Arkib Tag: ATM

Banjir: ATM terima peruntukan RM10 juta untuk pembelian bot getah dan lori 7 tan

KERAJAAN meluluskan peruntukan sekali beri (one-off) sebanyak RM10 juta kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi pembelian aset dan persediaan menghadapi kejadian banjir pada masa akan datang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peruntukan tersebut diluluskan pada mesyuarat pasca-Kabinet pada Jumaat.

Beliau berkata, antara aset bakal dibeli adalah lori tujuh tan dan bot getah yang boleh memudahkan usaha menyelamat mangsa banjir terperangkap terutamanya di kawasan cetek.

Bot tempur yang digunakan ATM. Gambar oleh: OneNews

“Sekarang ini ATM menggunakan bot tempur dan kita memerlukan bot getah yang digunakan komando dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Ini adalah persediaan untuk kita menghadapi ancaman bukan tradisi dan melengkapkan aset dalam memberi bantuan menyelamat dalam situasi seperti ini (banjir),” katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman, di Segamat, pada Sabtu.

Mohamad berkata, pandangan daripada pihak berkaitan termasuk ATM akan diambil kira bagi mengenal pasti keperluan pembelian aset menghadapi banjir dan penempatan aset di beberapa negeri sering menghadapi banjir seperti Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, sebanyak 1,500 anggota tentera dikerah bagi membantu mangsa banjir di Johor melibatkan aset sebanyak 28 bot, lapan lori dan 25 trak termasuk pasukan Kor Perubatan ATM, Kor Jurutera Diraja ATM dan bahagian teknikal.

Susulan kejadian banjir teruk di Johor, pihaknya turut menghantar anggota tentera laut buat pertama kali bagi membantu mangsa banjir bersama agensi kerajaan lain, katanya.

Gambar oleh: Facebook Kementerian Kerja Raya Malaysia

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, pembinaan jambatan bailey di jalan utama ke Felda Selancar, Rompin, Pahang, akan disiapkan dalam tempoh terdekat.

“Sekarang ini (jambatan) akan dipasang dan kor jurutera ATM bersedia membantu Jabatan Kerja Raya, dalam sehari dua boleh siap,” katanya.

Pada 1 Mac lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pembinaan jambatan bailey di jalan utama Felda Selancar, Rompin yang runtuh akibat limpahan air deras ekoran hujan lebat.

Helikopter MD 530G tunjuk taring dalam Latihan Kuasa Tembakan 2022

ASET terbaharu Tentera Darat Malaysia (TDM), helikopter penyerang MD 530G pamer keupayaannya semasa Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, semalam.

Helikopter yang dikendalikan oleh 883 Skuadron Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia (PUTD) melakukan penembakan dengan menggunakan gatling gun M134D dan pod mesin gan berat FN Herstal 12.7mm.

Aksi yang dipamerkan oleh MD 530G itu sebahagian daripada demonstrasi keupayaan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa LKT 2022.

Helikopter keluaran MD Helicopter Inc ini telah diserahkan secara rasmi oleh Destini kepada TDM pada 13 Jun lalu.

Penyerahannya dilaksanakan selepas kesemua enam unit MD 530G selesai menamatkan Ujian Penerimaan Akhir (Final Acceptance Test).

Latihan tahunan LKT 2022 disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Panglima-panglima perkhidmatan.

Turut hadir menyaksikan acara ini ialah anakanda kepada Yang di-Pertuan Agong, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Kanan Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, “Pengujian helikopter MD 530G sekaligus memberi peluang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TDM untuk menilai sebarang ruang penambahbaikan bagi keupayaan aset pada masa akan datang.”

Menyentuh MD 530G, Hishammuddin menjelaskan isu perolehan helikopter tersebut telah selesai.

“Hari ini kita semua dapat saksikan helikopter MD530G telah pun dimanfaatkan dan dapat diuji keupayaannya dalam LKT tahun ini

“Isu mengenai helikopter ini telah dapat diselesaikan dan ia juga telah diterima oleh end user (Tentera Darat) yang sangat memerlukannya iaitu PUTD,” katanya dalam kenyataan.

Gambar oleh: Izarul Lee

Destini selesai serahan helikopter penyerang MD 530G kepada ATM

DESTINI Bhd telah menyelesaikan penghantaran dan penyerahan enam helikopter MD 530G kepada tentera Malaysia selepas menamatkan Final Acceptance Test.

Dalam satu kenyataan semalam, Destini berkata penghantaran enam helikopter peninjau/penyerang ringan dengan senjata pelbagai guna, kumpulan itu boleh memanfaatkan kepakarannya dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi mendapatkan perkhidmatan MRO pada helikopter dan aset unit udara tentera yang lain.

“Halaman Optima Sdn Bhd (HOSB) telah dianugerahkan kontrak penghantaran helikopter itu, bernilai RM321 juta, oleh Kementerian Pertahanan pada 2015.

“Pada 2017, Destini Group memperoleh 70 peratus kepentingan ekuiti dalam HOSB melalui anak syarikat milik penuhnya Destini Prima Sdn Bhd,” kata Destini semalam.

Pada Februari 2022, kesemua enam helikopter itu mengambil masa selama 31 hari untuk tiba di Malaysia selepas pemeriksaan pra-penghantaran selesai pada Disember tahun lalu.

Helikopter MD 530G dihasilkan oleh syarikat aeroangkasa Amerika Syarikat (AS), MD Helicopter Inc.

Helikopter itu akan ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan pangkalan udara tentera di Kluang, Johor.

Malaysia bakal terima trak taktikal Oshkosh untuk kegunaan ATM

PENGELUAR trak Amerika Syarikat (AS), Oshkosh Defence LLC baru-baru ini diberikan kontrak oleh US Department of Defence (DOD) untuk membekalkan trak berat kegunaan tentera untuk tiga negara, termasuk Malaysia.

Dalam kontrak bernilai USD16.7 juta (RM69.88 juta) itu, dua negara lagi adalah Iraq dan Lebanon.

M1120A4 HEMTT. Sumber: Wikipedia

Trak-trak terlibat termasuklah M1120A4 Heavy Expanded Mobility Tactical Trucks (HEMTT), sistem pengendalian beban M977A4 HEMTT, trak kargo M977A4 HEMTT, trak penangki (pengisian minyak) M978A4 HEMTT, dan M1070A1 Heavy Equipment Transporter.

Belum dipastikan trak spesifik yang akan diperolehi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan berapa unit, kerana tidak diperincikan oleh DOD.

Trak-trak itu akan dibina di fasiliti pengeluaran Oshkosh Defense di Wisconsi, AS. Kontrak dijangka tamat pada 31 Januari 2022 depan.

Siri trak HEMTT adalah platform standard kegunaan tentera AS untuk pelbagai kegunaan logistik dan tugas-tugas sokongan.

Ianya trak taktikal 10-tan dengan konfigurasi pacuan lapan-roda 8×8, dan telah berada dalam perkhidmatan tentera AS sejak 1982 sebagai pengganti trak M520 Goer.

Dengan perolehan ini, ia akan menjadi kali pertama ATM mengoperasikan rangkaian trak HEMTT.

JMC Vigus Pro tawar alternatif trak pikap di Malaysia – 2.0-liter turbodiesel, 141hp, 340Nm

KINI ada satu lagi alternatif dalam pasaran trak pikap di Malaysia iaitu JMC Vigus Pro. Model ini diedarkan dan dijual oleh Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM) yang dilantik oleh JMC (Jiangling Motors Co., Ltd).

Kerjasama di antara ATM dan JMC dimeterai selepas kedua-dua belah pihak menandatangani perjanjian Perlesenan Teknologi Kenderaan pada 1 Julai 2020.

JMC telah memberi hak penuh kepada ATM untuk mengilang, memasang dan menjual trak pikap JMC Vigus Pro 4×4, serta alat ganti dan komponen berkaitan di Malaysia.

ATM juga merancang untuk menawarkan JMC Vigus Pro menerusi 13 cawangan jualan dan servis di seluruh negara.

“Trak pikap JMC Vigus Pro 4×4 yang bergaya dan berteknologi tinggi ini sudah membuktikan keupayaannya di pasaran China. Kami tidak sabar untuk berkongsi produk baharu ini dengan peminat trak pikap di seluruh Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Bhd, Tan Keng Meng.

“JMC merupakan jenama kedua paling laris dalam segmen trak pikap di China bertahun-tahun lamanya. Kami ingin mengucapkan tahniah atas pelantikan Angka-Tan Motor sebagai pengedar rasmi JMC Vigus Pro 4×4 dan menyatakan penghargaan kepada Warisan TC atas sokongan mereka untuk menjadikan kerjasama ini satu realiti,” kata Presiden Jiangling Motors Co., Ltd., Xiong Chunying.

JMC Vigus Pro dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo diesel dengan VGT, mampu menjana 141hp pada 3,600rpm dan 340Nm tork pada 1,500 hingga 2,600rpm.

Kotak gear adalah unit automatik 8-kelajuan dari ZF, dan kuasa dihantar melalui sistem pacuan empat-roda 4WD BorgWarner dengan mod 2H, 4H dan 4L.

Menurut JMC, trak pikap ini menawarkan penjimatan bahan api terbaik dalam kelasnya iaitu 7.8 liter/100km atau 12.8km/liter.

Harga akan didedahkan tidak lama lagi iaitu dalam bulan ini. Walaubagaimanapun, jika anda berminat, boleh melihat JMC Vigus Pro ini dengan lebih dekat di bilik pameran mereka di Klang, Selangor.

Helikopter tempur MD 530G Tentera Darat mula latihan tembakan di Texas

MD Helicopters mengadakan latihan tembakan baru-baru ini di sekitar kawasan El Paso, Texas, Amerika Syarikat (AS) yang bersempadan dengan Mexico.

Latihan tembakan itu diadakan oleh instruktor untuk melatih juruterbang-juruterbang tentera negara pelanggan MD Helicopters, termasuklah Tentera Darat Malaysia (TDM). Aktiviti itu melibatkan beberapa unit helikopter tempur ringan MD 530F dan MD 530G.

Malaysia memesan enam unit MD 530G Light Scout Attack dan dijangka menerimanya bulan ini.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain pada Februari lepas melaporkan bahawa MD 530G itu telah melalui proses ujian kelayakan udara, dan pihak ATM telah pergi ke AS untuk melihatnya di samping menjalani latihan.

MD 530G sepatutnya diterima dalam dua fasa, dengan dua pada Julai 2017 dan empat lagi sebelum Disember 2018.

Tetapi pandemik Covid-19 serta faktor spesifikasi khusus adalah antara punca enam helikopter yang dipesan untuk keperluan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalami kelewatan dibawa masuk ke negara ini.

Md 530G ialah sebuah helikopter tempur ringan generasi baharu yang mempunyai berat berlepas maksima 1,701kg, mampu membawa beban 816kg dan dioperasikan oleh dua krew. Ia mampu terbang dengan kelajuan cruise 240km/j dan mempunyai jarak operasi 426km.

Antara persenjataan pada MD 530G adalah mesin gan 7.62mm dan roket panduan laser Raytheon TALON.

Difahamkan TDM telah mewujudkan Rejimen 882 PUTD (Pasukan Udara Tentera Darat) di Kuantan bagi menempatkan skuadron helikopter tempur ini. Pembinaan telah berjalan sejak Februari 2018.

Gambar oleh: Vertical Mag

“Pendekar” segagah namanya, teguh pertahan keamanan negara

KENDERAAN dan aset ketenteraan merupakan aspek penting bagi sesebuah negara.

Malaysia juga tidak terkecuali memiliki beberapa aset penting bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin.

Antara kenderaan ketenteraan dimiliki negara termasuk kereta perisai, kapal perang, pesawat tempur dan banyak lagi.

Jadi, artikel kali ini kami ingin membawa anda mengenal serba ringkas mengenai aset ketenteraan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dikenali sebagai “Pendekar”.

Jom kenal apa itu “Pendekar”

“Pendekar” merupakan kereta kebal atau kenderaan perisai utama bagi Malaysia.

Nama asal “Pendekar” adalah PT-91M yang mana ia dihasilkan oleh sebuah firma dikenali sebagai Bumar Labedy, berpangkalan di Poland.

PT-91M telah menjalani beberapa siri penambahbaikan agar sesuai dengan permukaan geografi dan cuaca negara ini.

Ia memiliki rekaan lebih rendah, kompak serta daya mobiliti lebih baik dengan berat sekitar 45 tan.

Pada tahun 2008 ketika sambutan Hari Tentera Darat, PT-91M diberi nama “Pendekar”.

Spesifikasi “Pendekar”

“Pendekar” boleh memuatkan lebih tiga anggota pengendali pada satu-satu masa dan mempunyai berat sekitar 45.3 tan serta memilki dimensi 10.03 x 3.7 x 2.19 meter.

Apa yang menarik, “Pendekar” mempunyai 1,000 kuasa kuda dengan menggunakan enjin PZL Wola S-1000R.

Berdasarkan maklumat semasa, “Pendekar” dikatakan mampu bergerak selaju 70 km/j di jalan raya dan 45 km/j di jalan desa.

Berikut antara ciri-ciri persenjataan terdapat pada “Pendekar”:

  • Meriam utama: 125mm Konstrukta / ZTS Special 2A46MS
  • Mesingan sepaksi: 1x 7.62 x 51mm FN MAG 57T
  • Mesingan anti udara: 1x 12.7 x 99mm FN Browning M2 HB di turet
  • Sistem pengurusan pertempuran: Sagem Epsilon
  • Sistem kawalan tembakan: Sagem SAVAN-15, giro cincin laser Sagem SIGMA 30
  • Pembidik panaromik: Sagem VIGY 15
  • Perlindungan: ERAWA-3 ERA, 4x sistem amaran laser Przemysłowe Centrum Optyki SSP-1 Obra-3, 24x (2×12) pelancar bom asap ZM Dezamet 902A81mm

Setakat ini, terdapat lebih 48 buah “Pendekar” dikendalikan oleh Rejimen 11 KAD, Kor Armor DiRaja berpangkalan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Terima kasih kepada seluruh anggota ATM yang sentiasa bersedia mempertahankan keamanan demi negara dan bangsa tercinta!

ATM tambah anggota bantu polis lakukan rondaan, sekatan jalan

HARI kedua pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown menyaksikan kawalan lebih ketat diadakan pasukan keselamatan.

Ini terbukti apabila lebih 3,300 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diatur gerak bagi membantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesemua anggota berkenaan akan terlibat dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR), pos statik dan rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV) seluruh negara.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, anggota terlibat adalah daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Malaysia dikenakan total lockdown oleh kerajaan bermula semalam sehingga 14 Jun ini.

Pelaksanaan total lockdown bertujuan mengawal penularan pandemik Covid-19 seluruh negara yang kian mencatatkan angka membimbangkan.

Terdahulu, Affendi berkata pihaknya turut melakukan kerjasama dengan semua agensi keselamatan bagi mengawal kawasan sempadan negara.

Kawalan ini termasuk laluan ‘tikus’ yang digunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke negara ini.

“Seramai 12,285 anggota diatur gerak bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara terutamanya melalui lorong-lorong tikus,” katanya.

Sementara itu, dua minggu fasa pertama sekatan pergerakan penuh dijangka akan menyebabkan pergerakan keluar masuk PATI meningkat.

Sehubungan itu, ATM akan terus meningkatkan kawalan bagi mengelak kemasukan PATI ke negara ini.