Arkib Tag: automatik

Toyota bangunkan transmisi manual untuk EV, boleh sampai 14 gear!

TOYOTA akan membawakan kotak gear manual simulated (maya) untuk kenderaan elektriknya (EV). Tetapi nampaknya ia akan menjadi agak menyeronokkan, kerana ianya tidak akan terhad kepada enam atau tujuh kelajuan sahaja.

Dalam satu permohonan paten yang diterbitkan beberapa hari lepas, ia menunjukkan tiada had untuk berapa banyak ‘gear’ transmisi itu boleh punyai.

Imej-imej yang diterbitkan bersama dokumen teknikal menunjukkan ia boleh mempunyai sehingga 14 gear. Bagaimana pula cara ia berfungsi? Toyota juga ada berikan penerangan.

Paten itu menunjukkan banyak perincian berkenaan sistem ini. Senang kata, pemandu akan boleh memilih berapa banyak nisbah gear pun yang mereka mahu.

“Jumlah peringkat gear maya boleh menjadi enam atau lebih, atau kurang dari enam,” tulis dokumen itu. “Pemandu akan dapat memilih bentuk yang dimahukan mengikut kehendak mereka.”

Tetapi Toyota tidak menjelaskan apa-apa sistem elektro-mekanikal yang akan membentuk lorong gear fizikal.

Sebaliknya, akan ada jumlah tetap berapa gear, kemungkinan enam tetapi Toyota menggunakan empat sebagai contoh. Gear dimasukkan seperti manual biasa, walaubagaimanapun tombol gear akan kembali ke tempat asal selepas digunakan.

Kemudian, semasa pemandu menukar gear, bentuk laluan maya bertukar kepada set nisbah seterusnya. Jadi sekiranya ada corak enam gear dan gear keenam dipilih, suatu paparan akan menukar nisbah yang membolehkan pemandu menukar kepada gear tujuh dan seterusnya, atau turun ke gear lima dalam set yang sama.

Mengelirukan? Sebenarnya susunan ini lebih kurang gear manual lori treler, jadi geng Pilot Darat pasti mudah faham.

Apa pun, mesti ada sebab kenapa pengeluar kereta tidak menawarkan gear manual dengan nisbah gear terlalu banyak. Kotak gear 14-kelajuan tidak praktikal dengan enjin pembakaran dalaman.

Tetapi untuk EV, lain pula ceritanya. Toyota berpendapat apa salahnya memberikan lebih banyak pilihan kepada pembeli.

Toyota GR Yaris bakal dapat lebih kuasa, tapi auto!

TOYOTA dilaporkan sedang membangunkan versi lebih berprestasi untuk GR Yaris yang sudah cukup mantap. Menurut Motor1 yang memetik majalah Best Car, hatchback AWD itu akan diperkenalkan dengan versi baharu lebih berkuasa pada musim luruh ini, bermakna dalam masa terdekat.

Ia juga dikatakan bakal mendapat reka bentuk yang lebih ‘segar’ berbanding versi mula dilancarkan pada 2020. Menurut sumber tadi, enjin 1.6-liter 3-silinder turbo itu akan ditala supaya menjana 300hp dan 370Nm tork.

Tetapi pembaharuan yang paling mendapat perhatian ialah penawaran kotak gear baharu untuk GR Yaris 2024, iaitu automatik! Ya, Toyota akan memberikan kotak gear automatik 8-kelajuan baharu, malah prorotaipnya telahpun dipertontonkan pada Mac 2022 lalu.

Laporan mengatakan kotak gear itu bakal dilengkapi dengan paddle-shifter dan “lock-up system” baharu, bermakna ianya torque-converter dan bukan dwi-klac.

Pembaharuan lain termasuklah brek dan suspensi yang ditala semula, berserta ketegaran badan yang dipertingkatkan. GR Yaris ini juga akan mendapat bampar dan spoiler belakang lebih besar.

Di bahagian dalam pula, skrin tengah adalah dari GR Corolla, walaupun kita tidak memerlukannya dalam model sebegini.

Apa pendapat anda mengenai GR Yaris automatik? Adakah ianya menjadikan hatchback ini kurang ‘umph’ atau lebih baik kerana lebih ramai dapat menikmatinya?

Pendapat kami, model istimewa seperti Toyota GR Yaris patut dikekalkan dengan manual 6-kelajuan. Tetapi mungkin juga Toyota mahu melihat sejauh mana had GR Yaris ini dengan transmisi baharu.

Toyota sedang bangunkan GR Yaris dengan transmisi automatik 8-kelajuan

TOYOTA dilaporkan telah membuat ujian transmisi automatik lapan-kelajuan untuk GR Yaris. Naib Pengerusi Toyota Motor Corporation, Shigeru Hayakawa turut terlibat sebagai pemandu pembangunan bagi transmisi baharu ini.

GR Yaris dengan nombor 109 dilaporkan telah menyertai Toyota GAZOO Racing Rally Challenge pusingan satu di Akitakata, Jepun pada 13 Mac lalu.

Transmisi automatik ini merupakan rekaan baharu sepenuhnya dengan lapan kelajuan menggunakan torque converter.

Pertukaran transmisi pula menggunakan gear planetary yang mana nisbah gearnya telah diletakkan secara bersilang.

Transmisi automatik yang dibangunkan ini tidak hanya memfokuskan kepada penjimatan bahan api malah turut memberikan pengalaman menyeronokkan dalam pertukaran gear yang pantas dan selesa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Toyota Akio Toyoda, GR Yaris pada asalnya merupakan sebuah kereta sports dengan transmisi manual.

“Akan tetapi transmisi automatik baharu yang digunakan dalam perlumbaan tersebut turut memberikan aksi yang kompetitif.

“Mungkin penggunaan transmisi automatik pada hadapan akan lebih baik berbanding manual,” tambahnya lagi.

Transmisi baharu lapan kelajuan ini boleh menukar gear menggunakan paddle shift namun menurut pasukan pembangunan projek ini, matlamat utama mereka adalah untuk memastikan pertukaran gear lebih pantas pada posisi D semata-mata.

Ford bangunkan transmisi manual tanpa perlu tekan klac

FORD kini sedang membangunkan sistem klac elektronik yang akan membolehkan pemandu “menukar gear” tanpa menekan pedal klac.

Idea asasnya ialah sistem untuk penukaran gear tanpa sambungan fizikan antara pedal klac, silinder utama, bearing throw-out, dan pelbagai komponen lain. Segala sambungan ini akan digantikan dengan pengesan atau sensor.

Menurut artikel Muscle Cars & Trucks, transmisi manual ini akan serupa dengan unit pada Ford Mustang dan Bronco dengan hanya dua perbezaan utama.

Pertamanya, walaupun masih mempunyai pedal klac, ia tidak akan bersambung dengan apa-apa melainkan pengesan dan aktuator.

Perbezaan lain adalah tombol gear itu sendiri akan mempunyai pengesan terbina dalam, yang mana apabila digunakan oleh pemandu, akan memutuskan klac bila ia digerakkan. Jadi anda boleh menukar gear tanpa perlu menekan pedal klac dengan kaki kiri.

Walaubagaimanapun, akan terdapat juga cara untuk ‘melawan’ sistem ini. Anda masih boleh gunakan klac untuk mula memecut kenderaan seperti atau untuk pemandu tegar menggunakannya seperti biasa.

Terdapat banyak kenderaan hari ini dengan dilengkapi transmisi manual yang juga didatangkan dengan fungsi anti-stall dan rev-matching.

Menariknya, fungsi-fungsi ini boleh dinyahaktifkan, dan kami yakin transmisi baharu yang dibangunkan Ford ini juga akan mempunyai ciri sama.

Sebuah transmisi manual moden yang mudah digunakan tetapi masih mempunyai ciri old-school.

Berminat cari kereta transmisi manual dengan harga mampu milik? Boleh tengok senarai kami di bawah:

DSG jimat bahan bakar, lebih praktikal

PERKEMBANGAN teknologi automotif seantero dunia berjaya menghasilkan pelbagai jenis enjin kenderaan yang canggih selain memenuhi cita rasa pengguna.

Hal ini dapat dilihat berdasarkan beberapa jenis enjin yang muncul bermula daripada sistem manual, automatik dan sehingga CVT (Continuously Variable Transmission).

Tidak dinafikan, enjin kenderaan menggunakan transmisi manual mempunyai kelebihan tersendiri terutama dalam penjimatan bahan api.

Bagaimanapun, penggunaan enjin transmisi manual semakin dilupakan dalam kalangan pengguna memandangkan ia agak rumit untuk dikendalikan apatah lagi ketika jalan raya sesak.

Ramai mula beralih arah menggunakan enjin automatik namun, terpaksa berdepan sedikit peningkatan kos bahan api.

Berdasarkan kedua-dua ‘permasalahan’ ini, maka satu ciptaan enjin telah dihasilkan bagi mencapai kelebihan yang ada pada enjin jenis manual atau automatik.

Penciptaan Enjin DSG

Direct Shift Gearbox atau DSG telah dihasilkan bagi mendapatkan kelebihan terdapat pada enjin manual dan automatik.

Secara bahasa mudah, DSG adalah kenderaan mempunyai kotak gear manual yang ditukar menjadi automatik.

Ketika DSG diperkenalkan oleh Porsche pada 1980-an, ramai beranggapan gear yang dihasilkan agak ‘kasar’ ketika dikendalikan.

Seiring perkembangan automotif, DSG kini lebih ‘lembut’ dana mat selesa dikendalikan ketika memandu.

Mengimbas semula sejarah penggunaan DSG, ia telah lama digunakan dalam perlumbaan rally.

Pada tahun 2000, sistem ini kemudian diperluaskan dalam pasaran komersial.

Mengapa DSG lewat dikomersialkan?

Kos yang mahal menjadi punca utama DSG lewat dikomersialkan. Selain itu, pembuatan DSG adalah lebih rumit berbanding enjin transmisi manual atau automatik.

Walau begitu, penggunaan DSG kian diperluaskan selepas banyak pengeluar kenderaan mendapati penggunaan DSG lebik praktikal.

Jika dibandingkan dengan transmisi automatik, DSG dapat menjimatkan bahan bakar lebih 15 peratus!

Terdapat beberapa sebab mengapa hal ini berlaku iaitu:

1) DSG boleh boleh beroperasi pada RPM tinggi tanpa perlu memutuskan sambungan antara sistem dual clutch dan enjin
2) Tiada masalah power loss ketika enjin melakukan penukaran
3) Tork yang dihasilkan oleh enjin dihantar terus pada transmisi tanpa gangguan

Sistem ini bagaimanapun ada keburukannya. Selain sukar dihasilkan ia juga terlalu kompleks sekaligus memakan kos yang tinggi.