BYD Atto 3 2025 dikesan di China – wajah baharu dan ADAS yang dinaik taraf


BYD Atto 3 model tahun 2025 telah dikesan sedang menjalani ujian jalan raya di China, di mana ia dijual sebagai Yuan Plus.
Menurut CarNewsChina, Atto 3 akan tampil dengan bahagian luaran dan sistem bantuan pemandu yang dikemas kini. Ia dijangka dilancarkan ke pasaran negara itu sekitar suku kedua tahun ini.
Ini bukan kali pertama dunia melihat Atto 3 2025 – Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China sebelum ini telah pun mendedahkan sepenuhnya reka bentuk SUV elektrik itu dan sebab itulah hanya sebahagian kecil kereta itu masih dilindungi pelekat penyamaran.
Seperti yang boleh dilihat, Atto 3 kini mendapat ‘wajah’ yang lebih segar dengan rekaan bampar lebih sporty dan liang ambilan udara trapezoid yang lebih besar.
Bahagian sisinya menunjukkan kemasan krom baharu pada tiang C dan bahagian bawah badan. Di belakang, bampar diberikan sentuhan semula namun apa yang lebih ketara di sini adalah spoiler bumbung baharu yang menempatkan sepasang lampu brek.
Untuk 2025, Atto 3 akan ditawarkan dalam satu warna baharu iaitu beige, manakala pilihan warna sedia ada iaitu putih, hitam, ungu, biru, hijau dan kelabu dijangka dikekalkan.
Selain itu, Atto 3 baharu dilihat mempunyai kamera baharu pada bampar depan, menunjukkan bahawa sistem ADAS-nya telah dipertingkatkan.
Tiada sebarang perubahan untuk trenkuasa. Di Malaysia, Atto 3 boleh didapati dalam varian tunggal Extended Range yang dilengkapi dengan motor elektrik gandar depan dengan 204 PS/310 Nm, dan bateri Blade LFP berkapasiti 60.48 kWj yang menawarkan jarak sejauh 480 km (NEDC).

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.