Arkib Tag: ayla

Perodua Axia: Antara nilai dan kemahuan pengguna – Pandu uji

PELANCARAN Perodua Axia 2023 menjadi fenomena sebentar kerana memandangkan ia kereta nasional, maka ia menjadi berita nasional. Dan semua orang mahu berbahas mengenainya, semua orang mahu beri pendapat.

Sama ada di kedai kopi, di group-group Whatsapp, atau di forum-forum media sosial, ia menjadi topik hangat. Banyak yang boleh dibualkan mengenai Perodua Axia serba baharu ini tetapi aspek paling ‘panas’ pastinya harga.

Ramai yang berkata Perodua Axia kini bukan lagi kereta marhaen atau kereta Rahmah. Mampu tengok sahaja, kata sesetengah pihak. Ini kerana jika dibandingkan dengan varian sama untuk Axia facelift generasi sebelum ini, terdapat perbezaan antara RM4,000 hingga RM6,000.

 

Hatchback segmen-A itu ditawarkan dalam empat varian dengan harga antara RM38,600 untuk G, hingga RM49,500 untuk AV.

Angka-angka ini merupakan pertambahan kira-kira 10 peratus secara purata setiap varian, dan Axia tidak lagi menjadi kereta baharu paling murah di Malaysia.

Jadi, kenapa sebenarnya harga Perodua Axia semakin mahal? Adakah faktor inflasi? Kenaikan harga barang? Atau agenda teori koperasi?

Analogi nasi lemak

Inilah antara tugas kami wartawan permotoran, untuk berkongsi maklumat dengan anda para pengguna. Kami tak mahu anda menyumpah setiap kali bayar ansuran bulanan.

Menurut Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, kenaikan harga itu adalah disebabkan saiz kereta yang lebih besar dan kelengkapan ciri lebih maju berbanding model sebelumnya.

Kita ambil nasi lemak sebagai analogi. Bayangkan setiap pagi anda beli di warung Makcik Kiah dengan harga RM2.00 sebungkus. Suatu hari, harganya naik kepada RM2.50. “Makcik, kenapa naik harga ni? Sebab kenaikan harga barang? Atau harga minyak?”

Makcik Kiah pun menjawab: “Sebab kita guna bahan lebih berkualiti. Beras yang lebih mahal, santan asli dan bukan santan segera, timun pun dari Cameron Highlands.” Ini sekadar contoh, penulis bukan pakar nasi lemak.

Jadi untuk Perodua Axia, jika anda lihat ‘kulit’ luarannya pun dah semakin sofistikated. Lampu depan LED sepenuhnya, muka depan ada corak ‘X’ identiti Perodua, lebih banyak lekuk-lekuk dan rekaan bersegi di hud depan, di pintu, malah bahagian belakang pun seperti ‘penyet’, bab kata netizen.

 

Rekaan lebih kompleks tidak bermakna cantik, jika anda tengok Formula 1 pun tidak cantik. Tetapi rekaannya nampak ada banyak usaha diperlukan dan ia cukup aerodinamik untuk menang perlumbaan.

Oh ya, rekabentuk Perodua Axia pun bukan saja-saja begitu, ia 10 peratus lebih aerodinamik berbanding Axia generasi lama. Apa yang anda dapat? Bukan piala Grand Prix, tetapi penjimatan minyak dalam jangka masa panjang.

Bagi penulis, rupa luaran ini cukup sesuai dengan imej Axia serba baharu. Cuma rim sahaja macam ‘kureng’, terlalu sama dengan model lama. Kalau guna rim 5-bilah dwi-tona, fuhhh. (Harap-harap Perodua baca dan ambil poin ini untuk facelift).

Kabin anti maksiat

Ruang dalaman juga baharu sepenuhnya. Anda akan dapat binaan papan pemuka seperti Ativa dan Alza, kerana Axia juga menggunakan pelantar DNGA yang digunakan oleh banyak model terkini dalam Pakatan Perodua-Toyota-Daihatsu.

Hasilnya, anda dapat kabin yang rasa sporti, rasa meyakinkan bila memandu, nampak canggih, dan langsung tidak nampak murah atau membosankan.

Penulis cukup suka rekaan konsol tengah yang sedikit tinggi, membuatkan kereta ini rasa lebih fokus kepada pemandu walaupun mungkin pasangan pelajar susah sedikit hendak berpegangan tangan. Baguslah. Jauhi maksiat dan lebih fokus pemanduan!

Skrin infotainmen tengah tidak didatangkan dengan Apple Carplay dan Android Auto, kerana menurut Perodua, sambungan ini belum cukup penting untuk kebanyakan pembeli Axia yang mahukan kereta mampu milik.

Tetapi masih ada fungsi Smart Link untuk anda paparkan kandungan skrin telefon ke sini.

Ruang belakang tidak jauh berbeza dengan Axia lama, tetapi ruang kaki terasa lebih luas untuk model baharu ini. Cuma penulis kurang suka dimana perehat kepala belakang boleh-laras hanya ada pada varian tertinggi.

Tetapi tempat duduk keseluruhannya sangat selesa dan lebih cantik juga dengan warna kelabu dan kontra merah di depan.

Pemanduan lebih berkualiti, harga mampu milik

Penulis ada menyebut mengenai pelantar DNGA atau Daihatsu New Global Architecture. Jangan pening-pening, apa yang anda perlu tahu ialah pelantar ini memberikan Axia satu pengalaman pemanduan lebih solid.

Walaupun baru keluar dua atau tiga simpang dan langgar beberapa lubang, anda akan dapat rasa betapa senyap dan kemasnya rasa Axia baharu ini. Bukan sebab kereta baru keluar kedai dan bushing semua baharu, tetapi kita semua pernah merasa pandu Axia dulu yang masih baharu kan, haaa pasti anda dapat rasakan bezanya.

Stereng pula bukan setakat terasa lebih tepat dan ada banyak ‘feel’, tetapi juga sudut stereng itu sendiri lebih ergonomik berbanding model lama.

Enjin pada Perodua Axia masih mengekalkan unit yang sama iaitu 1.0-liter VVT-i dengan 67hp dan 91Nm tork. Tetapi pengalaman memandu Axia 2023s ini jauh lebih baik berbanding model lama kerana penggunaan transmisi D-CVT baharu.

Dengan transmisi baharu ini sahaja Perodua Axia dapat lebih prestasi dan penjimatan. D-CVT merupakan kacukan antara CVT dengan torque converter, jadi ia tetap mempunyai gear fizikal yang digunakan pada kelajuan lebih tinggi untuk lebih respon dan penjimatan.

Dalam erti kata lain, kurang bunyi mengaum bila pedal tiba-tiba ditekan pada kelajuan 80km/j misalnya untuk memotong atau menukar lorong.

Pada kelajuan rendah, Axia baharu ini terasa lebih ringan dan mudah untuk bergerak walaupun menggunakan enjin yang sama.

Pengendalian Perodua Axia di selekoh juga lebih selesa dan meyakinkan, seolah-olah kereta ini relaks sahaja ambil selekoh laju. Kalau dengan Axia lama, ia seperti mengeluh, “Alamak apa yang tuan aku buat ni, perlahan la sikit, ini bukan kereta lumba…”

Tidak dengan Axia baharu ini. Casisnya dirasakan mampu menampung lebih dari pemanduan biasa, sebagai contoh anda tukar tayar prestasi, masuk suspense sports, dan roll-cage untuk dijadikan kereta litar, misalnya.

Untuk penjimatan, Perodua berkata Axia 2023 boleh mendapat sehingga 27km per liter (bergantung kepada varian). Tetapi dalam dunia sebenar, anda senang-senang dapat 14km per liter jika diambil kira pandu laju, perlahan, dan dalam trafik.

Jika anda baru reset onboard komputer pada kelajuan sekitar 90km/j, boleh dapat kira-kira 20 hingga 21km per liter.

Boleh beli?

Mungkin kurang tepat jika kami tanya adakah Perodua Axia ini berbaloi untuk dibeli. Ini kerana tidak banyak pilihan yang anda ada untuk kereta mampu milik segmen-A, dan Axia baharu tetap menggantikan model lama.

Cuma kita sebagai pengguna di tahun 2023, haruslah berfikiran seperti 2023. Fahami produk itu, fahami kenapa ia semakin mahal. Bayangkan Perodua Axia segmen-A dah ada ciri seperti lampu LED automatik, ASA (Advanced Safety Assist) 3.0 dengan Pre-Collision Braking contohnya.

Perkara-perkara ini semestinya tidak kita bayangkan semasa pengenalan Axia pada tahun 2014 dahulu. “Takkanlah kereta bawah RM50,000 ada sistem mampu brek sendiri,” kan?

Jadi, anggap sahaja rakyat Malaysia kini mampu memiliki kereta yang canggih, lebih selamat, dan berikan anda nilai lebih tinggi.

Spesifikasi Perodua Axia 1.0 AV

Harga: RM49,500
Enjin: 1.0-liter 3-silinder VVT-i
Kotak gear: D-CVT
Kuasa: 67hp @ 6,000rpm
Tork: 91Nm @ 4,400rpm

Pemalsuan ujian perlanggaran Daihatsu: Pensijilan Perodua Axia tetap sah

DAIHATSU Co. Ltd telah mengeluarkan kenyataan media pada 28 April berhubung ‘ketidakaturan prosedur’ ujian membabitkan empat model termasuklah Perodua Axia 2023.

Susulan itu, pengeluar automotif kedua negara, Perodua hari ini telah mengeluarkan satu kenyataan media berkenaan hal itu.

Menurut Perodua, Daihatsu Co. Ltd telah dilantik dan dipertanggungawabkan untuk menjalankan ujian keselamatan bagi Axia 2023 di Jepun dan telah disaksikan oleh pihak berkuasa dan agensi yang relevan bagi tujuan penilaian pihak yang terbabit.

“Sebaik sahaja kami menerima berita mengenai ‘ketidakaturan prosedur’ oleh Daihatsu, kami telah menghubungi pihak terbabit serta merta untuk mengenalpasti sama ada standard keselamatan Perodua Axia baharu turut terjejas atau sebaliknya.

“Kami telah diberi jaminan bahawa pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada Perodua Axia model baharu tetap sah dan diperakui walaupun Daihatsu membuat pendedahan sedemikian,” kata kenyataan itu.

Ini bermakna, Perodua Axia 2023 adalah selamat untuk dipandu dan tiada panggilan semula akan dibuat oleh syarikat itu. Perodua juga tidak akan menghentikan penghantaran kenderaan model baharu ini kepada pelanggan.

“Kami memohon maaf di atas segala kekeliruan yang berlaku kepada para pelanggan berhubung perkara ini dan kami memberi jaminan bahawa segala maklumat keselamatan dan spesifikasi semua model kenderaan Perodua adalah diperakui badan profesional.”

Perodua juga menambah bahawa mereka akan terus memantau situasi ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai.

“Perodua sentiasa mengutamakan keselamatan dan keselesaan para pelanggan dan akan terus berbuat demikian sebagai sebahagian daripada amalan kami dalam menjangkaui setiap jangkaan,” tambahnya.

Media semalam melaporkan bahawa Daihatsu mengaku akan ‘kesalahan’ dalam ujian keselamatan perlanggaran yang dibuat untuk pematuhan piawaian melibatkan empat model.

Ini merangkumi Perodua Axia 2023, Toyota Vios (dikenali sebagai Yaris Ativ di beberapa pasaran seperti Thailand), Toyota Agya, dan sebuah model yang belum dilancarkan.

Pertama dalam dunia, Perodua Axia akan jadi model pertama dilancar sebelum Agya dan Ayla

MINGGU lepas, kami laporkan mengenai spesifikasi Perodua Axia yang bocor, mendedahkan empat varian untuk model kompak itu akan diperkenalkan. Kesemuanya akan menggunakan kotak gear automatik (D-CVT), bermakna tiada lagi model manual untuk Axia 2023.

Dalam perkembangan terbaharu, Axia dilaporkan bakal menjadi model pertama dari trio Axia-Ayla-Agya untuk dilancarkan. Menurut rakan media kami di Paultan.org yang memetik Autonetmagz, Ayla akan diperkenalkan sebelum Indonesia International Motor Show (IIMS) pada pertengahan Februari.

Sumber lain pula memberitahu Autonetmagz bahawa Agya akan tiba pada Mac. Tetapi Axia akan menjadi model pertama dilancar, iaitu sebelum IIMS 2023.

Model kompak ini dibina pada pelantar Daihatsu New Global Architecture (DNGA), iaitu platform sama yang menjadi ‘tulang’ kepada Perodua Ativa (kembar kepada Rocky dan Raize).

Berbalik kepada spesifikasi, menurut maklumat yang bocor itu, Perodua Axia D74A akan hadir dengan varian G, X, SE dan AV, dan kesemuanya dipacu oleh enjin 1.0-liter. Tiada enjin turbo seperti yang diura-urakan sebelum ini.

Sumber gambar: Youtube Theophilus Chin

Perincian Perodua Axia 2023 D74A terdedah, D-CVT sahaja, tiada turbo?

Jika anda mengikuti perkembangan industri automotif tempatan, anda pasti tahu bahawa Perodua Axia baharu 2023 dijangka dilancarkan tahun ini.

Toyota Agya GR Sport hadir dengan rekaan lebih sporty. – Foto ihsan Toyota

Hatchback segmen-A dengan namakod D74A itu diasaskan dari duo Toyota Agya dan Daihatsu Ayla yang dijual di pasaran Indonesia.

Baru-baru ini, sebuah akaun Tiktok @promosiprotonperodua telah berkongsi video mengenai dokumen perincian spesifikasi Axia D74A itu.

Menurut video itu yang mula dikongsi oleh rakan-rakan media kami dan beberapa forum di Facebook, Axia 2023 akan ditawarkan dengan empat varian iaitu G, X, SE dan AV, kesemuanya menggunakan enjin 1,000cc atau 1.0-liter dan kotak gear CVT, seperti disenaraikan dalam jadual pertama.

Ini menunjukkan tiada varian turbo seperti yang diwar-warkan beberapa bulan lepas. Penyenaraian itu juga menunjukkan tiada lagi transmisi manual dalam varian Axia 2023. Tetapi kami percaya transmisi CVT yang akan digunakan itu adalah D-CVT yang turut digunakan pada Ativa, Myvi dan Alza baharu.

Jadual kedua pula membariskan pilihan warna, iaitu satu warna solid (Ivory White) dan empat warna metalik (Glittering Silver, Granite Grey, Lava Red, dan Coral Blue).

Buat masa ini, Perodua Axia ditawarkan dengan enam varian bermula pada RM23,367 untuk 1.0 E Manual sehingga RM41,427 bagi 1.0 AV AT.

Perodua Axia

Memandangkan Axia 2023 tidak akan ditawarkan dengan pilihan manual, kami jangkakan model D74A itu akan bermula pada harga sekitar RM32,000 iaitu lebih kurang dengan 1.0 G AT sekarang.

Sebelum ini, kami mengatakan mungkin Axia akan mendapat varian berkuasa turbo memandangkan Agya dan Ayla di Indonesia dikhabarkan mendapat pilihan 1.0-liter turbo dan 1.2-liter NA.

Apa pendapat anda? Kita harus faham bahawa Axia merupakan model mampu milik dari Perodua dan meletakkan turbo akan meningkatkan harga dan kos penyelenggaraannya, tetapi jika ditawarkan sebagai varian teratas dengan harga menyamai Myvi, adakah terlalu mustahil?

Perodua Axia Turbo? Ini 5 perkara anda wajib tahu

BAIK, sebelum anda semua teruja memecahkan tabung untuk deposit Axia Turbo, mari kita ketahui dulu beberapa perkara.

Daihatsu Ayla (kiri) dan Toyota Agya. Gambar oleh: MUF

1. Pengganti Perodua Axia nanti akan diasaskan dari duo Toyota Agya dan Daihatsu Ayla. Kedua-dua model LCGC (Low Cost Green Car) ini telah berusia sembilan tahun sejak mula diperkenalkan pada 2013.

Menurut satu sumber yang memaklumkan kepada Otodriver, model pengganti akan tiba di Indonesia sekitar suku pertama tahun depan. Ini bermakna Perodua Axia serba baharu juga akan menyusul tidak lama kemudian.

2. Model baharu Agya/Ayla itu akan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan dikatakan bakal mendapat pilihan enjin 1.0-liter turbo dan 1.2-liter naturally-aspirated (NA).

3. Jika benar, Ayla dan Agya generasi seterusnya akan menjadi model pertama LCGC yang mendapat enjin turbo.

Prototaip konsep Daihatsu Alya Turbo yang dipamerkan pada GIIAS 2018. Gambar oleh: Facebook

4. Enjin 1.0-liter turbo 3-silinder tersebut berkuasa 98PS dan 140Nm tork, manakala enjin 1.2-liter NA mempunyai output 88PS dan 112Nm tork. Terdapat kemungkinan Axia juga mendapat pilihan enjin 1.0-liter turbo.

5. Enjin-enjin yang dikongsi dengan Toyota Raize dan Daihatsu Rocky itu mempunyai gandingan transmisi manual 5-kelajuan atau automatik D-CVT. Besar kemungkinan tiada pilihan manual untuk Axia, sebaliknya hanya D-CVT seperti Ativa, Myvi dan Alza 2022.

Apa pendapat anda mengenai perkembangan setakat ini? Bayangkan jika Perodua Axia baharu mendapat padanan enjin dan transmisi yang sama dengan Ativa, pasti makin sporti pemanduannya.

Barulah “tekan, tekan pergi!”.