sekolah dan bas persiaran dalam mengharungi waktu sukar akibat pandemik Covid-19.

Lanjutan ini juga adalah termasuk kepada yang telah mendapat lanjutan dalam tahun 2020 sebelum ini.

Pelanjutan ini tertakluk kepada kenderaan terlibat menjalani dan lulus pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM, serta mencapai had usia maksima penggunaan untuk tempoh bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2021.

Keputusan ini diambil susulan sesi perbincangan antara MOT bersama persatuan dan pengendali termasuklah Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Pan Malaysia Bus Operators Association (PMBOA), Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia (PPBPSM), Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM), Koperasi Melayu Teksi Pulau Pinang, Persatuan Teksi India Wilayah Persekutuan dan Persatuan Kereta Sewa Hulu Selangor.

Diharapkan dengan pelanjutan had usia penggantian kenderaan selama setahun secara automatik ini dapat memberi kelegaan kepada industri pengangkutan awam seterusnya kembali pulih serta terus berdaya saing untuk tempoh panjang demi manfaat rakyat serta negara secara keseluruhannya.

Sembilan maut, rakaman bangunan runtuh atas bas tular

SEKURANG-KURANGNYA sembilan maut apabila sebuah bangunan lima tingkat yang diruntuhkan mengenai bas sedang berhenti berhampiran lokasi kejadian.

Insiden berlaku di bandar Gwangju, Korea Selatan itu turut mencederakan beberapa individu lain.

Portal berita BBC melaporkan, bas tersebut membawa lebih 17 penumpang ketika kemalangan berlaku.

Jurucakap pasukan bomba berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti punca bangunan terbabit diruntuhkan.

Sementara itu, saksi kejadian berkata insiden berlaku sekelip mata apabila bangunan tersebut runtuh tepat mengenai bas malang berkenaan.

“Saya tidak dapat melihat dengan jelas keadaan jalan raya ketika bangunan tersebut runtuh kerana dilitupi debu tebal.

“Untuk mendapatkan kepastian, saya semak kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati sebuah bangunan runtuh mengenai bas,” kata Yang Ik-je kepada media.

Terdahulu, para pekerja melakukan kerja pemusnahan bangunan mengakui telah menutup kawasan berkenaan sementara waktu bagi tujuan keselamatan.

Bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengesahkan dakwaan berkenaan.

Sebelum ini, rakaman insiden terbabit turut tular di media sosial.

Pada tahun 1995, Korea Selatan pernah berdepan kejadian sama apabila sebuah bangunan pasar raya runtuh dan mengorbankan 500 nyawa.

KL HOHO janjikan tour malam mempersona

WARGA Lembah Klang pasti tidak asing dengan kewujudan bas ‘double decker’ yang sering kelihatan ‘berkeliaran’ di tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, tidak dinafikan masih ramai juga belum merasai pengalaman menaiki bas dikenali dengan nama KL Hop-On-Hop-Off (HOHO) itu.

Persoalannya, apa yang menarik dengan KL HOHO ini?

KL HOHO ‘duta’ Kuala Lumpur

Tanpa disedari, KL HOHO telah beroperasi lebih 14 tahun.

Meniti usia perkhidmatan sepanjang itu, KL HOHO berjaya menjadi medium memperkenalkan ibu kota Kuala Lumpur kepada para pelancong dari dalam dan luar negara.

Orang ramai bukan sahaja boleh menikmati pemandangan sekitar Kuala Lumpur tetapi turut disajikan dengan fakta dan informasi mengenai bandaraya ini.

Untuk itu, KL HOHO sentiasa mencari kelainan dan memperbaiki mutu perkhidmatan kepada pengguna.

Terbaharu, KL HOHO memperkenalkan kembali lawatan atau tour waktu malam bagi memberi pengalaman berbeza kepada pelanggannya.

Selain cuaca lebih nyaman, tour di waktu malam juga memberi pemandangan berbeza dengan limpahan cahaya lampu warna-warni menara pencangkar langit.

Penumpang bakal dibawa mengelilingi bandaraya Kuala Lumpur dengan melalui beberapa lokasi tumpuan termasuk Saloma Link, Menara Kuala Lumpur, Sungai Kehidupan, Istana Negara, Dataran Merdeka, Little India, Petaling Street dan Pasar Seni.

Warga Malaysia boleh mencuba tour malam menaiki bas KL HOHO bagi merasai pengalaman luar biasa sebagai pelancong.

Rasai pengalaman menaiki KL HOHO

Terdapat pelbagai cara untuk orang ramai mendapatkan tiket bas KL HOHO.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan tiket secara dalam talian di beberapa platform termasuk www.myhoponhopoff.com dan www.klook.com.

Tiket juga turut dijual di kiosk KL HOHO yang terletak di Plaza Sungei Wang yang terletak di Bukit Bintang atau Malaysia Tourist Center, Kuala Lumpur.

Harga tiket bermula serendah RM24.00 (warganegara dewasa) dan RM15.00 (warganegara kanak-kanak).

Tour malam bermula pada jam 8.30 sehingga 10.30.

Jadi, sudah tahu apa aktiviti menarik untuk anda dan keluarga hujung minggu ini?

Rasai pengalaman tour malam di tengah ibu kota, Kuala Lumpur!