Arkib Tag: Atto 3

BYD Atto 3 dikemas kini untuk 2024 – Logo belakang baharu, RM149,800

BYD Atto 3 boleh dikatakan sebuah model elektrik (EV) yang masih baharu dalam pasaran. Tetapi Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi telah memperkenalkan BYD Atto 3 2024 yang dikemas kini.

Antara pembaharuan bagi Atto 3 ini adalah dari segi rupa luarannya. SUV EV ini mendapat grafik hitam baharu pada tiang-D, dan logo BYD di belakang yang menggantikan tulisan “BUILD YOUR DREAMS” sebelum ini.

Kemudian, bahagian kabinnya boleh dipilih dengan dua tema warna iaitu Black-Dark Blue atau Dark Blue-Light Grey, mengikut selera anda. Terdapat juga tambahan warna badan Cosmos Black baharu, selain warna sedia ada.

Untuk aspek teknologi pula, BYD Atto 3 2024 dilengkapi pengecas tanpa-wayar dan skrin lebih besar 15.6-inci (sebelum ini 12.8-inci) yang masih boleh diputar. Sambungan Android Auto dan Apple Carplay masih ditawarkan seperti biasa.

Tiada perubahan untuk sistem janaan kuasa. Bermakna Atto 3 masih dipacu motor elektrik di depan dengan output 201hp dan 310Nm, cukup untuk pecutan 0-100km/j dalam 7.9 saat.

Motor elektrik ini mendapat kuasanya dari bateri LFP (lithiup iron phosphate) yang memberikannya jarak pemanduan 345km (kitaran WLTP).

BYD Atto 3 menyokong pengecasan AC 7kW dan DC sehingga 70kW, selain fungsi V2L.

EV ini ditawarkan hanya dalam satu varian untuk 2024, dengan harga RM149,800. Anda juga boleh memilih tiga pakej jaminan antara 6-tahun/150,000km hingga 8-tahun/150,000km.

BYD Atto 3 edisi terhad ulang tahun – 500 unit sahaja, RM173,800

SETAHUN lalu, BYD menandakan kemasukannya ke pasaran kenderaan elektrik tempatan menerusi pelancaran BYD Atto 3.

Bagi meraikan ulang tahun itu, Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi BYD baru-baru ini menganjurkan satu majlis istimewa sebagai tanda penghargaan kepada para pemilik BYD atas sokongan mereka.

Apa yang lebih menarik, acara tersebut turut menyaksikan kemunculan Atto 3 edisi terhad ulang tahun yang tampil lebih bergaya dengan kit badan eksklusif.

Ia menggunakan varian Extended Range sebagai asas dan pengeluarannya terhad kepada 500 unit sahaja. Hanya dua warna luaran ditawarkan untuk model ini iaitu Boulder Grey dan Ski White.

Tidak kira warna apa yang dipilih, model edisi terhad ini didatangkan dengan lip bampar depan, spoiler depan, panel bampar depan, spoiler belakang dan diffuser belakang.

Bukan itu sahaja, bingkai tingkap, perumah cermin sisi dan panel tiang C pula dicat warna hitam untuk memberikan EV ini penampilan yang lebih garang.

Tiada sebarang penambahbaikan pada trenkuasa, bermakna seperti Atto 3 Extended Range versi standard, model ini mempunyai motor elektrik pada gandar depan yang menjana 204 PS dan 310 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.3 saat.

Varian ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 60.48 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 480 km dengan satu cas penuh. Pengecasan 0-80 peratus mengambil masa kira-kira 45 minit dengan pengecasan pantas DC 80 kW.

Harga jualan BYD Atto 3 edisi terhad ulang tahun bermula dari RM173,800. Untuk perbandingan, Atto 3 Extended Range berharga RM167,800 ketika dilancarkan.

Nak lawat ibu pejabat BYD di Shenzhen? Ini peluang anda!

BYD dan Sime Darby Motors telah melancarkan kempen ‘Explore Shenzhen with BYD’ di mana pelanggan BYD di Malaysia berpeuang untuk memenangi lawatan eksklusif ke ibu pejabat pengeluar EV itu di Shenzhen, China.

Kempen ini menyediakan peluang kepada pemilik BYD untuk mengalami sendiri kemajuan teknologi dan menyelami perjalanan inovatif syarikat itu.

Pelanggan yang telah membeli kereta BYD dan menerima kereta mereka dalam tempoh peraduan akan layak secara automatik untuk kempen ini.

Pemilihan pemenang akan dibahagikan kepada dua tempoh bulanan seperti berikut:

  • Tempoh 1: 1 November 2023 hingga 30 November 2023
  • Tempoh 2: 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2023

Tiga pemenang bertuah akan dipilih secara rawak bagi setiap tempoh bulanan dan pemenang akan dimaklumkan menerusi panggilan telefon dan/atau e-mel pada bulan berikutnya.

Setiap pemenang akan mendapat pakej lawatan berbayar sepenuhnya untuk dua orang ke ibu pejabat BYD di Shenzhen bernilai sehingga RM15,000.

Untuk maklumat lanjut, layari http://byd.simedarbymotors.my/ atau ikuti laman Facebook atau Instagram BYD Cars Malaysia. Untuk pertanyaan, hubungi talian 1300-38-1888.

BYD Atto 3 capai 500,000 unit pengeluaran selepas 19 bulan di pasaran

BYD baru-baru ini meraikan pencapaiannya mencatat pengeluaran yang ke-500,000 unit Atto 3 di kilangnya di Hefei, hanya 19 bulan selepas model itu dilancarkan ke pasaran.

Sebagai model pertama yang dibangunkan untuk pasaran global, Atto 3 telah menjadi kenderaan tenaga baharu (NEV) terlaris di beberapa negara termasuk Singapura, New Zealand, Thailand, Israel dan Sweden.

Setakat hari ini, BYD beroperasi di lebih 50 buah negara. Atto 3 muncul sebagai NEV terlaris di Israel selama sembilan berturut-turut dan ia kini merupakan kenderaan elektrik tulen paling laku di Thailand sehingga Ogos 2023.

Menurut BYD, pencapaian ini menggariskan pertumbuhan pengaruh syarikat itu dan kejayaannya dalam pasaran automotif di peringkat global.

Dibina menggunakan e-Platform 3.0, Atto 3  menampilkan bahasa reka bentuk ‘Dragon’s Face’ yang menggabungkan elemen kebudayaan China yang berabad lamanya dengan elemen global kontemporari.

Nadi utama Atto 3 sudah tentulah bateri Blade BYD yang menawarkan keselamatan dan jarak pandu yang jauh. Di Malaysia, Atto 3 boleh didapati dengan bateri berkapasiti 49.92 kWj untuk Standard Range dan 60.48 kWj untuk Extended Range, dengan jarak pandu sehingga 480 km.

Gabungan reka bentuk menonjol dan teknologi canggih ini membolehkan BYD merangkul pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa termasuk 2022 New Zealand Car of the Year dan VAB Electric Family Car of the Year di Belgium.

Aspek keselamatan model ini juga tidak kurang hebatnya dengan penarafan lima bintang dari Euro NCAP.

BYD Atto 3 laku keras, 1000 unit diserahkan dalam 100 hari

NAMPAKNYA kenderaan elektrik (EV) dari China iaitu BYD Atto 3 menerima sambutan yang menggalakkan daripada pembeli di Malaysia.

Menurut pengedar rasmi jenama BYD iaitu Sime Darby Motors, mereka telah berjaya memecahkan rekod dengan penyerahan 1,000 unit Atto 3 dalam masa hanya 100 hari.

Detik bersejarah ini telah diraikan bersama 1,000 pemilik pertama BYD di Malaysia dalam satu majlis penyerahan besar-besaran yang pertama seumpamanya di Stadium Negara Bukit Jalil baru-baru ini.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Hong Kong dan Macau, berkata sambutan ini menandakan satu mercu jaya penting dalam pemasaran EV di Malaysia dan ia mencerminkan tahap populariti dan penerimaan EV yang semakin meningkat di negara ini.

“Kami sukacita untuk mengekalkan momentum penyerahan BYD ATTO 3 kami kepada pelanggan, dan hari ini merupakan satu majlis yang bertujuan meraikan semua pemilik kereta baharu. Kami akan terus memacu pertumbuhan permintaan EV di seluruh segmen pasaran kami,” katanya.

Sementara itu, Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd dan PT BYD Motor Indonesia berkata, “Kami berharap para pemilik BYD menikmati pengalaman unik bersama kami pada hari ini dan kami akan terus berusaha membawakan teknologi tenaga dan produk tenaga baharu di Malaysia pada masa depan.”

Bersempena dengan kejayaan menyerahkan kenderaan baharu, BYD baru-baru ini membuka bilik pameran terbaharunya di Gurney Plaza, Pulau Pinang.

Bilik pameran ini menyediakan ruang yang selesa seluas 1,500 kaki persegi, serta stesen pengecasan percuma di tingkat 6 bangunan tersebut. Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh mengambil kesempatan dengan memandu uji Atto 3.

Pusat perkhidmatan lepas jualan BYD pula terletak di Sungai Pinang, hanya 6 km dari bilik pameran tersebut. Kemudahan berkeluasan 20,000 kaki persegi ini menyediakan alat ganti, serta perkhidmatan membaiki dan mengecat.

BYD Atto 3 masuk pasaran Malaysia – harga dari RM149,800

Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi kenderaan elektrik BYD di Malaysia telah melancarkan model pertamanya iaitu Atto 3 untuk pasaran tempatan. 

SUV elektrik itu ditawarkan dalam dua varian iaitu Standard Range dan Extended Range, dengan harga masing-masing bermula dari RM149,800 dan RM167,800.

Atto 3 didatangkan dengan waranti pengeluar selama enam tahun atau 150,000 km, waranti bateri untuk lapan tahun atau 160,000 km dan waranti motor elektrik untuk lapan tahun atau 150,000 km.

Varian Standard Range dilengkapi dengan bateri berkapasiti 49.92 kWh, membolehkan ia dipandu sejauh 410 km dengan satu cas penuh. Sementara itu, varian Extended Range yang mempunyai bateri 60.48 kWh pula menawarkan jarak gerak sehingga 480 km.

Dengan motor elektrik berkuasa 203 hp dan 150 Nm, Atto 3 boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat. Kelajuan maksimum tidak dinyatakan.

Untuk pengecasan, Atto 3 menyokong pengecasan AC sehingga 7 kW. Ia juga boleh menampung pengecasan pantas DC dengan kapasiti sehingga 70 kW untuk Standard Range dan 80 kW untuk Extended Range.

Untuk pasaran Malaysia, Atto 3 boleh didapati dalam lima warna iaitu Surf Blue, Ski White, Boulder Grey, Forest Green dan Parkour Red.Standard Range menggunakan rim 17 inci dengan tayar 215/60, manakala Extended Range dengan rim 18 inci dan tayar 215/55.

Masuk ke dalam, terdapat kluster instrumen digital berukuran 5 inci, skrin sentuh 10.25 inci yang boleh dipusing, bumbung suria panoramik dan pengecas tanpa wayar. Menurut Sime Darby, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar akan tersedia mulai suku kedua 2023.

Sistem keselamatan merangkumi enam beg udara, brek parkir elektronik, sistem pemantau tekanan tayar, monitor 360 darjah dan ADAS.

Sime Darby Motors Malaysia dilantik jadi pengedar kenderaan elektrik BYD

SIME Darby Motors (SDM) Malaysia bahawa mereka telah menandatangani perjanjian pengedaran dengan pengeluar kenderaan tenaga baharu terkemuka, BYD. Kerjasama ini menyaksikan kemasukan kenderaan elektrik penumpang berjenama BYD ke pasaran Malaysia.

Majlis tandatangan perjanjian pengedaran dihadiri oleh Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia dan Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd dan PT. BYD Motor Indonesia.

Ia turut disaksikan oleh Andrew Basham, Pengarah Urusan Sime Darby Motors dan Liu Xueliang, Pengurus Besar Divisyen Jualan Auto BYD Asia Pasifik.

“Selaras dengan komitmen kami untuk menggalakkan penggunaan EV di kalangan rakyat Malaysia, kami mengalu-alukan kedatangan BYD ke barisan jenama-jenama berkelas dunia kami. Kerjasama ini akan membawa kepakaran BYD ke pasaran Malaysia menerusi rangkaian model EV yang meluas dan merupakan salah satu langkah yang diambil oleh Sime Darby Motors untuk menjadi peneraju dalam segmen EV,” kata Andrew Basham.

Liu Xueliang berkata, “Malaysia adalah pasaran utama untuk pengembangan kami kerana ada peluang yang luas untuk ekosistem EV untuk terus berkembang. Dengan rekod yang terbukti dalam sektor automotif di rantau Asia Pasifik, kami berharap kerjasama dengan Sime Darby Motors dapat memenuhi permintaan EV yang semakin meningkat di Malaysia.”

Menerusi kerjasama ini, SDM akan bertindak sebagai pengedar dua model keluaran BYD iaitu Atto 3 dan e6. Dibina di atas e-Platform 3.0, Atto 3 merupakan sebuah crossover elektrik yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 420 km mengikut kitaran WLTP.

BYD e6

Ia juga menyokong fungsi pengecasan pantas sehingga 88 kW, yang boleh mengecas kapasiti bateri dari 30 hingga 80 peratus dalam hanya 29 minit.

Sementara itu, e6 pula merupakan sebuah MPV elektrik yang boleh dipandu sejauh 522 km dengan satu cas penuh. Model ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 82 kWh yang mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit untuk mencapai pengecasan penuh.